Datuk S, Norhaslinda Masih Suami Isteri
Oleh Norhashimah Mohd Radzali
norhashimah@bharian.com.my
PETALING JAYA: Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam, memutuskan hartawan teknologi maklumat (IT) yang pernah dikaitkan dengan aktres Fasha Sandha, Datuk Shafik Rizaal Saaban dan isterinya, Datin Norhaslinda Abu Bakar, masih suami isteri yang sah.
Hakim Ghazali Ahmad memutuskan tidak berlaku talak (perceraian) bagi keseluruhan lafaz yang didakwa Norhaslinda diucapkan oleh Shafik atau lebih dikenali sebagai Datuk S.
Norhaslinda, 27, selaku plaintif memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai terhadap empat lafaz yang diucapkan Shafik, 34, tahun lalu dan awal tahun ini.
Lafaz pertama pada September 2007 berbunyi: “Mulai esok I (saya) akan bebaskan you (awak), you boleh buat apa yang you suka.” Kedua pada November 2007: “I lepaskan you tapi official (rasminya) malam karang (nanti).”
Lafaz ketiga melalui SMS pada Februari 2008: “Mulai esok Linda akan menjadi janda” dan terakhir pada 10 Februari 2008: “Bermula malam ini kita berpisah tapi lafaz kat mahkamah”.
Ghazali ketika membacakan keputusannya, berkata mahkamah berpegang kepada keterangan Shafik dia tidak mengucapkan tiga daripada lafaz yang didakwa isterinya.
“Ada dua jenis lafaz talak iaitu soreh dan kinayah. Soreh adalah lafaz yang terang membawa maksud talak dan tidak memerlukan niat bagi menjadikannya sah, manakala kinayah pula lafaz yang membawa erti talak serta memerlukan niat daripada orang yang menjatuhkan talak bagi menjadikannya sah.
“Memandangkan lafaz yang didakwa plaintif diucapkan defendan (Shafik) masih dalam bentuk kinayah, mahkamah berpendapat sumpah nafi tidak perlu digunakan dalam kes ini walaupun wujud penafian oleh defendan,” katanya.
Ghazali berkata, Shafik dalam keterangannya menyatakan dia tidak berniat menjatuhkan talak ke atas isterinya dan yang dimaksud-kannya sebagai ‘bebas’ adalah putus sementara, selain mengharapkan supaya masalah dihadapi mereka dibawa ke sesi kaunseling.
Berita Harian
Sheila Rusly Takut Tua?
Oleh TENGKU SUZANA RAJA HAMAT
WANITA walaupun sudah berusia tidak dihalang untuk tampil menawan dan berkeyakinan, apatah lagi jika sudah bergelar artis. Hidup yang menjual bakat, nama dan karya seni, mahu tidak mahu, soal paras rupa antara agenda utama.
Ini yang menjadi prinsip penerbit dan selebriti popular yang bernama Sheila Rusly, walaupun usia sudah mencecah angka 37 tahun, dia harus berusaha untuk terus tampil menawan.
Bukan semata-mata untuk kepuasan peribadi tetapi keyakinan diri yang lebih utama.
“Di samping cara hidup sihat, penggunaan produk kecantikan yang tepat juga sangat membantu. Berada dalam karier seni begini, saya kena jaga penampilan,” kata Sheila yang sangat terkesan dengan produk antikedut yang sedang digunakannya ketika ini.
Adakah Sheila takut dengan usia tua sehinggakan bersungguh-sungguh mengambil produk kosmetik untuk membuang segala kedut di wajahnya.
“Usia memang tidak dapat dihalang, buat macam mana sekalipun, ia tidak akan berkurang. Sebenarnya, tiada jalan pintas untuk kelihatan cantik dan muda.
“Dan sebagai artis, saya harus sentiasa kelihatan menarik dan keyakinan saya sekarang bertambah dengan penggunaan produk ini,” jelas Sheila.
Bertindak sebagai jurucakap, walaupun bukan duta produk secara rasmi, Sheila menganggap, ini peluangnya untuk berkongsi awet muda yang diperolehi dengan rakan-rakan artis yang lain.
“Saya dah dua bulan mencuba produk ini dan ia berkesan pada saya. Jadi, saya mahu kawan-kawan seperti Sofea Jane, Mas Idayu, Melissa Saila dan Sharifah Shahora turut mencuba dan merasai kesannya,” kata Sheila yag ditemui di Mid Valley, baru-baru ini.
Tidak ketinggalan, Emelda Rosnaida, Abby Abadi dan Dee Hasnan turut teruja mengikut jejak
SHEILA menunjukkan cara penggunaan produk antikedut ke wajah Sharifah Shahora.
Sheila untuk mengurangkan kedut-kedut pada wajah masing- masing.
“Kak Sheila, kaulah penyelamat hidupku,” luah kata Melissa sambil berseloroh.
“Masa remaja bermasalah dengan kulit berminyak, sekarang pula kulit makin mengecut. Saya memang pernah guna banyak produk kurangkan kedut sebelum ini, ada yang tidak berkesan dan ada berkesan tapi harganya pula yang buat saya tak tahan,” tambah aktres yang sedang sibuk menjayakan watak Norizan menerusi persembahan teater muzikal P. Ramlee The Musical ini penuh rasa lega.
Sambil menyokong pendapat Melissa, kata Sheila: “Nak buang kedut boleh tapi biarlah produk yang betul-betul halal dan tak memudaratkan.”
Baru selesai penggambaran siri, Ta’in 3T sebanyak 13 episod yang bakal disiarkan Ramadan nanti, Sheila dan Jinggo kini sedang dalam proses merealisasikan telemovie terbarunya, Hanya Aku yang mengisahkan kehidupan penghuni-penghuni di Rumah Pengasih.
“Telefilem yang dijadualkan siarannya pada hari raya puasa nanti ini akan menjadi lebih istimewa jika Jamal Abdillah sudi menerima lamaran saya. Dalam kepala saya, hanya ada nama dia dan perkara ini sudahpun dimaklumkan kepada pihak Rumah Pengasih.

ABBY ABADI (kiri), Emelda dan Shahora teruja dengan kesan serta-merta produk antikedut yang dicuba mereka.
“Secara peribadinya, saya tidak nampak ini satu masalah buat Jamal kerana saya percaya, dia sendiri mahu berkongsi erti kehidupannya dengan seluruh masyarakat,” kata Sheila yang telah mencuri perhatian ramai apabila drama lakonan dan terbitannya, Sebuah Ijtihad diangkat sebagai Drama Terbaik pada Anugerah Skrin 2007.
Selain nama besar seperti Jamal Abdillah, nama-nama lain yang dalam perhatian Sheila untuk projek hari rayanya ini adalah Que Haidar dan Fasha Sandha.
Tidak terhenti dengan agenda Ramadan dan hari raya, jelas ibu kepada dua cahaya mata ini, JS Pictures juga sedang membuat penelitian untuk menggarap semula kisah rakyat, Anak Buluh Betung untuk dijadikan drama bersiri.
Untuk siri ini kelak, nama Eman Manan dan Fizz Fairuz sudah bermain di fikiran Sheila.
BERSAMA teman-teman artis serta kakitangan Beautybank di Mid Valley baru-baru ini.
Katanya, jika produksi Indonesia berjaya mengkomersialkan kisah rakyat milik orang Melayu, Bawang Putih Bawang Merah sehingga menjadi kegilaan ramai, tidak mustahil Anak Buluh Betung juga boleh diangkat menjadi sebuah drama bersiri kontemporari yang berjaya.
“Kalau bukan kita yang mengangkat legenda kita, siapa lagi. Saya harap pendekatan dan kerja-kerja yang telah dihasilkan JS Pictures selama ini dan akan datang, sedikit sebanyak dapat memberi impak kepada bentuk tontonan semua,” jelas Sheila berkeyakinan.
Kosmo
Kereta Pilihan Selebriti
Sazzy Falak bersama kereta kesayangan.
Apa jua jenisnya, kereta penumpang, kenderaan utiliti sports (SUV) atau kenderaan pelbagai guna (MPV), kenderaan beroda empat yang lazimnya dipanggil kereta menjadi keperluan kepada semua, miskin atau kaya, tua atau muda dan apa juga pekerjaan yang dilakukan.
Yang membezakan antara semua ialah jenis kereta yang dipandu, sama ada mewah atau murah bergantung kepada hasil pendapatan masing-masing berdasarkan pekerjaan yang dilakukan.
Selain ahli perniagaan dan politik yang sering dilihat memandu kereta-kereta mewah berjenama antarabangsa, golongan selebriti atau lebih senang digelar artis juga adalah antara pemilik kereta-kereta mewah yang sedang menjalar di atas jalan-jalan raya.
Seperti juga artis-artis luar negara antaranya pasangan suami isteri, David dan Victoria Beckham, Rowan Atkinson yang lebih dikenali oleh peminatnya sebagai Mr. Bean serta Cameron Diaz, artis-artis tempatan juga selesa memandu kereta mewah pelbagai jenama.
David dan Victoria Beckham atau Posh Spice itu adalah antara selebriti terkemuka yang memiliki banyak kereta mewah antaranya yang berjenama Bentley, Ferrari, Porsche 911, Range Rover, Jaguar, Rolls-Royce Phantom, BMW M3, Audi Q7, Lamborghini Gallardo dan Mercedes S500.
Yang menariknya ialah kebanyakan daripada kereta-kereta ini dilengkapi dengan kerusi bayi berkulit bagi menempatkan anak-anak pasangan tersebut agar selamat sepanjang perjalanan sejajar dengan gelaran sebagai ibu-bapa penyayang buat pasangan itu.
Rowan Atkinson yang sering memandu kereta kodok dalam siri drama komedi popular, Mr Bean pula sebenarnya mempunyai cita rasa yang tinggi dalam automotif dengan memiliki beberapa kereta eksotik seperti Aston Martin V8 Zagato, McLaren F1 dan Audi A8.
Mr Bean membeli McLaren F1 berikutan kejayaan filem “Bean – The Movie.” dan berbanding watak beliau yang seakan-akan naif dan lurus bendul itu, beliau suka memandu laju kereta tersebut yang boleh memecut sehingga 240 batu sejam.
Tidak seperti Victoria Beckham, Mr Bean yang rajin menulis mengenai cerita-cerita permotoran dalam beberapa majalah tidak menggemari Porsche tanpa mengetahui sebab sebenarnya walaupun mengakui kereta-kereta berjenama itu adalah hebat.
Pelakon watak Charlie’s Angels, Cameron Diaz yang pernah menjadi peminat kereta- kereta antik buatan Jerman memiliki beberapa kereta mewah seperti Porsche 911 Carrera, Mercedes SL dan Toyota Prius.
Kereta-kereta itu dilengkapi enjin hybrid yang boleh beralih antara enjin petrol konvensional dan enjin elektrik bergantung kepada keadaan sejajar dengan sikap pelakon itu yang cintakan alam sekitar bersama-sama rakan artis lain antaranya Gwyneth Paltrow, Leonardo DiCaprio, Billy Crystal, dan Harrison Ford.
Sistem navigasi Madonna pula, yang berhijrah ke London pada tahun 2001, memiliki rangkaian kereta mewah antaranya BMW 7-Series, Audi A8 dan Maybach super-limousine serta Cooper S yang dilengkapi sistem navigasi kawasan bagi membantu bintang itu semasa di luar daerah.
Anak kepada jurutera motor terkemuka itu sangat meminati Mini Cooper itu sehingga memuatkan nama kereta itu dalam satu daripada lagu-lagu terbarunya. Artis yang turut memiliki kereta yang sama ialah Sting, Goldie Hawn dan Elijah Wood.
Sementara itu, di kalangan artis tempatan pula, ramai antara mereka memandu kereta mewah terutama buatan Jerman dan Jepun yang terkenal dengan teknologi automotif termaju dan boleh dibeli pada harga yang agak tinggi, menjangkaui kemampuan seseorang pekerja berpendapatan sederhana di negara ini.
Antaranya ialah Erra Fazira yang memandu kereta berjenama BMW, Fasha Sandha dan Noryn Aziz memandu Honda CRV, Hattan dan Fauziah Latif bergegas ke sana ke mari dengan Mini Cooper manakala Ziana Zain dan Misha Omar bergaya dengan kereta Mercedes Benz.
Bagi Datin Seri Tiara Jacquelina yang kini sedang berhempas-pulas menjayakan teater P. Ramlee, kenderaan pacuan empat roda BMW X5 bukan sahaja memenuhi selera automotif tetapi juga memudahkan pengangkutan segala barangan keperluan, sama seperti Awie yang selesa dengan Toyota Harrier.
Tidak kira artis, ahli perniagaan atau ahli politik, pengenalan skim subsidi harga minyak baru di negara ini yang bertujuan memberi lebih keadilan kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana pastinya menggoncang sedikit poket semua pemilik kereta mewah ini, walaupun tidak begitu dirasai bebannya selama ini.
Powered by Utusan Malaysia
Tak Salah Pasang Pengawal – Fasha Bukan Berlagak
Oleh FAIZAL SAHARUNI
SELEPAS berita mengenai dirinya yang dikaitkan dengan seorang ahli perniagaan bernama Datuk Shafik Rizaal Saaban dilaporkan, aktres jelita yang sering meraih kontroversi ini bagaikan ‘menghilangkan diri’ dari wartawan.
FASHA mengupah pengawal peribadi kerana ia satu keperluan.
Puas sudah menghubunginya dan menghantar SMS menerusi telefon-telefon bimbitnya supaya dia memberi ruang untuk mengulas mengenai gosip tersebut, namun si empunya diri ini seakan sudah melenyapkan diri, enggan sama sekali memberikan sebarang respons terhadap gosip tersebut.
Mungkin berusaha tidak mahu memanjangkan cerita bersama lelaki yang juga digelar Datuk S itu, Fasha Sandha memilih untuk mendiamkan diri sahaja biarpun pernah membuat kenyataan media secara ringkas bahawa dia dan Datuk S hanya kawan.
Sementara menunggu aktres berusia 24 tahun ini terbuka hati memulakan bicara secara panjang lebar tentang Datuk S, berikut ditampilkan sedutan reaksinya mengenai isu dirinya dan pengawal peribadinya.
Sejak Disember lalu, Fasha sentiasa dilihat berdampingan dengan seorang lelaki berwajah ‘bengis’ atau lebih mudah dikatakan pengawal peribadi walaupun ke mana jua dia berada.
Bagai penjenayah yang melakukan kesalahan besar, Fasha terus sahaja dikritik kononnya ‘mengusung’ jejaka yang sering memakai jaket tertera nama dia itu waima pergi membeli-belah.
“Ada kawan beritahu tentang laporan itu kononnya saya pergi beli-belah bawa pengawal keselamatan.
“Memang betul dia (pengawal keselamatan) ikut sewaktu saya hendak beli barang baru-baru ini. Tetapi saya rasa tak salah sebab ketika itu merupakan tempoh dia bekerja.
“Saya menjalani penggambaran pada hari tersebut, kemudian saya dapat waktu rehat sekejap.
“Sementara menanti masa itu, saya pun ambil keputusan keluar beli barang-barang bagi kegunaan penggambaran di lokasi dengan pengawal keselamatan,” beritahu Fasha.
Fasha sekali lagi menegaskan, dia bukan takut untuk keluar membeli-belah bersendirian, namun ketika itu adalah tempoh kerja bagi pengawal keselamatan menjalankan tugasnya.
“Sebab itu dia ada dengan saya,” berkali-kali terang Fasha mohon dimengertikan.
Pada hari-hari biasa atau sewaktu dia tidak bekerja, Fasha hanya selesa ditemani ahli keluarga dan teman-teman rapatnya sahaja.
Bercakap lebih lanjut tentang pengawal keselamatan yang memakai jaket tertera namanya, Fasha menjelaskan tulisan yang terpampang di bajunya itu bukan sengaja diletakkan untuk berbangga diri.
“Ia bukan nama saya, sebaliknya nama syarikat saya. Rasanya tidak salah bukan?” soal Fasha menjawab kewajaran pengawal peribadi itu memakai pakaian tertulis namanya.
Fasha jadi hodoh

FASHA dan Ady Putra dalam satu babak telefilem, Kehangatan Lantana.
Lelah wajah manisnya sentiasa dioles cantik sama ada muncul di skrin TV mahu pun layar lebar, Fasha kini muncul dengan sisi berbeza yang pastinya mengejutkan ramai.
Begitu mencintai lapangan yang diceburi ini, Fasha nekad untuk bereksperimen dengan pelbagai watak bagi menguji kemampuan berstatus pemain wayang popular di Malaysia.
Terbaru, anak kedua daripada empat beradik ini sanggup muncul dengan rupa ‘hodoh’ apabila membawakan watak Juwita dalam sebuah telefilem arahan Feroz Khan yang berjudul Kehangatan Lantana.
“Saya terima watak ini sebab karakternya paling berat berbanding lakonan saya sebelum ini.
“Mesej yang disampaikan dalam drama ini juga menjadi salah satu faktor saya berminat melakonkan watak Juwita.
“Kalau selama ini peminat sering cakap saya pegang watak baik dalam lakonan, inilah masanya nak buktikan saya juga boleh bawa watak antagonis,” ulas Fasha.
Itulah kelebihan aktres tinggi lampai ini. Meskipun dihampiri bermacam kontroversi yang seakan tiada pengakhiran, Fasha tidak pernah sesekali menoktahkan tugasnya sebagai pelakon.
Empat jam bersolek
Bukannya mudah transisi merobah rupa wanita jelita bak Fasha kepada wajah tua dan kelihatan buruk semata-mata memberi impak berkesan di hati penonton.

WAJAH jelita yang sering meraih kontroversi panas.
Dan kenangan itulah yang dilalui Fasha apabila dia sanggup mengorbankan kecantikan yang dimilikinya selama ini untuk disolek dengan rupa hodoh selama empat jam.
“Saya kena datang awal ke lokasi penggambaran semata-mata mahu menyiap diri dengan karakter Juwita melalui hasil kerja juru mekap, Vanitha.
“Ia jadi pengalaman baru untuk saya. Wajah saya diletakkan lateks. Memang sakit dan memedihkan, tapi saya tak kisah andai ia betul-betul dapat menyokong lakonan saya,” luah Fasha.
Uji kemampuan Fasha
Terus bercerita lebih lanjut tentang watak itu, beritahu Fasha, Juwita adalah bekas Ratu Cantik tahun 1994 yang fobia dengan kecantikan dan begitu risau andai suaminya lakonan Ady Putra ada pengganti baru.
“Juwita sanggup lakukan apa saja untuk suaminya sampaikan dia nekad menyihir lelaki itu.
“Itulah yang menjadikan saya benar-benar nak terlibat dalam produksi ini,” ucap Fasha berterus-terang.
Drama yang bakal bersiaran di TV3 31 Mei hari ini mengambil masa selama lapan hari penggambaran yang dilakukan di sekitar Kuala Lumpur.
Jelas Fasha lagi, dia gembira dapat bekerjasama dengan pengarah muda berbakat besar seperti Feroz Khan yang banyak memberi tunjuk ajar dan dorongan bagi menjayakan karakter Juwita.
“Feroz tawarkan watak ini semasa saya sedang jalani setengah daripada penggambaran drama 13 episod, Jangan Main Belakang yang akan menemui penonton tidak lama lagi.
“Dia (Feroz) punyai sepenuh keyakinan terhadap bakat dan kemampuan saya untuk menjadi Juwita.
“Saya cukup terharu dengan peluang yang diberikan apatah lagi Feroz yakin dengan kebolehan saya membawakan watak jahat,” jelas Fasha panjang lebar.
Menyambung hujah tentang kelebihan drama ini, tutur Fasha, dia menganggap Kehangatan Lantana sarat dengan tema tersendiri yang dapat dijadikan iktibar buat audiens.
“Drama ini membangkitkan pelbagai isu termasuk aspek keagamaan, kesetiaan terhadap suami dan golongan wanita yang tidak dapat terima hakikat dirinya sudah lanjut usia,” ungkap Fasha.
Dalam pada itu, pengarah drama ini, Feroz Khan memberitahu, selain mesej berguna yang cuba disalurkan kepada khalayak, Kehangatan Lantana yang diterbitkan Meom Entertainment Sdn. Bhd. itu juga menampilkan kelainan pada teknik solekan.
“Saya mendapatkan khidmat juru mekap tempatan, Vanitha yang banyak timba pelajaran tentang gaya solekan khas di Hollywood bagi menonjolkan rupa tua dan buruk bagi watak Fasha
“Tempoh dua hari kami beri tumpukan pada solekan. Ia bagi memperlihatkan karakter Juwita yang sakit dari semasa ke semasa bertukar rupa.
“Selain itu, adegan Ady Putra semasa dia bermimpi masuk ke alam barzakh menjadi cabaran untuk menyiapkan tele drama ini.
“Waktu itu Ady Putra yang pegang watak sebagai Hakim memakai kain kapan dan masuk ke liang lahad. Kami jalani penggambaran di kubur pada waktu malam. Ia jadi pengalaman mendebarkan buat seluruh krew produksi. Apa-pun saya rasa bersyukur sebab semua berjalan lancar tanpa hadapi sebarang masalah,” ujar Feroz.
Powered by Kosmo
Juwita Bukan Zaleha
Oleh NOR FADZILAH BAHARUDIN fadzilah.bahar@utusan.com.my
FASHA Sandha bersama Adi Putra dalam satu babak drama Kehangatan Lantana. Fasha disolek hodoh bagi menjiwai watak Juwita.
KERAP diberikan watak gadis malang atau yang sering menjadi penganiayaan, semua itu bagaikan ‘makanan harian’ buat aktres muda Fasha Sandha.
Sebagai pelakon, matlamatnya ialah mempelbagaikan wataknya.
Dia mahu menjadi aktres yang versatil dan enggan sama sekali dilabel sebagai pelakon stereotaip.
Di luar kesedarannya, Fasha semakin menggapai impiannya.
Terbaru, lakonannya dalam telefilem Kehangatan Lantana yang akan ditayangkan menerusi slot Cerekarama pada 31 Mei ini pukul 10 malam di TV3.
Dalam telefilem arahan Feroz Khan ini, Fasha memegang watak sebagai Juwita, karakter berkenaan disimpulkan Fasha sebagai paling mencabar yang pernah ditanganinya.
Paling utama, Fasha mengharapkan, lakonannya dalam telefilem berkenaan akan membuka laluan baru buat dia melakar nama sebagai pelakon serba boleh.
“Watak ini paling mencabar yang pernah saya pegang. Memang susah tapi sekurang-kurangnya setelah selesai penggambaran melihatkan hasilnya saya berpuas hati.
“Sudah lama saya idamkan watak sebegini dan akhirnya impian saya tercapai,” kata aktres berusia 24 tahun itu lagi.
Bagaimanapun, harapan Fasha, para penonton tidak akan sama sekali menyamakan wataknya sebagai Juwita dalam Kehangatan Lantana dengan watak Zaleha lakonan aktres Sofea Jane dalam filem Perempuan Isteri dan ….
“Cara Juwita menundukkan suaminya ada persamaan dengan Zaleha tapi yang lain-lain semuanya berbeza.
“Isu yang dikupas dalam drama ini juga jelas terdapat perbezaan. Saya harap semua orang akan menonton drama berkenaan tanpa sebarang prejudis selain memperoleh mesej yang terkandung di dalamnya,” jelasnya lagi.
Dalam pada itu pengalaman ketika di lokasi penggambaran Kehangatan Lantana juga tidak mungkin dilupakan oleh duta produk Garnier dan Maybelline ini.
Masakan tidak wajahnya yang cantik bertukar menjadi hodoh dek kerana dia terpaksa berdepan dengan penyakit kulit yang bukan sahaja mencacatkan wajahnya malahan membuatkan wajahnya bernanah dan busuk.
“Jurusolek mengambil masa empat jam untuk menghasilkan kesan wajah saya itu.
“Sudahlah penat, panas pula sepanjang solekan. Tapi bila memikirkan itu semua untuk kebaikan kerjaya saya, saya harungi juga,” luah pelakon kelahiran Johor Bharu ini lagi.
Sementara itu, sutradara Kehangatan Lantana, Feroz Khan memberitahu, telefilem tersebut mengupas kisah mengenai kejahatan yang dilakukan oleh seseorang akan dibalas juga dengan kejahatan.
Dan apa pula maksud Lantana yang menjadi pilihan pengarah itu?
“Lantana merupakan salah satu nama bunga tahi ayam. Kita lihatnya cantik di luar tapi jika dipegang bunga itu berbau dan tidak seindah rupanya. Samalah keadaannya dengan jalan cerita drama ini,” katanya membuka bicara mengenai Kehangatan Lantana.
Telefilem ini menyaksikan Fasha membawa watak Juwita dan digandingkan dengan aktor Adi Putra sebagai Hakim, Fathil Dani dan ramai lagi.
Bercerita lanjut mengenai drama yang skripnya ditulis oleh KA Raziah ini, Feroz berkata, Kehangatan Lantana mengisahkan seorang wanita yang taksub dengan kecantikan serta menggunakan ilmu hitam semata-mata mahu menundukkan si suami melalui amalan nasi kangkang.
Melihatkan jalan ceritanya tidak dinafikan hampir serupa dengan filem Perempuan, Isteri dan …. lakonan Sofia Jane, namun Feroz menafikan perkara tersebut.
“Amalan karut yang ditonjolkan mungkin sama iaitu nasi kangkang untuk menundukkan suami, tapi jalan cerita dan perwatakan lain.
“Mungkin ada sedikit persamaan tapi kita lebih menonjolkan elemen-elemen pembalasan kepada si isteri yang curang terhadap suaminya,” jelas pengarah muda ini lagi.
Sebagai memberi impak kepada penonton, Feroz menterjemahkan mesej kejahatan dalam drama ini menerusi solekan oleh jurusolek Vanitha pada wajah Fasha.
Wajah Fasha dalam Kehangatan Lantana ditampilkan dengan pelbagai kesan luka dan kudis buta hasil pembalasan atas perbuatan jahatnya terhadap suaminya.
Feroz mengharapkan, penonton akan berkongsi penderitaan yang ditanggung oleh Fasha dalam drama itu kerana selama ini dia lazimnya ditampilkan dalam karakter gadis jelita.
“Keperitan dan kesakitan yang ditanggung oleh Fasha kerana mengalami penyakit kulit yang menyebabkan wajah dan dirinya bernanah dan busuk berjaya dihayati dengan baik oleh Fasha. Bukannya senang nak melakonkan watak dengan wajah yang sedemikian,” ujarnya.
Feroz turut mengakui, watak Juwita antara watak berat yang menguji kewibawaan aktres jelita tersebut.
“Saya puji Fasha kerana berjaya membawakan watak Juwita sebab bukannya mudah nak menjadi Juwita. “Perlu banyak kesabaran untuk menjadi seorang yang berdepan dengan penyakit yang akhirnya membawa maut. Malah kolaborasi kesemua pelakon membuatkan drama ini terhasil dengan baik,” katanya lagi.
Powered by Utusan Malaysia