MySelebriti.Com

World Celebrities News Online

Featuring the latest celebrity scandals, hollywood gossip, and entertainment news including gossip girls.

Archive for the 'Fauziah Nawi' Category

Mahsuri Di Tangan Fauziah Nawi

Posted by admin on 29th April 2009



Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my


SAAT bahagia Mahsuri dan Wan Darus dalam babak penuh kemeriahan.

Teater singkap padah membuat, sebarkan fitnah

USAHA pengarah Fauziah Nawi dan kumpulan produksinya membawa teater Mahsuri ke Panggung Sari, Istana Budaya sememangnya harus dipuji. Bukan sekadar memartabatkan seni persembahan teater tempatan, ia turut mengangkat cerita legenda masyarakat Melayu ke tahap yang sepatutnya.

Lebih daripada itu, teater Mahsuri yang dipentaskan mulai 24 hingga 30 April ini mengajak penonton mengikuti semula kisah di sebalik sumpahan seorang wanita yang tidak bersalah, Mahsuri, apabila dia dihukum bunuh akibat fitnah yang dilemparkan kepadanya.

Menampilkan aktres Vanidah Imran sebagai Mahsuri, teater ini turut diperkuatkan Arja Lee (sebagai Wan Darus), Azliyuszaini Mohd Noor (Datuk Pekema Jaya), Sabera Shaik (Wan Mahura), Ard Omar (Pandak Mayah), Norsiah Mohd Yatim (Cik Alang), Azman Md Hassan (Deramang), Azizah Mahzan (Wan Endah) dan Cico Harahap (Aria).

Kisahnya berkisar pada hasad dengki seorang wanita, Wan Mahura, apabila adik iparnya yang juga pahlawan tempatan, Wan Darus, dijodohkan dengan gadis jelita kelahiran Pulau Langkawi, Mahsuri. Kejelitaan gadis berkenaan menjadi buah mulut dan kecemburuan ramai wanita, termasuk Wan Mahura.

Apabila Wan Darus dikehendaki mengetuai kumpulan pahlawan anak tempatan menentang tentera Siam, Mahsuri ditinggalkan bersama ibu bapanya. Wan Darus meminta sahabatnya, Deramang, menjaga keselamatan si isteri sepanjang ketiadaannya.


MAHSURI cuba diselamatkan keluarganya daripada hukuman mati.

Namun, Wan Mahura menggunakan kesempatan itu untuk memfitnah Mahsuri yang didakwa menduakan suaminya ketika Wan Darus keluar mempertahankan negeri. Akibatnya, pasangan berkenaan dihukum bunuh. Sebelum dirinya ditikam menggunakan keris warisan keluarga, Mahsuri sempat menuturkan sumpah – Langkawi akan menjadi padang jarak padang terkukur untuk tujuh keturunan lamanya!

Teater ini mempunyai beberapa tarikannya tersendiri. Cerita lama yang diwarisi turun-temurun memang seronok untuk didengar berkali-kali. Apatah lagi apabila ia dipentaskan dengan skala agak besar sebagaimana teater Mahsuri ini.

Ditambah dengan iringan muzik secara langsung yang menarik, set yang agak baik, serta rekaan visual yang membantu menghidupkan cerita, teater ini boleh dinikmati pelbagai peringkat penonton. Sedikit sebanyak, mereka dapat mengingati semula apa sebenarnya terjadi pada wanita legenda berkenaan, sehingga dirinya dibunuh dan sumpahan diluahkan.

Ia sebuah teater yang mengajak penonton melihat semula kesan perbuatan fitnah yang bukan hanya berleluasa pada zaman dulu kala. Sehingga ke hari ini, perbuatan itu dapat dikesan dalam masyarakat kita. Apa saja alasannya, fitnah ditabur untuk mengeruhkan suasana, sama ada demi kepentingan diri, untuk memusnahkan ‘lawan’, atau hanya kerana benci yang tidak dapat dibendung lagi.

Satu ketika dulu, fitnah dilempar menerusi kata-kata, kini dengan perubahan teknologi, e-mel dan internet tempat mencurah tipu daya. Jika Mahsuri dicabut nyawanya kerana fitnah, hari ini, pelbagai petaka lain mungkin menunggu mangsa.

Menggigil melihat kehadiran penonton

BENCI dan dengki yang kuat itu pula terserlah dalam watak Wan Mahura, yang dilakonkan Sabera Shaik dengan berkesan. Dia muncul satu-satunya pelakon yang nampak menonjol, dek kekuatan watak yang dipegang. Disokong bakat lakonan yang baik, Wan Mahura membangkit kebencian penonton, lebih-lebih lagi apabila wataknya tidak menerima pembalasan pada penghujung kisah.

Namun Fauziah mempunyai alasan tersendiri untuk tidak memaparkan adegan pembalasan dalam teaternya. Ringkasnya, pengarah ini tidak mahu menjadikan pementasan berkenaan dilihat begitu klise, seperti filem Melayu biasa. Atas alasan itu juga dia menamatkan cerita pada babak sebaik saja wanita itu dibunuh serta sumpahan dituturkan.

“Kalau disambung hingga kepada kepulangan Wan Darus yang meratapi kematian isteri, serta melarikan anaknya ke Siam, ia menjadi klise. Bagi saya, apa yang dipentaskan itulah cerita Mahsuri,” katanya ketika ditemui selepas tamat persembahan hari pertama.

Katanya, dia sedar, ramai penonton serta mereka yang menyaksikan teater berkenaan mahukan watak Wan Mahura dihukum atas perbuatannya. Begitupun, dia enggan menambah babak kerana tidak meleret-leret. Mahsuri dipentaskan dengan durasi sejam 20 minit.

Fauziah juga kagum dengan keupayaan barisan produksi yang mementaskan Mahsuri, berikutan kesuntukan waktu latihan serta masalah teknikal yang banyak kali tidak menyebelahi mereka. Biarpun durasi pementasannya singkat berbanding teater lain, namun pertukaran set dilihat agak lemah, menyebabkan wujudnya ruang kosong yang sedikit merimaskan.

Beliau menyedari hakikat itu dan menurutnya, jika mampu, dia ingin menyambung terus babak ke babak, tanpa perlu melalui pertukaran set dalam keadaan gelap.

Mengenai tidak banyak watak yang menonjol, pengarah itu berasakan, perkara itu berlaku kerana sudah menjadi cap dagang kerjanya untuk memberikan tumpuan kepada semua watak utama.

Berhubung kehadiran Sabera, Fauziah menjelaskan selain menjadi rakan baiknya di luar pementasan, wanita itu seorang pelakon yang cukup berbakat.

“Saya seronok bekerja bersamanya. Dia umpama tunjang dalam pementasan ini. Tidak ada pelakon baru yang boleh menandinginya. Dia datang dengan ke sesi latihan cukup bersedia dan akan mengulangi babaknya selagi tidak berpuas hati dengannya,” katanya.

Pada hari pertama pementasan, Fauziah ‘menggigil’ apabila melihat penonton yang membanjiri dewan pementasan. Maklum saja, katanya, dia tidak pernah menerima sambutan hangat sebegitu sepanjang karier pengarahan teater.

“Saya rasa, kisah sejarah itu sendiri banyak menarik minat orang ramai untuk datang menonton teater Mahsuri,” ῠkata Fauziah yang nyata seronok dengan kejayaan pementasan berkenaan.

Berita Harian

Posted in Fauziah Nawi, Vanidah Imran | No Comments »

Cabaran Anak Wayang Bermula

Posted by admin on 27th April 2009

Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my


DARI kiri; Che Kem, Fauziah, Marlia dan Hamzah akan membimbing peserta Anak Wayang.

Program realiti terbaru Astro Ria mula disiarkan pada 22 Mei

PENGHORMATAN yang hadir bersama tanggungjawab besar kerana di tangan mereka ini tergenggam harapan untuk mencorakkan haluan pelapis yang bakal memeriahkan dunia lakonan.

Tanggungjawab itu menjadi lebih besar apabila di tangan mereka juga terletak sebuah misi iaitu membentuk Anak Wayang supaya kukuh berdiri setanding program realiti lain.

Kepakaran serta pengalaman yang dimiliki Marlia Musa, Fauziah Nawi, Mohd Kamaruzaman Taib (Che Kem) dan Hamzah Tahir bertepatan dengan usaha Astro untuk memberikan impak kepada khalayak menerusi Anak Wayang yang akan mula disiarkan pada 22 Mei nanti.

Tanpa pengetua, namun barisan pengajar Anak Wayang bersatu hati menggembleng tenaga, kepakaran serta pengalaman untuk dimanfaatkan peserta program realiti itu menerusi rutin yang dipertanggungjawabkan.

Pengurus Saluran Astro Ria, Khairul Mizan Shagul ketika ditanya mengenai pemilihan barisan tenaga pengajar program itu berkata, semuanya mempunyai kekuatan tersendiri selain berpengalaman luas dalam lakon layar dan persembahan pentas.


RUSDI dan Fazura turut mencurahkan pengalaman menerusi program Sesi Anak Wayang dan Pentas Anak Wayang.

“Kerjasama ini mengukuhkan objektif Astro yang menyediakan ruang kepada bakat pelapis dunia lakonan untuk terus berkembang dan dihormati. Kesungguhan mereka yang disegani dalam industri hiburan memperkemaskan lagi hasrat Astro untuk menjadi destinasi utama penerbitan drama tempatan,” katanya.

Khairul berkata, biarpun baru diperkenalkan siri uji bakat yang diadakan di tiga lokasi bermula April itu mendapat sambutan luar biasa apabila dihadiri lebih 4,000 peserta.

Daripada jumlah itu hanya 25 dipilih untuk meneruskan cita-cita serta menempa nama sebagai anak seni atas tiket lakonan.

“Anak Wayang mendedahkan kepada khalayak akan perjalanan serta pahit getir yang terpaksa dilalui seseorang pelakon. Astro menyediakan platform dengan membangunkan bakat yang ada untuk dikembangkan, seterusnya memacu industri hiburan tempatan menerusi pengisian ilmu serta pengalaman dalam Anak Wayang,” katanya.

Sementara itu, Marlia yang pernah menumpahkan pengalamannya menerusi Akademi Fantasia 3 mengakui, Anak Wayang memberikan cabaran berbeza kepadanya.

Katanya, Anak Wayang juga memberinya peluang bekerja dengan mereka yang berada di luar kelompok populariti, seterusnya menggali bakat yang ada untuk diperkenalkan kepada umum.

“Dengan ilmu yang mereka peroleh sepanjang program itu diharap dapat melengkapkan diri peserta menjadi pelakon yang lebih menyeluruh pada masa akan datang,” katanya.

Berdasarkan sesi uji bakat yang dihadirinya, Marlia berkata, mereka meletakkan penanda aras yang tinggi dalam pemilihan peserta untuk meneruskan cabaran dalam Anak Wayang.

“Kebanyakan peserta yang datang terutama di Johor Bahru memang berbakat besar, malah mempunyai karektor yang berwarna warni serta personaliti menarik kerana ia antara asas penting untuk menjadi seorang pelakon.

“Standard pemilihan terpaksa dipertingkatkan di Kuala Lumpur kerana kebanyakan yang datang mempunyai pengalaman berlakon dan ada di antara mereka ialah penuntut seni persembahan,” katanya.

Fauziah yang bakal membimbing peserta dalam aspek lakonan dan vokal berkata, skop tugasannya merangkumi pembacaan skrip, artikulasi serta pembawaan watak seseorang pelakon dalam sesebuah produksi.

Baginya, seseorang pelakon sama ada baru atau berpengalaman harus mempunyai ilmu supaya kerjaya lakonan tidak diperlekehkan.

“Saya tidak ada pendidikan khusus dalam bidang lakonan namun saya sering berpegang kepada naluri dalam mengenal pasti bakat lakonan seseorang.

“Pelakon yang baik mempunyai mata yang bersinar, peka dan dalam dirinya sentiasa tertanya-tanya. Mereka mempunyai bahang yang tinggi namun harus dikawal.

“Pengalaman hidup yang pelbagai juga sebenarnya membantu seseorang pelakon kerana jika tidak watak yang dibawakan tidak berwarna-warni, malah pencarian mereka juga tidak begitu analitikal,” katanya.

‘Pelakon itu pencipta’

PELAKON bagi Fauziah ialah pencipta dan seharusnya mereka memiliki daya imaginasi yang liar kerana jika tidak akan menimbulkan masalah kepada pengarah.

Katanya, setiap watak dalam lakonan mempunyai latar belakang dan ada ketika pelakon terikut-ikut dengan norma serta kebiasaan yang dilihat sedangkan tuntutan peranan adalah sebaliknya.

“Pelakon yang baik harus menjadi ‘penyibuk’ iaitu peka dengan persekitaran kerana mereka bertanggungjawab untuk mencari keseimbangan dalam pengisian watak yang diserahkan,” katanya.

Hamzah yang sebelum ini menjadi juri tetap Sehati Berdansa diberi kepercayaan untuk membimbing pelajar dari segi olah tubuh, manakala Che Kem memainkan peranan selaku guru skrip dan analisa.

Projek Anak Wayang siaran Astro Ria bakal menghidangkan penonton dengan paparan diari pembelajaran menerusi Sesi Anak Wayang setiap Isnin hingga Rabu dan dikendalikan oleh Fazura.

Sementara itu, pelaksanaan segala rutin yang diajar sepanjang minggu akan dipertontonkan menerusi program penyingkiran mingguan, Pentas Anak Wayang kendalian Rusdi Ramil setiap Jumaat, jam 9.30 malam.

Serentak pengumuman barisan tenaga pengajar, Astro turut melancarkan drama bersiri 50 episod Kecuali Cintamu yang menjadi platform kepada peserta Anak Wayang untuk menyandarkan bakat lakonan mereka.

Bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat di Astro Prima bermula 25 Mei ini, jam 8.30 malam, siri itu dibintangi Nanu Baharuddin, Mustapha Kamal, Haleeda, Janet Khoo dan Aman Shah.

Ia turut diperkuatkan dengan lakonan Liza Abdullah, Roslan Salleh, Tasha Aziz, Pushpa Narayan, Ezany Nizariff, Sabrina Hassan serta kemunculan wajah baru iaitu Siti Saleha, Riz Ainuddin dan Ainul Aishah.

“Drama ini bakal memberi lebih impak menerusi kemasukan watak sampingan daripada calon Anak Wayang yang meraih undian tertinggi penonton untuk merebut lima watak tambahan ditetapkan,” kata Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani.

Berita Harian

Posted in Akademi Fantasia, Fauziah Nawi | No Comments »

Penjelajahan Anak Wayang

Posted by admin on 24th April 2009

Oleh Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my

Rap
UNTUK memeriahkan lagi dunia seni tanah air, Astro meneruskan kegemilangannya menerbitkan program realiti terbaru, Anak Wayang, bagi mencari bakat baru dalam bidang lakonan. Anak Wayang sudah memulakan penjelajahan untuk mencari pelakon berpotensi yang layak bergelar anak wayang dengan mengadakan uji bakat di Johor Bharu, Pulau Pinang dan Shah Alam.

Memetik kata Pengarah Eksekutif Astro Entertainment Sdn Bhd, Zainir Aminullah, sejak Astro memperkenalkan program realiti popular Akademi Fantasia, Astro berjaya melahirkan penyanyi seperti Vince, Zahid, Mawi, Mila, Stacy dan pelawak versatil melalui program realiti Raja Lawak Astro seperti Nabil, Johan, Zizan dan terbaru kumpulan Sepah.

“Kini tiba masanya Astro melahirkan sebutir lagi bintang yang akan menyinari dunia drama tempatan pula. Projek yang dilancarkan ini juga dilihat mendukung hasrat syarikat yang ingin menjadikan Astro sebagai destinasi utama bagi drama terbaik tempatan melalui payung penjenamaan, Astro Megadrama.

Projek Anak Wayang bakal dijana dua saluran yang akan berganding bahu, Astro Ria dan Astro Prima yang masing-masing akan menayangkan program realiti bagi mencari bakat lakonan dan drama bersiri yang akan berlangsung serentak. Projek ini akan melihat peserta bertanding untuk memegang watak jururawat, mekanik, pengelola majlis, gangster dan setiausaha untuk drama bersiri 50 episod yang akan disiarkan di Astro Prima berjudul Kecuali Cintamu. Drama itu akan bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat, jam 8.30 malam.

Setiap minggu peserta akan menerima didikan dalam dunia lakonan di bawah bimbingan tenaga pengajar berpengalaman dalam bidang lakonan. Panel juri yang ditetapkan pula akan menilai prestasi mereka dan memilih hanya dua peserta untuk mara ke depan. Nasib dua peserta ini akan ditentukan oleh undian SMS. Bagi mengetahui keputusan undian SMS, penonton perlu menyaksikan drama itu setiap minggu.

Uniknya projek Anak Wayang apabila Astro mencari calon bagi pemegang lima watak utama dalam drama bersiri itu pada setiap minggu. Lima watak itu kemudian perlu mengekalkan mutu lakonan mereka dalam drama bersiri di Astro Prima kerana tiga watak akan dimatikan dan memberi pilihan kepada penonton untuk memilih hanya seorang yang layak bergelar Anak Wayang melalui undian SMS.

Menerusi uji bakat yang dijalankan di tiga negeri, pihak Astro menerima sambutan luar biasa. Di Shah Alam saja, selama dua hari uji bakat diadakan hampir 2,000 datang. Lakonan mereka diuji Marlia Musa, Roslan Hussein dan Faizal Hussein. Jelas Marlia, mereka menemui peserta yang hebat di Johor Bharu.

“Oleh itu kami meletakkan penanda aras yang tinggi untuk peserta di Pulau Pinang dan Shah Alam. Faktor utama peserta yang kami pilih mestilah mempunyai karektor berwarna-warni dan bakat yang baik. Di Pulau Pinang ada sedikit penurunan tetapi di Shah Alam cabaran untuk memilih peserta yang layak lagi besar.

“Ramai bakat baru yang terdiri daripada mereka berpendidikan tinggi dan ada yang tidak pengalaman langsung,” katanya.

Baru-baru ini, Astro memperkenalkan tenaga pengajar Anak Wayang, Marlia Musa selaku guru lakonan, Mohd Kamaruzaman Taib (Che Kem – guru skrip dan analisa), Fauziah Nawi (guru lakonan dan vokal) dan pensyarah dari Fakulti Artistik dan Teknologi Kreatif serta juri tetap Sehati Berdansa 2, Hamzah Tahir (guru olah tubuh).

 

 

Pengurus Saluran Astro Ria, Khairul Mizan Shagul berkata, Astro percaya tenaga pengajar yang dipilih ini mempunyai kekuatan tersendiri di samping pengalaman yang meluas dalam bidang seni lakon layar dan persembahan pentas untuk dikongsi bersama calon Anak Wayang dan penonton.

“Tugas dan pengkhususan sudah diberikan kepada barisan tenaga pengajar bertujuan untuk memberikan penekanan bagi setiap aspek sudut lakonan,” katanya.

Pada majlis sama, projek mega Anak Wayang turut mengumumkan barisan pelakon yang akan menerajui drama Kecuali Cintamu, Liza Abdullah, Roslan Salleh, Tasha Aziz, Sabrina Hassan, Pushpa Narayan, Ezani Zariff, Zain Ruffedge, Ainul Aishah, Haleeda, Nanu Baharudin, Aman Shah, Mustapha Kamal dan Shah Hassan.

Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani berkata, drama itu akan menjadi lebih hebat dengan kemasukan watak sampingan yang terdiri daripada calon Anak Wayang yang memenangi undian SMS tertinggi setiap minggu bagi merebut lima watak tambahan yang ditetapkan,” katanya.

Bagi memantapkan persembahah Anak Wayang, Rusdi Ramli akan mengacarakan Pentas Anak Wayang dan Norfazura akan mengacarakan Dialog Anak Wayang dan Sesi Anak Wayang. Projek ini akan mula bersiaran di Astro Ria pada 22 Mei ini.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5″;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194″;
innity_width = “260″;
innity_height = “230″;

Harian Metro

Posted in Akademi Fantasia, Fauziah Nawi, Mawi, Ruffedge, Rusdi Ramli | No Comments »

Semangat Mahsuri

Posted by admin on 24th April 2009

Oleh Rozdan Mazalan
rozdan@bharian.com.my


Vanidah Imran

Vanidah Imran teruja dapat tawaran Istana Budaya untuk jayakan teater Mahsuri mulai malam ini hingga 30 April

WALAUPUN pernah merangkul gelaran Pelakon Wanita Terbaik dalam Festival Filem Malaysia 2007 dan terbabit dalam banyak filem dan drama tempatan, Vanidah Imran (Vee) tidak pernah merasa dirinya hebat untuk beraksi di pentas teater pula.

Pengalaman yang dilalui di layar perak tidak sama dengan pentas teater. Cabarannya sudah pasti berbeza, namun itulah yang diharapkan Vee untuk memperkembangkan bakatnya dalam lakonan.

Menurut Vee, sekali lagi tawaran yang diberikan Istana Budaya dalam menjayakan teater Mahsuri yang berlangsung di Pentas Bertaraf Dunia itu mulai malam ini sehingga 30 April akan disahut dengan semangat yang kental.

“Terbabit dalam bidang teater ini sebenarnya bagi saya adalah satu perjuangan yang sebenar bagi orang seni kerana untuk berlakon di pentas teater bukan mudah seperti yang kita lihat.

“Situasinya sama sekali berbeza daripada berlakon di set penggambaran, namun inilah yang akan saya tempuhi dalam menjayakan teater arahan pengarah yang sangat saya sanjung semangatnya dalam memperjuangkan bidang teater iaitu Fauziah Nawi,” katanya.


DARI (kiri); Azharudin Ramli, Vanidah dan Azman Md. Hasan

Setiap filem, drama dan teater yang diterajuinya sudah pasti harus melalui pelbagai cabaran. Baginya, tanpa cabaran apalah ertinya kepuasan yang akan diterima dalam bidang lakonan.

“Apabila mendengar Istana Budaya akan mementaskan teater Mahsuri, saya mengambil keputusan untuk meluangkan sedikit masa bagi menghadiri sesi uji bakat yang diadakan.

“Sebaik berjaya terpilih sebagai watak utama iaitu tokoh wanita yang mempunyai segala sifat mulia, peluang keemasan ini tidak harus saya lepaskan dan inilah kemuncak kerjaya lakonan saya di pentas teater.

“Sebaik meneliti skrip, saya dapati watak ini akan menguji saya dengan beberapa situasi yang tidak pernah saya lakukan sepanjang berada dalam bidang lakonan. Antaranya ialah menyanyi dan bersilat.

“Memandangkan Mahsuri juga adalah serikandi yang hebat, jadi saya sedaya upaya akan berlatih dengan jurulatih silat yang profesional untuk meningkatkan ilmu persilatan saya.

“Namun apa yang membuatkan bakat saya akan teruji selepas ini adalah bakat suara saya dalam bidang nyanyian pula, jadi kalau nak dengar saya menyanyi dalam teater Mahsuri ini jangan lupa menonton teater ini,” katanya yang akan digandingkan dengan pelakon baru Arja sebagai suami Mahsuri iaitu Wan Darus.

Berdebar jadi suami Mahsuri

ARJA atau nama sebenarnya Azharudin Ramli memikul tanggungjawab sebagai Wan Darus iaitu suami kepada Mahsuri cukup bermakna buatnya. Bukan saja peranan yang diberikan itu dianggap besar tetapi gembira apabila dapat digandingkan dengan pelakon Wanita Terbaik dalam FFM2007.

“Uji bakat yang saya hadiri lalu bukanlah meletakkan harapan yang tinggi untuk terbabit sama dalam teater ini tetapi sekadar mahu mencuba. Saya juga tidak kisah apakah peranan yang akan diberikan sekiranya saya berjaya dalam uji bakat itu. Dapat peranan kecil pun sudah memadai kerana niat saya hanyalah ingin mengasah bakat dan menimba lebih banyak ilmu dalam dunia seni ini.

“Mungkin inilah dikatakan rezeki apabila saya diumumkan akan memegang watak sebagai Wan Darus iaitu suami kepada Mahsuri dan saya tahu peranan itu sememangnya berat.

“Lebih lagi saya akan bergandingan dengan pelakon wanita yang hebat seperti Vanidah Imran. Memang saya berdebar kerana saya masih baru dalam bidang lakonan ini jika hendak dibandingkan dengan pasangan saya.

“Namun itu semuanya akan saya harungi untuk meletakkan bakat saya setinggi pelakon yang sudah jauh berpengalaman,” katanya.

Sebagai suami kepada Mahsuri, Arja turut akui akan ada aksi-aksi romantik yang harus menampakkan kemesraan pasangan itu apabila berada di atas pentas.

“Selepas meneliti skrip dan perbincangan bersama pengarah memang akan ada beberapa aksi kemesraan saya dengan Vee, namun ia bukanlah keterlaluan.

“Semuanya saya dan Vee sudah bincangkan dan ia bukanlah satu masalah yang menyekat kreativiti lakonan kami. Lebih-lebih lagi Vee pun sudah meminta kebenaran suaminya untuk bergandingan dengan saya dalam teater ini,” katanya.

IB hargai semangat, komitmen Fauziah Nawi

KETUA Pengarah Istana Budaya (IB), Mohamed Juhari Shaarani, berkata pihaknya sentiasa memberi peluang kepada penggiat teater tempatan yang komited dalam bidangnya dengan tujuan mengangkat bidang teater ke satu tahap antarabangsa untuk beraksi di IB.

“Pemilihan Fauziah Nawi untuk mengarahkan teater Mahsuri ini selepas melihat kesungguhan beliau memperjuangkan seni teater selama ini.

“Beliau adalah antara penggiat teater yang tidak pernah kenal erti putus asa selepas menerima pelbagai diskriminasi dalam memartabatkan bidang yang dicintai itu..

“Walaupun selama ini dia hanya berpeluang mementaskan teater di pentas yang kecil, namun karyanya setiap tahun tetap dipentaskan walaupun terpaksa menghadapi pelbagai rintangan terutama masalah kewangan.

“Penggiat seperti inilah yang seharusnya diberi peluang untuk menunjukkan kesungguhan dan membuktikan siapakah yang sememangnya berhak untuk diberi peluang,” katanya

Pementasan Mahsuri yang mengisahkan seorang wanita yang terpaksa menelan pahit dan jerih kehidupan golongan itu turut menjadi sebab utama pemilihan Fauziah sebagai pengarah.

“Hanya wanita yang memahami perasaan dan kehidupan sesama mereka. Justeru, wanita jugalah yang selayaknya mengarahkan pementasan ini. Sebab itulah kami memilih beliau untuk mengarahkan kisah yang julung kali dipentaskan ini,” kata Juhari.

Fauziah pula yang menghargai kepercayaan IB mengakui tanggungjawab yang diberikan adalah tugas yang cukup berat untuk digalas.

“Saya sangat berterima kasih dan menyanjung tinggi kepercayaan yang diberikan Juhari kerana memberi peluang terbesar dalam hidup saya sepanjang menjadi anak seni untuk mementaskan teater Mahsuri.

“Saya percaya, semua pengarah ada memasang impian untuk mengarah di IB termasuklah saya yang sudah lama mengidam peluang ini. Walaupun sedar produksi Mahsuri adalah antara produksi terbesar IB tahun ini, peluang ini tidak akan disia-siakan.

“Selama ini pun, kebanyakan teater yang diarah atau diterbitkan cuma bersifat kecil-kecilan saja, malah jumlah khalayaknya pun tidak sebesar di IB,” katanya.

INFO: Teater Mahsuri Selain Vee dan Arja, turut membintangi teater ini ialah Azman Md Hasan (Deramang) dan Azizah Mahzan (Wan Endah). Senarai pelakon bagi watak lain seperti Wan Mahura, ibu mentua

Mahsuri masih lagi diteliti oleh tenaga produksi teater ini.

Selain Fauziah sebagai pengarah, tenaga produksi lain bagi pementasan ini ialah Rahimidin Zahari (penulis Skrip), Irwan Ismadi (pengarah Artistik), Mohd Yazid Zakaria (pengarah muzik) dan Iryanda Mulia Irwadi (komposer).

Bagi mereka yang berminat menonton pementasan ini, tiket berharga RM30, RM50, RM70 dan RM100 boleh didapati di Box-Office Istana Budaya atau sila hubungi talian 03-4149 8600 atau layari laman web www.ticket2u.biz untuk membuat tempahan.

Berita Harian

Posted in Fauziah Nawi, Vanidah Imran | No Comments »

Fauziah Godam Mahsuri

Posted by admin on 18th April 2009

Oleh FIRDAUS SAHAT
firdaussahat@hmetro.com.my

Rap
LEGENDA Mahsuri bukan cerita asing di kalangan kita! Wanita cantik Pulau Langkawi serta sumpah tatkala dijatuhi hukuman mati angkara fitnah sudah berabad-abad lamanya menjadi sejarah orang Melayu.

Keagungan cinta Mahsuri terhadap Wan Darus usah diperkatakan. Dek tohmahan dituduh bermukah bersama Deramang, dia dihukum bunuh.

Barangkali kerana tidak mampu menahan fitnah dan kata-kata orang, Mahsuri yang dikatakan kebal daripada sebarang senjata akhirnya memberitahu, hanya keris milik keluarganya yang mampu menembusi tubuhnya.

Meskipun ia pernah dirakam dalam bentuk filem dan ditayang di kaca TV satu ketika dulu, sumpahan Mahsuri semakin hari semakin dilupakan.

Justeru, dengan nafas lebih segar, kisah ini diangkat semula dalam bentuk teater. Menariknya, arahan Fauziah Nawi ini dipentaskan kepada penonton dalam skala lebih besar hingga mencecah kos keseluruhan RM400,000.

Menurut Fauziah, sejak 1992 hasrat untuk mementaskan teater ini terbit dalam dirinya. Begitupun, baru kini peluang berkenaan diperoleh.

“Secara jujur, sudah lama saya menyimpan angan untuk mengangkat kisah ini kepada penonton. Keberanian dan nilai cinta agung Mahsuri tidak sepatutnya dilupakan, lebih-lebih lagi buat generasi muda.

“Namun jika menggunakan syarikat produksi sendiri, mustahil untuk saya mengarahkan teater ini dan mementaskannya di Panggung Sari, Istana Budaya (IB), lebih-lebih lagi ia memerlukan kos besar.

“Bagaimanapun, saya bersyukur apabila Ketua Pengarah IB, Juhari Shaarani menawarkan peluang ini kepada saya. Alhamdulillah, dia memberi kebebasan untuk saya berkarya,” katanya.

Akui aktivis teater ini, hampir sebulan latihan diadakan. Walaupun menggabungkan pelakon lama dan baru, dia masih gusar mengenai penerimaan penonton apabila dipentaskan pada pada 24 hingga 30 April ini.

 

 

“Menjelmakan kisah yang sebati di hati masyarakat ini bukan tugas mudah. Banyak cabarannya. Namun saya yakin ia mampu dilakukan dengan baik berdasarkan latihan dan komitmen pelakon serta jalan ceritanya yang menarik.

“Untuk Mahsuri, watak berkenaan diamanahkan kepada Vanidah Imran (Vee) manakala Wan Darus pula diberi kepada pendatang baru, Azharuddin Ramli atau Arja lee.

“Menariknya, jalan cerita teater Mahsuri tidak tertumpu kepada wanita jelita berkenaan. Sebaliknya, kehidupan dan diri Mahsuri diceritakan menerusi pandangan suaminya, iaitu Wan Darus. Kali ini kami mahu tampil dengan sedikit perbezaan. Bagaimanapun, naratifnya masih sama,” katanya.

Pertama kali menggalas tugas pelakon utama untuk teater membuatkan Arja gemuruh. Akuinya, sebagai orang baru, masih banyak perlu dipelajari.

“Ini adalah teater kedua dan yang pertama mempunyai dialog. Terima kasih saya kepada Ibu Fauziah kerana memberi peluang ini. Sebagai orang baru, sudah tentu watak ini sangat bermakna kepada saya.

“Banyak yang perlu saya pelajari untuk menghidupkan Wan Darus, termasuk membuat kajian di Internet dan buku. Namun, kebanyakan ceritanya berbeza-beza. Mahu atau tidak, saya perlu membina watak itu sendiri,” katanya.

Menyentuh mengenai gandingan dengan Vee, Arja mengakui mudah bekerja dengan aktres berkenaan. Sikap profesional ditunjukkan Vee menjadikan mereka mudah serasi.

“Sebagai orang baru, siapalah saya untuk bergandingan dengannya. Namun, dia banyak memberi tunjuk ajar kepada saya. Yang salah pasti ditegur. Untuk saya pula, semestinya teguran menjadi azimat untuk saya berkarya,” katanya.

Bagi Vee pula, Mahsuri adalah watak paling diidamkan. Katanya, baru kini peluang muncul di depan mata apabila terpilih sebagai watak utama teater berkenaan.

“Baik teater, filem atau drama sekalipun, watak seperti ini yang saya tunggu-tunggu. Sebagai pelakon, saya mahukan watak yang benar-benar menguji diri saya dan mampu memperlihatkan kredibiliti sebagai pelakon.

“Pun begitu, saya tidak nafikan watak ini susah untuk dijelmakan. Lagipun, saya tidak tahu bagaimana mahu membawa watak itu dengan tepat.

“Dalam teater, tiada betul atau salah. Sebaliknya sebagai pelakon, kita harus pandai mencari karektor yang sesuai untuk watak berkenaan,” katanya.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5″;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194″;
innity_width = “260″;
innity_height = “230″;

Harian Metro

Posted in Fauziah Nawi, Vanidah Imran | No Comments »