MySelebriti.Com

World Celebrities News Online

Featuring the latest celebrity scandals, hollywood gossip, and entertainment news including gossip girls.

Archive for the 'Linda Onn' Category

“Linda Nak Terus Nikah”

Posted by admin on 21st April 2009



Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

Tidak mahu bazir wang, masa untuk bertunang, akui hadiri kursus untuk dapatkan sijil kahwin

MEMANG benar andai ditafsir wanita tinggi lampai bernama Rozlindah Onn ini begitu serius untuk memikirkan soal masa depan terutamanya dalam berumah tangga. Malahan, semangat penyampai radio Sinar FM, bernama komersial Linda Onn ini untuk berkahwin sudah ada sejak tahun lalu.

Namun apakan daya, yang dirancang tak semestinya menjadi kerana pada akhirnya ia adalah ketentuan Tuhan apabila hubungan dengan seorang pelakon berakhir tanpa diduga. Umum tahu, pelakon itu adalah bekas teman tapi mesranya, Fahrin Ahmad.

Andaian yang kembali tepat mengatakan dia sedang melalui rona bahagia dalam kehidupan ialah sejak Januari lalu ketika menghadiri majlis resepsi Mawi dan Ekin di Hotel Palace of Golden Horses bersama jejaka mat saleh dikenali sebagai James Gibbs.

Tidak menafikan hubungan antaranya dengan Gibbs di peringkat yang boleh dilabelkan agak serius sejak beberapa bulan lalu. Kalau mahu disingkap, persahabatan mereka sudah berlanjutan sejak 10 tahun lalu. Dalam kenyataannya sebelum ini, usahawan berjaya ini juga pernah memuji dan senang dengan peribadi Gibbs.

Finalis kategori Penyampai Radio Wanita Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 ini sekali lagi mengundang kejutan apabila gambarnya ketika menghadiri kursus praperkahwinan di Setiawangsa, Kuala Lumpur sejak dua tiga minggu lalu dipaparkan di laman web premis terbabit. Langkah Linda ke situ, sekali lagi mengandaikan dia memang benar-benar sedang ke arah menamatkan zaman bujang.

“Tak Linda nafikan memang ada menghadiri kursus yang dihebahkan itu. Kursus dua hari selama 13 jam itu Linda hadiri bersama kawan. Pada mulanya, Linda sendiri agak terkejut kerana tiba-tiba pusat kursus kahwin itu menyiarkan nama dan gambar Linda di laman webnya tanpa kebenaran.

“Linda tak fikir pusat itu berniat ingin mensabotaj dan selepas mereka memohon maaf serta menarik kembali gambar Linda daripada terus tersiar di laman web, Linda lupakan saja perkara itu. Linda ke situ sebagai langkah awal Linda untuk kahwin dan setidak-tidaknya Linda sudah ada sijil,” katanya yang tidak menolak takdir andai jodoh kuat mengatakan dia akan berkahwin tahun ini.

Lalu, persoalan di sini siapa pula calon suami Linda Onn? Biarpun agak telus membicarakan soal peribadi, Linda masih belum mampu memberi jawapan pasti siapa lelaki yang bakal bertakhta di hatinya atau mungkin Gibbs yang menjadi pilihan Linda sebagai bakal suami. Semuanya masih menjadi tanda tanya, biar ada kemungkinan besar lelaki bukan Melayu dari Wales, United Kingdom itu yang mungkin sudah menawan hatinya.

“Selanjutnya Linda tak berani nak komen. Tunggu sajalah dan Linda juga seperti wanita lain yang ingin bahagia. Dengan siapa pun jodoh Linda nanti, janji dia baik dan pastinya Linda takkan berselindung perkara yang baik.

“Pada pandangan Linda, jika boleh Linda tak mahu membazir masa dan wang ringgit untuk bertunang. Kalau sudah menjadi apa yang dirancang dan jumpa yang sesuai, Linda nak terus nikah,” katanya yang melaram sakan rekaan Nazreen Idris pada malam kemuncak ABPBH 2008 12 April lalu.

Linda ditemui Hip baru-baru ini ketika meraikan rakan media di premis My Asam Pedas Shop, Dataran Pandan Prima berdekatan Tesco Ampang. Acara rutin yang sering dianjurkan membabitkan Linda dan rakan wartawan ini bukanlah perkara asing dan ia antara pengerat silaturahim dengan wartawan.

“Hubungan Linda dan rakan wartawan sangat baik. Kalau ada sekali pun artikel negatif membabitkan Linda di surat khabar dan majalah, Linda ambil daripada sudut positif. Tak dinafikan kalau ada membaca cerita kontroversi boleh berderau juga darah tapi Linda harus kembali relaks.

“Publisiti yang baik atau tidak tetap bernama publisiti. Lebih baik ada cerita daripada tiada langsung. Tak boleh dinafikan kekuatan mata pena rakan wartawan dalam membantu Linda terus membina nama, kerjaya dan perniagaan yang diceburi. Linda tak pernah ambil hati langsung dengan penulisan wartawan,” kata Linda sambil memberitahu menu menarik yang ada di restorannya itu seperti asam pedas, ikan bakar, air sirap bandung dan air asam boi,

Kata Linda, alang-alang hendak memperkenal serta merasmikan pembukaan premis yang dibuka sejak Ogos tahun lalu, Linda memberitahu dia terdetik mengadakan majlis apresiasi kepada rakan media di samping niat asalnya menghebahkan kewujudan restoran itu.

Selain menjemput rakan media menjamu selera, Linda turut mengadakan sesi karaoke membabitkan wartawan yang hadir. Linda juga sempat mengusik rakan penyampai Sinar FM, Salih Yaacob yang sudah penuh kuota empat isteri sedangkan dia belum ada suami lagi.

Pelawak dan pelakon itu turut menyumbangkan suara menyanyikan dua buah lagu sebelum mengambil tempat menjadi pengkritik persembahan bersama Linda. Mereka mengadili pertandingan karaoke ala pengkritik Akademi Fantasia dan One In A Million. Malah di akhir majlis, Linda turut mendendangkan lagu I Will Survive dengan gaya tersendiri.

Turut sama membuat penampilan khas ialah penari cilik yang diberi nama Morning of Ghostdance dan acara cabutan bertuah. Wartawan Rap Harian Metro, Norhadiani Baharom diumum sebagai juara karaoke dan memenangi pen jenana Mont Blanc, manakala wartawan portal, Murai.com, Haswari Ali di tempat kedua memenangi beg sandang, Bonia.

Sementara itu, Hip sempat mendapatkan komen bapa kesayangan tauke restoran My Mom’s Chicken Rice itu mengenai hasrat dan keinginan anaknya untuk ke fasa perkahwinan. Kata Onn Chik, 76, dia dan isterinya hanya mengharapkan kebahagiaan terus kekal menjadi milik anaknya.

“Hal ini pasti terjawab, mungkin pada suatu hari nanti. Siapapun pilihan dia, pakcik berserah. Semuanya terpulang kepadanya kerana jodoh pertemuan di tangan-Nya dan setiap yang baik datang daripada-Nya. Kami merestui siapa pun pilihannya nanti.

“Pakcik tak nak komen lebih-lebih pula kerana salah cakap siapa yang malu. Yang mana baik buatnya, Insya-Allah baiklah kepada kami sekeluarga. Pakcik berdoa dia akan ditemukan dengan jodoh yang baik,” kata Onn.

Berita Harian

Posted in Akademi Fantasia, Anugerah Bintang Popular, Fahrin Ahmad, Linda Onn, Mawi, One In A Million, Salih Yaacob | No Comments »

Di Sebalik Tabir ABPBH 2008

Posted by admin on 15th April 2009



ORANG kuat industri filem dari kiri; Datuk Yusof Haslam, A Galak, David Teoh dan Ketua Pengarah Finas,
Mohd Mahyidin Mustakim.

KETIKA sesi latihan diadakan, Datuk Siti Nurhaliza menunjukkan teladan yang baik kepada artis lain. Tidak berasa puas hati dengan persembahannya, dia sanggup menunggu sehingga pentas kosong untuk kembali berlatih bersama penarinya. Akhirnya, Siti berjaya memukau penonton di arena dan di rumah dengan persembahannya yang hebat, menyanyikan lagu Di Taman Teman. Khabarnya, Siti juga sanggup mengeluarkan belanja sendiri untuk lapan penari yang mengiringinya.

KOMITMEN artis yang terbabit dalam latihan untuk acara kemuncak ABPBH 2008 dikatakan cukup terpuji. Masing-masing hadir dengan memberikan kerjasama yang baik sepanjang raptai diadakan. Maka tidak hairanlah apabila semuanya berjalan lancar apabila acara sebenar diadakan.

DENGAR cerita, seorang pemandu kepada penyanyi terkenal berada dalam kerisauan apabila kereta yang dipandunya terbabit dalam kemalangan kecil sewaktu menaiki tanah tinggi Genting. Harap-harap, majikannya tidaklah memarahi si pemandu ini, yang sudah pun bersusah-payah memandu meredah kabus untuk membawa penyanyi itu ke puncak.

SEORANG artis wanita yang sudah siap bersolek dikatakan membuat keputusan untuk pulang saja ke ibu kota kerana tidak berpuas hati dengan rekaan seorang pereka. Kononnya, daripada menerima pelbagai kutukan, lebih baik saja dia tidak menghadirkan diri pada acara penuh berprestij itu.

MASIH bercerita mengenai pereka fesyen, tetapi kali ini perihal nasib tidak baik yang menimpa seorang daripada mereka sebelum acara permaidani merah berlangsung. Ketika girang bersedia untuk memilih aksesori untuk artis yang memakai rekaannya, tiba-tiba langkah si pereka ini tersandung, lalu tersungkur. Tetapi, dia buat tidak kisah saja, lalu bangun dan terus bercakap di telefon.

KUMPULAN Raihan pula hadir segak dengan rekaan batik mereka sendiri yang bermotifkan tulisan jawi. Khabarnya, kumpulan berkenaan sudah pun memulakan perniagaan Raihan Batik. Wah, lepas ini, bertambah meriah imej kumpulan nasyid terbabit.


PEMINAT tidak lepaskan peluang bersalaman dengan Nora Danish.

PELAKON remaja, Diana Danielle, pengsan di pasca parti kerana demam. Walaupun tidak berapa sihat, namun demi memeriahkan ABPBH 2008, dia tetap hadir selepas mendapat pelepasan daripada Program Latihan Khidmat Negara selama dua hari. Apatah lagi pada kali ini dia turut dicalonkan dalam kategori Pelakon TV Wanita Popular.

RAMLI MS yang berehat seketika daripada kerusi pengarah muzik malam kemuncak ABPBH 2008, terpesona dengan kelunakan suara serta bakat dimiliki juara Bintang Idola Berita Harian (BIBH), Nazatul Farahin Mohd Hussin yang diberikan peluang mengadakan persembahan di pentas utama. Dia terus masuk ke dewan untuk menyaksikan bakat baru itu menyanyikan lagu Anggapanmu, dengan caranya tersendiri.

PELAKON Irma Hasmie turut menerima tempiasnya apabila kekasih hati, Nabil, diumumkan pemenang utama pada ABPBH kali ini. Pada pasca parti, bukan saja Nabil yang diburu wartawan, bahkan Irma juga tidak menang tangan diajukan pelbagai soalan. Apa-apa pun, pasangan ini nampak ceria sekali.

AMBOI, seorang pelakon baru wanita nampaknya bukan main lagi popular. Namun, bukan popular di kalangan pengundi, sebab dia bukanlah calon bertanding. Sebaliknya si pelakon ini diburu dua jejaka yang turut membabitkan diri dalam seni. Kedua-dua jejaka itu pula boleh tahan rupanya. Siapalah yang menjadi pilihan hati pelakon baru ini.


JACLYN VIcTOR (kanan) berbual dengan penerbit persembahan ABPBH 2008, Jennifer Thompson.

SEORANG pelakon wanita sensasi khabarnya memotong rambut beberapa jam sebelum acara kemuncak berlangsung. Entah apalah yang terlintas di mindanya tatkala memutuskan untuk muncul dengan potongan ‘bob’. Mungkin dalam hatinya dia berasakan, potongan baru itu mampu mengubah nasib diri.

HIP memuji sikap sporting dua selebriti wanita, Linda Onn dan Scha Al Yahya yang sudi bergambar bersama. Sayangnya, hanya sekeping yang mampu dirakam jurugambar apabila Linda beralih pula ke sesi temubual bersama wartawan sebuah stesen televisyen.

DENGARNYA, Fara Fauzana mengalirkan air mata apabila diperli oleh kakitangan sebuah rancangan televisyen kendaliannya. Kononnya, dia tidak menghargai rancangan berkenaan dalam ucapannya ketika menerima trofi.

ADA adegan pujuk-memujuk antara seorang wartawan dan pereka fesyen di belakang pentas, tatkala acara rancak berlangsung. Selepas diselidik, rupa-rupanya wartawan itu bengang dengan pereka terbabit, kerana menyediakan pakaian yang tidak menepati cita rasa wartawan ini.

Berita Harian

Posted in Diana Danielle, Fara Fauzana, Linda Onn, Siti Nurhaliza | No Comments »

Nabil Mampu Gugat Mawi, Siti?

Posted by admin on 11th April 2009

Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my

Rap
SIAPAKAH yang bakal mengungguli trofi Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 bagi edisi ke-22 malam esok? Semua persoalan itu bakal terjawab pada malam kemuncak majlis gilang-gemilang ABPBH08 yang akan disiarkan secara langsung dari Arena of Stars, Genting Highlands di TV3, jam 9 malam.

Senarai penuh pencalonan akhir ABPBH08 juga menyaksikan bintang realiti TV dan band indie tempatan antara 28 muka baru yang mendominasi beberapa kategori tertentu daripada seramai 80 penyanyi, pelakon dan personaliti disenaraikan sekali gus bersaing dengan nama popular.

Kategori paling mencuri tumpuan sudah pasti gelaran Bintang Paling Popular yang bakal membawa pulang pelbagai hadiah lumayan termasuk kereta Nissan Sylphy 2.0L berharga RM109,000 tajaan Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd.

Ramai menjangkakan malam kemuncak acara berprestij ini bakal menyaksikan kejutan kerana ada nama baru yang akan menang beberapa kategori utama dari 16 kategori dipertandingkan.

Calon kegemaran yang disebut-sebut memberi saingan sengit kepada Raja SMS, Asmawi Ani atau Mawi dan Datuk Siti Nurhaliza untuk membawa pulang trofi Bintang Paling Popular ialah bintang yang digilap daripada program realiti Raja Lawak musim kedua, Ahmad Nabil Ahmad, 26 atau nama komersialnya, Nabil Raja Lawak.

Nama dan populariti Nabil meningkat dengan mendadak dalam tempoh setahun berkecimpung sebagai anak seni. Setakat ini tujuh filem dilakonkan iaitu Sifu dan Tongga, Lu Pikirlah Sendiri The Movie, Kecoh Betul, Notti, Pisau Cukur, Momok The Movie dan Eee…hantu.

Selain berlakon filem, Nabil yang hangat bercinta dengan pelakon Irma Hasmie ini juga melebarkan sayapnya sebagai pengacara dan terbaru gandingannya dengan Raja Azura dalam Ewah-Ewah.

Difahamkan, undian awal ABPBH08 membuktikan, Nabil menerima jumlah undian melebihi jumlah undi diterima Mawi bagi kategori Penyanyi Lelaki Popular. Jika jangkaan itu tepat, gelaran yang dipertahankan Mawi sejak tiga tahun lalu akan beralih kepada Nabil, sekali gus melakar sejarah baru dalam anugerah berpestij ini.

Kejayaan ini sekali gus menjadikan Nabil artis komedi kedua berjaya selepas Saiful Apek bergelar Bintang Paling Popular.

Anak kelahiran Mambau, Negeri Sembilan ini juga berhadapan laluan mudah untuk mengetepikan artis kelahiran AF seperti Nubhan dan Riz. Begitu juga dua lagi calon, Aiman dan Fizo dalam kategori Artis Baru Lelaki Popular.

 

 

Kemungkinan besar, Nabil juga bakal mengetepikan nama besar seperti AC Mizal, Afdlin Shauki, Saiful Apek dan Zizan Raja Lawak untuk Artis Komedi Popular.

Betapa hebat pun pengaruh besar Nabil dalam industri seni tanah air, dia lebih suka merendah diri dalam segala hal menyedari baru setahun jagung bergelar anak seni. Malah kata Nabil, dia juga tidak meletakkan harapan tinggi untuk menang.

“Saya tidak terfikir pun untuk menjadi finalis pada acara berprestij itu. Sebenarnya, saya cuma jangka untuk tampil menjadi penyampai anugerah, tetapi sebaliknya nama saya dicalonkan dalam dua kategori sekali gus.

“Tapi jika menang nanti, saya tetap bersyukur dan menganggap ia bonus sekali gus menyuntik semangat untuk bekerja lebih keras lagi,” katanya.

Antara artis muda yang menyerlah dan memberi saingan sengit bagi kategori Artis Baru Wanita Popular

ialah bintang yang digilap dari AF, Stacy. Dia juga bersaing dengan empat lagi calon iaitu Ayu (OIAM), Lisa Surihani, Sari Yanti dan Scha.

Namun, dia berhadapan cabaran sengit kategori Penyanyi Wanita Popular kerana berhadapan dengan Siti Nurhaliza, Jaclyn Victor, Mila dan Elyana. Bagi Stacy, sekadar dicalonkan dalam senarai Top 5 dalam ABPBH 2008, sudah cukup bermakna buatnya.

“Saya tidak mengharap kemenangan untuk Penyanyi Wanita Popular kerana semua sedia maklum, Siti sukar digugat artis lain.

“Saya juga bersaing dengan ramai bakat baru yang tidak kurang hebatnya untuk Artis Baru Wanita Popular. Kalau menang, ia rezeki tapi kalau kalah, saya akan bekerja lebih keras lagi untuk pencalonan tahun depan,” katanya.

Seorang lagi calon yang tidak boleh dipandang ringan untuk Artis Baru Wanita Popular ialah pelakon yang popular menerusi drama Kaisara, Sari Yanti.

“Saya tidak meletakkan harapan tinggi untuk menang kerana saingan kategori ini hebat belaka,” katanya.

Kategori penyanyi Duo/Berkumpulan Popular menyaksikan penguasaan band indie tempatan seperti Estranged, Hujan dan Meet Uncle Hussain. Ketiga-tiga band ini mempunyai kekuatan dan pengikut tersendiri.

Kemunculan pelakon kacak kelahiran Singapura, Aaron Aziz untuk Pelakon TV Lelaki Popular juga tidak boleh diperlekehkan. Aaron berhadapan calon berpengalaman Rosyam Nor dan pelakon popular lain, Que Haidar, Aqasha, Ashraf Muslim dan Fahrin Ahmad.

Ashraf yang popular dalam Puaka Ning Rapik dan drama bersiri Yusuff juga tidak boleh dipandang ringan dan mampu menggugat Rosyam yang menggungguli kategori ini sejak 2004. Manakala untuk kategori Pelakon Filem Lelaki Popular, Rosyam mengungguli kategori itu selama tujuh kali sejak 1997.

Sementara itu Siti yang kini mempertaruhkan bingkisan album terbarunya Lantera Timur, dijangka terus mempertahankan trofi Penyanyi Wanita Popular yang sudah sedekad dalam gengamannya.

Apapun kontroversi yang pernah dikaitkan dengan Siti ternyata tidak menggugat populariti isteri kepada ahli perniagaan, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa ini sekali gus mengetepikan dengan mudah semua calon lain.

Kategori Pelakon Filem Wanita Popular pula menyaksikan persaingan tiga nama besar dalam industri lakonan, Erra Fazira, Vanidah Imran dan Maya Karin berbanding dua calon baru, Liyana Jasmay dan Sharifah Amani.

Laluan artis kontroversi, Fasha Sandha untuk kategori Pelakon TV Wanita Popular nampaknya tidak mudah kerana kemunculan artis yang lebih segar dan laris ketika ini seperti Diana Danielle.

Manakala kehadiran Saiful Apek sekali lagi dalam kategori Pelakon Filem Lelaki Popular dikatakan boleh menggugat peluang Rosyam Nor untuk mengungguli kategori berkenaan ini.

Untuk Artis Komedi Wanita Popular, kehadiran muka baru, Amyza Aznan, Norkhiriah, Ruminah Sidek dan Sheila Mambo sukar menggugat penguasaan Sheila Rusly yang mengunggulinya sejak 2003. Hanya Kenchana Dewi dicalonkan kali kedua.

Rasanya sukar bagi peminat mengundi pemenang baru kerana memikirkan hadiah lumayan menanti mereka sebaliknya lebih selamat memilih pemenang tahun lalu. Saban tahun ABPBH menyaksikan keputusan sama mungkin kerana sikap berhati-hati pembaca.

Aznil Nawawi juga mengungguli kategori Pengacara TV Lelaki Popular sebanyak lima kali. Tahun ini Aznil bersaing dengan senarai tradisi, AC Mizal, Faizal Ismail dan Ally Iskandar. Aznil juga dicalonkan untuk Penyampai Radio Lelaki Popular.

Fara Fauzana pula dijangka berhadapan laluan mudah untuk mengungguli Pengacara TV Wanita Popular dan bakal mengulangi kejayaan tahun lalu untuk Penyampai Radio Wanita Popular yang dirampasnya dari Linda Onn yang mengungguli kategori itu enam tahun berturut-turut sejak 2001.

Kategori Penyanyi/Artis Nasyid Popular pula menyaksikan nama besar dalam industri nasyid, Rabbani, Hijjaz dan Raihan berhadapan saingan muka baru, Akhil Hayy dan Aiman.

SENARAI FINALIS ABPBH08

1. Pengacara TV Lelaki Popular
* AC Mizal
* Ally Iskandar
* Aznil Hj Nawawi
* Faizal Ismail
* Faizal Tahir

2. Pengacara TV Wanita Popular
* Abby Fana
* Cheryl Samad
* Fara Fauzana
* Juliana Evans
* Nurul Alis

3. Pengacara Radio Lelaki Popular
* AG
* Aznil Hj Nawawi
* Faizal Ismail
* Khairil Rashid
* Kieran

4. Penyampai Radio Wanita Popular
* Abby Fana
* Fara Fauzana
* Leya
* Linda Onn
* Nana

5. Artis Komedi Lelaki Popular
* AC Mizal
* Afdlin Shauki
* Nabil
* Zizan
* Saiful Apek

6. Artis Komedi Wanita Popular
* Amyza Aznan
* Kenchana Dewi
* Noorkhiriah
* Ruminah Sidek
* Sheila Mambo

7. Artis Baru Lelaki Popular
* Aiman
* Fizo
* Nabil
* Nubhan
* Riz Artis

8. Baru Wanita Popular
* Ayu OIAM
* Lisa Surihani
* Sari Yanti
* Scha
* Stacy

9. Penyanyi/Artis Nasyid Popular
* Akhil Hayy
* Aiman
* Hijjaz
* Raihan
* Rabbani

10. Penyanyi Berkumpulan/ Duo Popular
* Estranged
* Fabulous Cats
* Hujan
* Meet Uncle Hussain
* M Nasir & Malique

11. Penyanyi Lelaki Popular
* Adam
* Aizat
* Amy Search
* Mawi
* Nubhan

12. Penyanyi Wanita Popular
* Elyana
* Jaclyn Victor
* Mila
* Siti Nurhaliza
* Stacy

13. Pelakon Filem Lelaki Popular
* Farid Kamil
* Que Haidar
* Rosyam Nor
* Rusdi Ramli
* Saiful Apek

14. Pelakon Filem Wanita Popular
* Erra Fazira
* Liyana Jasmay
* Maya Karin
* Sharifah Amani
* Vanidah Imran

15. Pelakon TV Lelaki Popular
* Aaron Aziz
* Aqasha
* Ashraf Muslim
* Fahrin Ahmad
* Rosyam Nor

16. Pelakon TV Wanita Popular
* Abby Abadi
* Diana Danielle
* Dynas
* Fasha Sandha
* Rita Rudaini

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5″;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194″;
innity_width = “260″;
innity_height = “230″;

Harian Metro

Posted in AC Mizal, Aaron Aziz, Abby Abadi, Afdlin Shauki, Akhil Hayy, Ally Iskandar, Amy Search, Anugerah Bintang Popular, Asmawi Ani, Aznil Nawawi, Cheryl Samad, Diana Danielle, Erra Fazira, Fahrin Ahmad, Faizal Tahir, Fara Fauzana, Farid Kamil, Fasha Sandha, Hijjaz, Jaclyn Victor, Linda Onn, M.Nasir, Mawi, Maya Karin, Que Haidar, Raja Azura, Rita Rudaini, Rosyam Nor, Rusdi Ramli, Saiful Apek, Sharifah Amani, Sheila Rusly, Siti Nurhaliza, Vanidah Imran | No Comments »

Linda, Krill Semakin Selesa

Posted by admin on 10th April 2009

Oleh Rozdan Mazalan
rozdan@bharian.com.my

Gembira masih jadi finalis dalam kategori penyampai radio

SEJAK 2001, Linda Onn dan Khairil Rashid atau Krill tidak pernah ketinggalan dalam senarai calon akhir Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) bagi kategori Penyampai Radio Lelaki dan Penyampai Radio Wanita Popular.

Begitu juga penganjuran tahun ini, walaupun semakin hari bakat baru dalam bidang juruhebah lahir bersama pesatnya stesen radio tempatan dibuka namun mereka masih mempunyai bisa yang berbeza.

Inilah yang dikatakan pekerja yang mengutamakan kerjanya tanpa mencari populariti yang sengaja diada-adakan.

Linda walau sibuk dengan kerja seninya termasuklah terpaksa menguruskan perniagaannya yang semakin berkembang mengakui kerja seninya diutamakan tetapi bukanlah populariti.

“Bagi Linda apa yang penting kita harus menunjukkan mutu kerja kita jika ingin kekal lama dalam bidang ini sekali gus populariti itu akan datang sendiri apabila pendengar merasa puas dan terhibur.

“Sehingga hari ini saya lihat semakin ramai orang baru lahir dalam bidang ini dan ia menunjukkan satu perkembangan baik dan sihat.

“Cuma perbezaannya hari ini dan lalu cukup ketara. Jika penyampai radio lalu bersaing sesama sendiri dengan membuktikan kualiti kerja siapa yang paling hebat, hari ini saya lihat mereka lebih mencari populariti untuk lebih dikenali,” katanya.

Menurut Linda, sepanjang tiga bulan bersama SinarFM semuanya berjalan lancar. Walaupun agak sedih meninggalkan Era tetapi sikap profesional perlu ditanamkan dalam dirinya.

“Alhamdulillah saya semakin selesa bersama SinarFM. Cuma, secara peribadi yang dapat saya rasakan apabila berada di SinarFM ini banyak lagu terkini semakin saya ketinggalan mengetahuinya. Bukannya apa saya memang meminati lagu-lagu seperti pop, balada, R&B, Hip Hop dan rap,” katanya yang kini berusaha menyelami lagu-lagu retro untuk memberikan yang terbaik kepada pendengarnya.

Bagi Khairil, walaupun wajah penyampai radio kurang dikenali berbanding pengacara TV, namun sekiranya kualiti yang ditunjukkan dalam penyampaian serta maklumat berguna kepada masyarakat akan dikenali.

“Populariti bagi saya adalah siapa yang berjaya mencuri hati pihak media akhbar atau TV, dia akan dikenali sekali gus popular. Tanpa media akhbar, majalah selain daripada media sendiri peminat tidak akan mengenali siapa penyampai radio ini.

“Hari ini kita melihat penyampaian radio berlumba-lumba mengejar populariti tanpa menyedari tujuan utama sebagai penyampai radio.

“Untuk ABPBH2008, bagi saya tercalon sudah cukup berbangga kerana setidaknya mereka tahu bakat saya dalam bidang pengacaraan. Cuma saya kurang menonjol dalam akhbar mahupun televisyen,” katanya.

Dia yang juga kini lebih selesa mengendalikan radio retro SinarFM bersama Salih Yaacob dan Raja Azura menolak sangkaan yang dia kini seakan tidak bersemangat mengendalikan SinarFM.

“Ada yang menyatakan saya seakan tidak bersemangat mengendalikan SinarFM dan seakan bekerja sambil lewa adalah tidak benar belaka.

“Sebelum ini saya di Era dan HitsFM dan apabila dipindahkan ke SinarFM lebih lagi digandingkan dengan dua penyampai yang hebat saya amat selesa sekarang,” katanya.

Jangka banyak kejutan

SEMENTARA itu, Linda dan Khairil menjangkakan ada berlaku beberapa kejutan dalam keputusan yang akan diumumkan pada malam kemuncak ABPBH2008, Ahad ini.

Dalam kategori Penyampai Radio Lelaki, pencabar paling hebat Khairil pastinya daripada penyampai Era, Aznil Nawawi selain tiga penyampai Hot FM iaitu Faizal Ismail, Kieran dan AG.

Manakala Penyampai Wanita Radio Popular pula, Linda berhadapan rakan setugasnya, Abby Fana selain Nana dari Era dan dua peserta dari Hot FM, Fara Fauzana dan Leya.

enurut Linda, ABPBH2008 yang dianjurkan adalah majlis penganugerahan anak seni paling berprestij pernah dihadiri setakat ini.

“Saya melihat ABPBH menghimpun semua anak seni daripada penyanyi, pelakon, penyampai radio, TV, pelawak dan pelapis baru dalam bidang seni. Bukan itu saja, tahun ke tahun saya dapat melihat perkembangan penganugerahan ini semakin berkembang.

“Dengan mempelbagaikan tema pakaian setiap tahun, sekali gus mengangkat satu lagi elemen seni iaitu pereka fesyen turut dihargai,” katanya yang akan mengenakan pakaian rekaan Nazreen Idris yang turut menggabungkan elemen songket.

Bagi Khiril, penganjuran ABPBH2008 ini dilihat sesuatu penganugerahan yang berbeza daripada majlis lain.

“Saya melihat daripada sudut positif. Anugerah ini mengangkat penyampai radio yang dulu tidak dikenali kepada lebih dikenali hari ini.

“Sesi jelajah promosi ABPBH2008 turut membawa finalis bertemu sendiri dengan masyarakat supaya mereka kenal siapa yang bekerja di dalam konti radio,” katanya yang akan mengenakan pakaian sendiri pada malam kemuncak ABPBH2008.

Berita Harian

Posted in Aznil Nawawi, Fara Fauzana, Linda Onn, Raja Azura, Salih Yaacob | No Comments »

4 Pelakon Muda Gerun Rosyam

Posted by admin on 6th April 2009

Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my

Rap

GELARAN ‘hero tua’ yang diberikan kepada Rosyam Nor tidak lama dulu pernah mencarik luka di hatinya. Sekian lama berbakti dan menghambakan diri sebagai pelakon, tidak adakah kata-kata yang lebih manis bagi menghargai perjuangan seninya selama 25 tahun?

Namun, berdirinya Rosyam di samping pelakon muda, Aaron Aziz, Aqasha, Ashraf Muslim dan Fahrin Ahmad, yang turut bersaing dalam Pelakon TV Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH 2008), yang bakal berlangsung Di Arena Of Stars, Genting Highlands, 12 April ini jelas membuktikan penangan Rosyam masih berbisa.

Mungkin ada yang memandang enteng persaingan ini atau membuat tanggapan zaman kegemilangannya sebagai pelakon disegani akan berakhir dengan kemunculan serta persaingan sengit bakal diberikan keempat-empat pelakon muda itu.

Bagi yang beranggapan seperti itu, mereka sebenarnya mempunyai pemikiran cetek kerana mengapa tidak menilai bagaimana seorang pelakon senior dan berpengalaman seperti Rosyam mampu mempertahankan popularitinya, sekali gus memboloskan diri dalam kelompok lima terbaik bagi kategori itu?

Sedangkan, ramai pelakon lelaki seangkatan Rosyam dan lebih terkenal daripadanya dulu, bukan saja tidak tercalon malah di manakah mereka hari ini?

Seperkara yang pasti, kehadiran Rosyam dalam kategori Pelakon TV Lelaki Popular amat digeruni bintang muda, Aaron Aziz, Aqasha, Ashraf Muslim dan Fahrin Ahmad yang sebulat suara meramalkannya bakal mendominasi kategori itu.

Bagaimanapun, Rosyam melihat persaingan ABPBH2008 bagi kategori itu sesuatu yang sangat menarik kerana dikelilingi aktor muda berbakat besar yang bakal menjadi pelapis kepada pelakon sedia ada.

“Kalau kita perhatikan kebanyakan finalis dalam kategori ini semuanya pelakon muda. Berbeza dengan penganjuran anugerah sebelumnya, kali ini saya tidak lagi meletakkan sebarang harapan kerana sudah puas dengan pencapaian yang dimiliki.

“Bagaimanapun, saya melihat ia satu persaingan yang menarik dan memberikan cabaran sebenarnya bagaimana mempertahan kedudukan dan populariti tatkala kebangkitan ramai pelakon muda dan berbakat seperti mereka ini.

“Semestinya saya akan lebih memperbaiki diri dari segi lakonan dan hasil kerja yang ditampilkan. Saya sebenarnya sama sekali tidak menyangka akan dicalonkan sekali lagi kerana pemilihan ini dibuat berdasarkan hasil kerja termasuk penayangan drama dan filem yang dibintangi tahun lalu.

 

 

“Kalau ikutkan saya cuma muncul dalam dua drama bersiri, dua telefilem dan satu program bual bicara. Barangkali pencalonan ini ada kaitan dengan lakonan saya menerusi drama bersiri Rozana yang mendapat sambutan hangat di TV3.

“Justeru, syukur kerana peminat masih menghargai bakat dan karier lakonan saya termasuk menyokong produk serta drama terbitan syarikat saya, Suhan Movies & Trading,” katanya.

Tidak cukup dengan satu pencalonan, Rosyam juga diundi peminat yang melayakkan dirinya menyertai kategori Pelakon Filem Lelaki Popular yang dibarisi pelakon kacak, Farid Kamil, Que Haidar, Rusdi Ramli dan Saiful Apek.

Sepanjang pembabitan dalam ABPBH, Rosyam pernah menerima Anugerah Pelakon TV Lelaki Popular pada 2004, 2005, 2006, dan 2007.

Manakala untuk kategori Pelakon Filem Lelaki Popular dia berjaya menggondol tujuh anugerah bermula 1997 1998, 2001, 2002, 2003, 2004 dan 2005. Selain itu, Rosyam juga pernah dinobatkan peminat sebagai penerima Anugerah Bintang Paling Popular pada 2002.

Manakala Aqasha melonjak menerusi drama Mentua vs Menantu yang dibintangi bersama Ratu Filem Melayu, Erra Fazira, mengakui terkejut dengan pencalonannya itu.

“Saya sudah berlakon sejak 2001, tetapi ini adalah pencalonan pertama saya dalam kategori Pelakon TV Lelaki Popular.

Keputusan yang mengejutkan kerana tidak pernah memikirkannya, namun saya menerimanya sebagai satu penghargaan.

“Jujur saya katakan, tidak kisah kalau tidak tercalon sekali pun kerana saya sering berinteraksi dengan peminat yang mengikuti perkembangan kerjaya seni saya. Justeru, tanpa tercalon pun saya tahu ada peminat yang sentiasa menyokong karier saya.

“Pun begitu, pencalonan ini saya lihat sebagai bonus juga penghargaan peminat di atas kasih yang melimpah ruah sehingga mereka berusaha mengundi dan menempatkan saya dalam senarai lima terbaik.

“Menang atau kalah, saya tidak menaruh sebarang harapan bahkan tidak rasa ada peluang kerana saya sering muhasabah diri supaya terima setiap keputusan dengan hati terbuka. Kalau menang itu satu bonus dan rezeki daripada Yang Maha Esa,” katanya.

Baru saja menamatkan pengajian dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Audio di HICOM, pelakon yang terlebih dulu mencipta nama sebagai penyanyi serta popular menerusi lagu Embun ini muncul menerusi drama, Bicara Cinta dan

Kasih Mia arahan Rashid Sibir tahun lalu, termasuk Mentua Vs Menantu.

Dia yang bakal muncul dengan filem Rempit V3 pertengahan tahun ini dijadualkan memasuki sambungan penggambaran musim kedua Mentua Vs Menantu sebaik Erra selesai menjalani proses berpantang.

Sementara itu, pelakon kacak kelahiran Singapura Aaron Aziz antara calon akhir yang disebut menjadi pencabar terdekat Rosyam Nor bagi meraih anugerah bagi kategori berkenaan. Masakan tidak, meskipun tiada sebarang kemunculan istimewa sepanjang tahun lalu, Aaron tetap menerima pencalonan dari peminat.

“Saya terharu dengan sokongan peminat dan terima kasih kerana mencalonkan saya dalam kategori berkenaan untuk dua tahun berturut-turut.

“Saya terkejut dengan pencalonan ini kerana setahu saya tahun sudah tiada sebarang drama lakonan saya ditayangkan atau boleh menjadi batu pengukur serta dinilai untuk melayakkan menyertai anugerah berprestij ini. Memandang tahun lalu terbabit dengan projek drama dan telefilem terbitan Astro yang akan ditayangkan tahun ini.

“Lagipun, apabila difikirkan saya bukannya berasal dari Malaysia justeru menerima penghargaan sebesar ini tidak pernah saya impikan.

“Berbanding finalis lain, saya antara pendatang baru dalam industri ini. Jadi saya tidak mengharapkan apa-apa melainkan sudah cukup bersyukur dengan pencalonan ini,” katanya akan muncul dengan telefilem Hang Tuah terbitan Astro.

Terikat dengan penggambaran filem Suaka arahan Pierre Andre dan Dave, wajah ekslusif Astro ini diberi kepercayaan membawakan watak utama sebagai Osman dalam filem seram ini. Dia bergandingan dengan pelakon tinggi lampai juga model, Julia Ziegler sebagai Mastura yang mempunyai kelebihan melihat roh dan alam ghaib.

Dalam kelompok lima terbaik, Ashraff Muslim yang melonjak dengan watak Ustaz Amirul dalam drama bersiri seram, Puaka Niyang Rapik, boleh dikatakan pelakon paling ‘junior’ jika diukur pembabitannya dalam bidang lakonan.

Namun, kemampuan membawakan watak yang dihormati penonton misalnya, wataknya sebagai Yusuf dalam drama Yusuf

tambahan mempunyai raut wajah yang tampan dilihat sebagai bonus dan memudahkan dirinya dikenali. Ini adalah pencalonan pertama Ashraf sepanjang penganjuran ABPBH.

“Semua calon akhir bagus belaka melainkan saya yang belum cukup pengalaman ini. Tapi syukur Alhamdulillah atas kesudian peminat mengundi dan ia penghargaan besar buat saya.

“Pengiktirafan ini tidak pernah dijangkakan kerana dulu saya menyaksikan anugerah ini sebagai peminat kepada abang Rosyam dan sekarang saya dicalonkan kategori sama dengan pelakon yang cukup saya kagumi itu. Saya rasa amat kerdil dan belum layak berada di sini.

“Apapun, saya sedang belajar menerima kenyataan ini dan sekali lagi terima kasih kepada peminat melihat bakat dan menghargai lakonan saya,” katanya.

Seorang lagi calon yang tidak kurang hebat dan pernah mencetuskan kontroversi membabitkan kisah putus cinta dengan penyampai radio, Linda Onn, siapa lagi kalau bukan Fahrin Ahmad.

“Saya harap pencalonan ini tidak hanya menilai populariti semata-mata, tetapi juga menilai bakat seseorang pelakon itu kerana sebagai pelakon saya suka sekiranya peminat terasa kesan daripada lakonan yang saya persembahkan.

“Cuma saya tertarik dengan gabungan pelakon berpengalaman dan baru dalam kategori ini. Bagi saya semua finalis ada kelebihan masing-masing dan saya tidak meletakkan sebarang harapan dan terpulang pada peminat untuk memilih siapa. Tetapi saya merasakan Rosyam Nor memberikan persaingan hebat kepada semua,” katanya.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5″;
innity_cat = “ENTERTAINMENT”;
innity_zone = “154″;
innity_width = “250″;
innity_height = “220″;

Harian Metro

Posted in Aaron Aziz, Anugerah Bintang Popular, Erra Fazira, Fahrin Ahmad, Farid Kamil, Julia Ziegler, Linda Onn, Pierre Andre, Que Haidar, Rosyam Nor, Rusdi Ramli, Saiful Apek | No Comments »