Jessica Alba Turut Hamil Bayi Kembar
Posted by admin on 22nd February 2008
LOS ANGELES – Aktres terkenal, Jessica Alba (gambar) bakal mengikut jejak langkah bintang Hollywood, Julia Roberts, Marcia Cross, Jennifer Lopez dan Angelina Jolie berikutan dia dijangka melahirkan bayi kembar, lapor sebuah akhbar semalam.
Satu sumber melaporkan bahawa Alba mendedahkan berita itu kepada beberapa kenalan rapatnya kerana terlalu gembira dengan kelahiran anak sulungnya.
“Apabila mengetahui yang dia akan melahirkan bayi kembar kehidupan pelakon itu berubah.
“Dia dan tunangnya, Cash Warren terpaksa membatalkan rancangan sebelum ini untuk mengambil seorang pengasuh bayi dan segalanya perlu dijadualkan semula,” kata seorang rakan baiknya.
Sumber turut memberitahu bahawa Alba bakal melahirkan bayinya pada 8 Jun nanti dan pasangan tersebut sudah bersedia untuk menjadi ibu bapa kepada bayi kembar mereka walaupun tidak mengetahui jantina bayi itu.
“Pasangan tersebut belum pasti sama ada mereka ingin tahu jantina bayi kembar itu sekarang atau menunggu sehingga hari kelahiran sebagai suatu kejutan,” katanya.
Bagaimanapun, pelakon filem The Eye ketika muncul dalam The Late Show with David Letterman tersebut enggan mengulas mengenai jantina bayinya.
“Saya mungkin tahu tetapi saya tidak mahu memberitahu apa-apa,” katanya. – Agensi
Kosmo
Posted in Angelina Jolie, Jennifer Lopez, Jessica Alba, Julia Roberts, Marcia Cross | No Comments »