Tiada Pilih Kasih
Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my

Artis jarang dapat tempat di radio dan TV berpeluang buat persembahan pada AIM16
TIDAK ada pilih kasih diamalkan oleh Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia (PAIMM), ketika menentukan siapakah yang paling layak untuk membuat persembahan pada malam Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-16 (AIM16) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), pada 2 Mei nanti.
Pengurus Besar PAIMM, Jennifer Thompson berkata, dalam memilih barisan artis yang akan membuat persembahan, kriteria utama yang diperlukan adalah mereka mestilah berbakat tetapi sering terlepas pandang untuk membuat persembahan dalam acara seperti itu.
“Kita sebenarnya ada ramai penyanyi atau kumpulan muzik berbakat besar serta melahirkan produk berkualiti tetapi kurang diberi perhatian oleh stesen radio, televisyen dan peminat.
“Jadi pentas AIM16 menjadi tempat untuk mereka menyerlahkan bakat sekali gus menyinar dalam industri hiburan,” katanya kepada Hip.
Katanya, ramai yang membuat tanggapan salah kepada AIM kerana sering melihat acara itu sebagai tempat untuk mempromosikan produk penyanyi dan kumpulan muzik yang baru dalam dunia muzik tanah air.
“Memang benar kami turut memainkan peranan dalam mempromosikan produk artis tetapi dalam hal membuat persembahan, kami sebenarnya lebih selektif dan beberapa kriteria lain juga diambil kira.
“Sebagai contoh walaupun artis itu popular dan diakui mampu membuat persembahan yang hebat di konsert misalnya, namun itu bukanlah jaminan untuk mereka kelihatan hebat di kaca televisyen.
“Malahan, saya sendiri pernah memuji persembahan sebuah kumpulan yang sewaktu menyaksikan konsertnya secara live namun selepas melihat kembali di kaca televisyen, barulah saya dapat lihat kelemahan mereka di sana sini,” jelasnya.
Ketengahkan single terbaik bukan popular
Jennifer berkata apa yang dikatakannya nanti bukanlah berniat untuk menuding jari pada mana-mana pihak cuma sekadar menyatakan rasa kesal kerana sikap skeptikal sesetengah pihak terhadap dunia hiburan yang sebenarnya memberikan kesan tidak sihat terhadap perkembangan industri itu sendiri.
“Kita sering melihat ada sesetengah tempat yang melarang artis membuat persembahan. Ini berbeza dengan artis atau band dari Indonesia yang sering menjelajah dari satu lokasi ke lokasi untuk buat persembahan.
“Ini secara tidak langsung mereka sebenarnya membuat latihan memperbaiki kelemahan. Disebabkan itulah kita sering mendengar atau melihat persembahan yang sempurna daripada mereka kerana mereka berlatih hari-hari iaitu dengan cara membuat persembahan di konsert.
“Dari segi lagu, saya cuba mengelak untuk penyanyi terbabit menyampaikan lagu popular mereka. Mungkin saya melihat single lain yang berpotensi untuk ketengahkan, seperti yang pernah kami lakukan untuk kumpulan Estranged apabila kami meminta mereka menyanyikan lagu Velocity berbanding lagu Itu Kamu,” jelas Jennifer.
Pada malam itu nanti barisan penyanyi atau kumpulan yang akan membuat persembahan terdiri daripada M Nasir, Datuk Sheila Majid, Chakrasonic, Faizal Tahir, Goldkartz, Hujan, Joe Flizzow, Man Jiang Hong, Meet Uncle Hussain, Misha Omar dan Rossa.
Penyampai anugerah pula terdiri daripada Aizat, Atilia,Camelia, Dafi, Hunny Madu, Jaclyn Victor, Leya, Noryn Aziz, Rahim Maarof, Salamiah Hassan dan Syafinaz. Manakala Afdlin Shauki, Bob Lokman dan Adibah Noor.
Jennifer menjelaskan bahawa ketelitian dalam memilih artis untuk membuat persembahan bukan atas dasar terlalu menjaga prestij acara itu.
“Alasan sebenar adalah saya tidak mahu artis itu nanti yang terpaksa menerima kecaman dan merosakkan karier mereka sekiranya persembahan mereka gagal malam itu,” jelas sekali gus memperbetulkan tanggapan silap pelbagai pihak.
Persembahan barisan artis malam itu nanti akan diiringi kumpulan pemuzik profesional di bawah pimpinan pengarah muzik berpengalaman iaitu Ramli MS.
Berita Harian
Penyertaan Album AIM16 Makin Merosot
Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@hemtro.com.my
Rap
JUMLAH album yang dipertandingkan untuk Anugerah Industri Muzik Malaysia ke-16 (AIM16) semakin merosot apabila tahun ini hanya 50 penyertaan diterima.
Walaupun sebelum itu penyertaan dikatakan menggalakkan namun perkara itu hanya berlaku selepas beberapa kategori baru diwujudkan. AIM 16 dijadualkan berlangsung pada 2 Mei, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), jam 8.30 malam.
Penganjur pertandingan Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia (Akademi) menerima hampir 700 penyertaan membabitkan kategori baru iaitu Lagu Terbaik dalam setiap genre.
Perkembangan itu benar-benar membimbangkan beberapa pertubuhan yang menjaga kepentingan industri muzik tempatan antaranya Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia (PAIMM) mahupun Akademi sendiri.
Sewaktu sidang akhbar mengumumkan calon lima terbaik AIM16, berlangsung di Concord Hotel baru-baru ini, Pengerusi PAIMM, Datuk Aziz Bakar menjelaskan, walaupun banyak penyertaan diterima tetapi mutu kebanyakan lagu dihantar berada di tahap rendah. Tambahan pula piawaian ditetapkan Akademi sudah semakin meningkat kerana ia sudah 15 kali diadakan.
“Perkembangan ini amat menakutkan, dan beberapa pertubuhan dan persatuan bimbang sekiranya perkara ini berlanjutan kita sudah tidak akan ada lagi industri dalam bidang muzik.
“Waktu sama kami faham sebagai penggiat kebanyakan syarikat rakaman, pencipta lagu, penulis lirik, pemuzik, jurutera muzik mahupun penyanyi sendiri tidak berani hendak melabur dalam jumlah besar apabila menghasilkan album.
“Sekarang ini proses untuk menghasilkan sebuah album termasuk promosi dan pemasaran memerlukan modal mencecah RM150,000, tetapi pulangan yang diterima hanyalah sekitar RM40,000 hingga RM60,000.
“Penggiat bertuah kerana sekarang mereka masih boleh bergantung kepada pasaran dalam bentuk digital iaitu muat turun muzik ke telefon bimbit memandangkan jualan dalam bentuk fizikal iaitu cakera padat dan album sangat perlahan dan tidak membantu.
“Bagi memastikan kerugian ditanggung tidak besar, kebanyakan penggiat menggunakan kos sangat rendah untuk menghasilkan lagu dan ia secara tidak langsung mempengaruhi mutu album dihasilkan. Sekiranya perkara ini berterusan akhirnya industri muzik tempatan akan mati,” katanya.
Bagi menangani perkara itu, Aziz secara peribadi berasakan sudah tiba masanya pihak kerajaan membantu industri dengan menyediakan dana khas bagi membantu para penggiat dalam berkarya.
“Seperti juga dalam bidang lain iaitu perdagangan, keusahawanan dan pertanian industri muzik juga perlu modal rangsangan untuk menggerakkannya, oleh itu saya amat mengharapkan apa yang saya ketengahkan ini akan mendapat perhatian.
“Permohonan membabitkan dana ini akan dilaksanakan bersama semua persatuan yang bernaung dibawah industri muzik. Mekanisma belum ditetapkan tetapi andai ia diberikan, dana ini boleh disalurkan kepada Majlis Muzik Malaysia (MMM) sebagai badan induk.
“Dana ini boleh digunakan para penggiat yang mahu menghasilkan album dan kita mungkin tidak memberikan sepenuhnya sebaliknya ia bergantung kepada keperluan penggiat itu sendiri.
“Modal untuk menghasilkan album mungkin harus dikeluarkan sendiri oleh penyanyi ataupun penerbit dan dana pula digunakan untuk memasarkan atau mempromosikan karya dihasilkan,” katanya.
Di majlis pengumuman calon lima terbaik AIM16, kumpulan Estranged yang sebelum ini mengungguli Anugerah Juara Lagu tahun lalu menerusi single mereka Itu Kamu mendominasi pencalonan dalam lapan kategori.
Kumpulan ini menerima pencalonan daripada album Inggeris dihasilkan Remain Unknown. Membanggakan apabila dua lagu Melayu dimuatkan dalam album itu turut dicalonkan dalam Lagu Rock Terbaik.
Datuk Siti Nurhaliza pula yang mempertandingkan album berkonsepkan etnik kreatif dan tradisional Lentera Timur menerima tujuh pencalonan, dan lagu pop dendangannya menjadi runut bunyi drama Spa-Q 2 Pada Cintanya turut dicalonkan dalam kategori Susunan Muzik terbaik.
Timbul kekeliruan dalam kategori Lagu Inggeris Tempatan Terbaik apabila lagu dendangan kumpulan Pop Shuvit, Marabahaya dipertandingkan sekali lagi atas alasan dialih bahasa. Begitu juga dengan Vokal Terbaik Lelaki/Wanita apabila ada yang dicalonkan lebih daripada satu lagu.
Menjelaskan mengenai kekeliruan yang timbul Ketua Jawatankuasa Penganjuran AIM16, Jennifer Thomson berkata Marabahaya selain dialih bahasa, rakamannya juga baru terutama membabitkan susunan muziknya.
“Perkara ini sudah saya jelaskan kepada juri sewaktu penilaian dilakukan. Keputusan sama ada ia layak atau tidak mereka sendiri yang harus memutuskannya.
“Walaupun ada yang menolak Marabahaya dipertandingkan tetapi waktu sama masih ada juri memberikan markah kepada lagu itu. Secara tidak langsung apabila diaudit ia memiliki markah tinggi dan dicalonkan.
“Mengenai ada artis mendominasi kategori vokal apabila ia mempertandingkan single, kami akui perkara ini. Ini kali pertama ia dilakukan dan perlaksanaannya sudah tentu akan ada kelemahan. Kami akan memperbaikinya pada tahun akan datang.
“Pihak Akademi sendiri sudah nampak perkara seperti ini akan berlaku apabila single dipertandingkan dalam vokal. Kami sudah nyatakan kepada wakil syarikat rakaman sendiri agar menghantar satu lagu untuk kategori itu tetapi ada antaranya berkeras mahu menghantar sepuluh lagu terdapat dalam album dihasilkan artis mereka,” katanya.
Berikut adalah senarai penuh pencalonan AIM16.
Artis Baru Terbaik
1) Hujan
2) Joe Flizzow
3) Malique
4) Meet Uncle Hussain
5) Suki
Persembahan Vokal Terbaik Dalam Album (Lelaki)
1) Aizat – Lagu Kita
2) Bob AF2 – Cinta Terhalang
3) Reshmonu – Doa Untuk Dia
4) Reshmonu – Sayu
5) Ritan (Deja Voodoo Spells) – Rock ‘N’ Roll
Persembahan Vokal Terbaik Dalam Album (Perempuan)
1) Ayu – Hanya Di Mercu2) Dina – Sejauh Ini
3) Shila – Memori Tercipta
4) Siti Nurhaliza – Di Kayangan Kita
5) Siti Nurhaliza – Di Taman Teman
Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik Dalam Album
1) AJAI dan Marsha – Sayang
2) ALL One – Bilal bin Rabah
3) Pop Shuvit – Marabahaya
4) Rabbani – Bila Nur Melimpah Di Hati
5) Raihan – Assubhu Bada
Kulit Album Terbaik
1) Hawa – Nikki
2) President – Joe Flizzow
3) Transit – Altered Frequency
4) Satu – Ferhad
5) Remain Unknown – Estranged
Rakaman Album Terbaik
1) Remain Unknown – Estranged
2) Finally/Akhirnya – Suki
3) Satu – Ferhad
4) Adam 3 – Adam
5) Harapan – Reshmonu
VIDEO MUZIK TERBAIK
1) Hanya Di Mercu – Ayu
2) Sampai Syurga – Faizal Tahir
3) Mati Hidup Kembali – Butterfingers
4) 1000 Tahun (Mahu Hidup) – Butterfingers
5) Oh Anok Anok – Reshmonu
Album Pop Etnik Terbaik
1) Khazanah Pujangga – Syura
2) Lentera Timur – Siti Nurhaliza
3) Selagi Ada Rindu – Shafie Ahmad
4) Zapin Suri – Haziq
Lagu Pop Etnik Terbaik
1) Di Kayangan Kita – Siti Nurhaliza
2) Di Taman Teman – Siti Nurhaliza
3) Dirgahayu – Ramlah Ram
4) Nafas Cahaya – Misha Omar
5) Zapin Suri – Haziq
Album Nasyid Terbaik
1) Allah Habeebi – Mawi
2) Istimewa Tiada Dua – Nice
3) Nasyid Nostalgia Memori The Zikir – Nazrey Johani
4) Nostalgia Nadamurni – Rabbani
5) Setia – Wildan
Lagu Nasyid Terbaik
1) Allah Habeebi – Mawi
2) Bila Nur Melimpah Di Hati – Rabbani
3) Kemuliaan Al-Quran – In Team
4) Serulah Namanya – Mawi
5) Teman Hakiki – Mawi
Album Rock Terbaik
1) Bongkar – Kristal
2) Hujan – Hujan
3) Keamanan – Nrocinu
4) Kembali – Butterfingers
5) Modern Minimals Glamour – The Times
Lagu Rock Terbaik
1) 1000 Tahun (Mahu Hidup) – Butterfingers
2) Aurora – Estranged
3) Bila Aku Sudah Tiada – Hujan
4) Dugaannya – Hujan
5) Yang Pernah – Estranged
Album Pop Terbaik
1) Alyah – Alyah
2) Arus Qudus – Yassin
3) Harapan – Reshmonu
4) Misha Omar – Misha Omar
5) Percubaan Pertama – Aizat
Lagu Pop Terbaik
1) Cinta Adam dan Hawa – Misha Omar
2) Dingin – Ziana Zain
3) Ketentuan – Ramlah Ram
4) Lagu Kita – Aizat
5) Sampai Di Sini – Misha Omar
Lagu Hip Hop Terbaik
1) Bergerak – Joe Flizzow
2) Isabella – Joe Flizzow
3) Mengapa Harus Bercinta – Jow Flizzow
4) Mentera Beradu – Malique feat. M.Nasir
5) Ok – Malique feat. Cat Farish
Album Inggeris Terbaik
1) Dark Sun Big Rain – Karen Nunis Blackstone
2) President – Joe Flizzow
3) Remain Unknown – Estranged
4) Take Five With Juwita Suwito at Avanti – Juwita Suwito
5) Tapestry Of Life – Shal Sagan
Lagu Inggeris Tempatan Terbaik
1) All Around My World – Joe Flizzow
2) Dances Of The Spirit – Estranged
3) In No Time – Estranged
4) KL Streets – Malique Feat. Lah
5) Marabahaya – Pop Shuvit
SUSUNAN MUZIK DALAM LAGU
1) Pada Cintanya – Siti Nurhaliza
2) Tiada Maaf – Daniel Lee
3) Aurora – Estranged
4) Di Taman Teman – Siti Nurhaliza
5) Bukan Mimpi – Farhan.
innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5″;
innity_cat = “ENTERTAINMENT”;
innity_zone = “154″;
innity_width = “250″;
innity_height = “220″;
Harian Metro
Info TV: Drama Bersiri Terbaik Daripada TV3 Bulan Ini
Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

NORKHIRIAH antara pelakon utama drama bersiri Matahari yang disiarkan menerusi slot Akasia di TV3.
PENGGEMAR drama bersiri tempatan pastinya tidak sabar untuk mengikuti cerita terbaru yang bakal mengisi tiga slot utama di TV3 iaitu Lagenda, Akasia dan Sinetron.
Ketiga-tiganya menyediakan drama menarik dengan pelakon hebat serta jalan cerita yang pastinya mengasyikkan khusus untuk tontonan penonton TV3. Ketiga-tiga drama tersebut adalah Julia Juli untuk slot Lagenda, Matahari dalam slot Akasia dan drama bersiri Indonesia, Upik Abu & Laura yang bakal disiarkan dalam slot Sinetron.
Julia Juli yang diterbitkan oleh Tenview Sdn Bhd. ini diarahkan oleh pengarah yang tidak asing lagi iaitu Adam Hamid dan sudah menemui penonton mulai 3 Mac lalu. Siri 20 episod ini disiarkan setiap Isnin hingga Khamis jam 4.30 petang. Drama komedi romantik ini membariskan pelakon handalan tanah air seperti Dynas, Nik Safiyah, Zed Zaidi, Danny, Abby Abadi, Rahim Jelani, Syawal AF, Aqasha dan Imuda. Apa yang menarik drama ini turut mengetengahkan penyanyi popular Misha Omar.
Julia Juli adalah adaptasi dari sebuah cerita mitos bertajuk Jula Juli Bintang Tiga. Ia diolah semula menjadi drama bersiri sesuai untuk tontonan seisi keluarga. Drama ini memberi tumpuan kepada tiga beradik yang berasal dari dunia kayangan iaitu Jula, Juli dan Julu. Juli, kakak sulung taksub terhadap fesyen. Satu hari, setelah mengetahui dirinya akan dikahwinkan dengan Putera Adika yang tidak disukai, dia lari turun ke bumi dan terjumpa dengan Arif, seorang lelaki kaya. Arif yang terpikat dengan kecantikan Juli telah mencuri kalung identitinya dari dunia kayangan yang menyebabkan Juli lupa akan asal usulnya.
Slot Akasia pula menyiarkan drama bersiri Matahari bagi menggantikan Spa Q 2. Siri 44 episod ini bakal menemui penonton mulai 30 Mac. Drama ini diterbitkan oleh Pena Kreatif Sdn. Bhd dan hasil kerja dari pengarah berpengalaman Mohd Feroz Abdul Kadir Saheb. Ia membariskan pelakon seperti Nisdawati, Fahrin Ahmad, Aida Aris, Fauzi Nawawi, Hamidah Wahab, Syukery Hashim, Arash Mohd, Iqram Dinzly, Jehan Miskin, Erry Putra, Ako Mustapha, Fizo Omar, Sabrina Ali dan Noorkhiriah.
Drama Matahari mengisahkan seorang wanita yang terus memburu cinta sejati angkara kecundang dalam cinta pertama. Kisah tragis Matahari, seorang wanita kampung naif yang terpaksa mengharungi pelbagai dugaan musibah hidup dan ini telah menukarkannya menjadi wanita penuh keterampilan. Dengan kekuatan dan kepandaian yang ada pada dirinya, pelbagai tipu muslihat dirancang bagi memenuhi keinginan diri. Apakah kesudahan kisah sendu Matahari ini?
Slot Sinetron pula mengetengahkan siri Indonesia Upik Abu & Laura menggantikan Jelita dan bakal disiarkan pada 30 Mac ini. Siri ini mempunyai 103 episod dan mengetengahkan pelakon popular Indonesia seperti Alyssa Soebandono, Cinta Laura dan penyanyi dan pelakon terkenal, Irwansyah.
Siri ini mengisahkan permusuhan antara Opie dan Laura, dua orang gadis yang datang dari dua dunia dan latar belakang yang berbeza tetapi kedua-duanya mempunyai matlamat yang sama iaitu untuk hidup. Opie seorang gadis miskin tetapi mempunyai hati yang baik. Dia berusaha untuk mencari tempat berlindung untuk dirinya dan adik-beradik angkatnya selepas diusir dari rumah mereka yang bakal dibangunkan sebagai pusat membeli-belah. Manakala, Laura pula seorang anak manja dari keluarga kaya yang telah ditarik keistimewaannya oleh ayahnya untuk mengajar dia tentang erti kehidupan dengan memaksa dia menjalinkan persahabatan dengan Opie.
Berita Harian
Kesukaran Odoi Odu Terbayar
Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my

TIGA wajah yang bakal menyemarakkan industri perfileman tempatan iaitu dari kiri; Shuhaimi, Farizie dan Christopher Low.
Anugerah Filem Pendek Astro Kirana beri pengiktirafan dan penghargaan kepada karyawan muda
KARYA yang hanya lengkap beberapa jam sebelum tarikh penyertaan ditutup selepas melalui pelbagai rintangan dan halangan hingga membuatkan Farizie Morinding hampir berputus asa, mencipta sejarah tersendiri kepada pemuda itu apabila diumumkan pemenang utama Anugerah Filem Pendek Astro Kirana 2008/2009, Jumaat lalu.
Anak kelahiran Ranau, Sabah ini berkata, pembikinan Odoi Odu (Oh Grandma) disempurnakan tanpa memiliki segala kemudahan diperlukan namun tetap berjaya mencuri hati juri profesional.
Farizie berkata, dia hanya memiliki sebuah handycam yang dibelinya ketika menuntut dalam jurusan Seni Persembahan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) untuk menyempurnakan pembikinan filem pendek yang menjadi impian serta harapannya selama ini.
“Saya membelinya pada 2003 dengan harga RM1,500. Ia tidak pernah rosak dan kamera ini banyak membantu untuk saya mendapatkan pelbagai visual menarik,” katanya.
Kata Farizie, pelbagai rintangan terpaksa ditempuhinya ketika melakukan proses penyuntingan. Disebabkan tidak memiliki komputer, dia mengharap ihsan beberapa teman untuk membantunya menyiapkan pembikinan filem pendek itu.
“Kawan yang pada mulanya membantu bagaimanapun lari, membuatkan saya terpaksa mengharap bantuan teman lain. Malangnya, komputer miliknya tidak dapat dihidupkan hingga saya hampir patah hati.
“Disebabkan berdepan terlalu banyak rintangan, saya membawa diri di satu tempat dalam gelap malam untuk mencari kekuatan. Dalam ketakutan, saya melihat diri sendiri dan mencari di mana kelemahan hingga saya diuji pelbagai halangan untuk menyiapkan Odoi Odu.
“Namun, saya sedar setiap manusia ada kekuatan tersendiri. Kita sebenarnya memiliki kekuatan dan saya kembali menemui kekuatan untuk menyempurnakan filem pendek ini,” imbas Farizie akan laluan sukar sebelum segala yang diimpikan menjadi kenyataan.
Warna suram perjuangannya berlalu apabila dia dipertemukan dengan seorang teman lama yang sudah hampir sedekad tidak ditemui.
Suntingan dapat dilakukan menggunakan komputer riba yang hanya dilengkapi perisian asas untuk pembikinan filem.
“Semuanya dilakukan dalam serba kekurangan. Ketika itu saya nekad untuk menyempurnakannya juga dan alhamdulillah, ia sempat saya siapkan sebelum tarikh penyertaan ditutup.
“Selesai membuat salinan saya terpaksa berjalan kaki sejauh 10 kilometer untuk ke perhentian bas sebelum ke pejabat pos untuk menghantar penyertaan. Alhamdulillah, semua rintangan itu dibayar dengan penghargaan yang cukup berharga ini,” katanya terharu.
Sebagai pemenang utama, Farizie menerima geran sehingga RM100,000 untuk pengarahan filem serta wang tunai RM5,000 dan trofi.
Odoi Odu juga membawa pulang tiga trofi lain iaitu Lakonan Terbaik, Cerita Terbaik dan Pengarahan Terbaik.
Filem pendek menggunakan bahasa Dusun itu mengisahkan kisah sedih seorang nenek yang dapat melihat roh suaminya yang meninggal dunia. Biarpun kerap ditohmah malah ada yang beranggapan dia gila, nenek ini sabar menempuh semua dugaan itu. Nenek itu hidup bertemankan seekor kucing yang ditemuinya dalam kelaparan.
“Saya kini dalam perancangan untuk membuat kesinambungan filem pendek itu. Saya bercadang untuk mengekalkan pelakon yang sama kerana memberikan persembahan terbaik dalam Odoi Odu,” katanya.
Pemenang tempat kedua, Christopher Low juga terpaksa menempuh cabaran ketika hendak menyiapkan Mirror berkisarkan seorang gadis yang cuba membunuh diri kerana kecewa dengan hidupnya.
“Saya ke Terengganu selama enam hari untuk menyiapkan beberapa projek. Ketika di sana, saya belum ada jalan cerita. Saya membantu teman untuk menyiapkan ideanya. Pembikinan Mirror dibuat pada hari keempat dan saya cuma ada sehari untuk menyempurnakannya.
“Pelakon juga temui di sana. Agak sukar untuk melakukannya apatah lagi babak pertama memerlukan dia menangis sedangkan gadis yang dipilih itu berperwatakan ceria. Disebabkan ingin dirinya menghayati watak, saya juga menangis ketika di lokasi,” katanya yang menerima wang tunai RM3,000 dan trofi.
Selain hadiah tempat kedua, Mirror juga memenangi kategori Suntingan Terbaik.
Pengarah Aku, Shuhaimi Zulkefli yang memenangi tempat ketiga juga mempunyai ceritanya yang tersendiri. Bekas pelajar sebuah sekolah agama di Kedah ini melepaskan tawaran melanjutkan pelajaran di Universiti Al-Azhar, Mesir sebaliknya memilih ke Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) kerana kecintaannya terhadap dunia perfileman.
Hasratnya itu pernah ditentang guru agama yang mendesak dia memilih antara dunia dan akhirat.
“Filem Aku dihasilkan dengan bajet paling kecil iaitu RM4 di Langkawi. Ia menceritakan mengenai kehidupan dan pengalaman yang saya alami lalu diterjemahkan dalam Aku. Saya menjana idea untuk menghasilkan Aku selama setahun kerana perlu melakukan pelbagai kajian dengan membaca beberapa kitab agama.
“Dari segi peralatan, saya meminta bantuan ibu saudara. Ketika penggambaran, saya menggunakan kayu sebagai tripod.
“Mungkin saya tiada asas dalam filem kerana baru enam bulan mengikuti pelajaran di Aswara namun kerana minat, saya teruskan usaha dan alhamdulillah, ia memberikan hasil,” katanya yang turut memenangi kategori Videografi Terbaik.
Pemilihan mereka ditentukan lima juri yang terdiri daripada Pengurus Besar dan Penerbit Eksekutif Kanan, Tayangan Unggul Sdn Bhd, Gayatri Su-Lin Pillai; pengarah James Lee; pelakon dan pengarah Afdlin Shauki; pengarah muda, Osman Ali dan Pengarang Kanan di sebuah universiti swasta, Wong Tuck Cheong.
Kembangkan idea dan bakat
Pengarah Eksekutif Astro Entertainment Sdn Bhd, Zainir Aminullah berkata, penganjuran acara itu membuktikan komitmen Astro dalam menyokong industri perfileman tempatan serta pembangunan penghasilan pengisian dengan menyediakan landasan untuk penggiat muda dan profesional menonjolkan kreativiti mereka.
Katanya, Astro juga menyimpan hasrat untuk membangunkan kumpulan pembikin filem yang mampan untuk membawa mutu industri perfileman ke tahap lebih tinggi.
Pendekatan yang diambil Astro itu katanya, memberi inspirasi serta membuka ruang kepada penerbit tempatan untuk terus menghasilkan karya kreatif dan inovatif.
“Astro akan menyokong apa juga usaha untuk menerbitkan hasil karya cemerlang menerusi platform yang disediakan. Ini kerana pembekalan pengisian bermutu dan berkualiti tinggi menjadi tonggak dalam memberikan yang terbaik kepada penonton Astro,” katanya.
Zainir berkata, acara tahun kedua itu menerima sambutan menggalakkan dengan lebih 120 penyertaan menyaksikan peningkatan sehingga 20 peratus berbanding tahun lalu.
Menyentuh perancangan masa depan Astro untuk pemenang, Zainir berkata, geran yang diberikan menjadi asas untuk penggiat muda itu mengembangkan bakatnya dengan lebih giat lagi.
“Astro sudah menyediakan platform dan dengan ruang yang sudah mula dibuka ini diharap dapat membawa setiap pengkarya melangkah ke dalam industri dengan lebih yakin.
“Mereka sewajarnya menggunakan ruang yang ada itu untuk mencetuskan idea lebih besar kerana industri sentiasa membantu mereka yang bersemangat. Pilihan kini di tangan dan mereka wajar memanfaatkannya,” katanya.
Acara turut diserikan dengan persembahan daripada Misha Omar, Aizat, Nikki, Stacy, Meet Uncle Hussain, Bunkface, Saiful Apek dan Adam.
Senarai Pemenang Anugerah Filem Pendek Astro Kirana 2008/2009:
Hadiah Utama: Odoi Odu (Oh Grandma) – Farizie Morinding
Hadiah Kedua: Mirror – Christopher Low
Hadiah Ketiga: Aku – Shuhaimi Zulkefli
Penataan Seni Terbaik: Burp – Tayanithi Ramanujem
Penataan Bunyi Terbaik – Michelle – Sia Yaw Yie
Lakonan Terbaik: Odoi Odu (Oh Grandma) – Farizie Morinding
Videografi Terbaik: Aku – Shuhaimi Zulkefli)
Cerita Terbaik: Odoi Odu (Oh Grandma) – Farizie Morinding
Pengarahan Terbaik: Odoi Odu (Oh Grandma) – Farizie Morinding
Suntingan Terbaik: Mirror – Christopher Low
Anugerah Pilihan Penonton: Permata Bonda – Fikri Jermadi
Berita Harian
Kenali Gaya: Baju Labuh Lepas Punggung Tutup Kelemahan

WARNA gelap bagi bahagian bawah badan sesuai untuk mengelakkan penonjolan bentuk paha dan pinggul.
Material berkilau, lembut tak sesuai jika berbadan gempal
Soalan:Saya gadis remaja bertudung berusia 19 tahun. Saya berbadan gempal tetapi masalahnya ialah kegemukan di pinggang ke kaki (gemuk bawah seperti di paha, pinggul). Apa fesyen sesuai boleh saya gayakan untuk menutup dan menampakkan bahagian bawah badan saya tampak kecil? Ema Hussin.
Jawapan:Bagi mereka yang berbadan agak gempal saya sarankan anda memakai pakaian yang tidak terlalu ketat di bahagian atas. Tujuannya untuk melindungi bentuk tubuh supaya tidak terlalu jelas.
Pemilihan kain pula sebaiknya jenis material yang tidak berkilau dan terlalu lembut kerana ia akan menonjolkan lagi bentuk badan anda.
Pilihan warna lembut atau pastel bahagian atas (baju) sesuai untuk anda kenakan jika ingin keluar beriadah atau ketika menghadiri majlis kasual.
Manakala pilihan warna ceria sebaik-baiknya dipakai untuk ke majlis lebih formal dan padanan untuk kedua-dua pilihan baju berkenaan adalah sebaik-baiknya di dalam warna gelap seperti hitam dan coklat tua.

Jovian Mandagie
Tujuan pemilihan warna gelap untuk bahagian bawah badan adalah untuk mengelakkan bahagian bawah paha dan pinggul kelihatan nyata.
Ada taktik lain yang boleh dilakukan untuk menutup paha dan pinggul anda yang besar, caranya dengan mengenakan pakaian (baju) yang lebih panjang dan labuh menutupi paras pinggul. Cuba dan lihat kelainan gaya, pasti anda tampil lebih bergaya.
PROFIL: Jovian Mandagie
Usia : 22 tahun
Kelulusan : Ijazah Sarjana Muda Fesyen, Universiti Lim Kok Wing
Pereka muda ini sering menjadi bualan kerana cetusan ilhamnya yang segar berinspirasikan gaya Malindo. Dia juga sering terbabit menghasilkan persalinan untuk selebriti terkenal antaranya Datuk Sharifah Aini, Datuk Siti Nurhaliza, Linda Onn, Misha Omar, Amber Chia, Kris Dayanti dan Rossa.
Sebarang pertanyaan, hubungi Jovian di Jovian Mandagie, 95, Jalan Telawi, Bangsar, Kuala Lumpur atau 03-22844095.
INFOJika anda mempunyai kemusykilan mengenai fesyen sesuai dengan diri atau majlis yang hendak dikunjungi, ruangan ini mungkin dapat membantu. Hantarkan masalah anda untuk dijawab pereka fesyen berlainan setiap minggu melalui emel di bminggu@bharian.com.my atau pos ke alamat Berita Minggu, Berita Harian Sdn Bhd, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur atau faks ke 03-22822425.
Berita Harian