Bahang Hari Jadi Hot FM
Oleh JESSABELL SOO

PARA artis dan penyampai Hot FM yang bakal menghiburkan pendengar.
TIADA cara lain yang lebih baik untuk menyambut ulang tahun kedua stesen radio Hot FM selain daripada konsert khas buat pendengar yang menyokong mereka selama ini.
Bakal berlangsung esok di Dataran Petaling Jaya, seawal 12 tengah hari sehingga 12 tengah malam, konsert akan bermula dari pukul 4 petang.
Selain dihangatkan dengan kehadiran 24 penyanyi solo dan berkumpulan, Hot FM Big Jam 2008 turut menawarkan karnival, siaran luar Hot FM (pukul 12 tengah hari hingga 4 petang) dan konsertnya pula bermula pukul 4 petang.
Berlangsung di Dataran Shah Alam tahun lalu, lokasi kali ini ditukar kerana Hot FM menjangkakan kehadiran lebih ramai pendengar dengan bertemankan sembilan penyampai Hot FM, Fara Fauzana, Faizal Ismail, Azura, Fiqrie, Leya, AG, Anne, Tini dan Ikhwan.
“Tahun lalu kami menerima kunjungan lebih 15,000 pendengar dan tempat itu terlalu kecil. Maka tahun ini, kami memilih untuk mengadakannya konsert di Dataran Petaling Jaya,” kata Azura ketika ditemui di studio Utusan.
Mahu menghiburkan pendengar dengan muzik tanpa henti, konsert percuma ini memilih artis yang sedang meletup di stesen radio tersebut.

“Disebabkan ramai artis yang akan membuat persembahan, kami hanya akan menyampaikan dua buah lagu dan lagu tersebut adalah pilihan Hot FM,” jelas vokalis kumpulan Kristal, Lan.
Selain pemuzik tempatan, pendengar yang hadir juga akan dihiburkan dengan kumpulan popular dari sebarang, Ungu di penghujung konsert.
“Menurut penyelidikan kami, ramai yang meminati kumpulan Ungu. Jadi itu salah satu sebab mengapa kami membawa mereka untuk menghiburkan pendengar setia Hot FM.
“Ungu akan mendapat masa selama setengah jam dan Hujan serta Meet Uncle Hussein akan menghiburkan peminat selama 15 minit. Manakala penyanyi lain hanya diberi slot selama 10 minit,” kata Eksekutif Promosi Rangkaian Hot FM, Khairina Khiradin.
Sambutan ulang tahun kedua ini akan dimeriahkan dengan suara Ahli Fiqir, Dayang Nurfaizah, Liza Hanim, Fiq (Mentor) Mila, Nurul, Adibah Nor, Nitrus, Jinbara, Adam (AF), Ramlah Ram, Misha Omar, Jaclyn Victor, Elyana, New Boyz, Sofaz, Aku dan Andy Flop Poppy.
“Ini merupakan kali kedua kami menyertai konsert Hot FM. Namun, kali ini kami akan menghiburkan peminat dengan lagu dari album baru kami,” jelas vokalis Sofaz, Amir.
Bagi kumpulan Aku yang pertama kali akan menjalankan persembahan di khalayak ramai, mereka tidak sabar untuk melihat respons orang ramai.
“Kami jarang diberi peluang untuk menjalankan persembahan besar dan konsert kali dapat membantu mempromosikan kumpulan Aku,” kata vokalisnya, Yus.
Pernah bekerjasama semasa konsert Nite Jam Hot FM di Pulau Pinang tahun lalu, kumpulan New Boyz sekali lagi akan menghiburkan pendengar Hot FM.
“Selepas menjalankan persembahan di Pulau Pinang, kami menerima respons yang baik. Contohnya, banyak lagu kami yang tidak diketahui ramai tetapi selepas persembahan, kami lebih dikenali,” jelas Tomok mewakili New Boyz.
Powered by Kosmo
Gaya Rambut Lepas Trend Terkini
Oleh Siti Nur Almizan Aripin
snur@nstp.com.my

GAYA rambut yang sesuai dengan bentuk wajah mampu
menyerlahkan keanggunan seseorang.
Kesilapan memilih gaya boleh cacatkan kecantikan wajah, penampilan
SEORANG rakan membebel sambil menyifatkan keputusannya memotong rambut panjang mengurai miliknya adalah satu kesilapan. Malah, dia turut menyalahkan pendandan rambut di salun pilihannya kerana tidak mempunyai kemahiran menata gaya rambut sesuai dengan bentuk wajahnya.
Sehubungan itu, jika anda tidak mahu menghadapi situasi sama seperti itu, anda wajar meneliti terlebih dahulu bentuk wajah, tekstur rambut dan trend terkini sebelum membuat keputusan menukar gaya rambut.
Pendandan rambut Tiara Hair Beauty, Diana Toledo, berkata trend terkini penataan potongan rambut tidak hanya terhad kepada satu gaya saja.
“Berambut panjang mengurai atau kemas pendek tidak menjadi halangan kerana trend musim ini lebih kepada gaya rambut lepas bebas berombak semula jadi.
“Malah, jika bosan berambut pendek pilihan untuk menyambung rambut (hair extention) turut ditawarkan pada kebanyakan salun rambut dengan harga berpatutan,” katanya sambil menjelaskan ramai wanita yang membuat sambungan rambut bagi mencari kelainan ketika bergaya.

POTONGAN rambut berlapis (layer) sesuai untuk menyembunyikan ketidaksempurnaan wajah.
Diana berkata, ramai wanita mempunyai keinginan untuk menggayakan rambut namun sedikit kesilapan yang dibuat ketika memilih gaya boleh mencacatkan kecantikan wajah.
“Rambut juga seperti pakaian. Jika silap, ia boleh merubah wajah dan memberi kesan kepada penampilan diri. Jika anda peka dengan penampilan diri, sebelum bertandang ke salun rambut, buat sedikit rujukan di majalah atau internet dan cari gaya sesuai yang anda inginkan.
“Kemudian, rujuk pendandan rambut di salun pilihan mengenai gaya atau warna sesuai dan minta dia gayakan gaya itu namun disesuaikan dengan bentuk wajah, warna kulit dan jenis rambut anda sama ada ia kasar atau halus, kerinting atau lurus,” katanya.
Diana sempat memberi panduan ringkas kepada wanita berwajah bulat supaya memilih gaya rambut yang menutup rahang dan dekat dengan kulit wajah bagi memberi ilusi wajah bujur.
“Elakkan memotong rambut pendek kerana ia akan menyerlahkan lagi wajah bulat anda,” katanya.
Bagi wanita yang bermuka kecil, mereka lebih sesuai menggayakan potongan rambut pendek dan wanita wajahnya bersegi juga digalakkan memilih rambut menutup rahang bagi menyerlahkan wajah lebih feminin.
FAKTA: Gaya rambut
Cuba potongan bob jika mahu mencuba kelainan. Malah, gaya rambut yang dipotong lebih pendek di belakang berbanding rambut sisi menjadi gaya paling hangat kalangan selebriti Hollywood juga tempatan antaranya Victoria Beckham, Katie Holmes, Paris Hilton dan Misha Omar.
Gaya ini lebih praktikal bagi wanita yang inginkan gaya kemas tanpa ombak yang kadangkala sukar diurus. Ia boleh dipelbagaikan sama ada untuk kelihatan pendek atau jika disisir tengah, rambut akan kelihatan panjang mencecah paras bahu. Paling penting adalah gel rambut.
Individu berwajah berbentuk hati mempunyai dahi yang luas dengan bentuk wajah tirus ke bawah. Bagi memberi ilusi wajah seimbang, cipta potongan panjang mengikut tepi muka misalnya dengan pilihan potongan bob. Atau potong rambut ke depan mencecah kening bagi menutup sebahagian dahi anda.
Pemilik wajah oval adalah individu paling bertuah kerana semua gaya rambut sesuai untuk bentuk muka mereka. Rambut panjang milik anda dibiar tanpa ikatan dan cipta ombak besar beralun bagi menyuntik penampilan anggun atau sesekali boleh sisir rapi rambut ke belakang bagi mencipta pesona berbeza.
Bentuk wajah bulat tidak boleh menggayakan gaya rambut sebarangan kerana silap gaya ia boleh membuatkan wajah kelihatan tembam berisi. Untuk meniruskan bentuk wajah, pastikan rambut tidak terlalu kembang atau cuba potongan bertingkat mengikut bentuk wajah. Elakkan memotong rambut pada paras dagu kerana ia bakal membuatkan muka bertambah bulat.
Pemilik wajah bersegi mempunyai garis rahang yang agak jelas. Rambut kerinting atau berombak sesuai kerana ia mampu melembutkan bentuk wajah. Potongan bertingkat yang tidak terlalu banyak bersama potongan bang (rambut depan) panjang yang ditarik ke tepi mampu melengkap gaya pemilik wajah bersegi.
Powered by Berita Harian
Farah AF2 Makan Secawan Nasi Untuk Kurus
Oleh: NOR FADZILAH BAHARUDIN
|
|
|
DEMI peminat, Farah Diana Anuar atau lebih dikenali Farah AF2 sanggup menguruskan badannya. Maklumlah hubungan Farah dengan para peminatnya agak rapat.
Tambahan pula mereka sering berjumpa melalui perjumpaan kelab peminatnya.Kata Farah, selain desakan peminat, dia sendiri menyedari keadaan tersebut.
“Bila tengok gambar saya dalam majalah dan televisyen, nampak gemuk. Itu yang saya tersedar tentang perkara tersebut.
“Lama-lama saya berazam untuk menguruskan badan saya. Bukan untuk kepuasan diri saja, tapi untuk kesihatan juga,” katanya ketika ditemui di ibu kota baru-baru ini.
Menurut Farah, sebelum dia memasuki Akademi Fantasia 2, beratnya 45 kilogram (kg), semasa berada di dalam akademi beratnya bertambah kepada 53 kg. Berat tersebut terus bertahan sehingga dia keluar dari akademi.
Lantas Farah mengamalkan diet untuk mengembalikan dirinya kepada bentuk asal.
“Saya mengamalkan makan secawan nasi sahaja sehari untuk menguruskan badan. Saya lebihkan makan sayur-sayuran, sup, dan biskut.
“Selepas pukul lapan malam, saya tidak makan makanan yang berat-berat. Tapi saya akan pastikan segala makanan yang saya ambil itu mempunyai khasiat,” kata penyanyi yang berusia 21 tahun ini.
Tidak cukup dengan itu, Farah turut mendapatkan khidmat nasihat daripada dua rakan artis, Linda Onn dan Misha Omar.
“Sepanjang terlibat untuk promosi Power Root, saya selalu berjumpa dengan Kak Linda. Jadi saya selalu bertanya, bagaimana cara terbaik untuk mendapatkan badan selangsingnya.
“Banyak juga petua yang dia berikan. Kalau Misha pula, dia mengajak saya ikuti kelas fitness untuk kurus,” kata Farah.
Tambah Farah, ayahnya juga telah memberi amaran agar dia tidak mengamalkan pemakanan pil-pil menguruskan badan.
“Abah tak mahu saya makan pil-pil kurus. Sebab takut nanti ada kesan di masa hadapan,” katanya.
“Saya nak berat saya 45 kg sebelum hujung tahun ini. Kalau dapat 45 kg, baru saya akan mula makan lebih sedikit,” kata penyanyi yang popular dengan lagu Antara Dua.
Dalam pada itu, pastinya khalayak menyedari perubahan pada wajah Farah. Wajahnya kini bertambah jelita.
Kata Farah: “Mungkin penggunaan produk penjagaan wajah Syahirah sejak tiga bulan lalu banyak membantu Farah kelihatan lebih menarik. Dan Farah sangat berpuas hati dengan produk tersebut.”
Biarpun sibuk dengan misi menguruskan badannya, kini Farah telah pun mula merakamkan lagu-lagu untuk album kedua. Album tersebut bakal berada di pasaran penghujung tahun ini.
“Masih mengekalkan konsep pop rock sementara komposer yang terlibat Ajai dan Adnan Abu Hassan. Setakat ini enam lagu telah dirakamkan,” katanya.
Powered by Utusan Malaysia