Skip to content

Posts from the ‘Ning Baizura’ Category

25
May

Emas Keperangan Sesuai Untuk Si Hitam Manis



Oleh Rohaniza Idris
roha@bharian.com.my



Warna memainkan peranan penting jika mahu berfesyen kerana bukan semua warna sesuai digayakan

Soalan:
Saya berkulit gelap dengan ketinggian 157 sentimeter, berat badan 49 kilogram. Saya akan menghadiri majlis perkahwinan yang mewajibkan saya memakai pakaian berwarna keemasan. Bagaimanapun saya tidak yakin untuk mengenakan warna itu kerana kulit yang gelap bimbang akan menyebabkan saya bertambah gelap. Bagaimana cara untuk mengatasi keadaan ini? Apakah skim warna keemasan yang sesuai dengan kulit saya?

Merkatus melalui emel.

Jawapan:
Kulit hitam manis tidak menjadi masalah langsung jika hendak berfesyen. Malah, menjadi trend terkini untuk memiliki kulit yang berona ‘tan’ atau hitam manis. Lihat saja pada ikon fesyen di Malaysia mahupun di persada fesyen dunia.

Nama besar seperti Beyonce Knowles, Halle Barry dan Naomi Campbell sudah lama menjadi ikon fesyen malah di Malaysia sendiri mereka yang berkulit hitam manis seperti Ziana Zain, Ning Baizura dan Nurul sangat terkenal di dalam industri fesyen Malaysia dan menjadi inspirasi kepada pereka fesyen di Malaysia.

Diakui warna memainkan peranan penting jika mahu berfesyen kerana bukan semua warna yang muncul selari dengan aliran semasa sesuai untuk digayakan.

Apabila bercakap mengenai warna ia banyak bergantung dengan kesesuaian padanan warna dengan tona kulit dari kuning langsat hinggalah ke hitam manis.


Warna krim pucat misalnya tidak sesuai untuk digayakan orang yang berkulit putih kerana ia akan mentafsirkan imej yang pucat manakala ungu gelap juga kurang sesuai untuk orang yang berkulit hitam manis kerana akan menjadikan rona kulit anda bertambah gelap.

Bagaimanapun, secara peribadi saya berpendapat semuanya bergantung dengan cara seseorang individu itu sendiri menggayakan bajunya.

Tidak salah jika anda hendak mencuba, namun ia perlu bersesuaian dengan gaya. Lihat saja busana yang Ning Baizura gayakan pada hari persandingannya.

Kalau diikutkan, kurang sesuai warna ‘royal blue’ untuk digayakan oleh orang yang berkulit hitam manis tetapi dengan cara pembawaan dirinya dan juga gaya yang bersesuaian, Ning begitu menyerlah dengan warna itu.

Untuk Fariza, warna gold atau keemasan tidak menjadi masalah untuk digayakan tetapi pemilihan ronanya haruslah bertepatan.

Rona keemasan mempunyai pelbagai variasi yang mana untuk orang yang berkulit hitam manis, rona bronze gold atau emas keperangan dan soft gold – keemasan lembut sangat sesuai untuk anda.

Tetapi anda harus berhati-hati dengan pemilihan fabrik. Pada pendapat saya, fabrik seperti sutera Thai atau sutera asli sangat sesuai dengan anda memandangkan potongan badan anda yang agak kurus.

Rekaan kurung moden yang berpotongan lurus sangat sesuai selari dengan majlis yang bakal anda hadiri. Untuk imej yang lebih trendy, leher berpotongan ‘v’ akan menaikkan seri anda di samping ilusi leher yang lebih jinjang.

Perincian seperti ‘pleated’ atau ‘pin tuck’ di bawah baju dan di hujung lengan menjadi ‘trend’ terkini dan juga memberikan ilusi tinggi. Untuk melengkapkan gaya, kain sarung bersusun kipas dan berbelah depan sangat ideal untuk digayakan. Tetapi adalah lebih sesuai untuk anda gayakan kain yang bercorak kontra bersama baju yang polos.

Profil: Rizman & Ruzaini

  • Rizman Ruzaini adalah label bagi pereka fesyen muda Rizman Nordin dan Wan Ruzaini Wan Jamil.

  • Rizman Nordin, berasal dari Pulau Pinang dan Wan Ruzaini dari Perak.

  • Terbabit dengan rekaan pakaian untuk nama besar dalam industri hiburan dan industri fesyen tempatan seperti Datin Seri Siti Nurhaliza, Ning Baizura, Erra Fazira, Ziana Zain, Dayang Nurfaizah dan Nurul.

  • Terpilih sebagai pereka fesyen untuk perkahwinan Ning Baizura dan label Rizman & Ruzaini dicalonkan sebagai antara 10 pereka fesyen pakaian pengantin di Malaysia.

  • Menyertai industri fesyen selepas menyertai MIFA 2007, Piala Jarum Berlian ’03 dan Piala Pesona Pengantin pada 2004,

  • Rizman dan Ruzaini adalah pemegang Ijazah Sarjana Reka Fesyen, Universiti Teknologi Mara (UiTM).

  • Beroperasi dari butik rumah di Shah Alam dan mereka boleh dihubungi di talian +6017 4766 004 dan +6012 4805 742 atau emel, rizman_ruzaini@yahoo.com. Untuk keterangan lanjut layari laman web www.rizmanruzaini.blogspot.com

    Info:

  • RUANGAN ini membantu anda yang menghadapi masalah fesyen bersesuaian tubuh serta majlis yang hendak dikunjungi. Semua masalah akan dijawab pereka fesyen berlainan setiap minggu. Hantarkan masalah anda melalui emel di bminggu@bharian.com.my atau pos ke alamat Berita Minggu, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur atau faks ke 03-22822425.

    Powered by Berita Harian

  • 25
    May

    Stacy Dinobat Juara AF6

    Oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed



    Stacy

    KUALA LUMPUR: Seperti yang diramal, Stracie Angie Anam atau Stacy, 18, yang sentiasa menduduki tempat teratas dalam setiap persembahan mingguannya dinobatkan sebagai juara program TV realiti popular, Akademi Fantasia musim keenam (AF6) pada konsert akhir yang berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil, di sini, malam tadi.

    Stacy tidak dapat menahan sebak sebaik diumumkan sebagai juara oleh pengacara AF6, AC Mizal. Dia yang menyampaikan lagu Atas Nama Cinta nyanyian asal Rossa dan lagu baru, Aku Stacy ciptaan Intan Norul Azlina dan lirik oleh Intan Norul Azlina dan Layla Ismail berjaya memukau penonton.

    Malah, pengkritik tetap, iaitu Fauziah Datuk Ahmad Daud dan Ning Baizura serta pengkritik jemputan, Adlin Aman Ramlie turut kagum dan memuji persembahannya pada konsert akhir itu.

    Pelajar kecil molek yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah itu menerima hadiah lumayan keseluruhan bernilai RM733,734, termasuk sebuah banglo empat bilik di A Famosa, Melaka (RM550,000), kereta Peugeot 307 XS tajaan Naza Motors Sdn Bhd (RM139,535), wang tunai RM25,000 sumbangan Hotlink, pakej percutian ke Itali tajaan Mayfirst, pakej pelancongan ke New York tajaan Maybelline, Sony Playstation tajaan Astro (RM1,199) bersama trofi AF6.

    Naib juara, Mohammed Idris Mohd Zaizizi atau Riz, 22, dari Grik, Perak menyanyikan lagu 11 Januari (Gigi) dan Hanya Sandiwara ciptaan Norliza Abu Bakar serta lirik oleh Dean. Dia membawa pulang hadiah bernilai RM96,076 iaitu kereta Naza Bestari tajaan Naza Motors Sdn Bhd (RM68,877), wang tunai (RM15,000), pakej percutian ke Itali, baucar pelancongan (RM3,000), Sony Playstation serta trofi AF6.

    Tempat ketiga, Ahmad Nubhan Ahmad atau Nubhan, 22, dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan menyampaikan lagu Bukan Di Sini (Sofaz) dan Ada Untukmu ciptaan Zeti Akmar, manakala lirik oleh Abie Abdullah. Kejayaan itu membolehkannya

    membawa pulang hadiah bernilai RM21,199, iaitu wang tunai (RM10,000), pakej percutian ke Afrika Selatan, baucar pelancongan (RM2,000), Sony Playstation serta trofi AF6.

    Khairul Nizam Baharom atau Toi, 31, dari Johor Bahru sekadar menduduki tempat keempat. Dia yang mendendangkan lagu Cinta Zulaikha (Mawi) dan Panahan Asmara ciptaan Muhd Nur Hadi dan Muhamad Hafiz manakala lirik oleh Ad Samad. Dia membawa pulang hadiah bernilai RM9,199 iaitu wang tunai (RM5,000), pakej percutian ke Chiang Mai, Sony Playstation serta trofi AF6.

    Tempat kelima, Nadia Haswani Hasnan atau Nadia, 18, dari Kuala Lumpur yang menyampaikan Aku Lebih Tahu (Mila AF5) dan Kalut Lagi Mengarut ciptaan Clifford Joseph Hughes dan Amiruddin Syawal, manakala lirik oleh Syeikh Qalam. Dia menerima hadiah bernilai RM7,199 iaitu wang tunai (RM3,000), pakej percutian ke Chiang Mai, Sony Playstation serta trofi AF6.

    Jumlah keseluruhan tajaan dan hadiah bagi AF6 bernilai hampir RM900,000. Hadiah disampaikan Pengetua AF6, Ramli MS.

    Powered by Berita Harian

    14
    Apr

    Aksi Murai Diteruskan

    Oleh Nor Akmar Samudin
    akmar@hmetro.com.my

    Rap

    BELUM setahun beroperasi portal hiburan Melayu, www.murai.com.my, dikunjungi secara purata hampir 7,000 pengunjung setiap bulan. Portal itu juga menerima 20,000 pengunjung menonton program realiti laman web pertama, Aksi Murai, yang berakhir Februari lalu.

    Program 13 episod itu juga boleh disaksikan menerusi saluran Astro Ria yang berjaya mengumpul hampir 200,000 penonton dan 300,000 pada penghujung episod.

    Rancangan itu menampilkan selebriti terkenal tanah air seperti Dafi, Farhan, Mila, Datin Sri Siti Nurhaliza, Fasha Sandha, Shawal dan Farawahida. Mereka beraksi menerusi cabaran dan pertandingan dengan peminat yang memenangi pertandingan M-Klon, iaitu berdasarkan peminat yang memiliki wajah seiras artis pujaan.

    Episod terakhir Aksi Murai, peserta dibahagikan kepada tiga kumpulan yang dinamakan Aura, Vaniti dan Glamorama, untuk melakarkan kerja tangan mereka di kanvas.

    Menurut Ketua Editornya, Roslen Fadzil, sebagai penghargaan kepada pengunjung portal itu, mereka memberi peluang kepada pemenang Kuiz Online Episod Akhir Aksi Murai untuk memiliki lukisan hasil kerja artis itu.

    Pertandingan Kuiz Online Final Aksi Murai diadakan melalui portal www.murai.com.my selama dua minggu.

    Oleh itu, Rabu lalu diadakan majlis penyampaian hadiah kepada pemenang pertama, kedua dan ketiga, Mereka adalah Noor Fairul Zura Kamaruzaman, 22, Siti Sabariah Zakaria, 26 dan Farah Adibah Nor Azmi, 17.

    Hadir sama Farawahida, Dafi dan Nana.

    “Musim pertama Aksi Murai mendapat sambutan menggalakkan. Episod yang menampilkan Siti Nurhaliza dan Fasha Sandha bersama klon masing-masing antara yang mendapat rating tinggi. Sehubungan itu, menerusi perbincangan bersama Astro mereka berminat menyambung Aksi Murai untuk musim kedua.

    “Ada di kalangan artis seperti Anuar Zain, Ning Baizura, Misha Omar dan Linda Onn menawarkan diri untuk muncul dalam program ini. Untuk musim baru, ia mengekalkan konsep sama cuma tambah elemen drama supaya kelihatan lebih dramatik.

    “Berdasarkan sambutan ramai, masa siaran mungkin ditambah daripada setengah jam menjadi sejam. Bagaimanapun, untuk penyertaan peminat mereka perlu menjadi ahli Geng Murai dengan menyertakan gambar kerana keutamaan diberikan kepada mereka yang banyak memberikan sokongan sejak portal ini diwujudkan.

    “Istimewanya Geng Murai boleh membina rangkaian untuk menjalin persahabatan, mengaktifkan blog serta berkongsi maklumat dengan,” katanya.

    Khusus untuk pelajar Akademi Fantasia Musim keenam (AF6), mereka sudah ada blog sendiri di portal itu dan pelajar yang tersingkir boleh terus mengaktifkan blog mereka.

    Kata Roslen, jika segalaya berjalan lancar, Aksi Murai musim kedua akan kembali ke kaca televisyen selepas berakhirnya AF6.

    Dari segi pemilihan artis dan cabaran kerja untuk program itu, jelas Roslan mereka juga mengambil kira pandangan dan cadangan pengunjung portal itu kerana program itu disiarkan di halaman portal barulah ke televisyen.

    Sempena Hari Ibu pada 9 Mei ini, portal itu juga menganjurkan Pertandingan Wajah Seiras Ibu.

    “Untuk memberikan kelainan, wajah ibu mesti seiras dengan anak lelaki dan bukannya anak perempuan. Pemenang akan ditentukan pengunjung portal.

    “Ibu paling bertuah akan menerima hadiah menarik,” katanya.

    Powered by Harian Metro

    3
    Apr

    Nada Kecewa Ziana Zain

    Oleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA (liza.zakaria@utusan.com.my)

    PADA usia yang bakal mencecah 40 tahun, Ziana masih lagi anggun seperti anak dara.

    BEGINILAH nasib kalau sudah bergelar anak seni, tidak semuanya indah dipandang. Biarpun luaran nampak tenang tetapi realitinya hanya yang empunya diri lebih mengetahui sehinggakan ada yang sanggup menelan segala kepahitan demi meneruskan kerjaya yang amat diminati mereka.

    Siapa tidak kenal dengan penyanyi bermata cantik, Ziana Zain yang memulakan karier seninya sekitar tahun 1990.

    Seperti artis lain, Ziana atau nama sebenarnya Siti Roziana Mohd. Zain juga tidak terkecuali dihambat kontroversi dan baru-baru ini, Ziana khabarnya sudah pandai ‘meminta-minta’ atau demanding.

    Tidak dapat lari daripada segala tohmahan negatif, Ziana lebih gemar mengambil sikap berfikiran terbuka.

    Malah, Ziana ketika ditemui pada majlis sidang media Rafflesia’s Secretaries’ Week Luncheon di Hotel Istana, Kuala Lumpur baru-baru ini berkata, dia terpaksa ‘makan hati’ dan menerima saja segala tohmahan yang dilemparkan padanya.

    “Sebenarnya bukanlah demanding. Saya pun susah nak cakap pasal hal ini, contohlah dalam penyiaran sesuatu lagu atau ulang tayang, artis tersebut sepatutnya menerima royalti mereka.

    “Tapi sedihnya, kadang-kadang, ada juga ulang tayang lagu yang saya nyanyikan tidak dibayar royalti. Jadi, bila kita mula bersuara dan minta bayaran, orang dah mula label kita sebagai demanding,” kata penyanyi yang kini popular dengan lagu Dingin.

    Kesal dengan sikap sesetengah pihak penyiar dan penganjur, Ziana terpaksa membenamkan segala kesukaran yang dialami jauh di lubuk hati demi minatnya yang mendalam terhadap kerjaya seni.

    Memang tidak dinafikan, ada sesetengah penganjur dan pihak penyiar tempatan sanggup berbelanja besar untuk membawa masuk artis luar ke negara ini.

    Malangnya, hak dan kepentingan penyanyi tempatan seperti royalti, bayaran persembahan dan konsert langsung tidak diendahkan.

    Bagaimanapun, Ziana tidak menafikan bahawa adakalanya permintaan itu datang daripada agensi yang bertanggungjawab membawa artis untuk membuat persembahan.

    “Memang benar, kadang-kadang agensi yang demand bukannya artis. Artis cuma dapat sikit saja selebihnya dapat kepada pihak agensi,” kata penyanyi yang bakal mencecah usia 40 tahun pada 2 Mei ini.

    Album baru Mei atau Jun

    Seperti yang semua ketahui, populariti Ziana yang juga duta kepada produk tilam Vono dan pelangsingan Slim World kini semakin meningkat apatah lagi selepas single Dingin ciptaan Azlan Abu Hassan mendapat perhatian ramai.

    Bagaimanapun, ramai pihak yang berteka-teki berhubung motif sebenar Ziana mengeluarkan single tersebut sedangkan albumnya sudah lama terperap.

    “Single ini bukan sahaja bertujuan sebagai prapromosi album saya yang bakal dikeluarkan tidak lama lagi, tetapi juga sebagai tujuan nak dapatkan pulangan (duit), sebab ia boleh dimuat turun.

    “Sebelum ini ada juga artis lain pernah buat, dan sekarang dah jadi macam trend terkini. Ini merupakan cubaan pertama saya sebagai strategi baru mempromosikan album saya kelak,” kata ibu kepada dua anak iaitu Muhammad Aiman Armin, 8 dan Muhammad Ammar Armin, 5, itu lagi.

    Kata Ziana, album terbarunya kini sudah siap sehingga 70 peratus pembikinan dan kini hanya menunggu rakaman empat lagi lagu, antaranya ciptaan komposer Julfekar dan bakal dipasarkan selewat-lewatnya Jun depan.

    Album single Ziana yang memuatkan dua terbarunya iaitu Dingin dan Melara Jiwa edaran EMI Music (M) Sdn. Bhd., telah pun berada di pasaran tempatan dan dijual dengan harga RM9.90 sebuah. Turut dimuatkan ialah minus one kedua-dua single tersebut.

    Menurut Ziana, kelainan dan kekuatan untuk album terbarunya itu adalah dari segi pemilihan lagu dan turut menyelitkan muzik dan melodi Indonesia dalam beberapa buah lagu.

    “Ini juga merupakan salah satu cara untuk menambat hati peminat, sebab peminat sekarang ini lebih suka kepada muzik Indonesia. Cara nyanyian juga terpaksa tukar sikit untuk beri kelainan dari yang lama.

    “Bagaimanapun, adalah dalam tiga atau empat lagu bernada tinggi yang saya akan kekalkan. Selagi peminat suka saya akan cuba yang terbaik,” kata anak sulung daripada lima beradik itu lagi.

    Bercerita tentang imej, menurut Ziana, dia tidak menetapkan kepada sesuatu imej pada setiap tahun.

    Namun, semua itu bergantung pada kerjasama seseorang artis dengan jurumekap ataupun perunding imej dalam menentukan apa yang terbaik dan sesuai digayakan.

    Minggu Setiausaha

    Empat tahun sepi tanpa album memberikan lebih kepuasan kepada bekas pramugari Penerbangan Malaysia ini.

    Apa tidaknya, dalam tempoh tersebut, selain sibuk mengurus keluarga, aktiviti harian Ziana terisi dengan pelbagai aktiviti seni termasuklah persembahan pentas, lakonan dan menjadi jurucakap produk.

    Terbaru, Ziana bakal menjayakan majlis meraikan para setiausaha yang dianjurkan oleh Hotel Istana Kuala Lumpur dengan kerjasama syarikat mutiara ternama, Rafflesia dan juga Suria FM pada 16 April ini pukul 11.30 pagi hingga 3 petang di Grand Mahkota Ballroom, Hotel Istana.

    Dengan mengenakan tema hitam dan putih, sambil makan tengah hari, para hadirin bakal dihidangkan dengan persembahan dari barisan artis ternama negara antaranya Jaclyn Victor, Noryn Aziz, Ning Baizura, Fauziah Latiff dan Erra Fazira.

    Menariknya, Ziana dan barisan artis yang hadir juga bakal menggayakan pakaian yang dicipta khas untuk majlis tersebut oleh 13 pereka fesyen muda berbakat besar termasuklah Hatta Dolmat.

    “Tahun ini saya hanya terlibat dengan Minggu Setiausaha Rafflesia. Saya ada terima tawaran dari banyak pihak, tapi saya tolak sebab tahun ini saya nak lebih rileks dalam kerja,” jelas Ziana mengakhiri perbualan.

    Kepada yang berminat menyaksikan persembahan Ziana dan beberapa lagi artis terkenal pada sambutan Minggu Setiausaha Rafflesia sila hubungi 03-2141 9988 atau 03-2149 5629.

    Powered by Utusan Malaysia

    11
    Mar

    Kakak Siti Nurhaliza Antara Calon Baru AF6

    Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL

    KUALA LUMPUR 10 Mac – Siti Norsaida Tarudin, 32, yang juga kakak kepada penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin terpilih antara 25 orang calon pelajar Akademi Fantasia 6 (AF6) yang akan mula siarannya 17 Mac ini.

    Bukan itu sahaja, percubaan seorang ibu tunggal dan nenek kepada dua orang cucu, Hairina Abd. Halim, 44, juga membuahkan hasil apabila turut terpilih dan dikatakan bakal memberi saingan hebat untuk musim ini.

    Penyertaan Hairina atau Rina yang mempunyai pengalaman 25 tahun menyanyi di kelab malam itu membuktikan langkah Astro membenarkan had umur 45 tahun untuk menyertai program realiti TV itu dipandang positif.

    Pengumuman kesemua calon pelajar tersebut dilakukan di salah sebuah hotel terkemuka di sini hari ini.

    Pada majlis yang sama juga, Astro turut mengumumkan Fauziah Ahmad Daud atau Ogy dan penyanyi terkenal, Ning Baizura sebagai pengkritik tetap yang akan menilai persembahan para peserta pada konsert mingguan yang akan bermula 22 Mac depan.

    Namun begitu, kesemua 25 calon pelajar itu akan disaring selama tiga hari bermula esok oleh pengetuanya, Ramli MS dan barisan tenaga pengajar yang lain dalam memilih pelajar yang terbaik.

    “Saringan tersebut merangkumi penyertaan calon-calon berkenaan dalam sesi orientasi dan kelas-kelas tertentu sepanjang tiga hari tersebut di satu tempat yang dirahsiakan.

    “Di peringkat ini jugalah, Ramli MS dan jenteranya akan menilai peserta yang memang layak dan terbaik sebelum diserapkan menjadi pelajar AF6,” jelas Pengarah Eksekutif Astro Entertainment Sdn. Bhd., Zainir Amirullah.

    Tambahnya, penonton dan peminat AF akan dapat mengetahui senarai akhir yang akan diumumkan oleh pengacara, Sarimah Ibrahim menerusi Tirai Akademi Fantasia Episod 3 yang akan disiarkan 16 Mac ini di saluran Astro Ria bermula pukul 8.30 malam.

    Zainir turut memberitahu penyertaan bagi AF6 merupakan antara yang tertinggi berbanding lima musim lalu apabila pihaknya menerima lebih daripada 6,000 penyertaan di lima buah lokasi sesi uji bakat.

    AF6 akan dimulakan dengan Diari Akademi Fantasia yang bermula pada 17 Mac depan manakala konsert mingguan yang akan dihoskan oleh AC Mizal pula akan diadakan setiap malam Sabtu bermula 22 Mac ini.

    Powered by Utusan Malaysia

    5
    Mar

    Karyawan Membasuh Luka _ Acara Malam Gala

    Oleh TENGKU KHALIDAH TENGKU BIDIN ent_editor@kosmo.com.my

    DI tengah-tengah kemelut yang belum berkesudahan, Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) tekal dengan aspirasi perjuangannya, menghargai dan meladeni artis-artis yang memerlukan.

    Itulah fungsi sebuah persatuan, maka tidak hairan kenapa di tengah pelbagai kontroversi, Karyawan terus melangkah dengan penuh gaya.

    Terbaru, acara Malam Gala Karyawan sudah cukup untuk membaiki semula imej yang sebelum ini dianggap tercalar.

    Itupun kalau boleh dianggap tercalar.

    Karyawan menjadi tumpuan ramai apabila jawatankuasanya dikaitkan dengan isu penyelewengan sebanyak RM200,000 oleh beberapa bekas ahli yang kemudian membawa perkara berkenaan kepada pihak berkuasa.

    Ekoran tuduhan itu, beberapa jawatankuasa Karyawan disiasat oleh pihak berkuasa dan siasatan masih lagi berjalan.

    Presiden Karyawan, Freddie Fernandez dan jawatankuasa yang bersatu di belakangnya mengambil langkah cukup bijak dengan menganjurkan acara yang turut disertai oleh hampir 300 ahli ini.

    Begitu pun, acara yang berlangsung di Hotel Ritz Carlton Isnin lalu bukan hanya dilakukan untuk ‘membasuh’ segala debu kekotoran yang melekat dalam persatuan berkenaan sebelum ini.

    Faktor utama Malam Gala Karyawan diadakan adalah untuk menyambut ulang tahun penubuhan Karyawan yang ke-lapan sekali gus mengumpulkan semua penerima Skim Pencen mereka di satu majlis.

    “Ia bukan untuk membaiki imej yang tercalar atau membaik pulih imej saya yang kononnya terjejas akibat isu dan kontroversi sebelum ini. Bukan.

    “Tetapi acara ini diadakan bagi membawa ahli-ahli Karyawan mengenang semula perjalanan kita selama lapan tahun, memberi sumbangan kemanusiaan yang tidak pernah berakhir kepada anak-anak seni tempatan,” demikian yang ditegaskan oleh Presidennya, Freddie Fernandez.


    ANTARA jelitawan yang memeriahkan Malam Gala Karyawan. Dari kiri Sharifah Haslinda, Sharifah Shahira, Norsheila Amin dan Maria Arshad.

    Mengakui kontroversi hujung tahun 2007 yang berlarutan sehingga awal 2008 sebagai sesuatu yang mencabar kewibawaanya, Karyawan melihat kontroversi itu dari sudut positif.

    Ia juga adalah luka yang akan terus meninggalkan parut kekal dalam sejarah perjuangannya yang selama ini bersih tanpa sebarang pencemaran.

    Sambil berseloroh, kata Freddie dia melihat banyak sudut positif selepas insiden berkenaan. Sekurang-kurangnya dia mempunyai lebih ramai sahabat.

    “Kawan karib kami sekarang ialah pegawai penguat kuasa macam polis dan BPR (Badan Pencegah Rasuah). Kalau dulu orang tak tahu akaun bank saya, sekarang mereka sudah tahu. Bukankah akaun bank hanya kita kongsikan dengan kawan baik?

    “Sebab itu saya kata sekarang ni pihak berkuasa sudah jadi kawan baik Karyawan, sebab mereka juga sudah tahu berapa wang yang ada dalam akaun kami,” katanya sambil berseloroh.

    Selain itu juga, kontroversi itu juga membuatkan Karyawan mendapat lebih banyak peluang muncul di dada akhbar.

    Malah pergolakan dalam Karyawan juga turut mendapat perhatian ruangan berita utama dalam banyak rancangan di televisyen.

    “Bayangkan, lebih 50 artikel dikeluarkan tentang Karyawan sepanjang kontroversi berkenaan di akhbar. Muka depan pun ada juga.

    “Dalam rancangan Melodi pula, kenyataan tentang Karyawan diterbitkan lima minggu berturut-turut, sesuatu yang tidak pernah dikecapi oleh mana-mana persatuan,” tambah Freddie lagi.

    Kontroversi yang berlaku tetap ada natijahnya. Meskipun banyak hal-hal yang ‘leceh’ perlu dilalui, sekurang-kurangnya semua ahli Karyawan yang ada sekarang perlu berbangga.

    Pada akhirnya kata Freddie, semua orang tahu Karyawan adalah sebuah persatuan yang bersih daripada segala penyelewengan.

    “Karyawan sebuah persatuan yang bersih. Sebab itu saya hendak ajak semua, lupakan kontroversi. Kita terus memberi tumpuan kepada perjuangan persatuan. Itu yang penting,” katanya.

    Majlis ini barangkali acara besar yang terakhir dianjurkan oleh barisan jawatankuasa Karyawan di bawah kepimpinan Freddie.

    Ini kerana hujung April depan, ahli Karyawan bakal memilih teraju baru untuk memimpin persatuan berkenaan.

    Khabarnya Freddie tidak akan meneruskan perjuangannya dalam Karyawan jika majoriti ahli persatuan tidak lagi memerlukan dirinya untuk memacu segala aktiviti.

    “Memang benar, saya akan undur kalau majoriti ahli mahu saya berundur. Itu semua bukan masalah besar kepada saya. Tetapi kalau mereka mahu saya teruskan, saya sudi untuk terus bersama dengan Karyawan,” katanya yang juga merupakan pengasas utama Karyawan pada tahun 2000.

    Malam Gala Karyawan berlangsung dalam suasana cukup santai. Ia bersatu dalam rencah persahabatan yang melingkar antara ahli persatuan yang hadir.

    Persahabatan yang cukup erat sesama ahli yang terdiri daripada kalangan artis generasi baru dan lama menjadikan acara ini tidak membosankan meskipun jam sudah menunjukkan ke angka 11.30 malam.

    Disertai oleh banyak nama-nama besar selain muka-muka baru sebagai pewaris generasi seni. Ini adalah manifestasi betapa kehadiran Karyawan begitu diperlukan oleh industri hiburan tempatan.

    Dalam acara ini, Karyawan turut mengumumkan penubuhan biro baru yang dikhaskan kepada kalangan artis generasi muda yang dikenali sebagai Biro Artis Muda.

    Antara artis yang menghadiahkan bakat mereka untuk menghiburkan tetamu di acara ini ialah Farahdhiya, Ning Baizura, Dayang Nurfaizah, Maya Karin, Remmy Innuendo, Hanna Tan dan ramai lagi.


    ARTIS baru dan lama memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada Karyawan.

    Paling menarik apabila seniwati Datuk Sarimah Ahmad muncul di pentas dengan deklamasi puisi. Puisi berjudul Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman dengan durasi masa hampir lima minit itu disampaikan dengan penuh perasaan oleh seniwati veteran berkenaan.

    Sesekali ada airmata yang kelihatan bertakung di kelopak mata seniwati ini, menggambarkan kesyahduan hatinya ketika mendeklamasikan puisi berkenaan.

    Memetik sebahagian kata-kata, puisi berkenaan seolah-olah memberi ingatan kepada golongan artis-artis veteran agar lebih banyak muhasabah diri, lupakan segala hal yang boleh mencantas rasa hormat generasi muda kepada mereka.

    Acara ini berakhir pada ketika jam menunjukkan hampir pukul 12 tengah malam.

    Powered by Kosmo

    30
    Oct

    Project Runway Malaysia Debaran Tiga Pereka Fesyen

    Oleh Norliza Mohamad Zakaria

    TIADA apa yang dapat diungkapkan dengan kata-kata oleh finalis Project Runway Malaysia selain debaran menanti keputusan bagi meraih gelaran juara sekali gus membawa pulang wang tunai RM100,000.

    Peringkat akhir pertandingan yang mengiktiraf daya kreativiti pereka fesyen tempatan itu akan disiarkan pada 9 November ini pukul 9.30 malam di 8TV atau saluran 708 Astro.

    Program TV realiti yang menampilkan 15 pereka fesyen muda berbakat besar itu mula disiarkan setiap Jumaat pukul 9.30 malam di 8TV sejak Ogos lalu.

    Bagaimanapun setelah penyingkiran demi penyingkiran dibuat, hanya tiga peserta yang berjaya ke peringkat akhir. Mereka ialah Hatta Dolmat, 24, Felix Tan, 34, dan Alexandrea Yeo Mei Quin, 21.

    Sebanyak RM8,000 diberikan kepada setiap finalis untuk merealisasikan idea kreatif mereka pada 12 rekaan eksklusif dengan tema bebas pilihan masing-masing.

    Hatta, berasal dari Melaka dan pemegang Ijazah Sarjana Muda Rekaan Fesyen dari UiTM ketika ditemui berkata; “Saya sangat teruja dengan rancangan ini kerana ia memberi saingan yang sihat kepada setiap peserta.

    “Saya mempertaruhkan 12 rekaan yang bertemakan romantik dengan latar warna merah jambu dan emas untuk peringkat akhir itu nanti.”

    walaupun pertama kali menyertai pertandingan, Hatta telah pun menempa nama dalam industri fesyen negara dan pernah menghasilkan rekaan untuk beberapa artis ternama negara termasuklah Erra Fazira, Fasha Sandha dan Ning Baizura.

    Sementara itu, bekas penuntut Sekolah Fesyen Antarabangsa La Salle Kuala Lumpur, Felix berkata; “Sehingga kini perasaan saya tidak menentu dan saya sangat berdebar menantikan keputusan juri pada peringkat akhir nanti.

    “Sekiranya gagal menempa kejayaan, saya tetap bersyukur kerana pengalaman yang saya peroleh sepanjang penglibatan dalam rancangan ini benar-benar membantu saya untuk terus berusaha lebih kuat.”

    Felix yang berasal dari Sabah, mempertaruhkan tema Nutation Of Style pada peringkat akhir nanti.

    Finalis termuda iaitu, Alaxendrea, yang berasal dari Kuala Lumpur, merupakan bekas penuntut Raffles Design Institute, Kuala Lumpur.

    “Saya tidak sabar menantikan keputusan, bagaimanapun saya harus terima hakikat bahawa antara kami bertiga hanya seorang yang akan dipilih menjadi juara.

    “Jika saya tidak berjaya merebut gelaran juara, saya tak akan patah semangat sebaliknya menganggap itu sebagai pembakar semangat untuk saya terus berjaya,” katanya yang mengetengahkan tema Mutilation Of The Flesh pada 12 rekaan akhirnya.

    Kesemua 12 rekaan setiap finalis akan diperagakan oleh model-model di hadapan barisan juri yang terdiri daripada mereka yang pakar dalam rekaan fesyen iaitu, Datuk Bernard Chandran selaku ketua juri, Gillian Hung, Bernie Chan dan Asiah Mion. Siapakah yang bakal dinobatkan sebagai juara Project Runway Malaysia yang pertama? Mungkinkah Hatta, Felix ataupun Alexandrea? Kita tunggu keputusannya.

    Powered by Utusan Malaysia

    10
    Dec

    Leez Gagal Tapi Bertuah

    Oleh NIEZAM ABDULLAH

    Leez.

    Bak kata pepatah, tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu? Memang betul tiada siapa yang tahu melainkan tuan punya badan.

    Tiada siapa juga yang menyangka penyingkiran Leez semasa konsert ‘prelude’ program Akademi Fantasia (AF) yang lalu seakan-akan membuka rezeki yang luas terhadapnya.

    Walaupun tidak layak menyertai program berkenaan pada peringkat berikutnya tetapi Leez mempunyai nasib yang baik berbanding rakan-rakannya yang lain.

    Bukan nak mengata tetapi cuba fikirkan betul-betul, selain Faizal, kesemua pelajar AF musim keempat lalu seakan-akan tenggelam begitu saja.

    Apatah lagi bagi mereka yang awal-awal lagi ditendang keluar daripada program itu. Apa jadi dengan mereka sekarang? Senyap sunyi begitu sahaja. Album tak ada, publisiti jauh sekali.

    Nak mengharapkan syarikat rakaman melamar untuk merakamkan album, memang sukar untuk diramalkan kerana sekarang ini terlalu ramai artis-artis baru muncul.

    Maestro Records yang bertanggungjawab terhadap bintang-bintang AF pula tentunya sibuk dengan artis-artis lain daripada mempedulikan peserta yang hanya layak di peringkat ‘prelude’ sahaja.

    Apa yang boleh saya katakan, keistimewaan Leez mungkin terhadap paras rupanya. Dia gadis yang fotogenik. Wajahnya menarik dan senyumannya juga menawan.

    Itu di antara ciri-ciri dan juga keistimewaan gadis ini sehingga mampu menjadikannya salah seorang peserta AF tersingkir yang popular.

    Bayangkan selepas penyingkiran Leez atau nama sebenarnya Rosliza Rosli daripada program itu, gadis berusia 19 tahun ini banyak mendapat tempat di majalah dan akhbar tempatan.

    Saya mengenali Leez ketika dia berumur 15 tahun selepas memperoleh ‘profile’ mengenai dirinya daripada pelakon Emma Akma yang mengendalikan agensi model.

    Kerana tertarik dengan senyumannya, saya memanggilnya untuk mengadakan sesi fotografi bakat baru kelolaan saya dalam majalah Mangga pada waktu itu.

    Empat tahun berlalu saya sudah lupa peristiwa itu sehinggalah Leez mengibas semula detik-detik pertama dia mengadakan sesi fotografi.

    Saya berkata, Leez bertuah kerana dia sekarang sudah dilamar menjadi artis rakaman tidak seperti rakan-rakannya yang lain. Selain lamaran itu, ada juga Datuk yang sedang ‘mengintainya’.

    Hajat terlaksana

    Bermulanya tuah Leez selepas penyingkirannya dalam program AF apabila dia dipanggil untuk menjalani uji bakat berlakon sebuah rancangan bersiri terbitan Astro iaitu Astana Idaman.

    Hasrat untuk menjadi penyanyi yang dipegang sejak awal-awal pembabitannya dalam dunia seni menjadi sebaliknya.

    Uji bakat tersebut benar-benar mengheret gadis ini untuk terbabit dalam satu lagi bidang yang tidak pernah diimpikannya selama ini.

    Walaupun pada permulaan watak yang diberikan kepada Leez sekadar sampingan namun lamakelamaan dia diberikan peranan utama.

    “Leez tak sangka selepas beberapa siri drama itu, watak yang diberikan kepada Leez semakin berat sehinggalah akhirnya memegang watak utama rancangan itu,’’ katanya.

    Jelas Leez, jika dikenangkan semula, segalanya bagaikan sebuah mimpi yang hadir menjadi nyata.

    Tidak pernah bermimpi sehingga diberi peranan utama dalam sesebuah drama walaupun pada asalnya dia merupakan pelajar AF yang tersingkir. Tetapi itulah dinamakan rezeki.

    Selepas rancangan itu menamatkan siarannya kira-kira dua minggu lalu, Leez turut menerima lamaran baru daripada seorang Datuk.

    Bukan lamaran untuk mengajaknya ‘naik pelamin’ sebaliknya Datuk yang dimaksudkan – Datuk Yusof Haslam, ‘produser’ dan jutawan ternama itu berhajat ‘meminang’ Leez untuk berlakon drama Sembilu Kasih.

    Menurut Leez, selepas mengadakan perbincangan dengan Yusof, dia berminat terhadap watak yang bakal diberikan di dalam drama tersebut.

    Malah Leez akan membuktikan dia bukan sekadar boleh menyanyi sebaliknya ingin mengasah lagi bakatnya sebagai seorang pelakon.

    “Saya akan bukti dan lakukan yang terbaik untuk kerjaya saya ini,’’ katanya.

    Jelasnya, Yusof Haslam telah menawarkannya watak sepupu kepada Zetty (Hetty Sarlene) yang menjalinkan hubungan cinta dengan Fendi (Zed Zaidi).

    Bagaimanapun kata Leez, watak yang mahukannya menitiskan air mata merupakan watak yang sukar untuk dibawanya. Atas dasar itu Leez cuba belajar untuk menghayati setiap watak sedih yang diberikan agar ia menepati keinginan pengarah.

    Lebih menggembirakan Leez, sekian lama memikirkan nasibnya selepas keluar daripada AF, hasratnya untuk menjadi penyanyi rakaman terlaksana juga.

    Ketika sibuk dengan penggambaran drama Astana Idaman, Leez telah dihubungi penulis lirik Man Toba yang ingin menyuntingnya menjadi artis syarikat rakaman Toba Records.

    Majlis menandatangani kontak dengan syarikat rakaman itu telah pun dilakukan kira-kira dua minggu lalu dan kini proses untuk rakaman album sedang dilakukan.

    “Leez amat bersyukur. Bukan mudah untuk orang panggil kita jadi artis rakaman. Mungkin ia rezeki Leez,’’ katanya yang begitu gembira dengan dua lamaran yang diterimanya itu.

    Leez kini sibuk di dalam studio rakaman mempersiapkan album solonya berkonsepkan pop.

    Antara komposer yang terlibat menyumbangkan lagu di dalam album yang dijangka dipasarkan pada awal tahun hadapan itu seperti Eddie Hamid, Harun Ahmad, Zulfekar, Lan Laga, Adnan Abu Hassan dan Isman (Hijjaz).

    Bersedia menghadapi gosip

    Sebagai orang baru dalam industri hiburan, Leez sudah bersedia untuk menempuh pahit dan maung bergelar seorang artis.

    Bukan mudah membawa ‘title’ itu sebenarnya. Setiap apa yang dibuat semuanya akan diperhatikan orang selain menjadi bualan masyarakat.

    Hakikat itu diakui sendiri oleh Leez dan tempias dugaan itu telah mula dirasainya.

    Malah Leez juga menganggap, gosip sama seperti serbuk perasa yang menjadi penyedap di dalam makanan. Begitu juga terhadap dunia hiburan. Sebelum menjadi artis dahulu pun Leez juga meminati cerita dan gosip-gosip artis.

    “Sekarang sudah jadi artis, Leez kena bersedia untuk menempuh ujian itu walaupun kadangkala Leez sendiri takut berhadapan dengannya,’’ jelas Leez.

    Sejak bergelar artis, dia belum pernah ditimpa dengan gosip berat cuma kononnya Leez mempunyai hubungan dengan Haziq.

    “Saya pun sudah lama tidak berhubung dengan Haziq. ‘Percintaan’ kami hanya dicetuskan ketika di dalam AF sahaja,’’ katanya.

    Percayakan orang tua

    Seperti juga Ning Baizura yang memilih ibunya untuk menjadi pengurus, Leez menyandarkan harapan terhadap bapanya Rosli Awang, 45, untuk menjaganya.

    Jelas Leez, dia lebih percaya kepada keluarga sendiri untuk menjadi pengurus daripada melantik orang lain.

    “Kalau bapa yang jaga, sudah tentu tiada orang yang boleh buat sesuka hati kepada kita. Selain itu ahli keluarga lebih mengetahui kemahuan serta perasaan kita kerana kita membesar dengan mereka,’’ terangnya.

    Bagi Rosli pula, dia tidak mahu anak kesayangannya terjebak dengan perkara yang boleh merosakkan diri apatah lagi anaknya itu menjadi artis dan hidup di dunia yang penuh dengan pancaroba.

    Sebagai bapa, daripada melepaskan anak gadis sendirian, lebih baik dia sendiri yang mengawasinya.

    “Saya pun akan pencen dalam tentera. Lebih baik saya menguruskan Leez kerana saya lebih memahami jiwa anak saya itu daripada orang lain,’’ katanya.

    Powered by Utusan Malaysia

    28
    Feb

    Guru Vokal – Hazami, Syafinaz & Juliza Adlizan

    Oleh ABD. AZIZ ITAR

    Siapakah guru vokal yang paling hebat antara Juliza Adlizan, Hazami dan Syafinaz?.

    TIGA guru vokal yang paling popular masa kini ialah Hazami, Syafinaz dan Juliza Adlizan. Dengan latar belakang mereka sebagai penyanyi di samping kelulusan dalam bidang vokal, nyatalah mereka bukan sahaja dikagumi sebagai penyanyi malah kemampuan mereka sebagai guru vokal tidak perlu dipertikaikan lagi.

    Walaupun kehebatan mereka sebagai guru vokal jarang diperkatakan tetapi dalam diam, sebenarnya ramai di kalangan penyanyi di Malaysia berguru dengan mereka.

    Siapa sangka Ning Baizura, Fazley, Camelia, Jeslina Hashim, Ezlynn dan Noreen adalah di antara penyanyi yang pernah mengikuti kelas vokal yang dikendalikan oleh tiga penyanyi ini di samping anak-anak remaja yang meminati bidang seni.

    Dengan bayaran perkhidmatan yang ditentukan, guru-guru vokal glamor ini menaburkan bakti bagi membantu para pelajar mereka memantapkan suara untuk menjadi penyanyi yang dikagumi.

    MEGA sempat bersua muka dengan tiga penyanyi itu untuk berkongsi kesibukan, pengalaman dan perancangan masa depan mereka dalam dua bidang tersebut iaitu sebagai guru vokal dan penyanyi popular.

    Hazami jadi guru vokal pada umur 18 tahun

    SEPULUH tahun lalu, Hazami mungkin tidak menyangka dia akan menjadikan bidang nyanyian sebagai kariernya, apatah lagi menjadi guru vokal.

    Sejak dari kecil penyanyi berusia 31 tahun ini amat meminati dunia matematik dan fizik selain mempunyai ijazah dalam bidang Kejuruteraan Kreatif dari Brunel University, West London, United Kingdom (UK).

    Bagaimanapun, minat dan kecenderungan kepada dunia seni suara menyebabkan Hazami melupakan ijazah yang dimilikinya itu.

    “Semasa bersekolah dulu, saya cemerlang dalam mata pelajaran matematik dan fizik. Saya memang minat dengan dua subjek tersebut.

    “Hinggakan sebelum tidur pada waktu malam saya akan belajar dan buat latihan matematik, kalau tidak saya susah hendak tidur.

    “Pada masa yang sama, saya juga meminati muzik. Ketika itu abah saya sarankan supaya saya sambung belajar tetapi bukan dalam bidang muzik. Tetapi hari ini saya tidak sangka menjadi penyanyi,” kata Hazami mengimbas kenangan lamanya.

    Menurut Hazami, dia sukar melupakan minatnya yang mendalam dalam bidang nyanyian meskipun mempunyai peluang kerja yang cerah dengan ijazah yang dimilikinya itu.

    Bagi penyanyi bertubuh kecil ini, menyanyi banyak memberi kepuasan kepada dirinya selain mampu menjanjikan pulangan yang lumayan.

    “Saya memang suka menyanyi. Dengan menyanyi saya dapat kurangkan tekanan. Setiap hari saya akan berlatih menyanyi di rumah selama enam jam.

    “Selain sebagai hobi, cara itu juga dapat mempertingkatkan lagi mutu vokal saya. Sebagai penyanyi, saya kena berlatih menyanyi setiap hari,” ujar Hazami.

    Di samping menyanyi, Hazami yang popular dengan lagu Kata percaya kebolehannya sebagai guru vokal juga mendapat perhatian seiring dengan kejayaannya sebagai penyanyi.

    Katanya, kelas vokal yang diikutinya sewaktu bersekolah di Sekolah Menengah Penang Free, Pulau Pinang banyak membantunya sebagai penyanyi dan guru vokal.

    “Saya memang tidak ada pendidikan formal dalam bidang vokal tetapi saya pernah mengikuti kelas vokal di sekolah itu selama lima tahun sejak umur saya 13 tahun. Daripada situlah saya mendapat pendidikan awal dalam bidang vokal,” katanya.

    Apa yang membanggakan, sebelum bergelar penyanyi lagi, Hazami sudah mencurahkan kemahirannya sebagai guru vokal.

    Artis Warner Music ini mula bergelar guru vokal ketika berusia 18 tahun dengan menjadikan bidang itu sebagai kerja sambilannya.

    “Cuma baru sekarang saya jadikan guru vokal sebagai salah karier saya. Bagaimanapun, buat masa ini saya kendalikan kelas vokal di rumah saya.

    “Dalam tempoh enam bulan dari sekarang, saya merancang untuk membuka sebuah kelas vokal. Saya akan berkongsi dengan penyanyi Dia Fadila yang mungkin turut menjadi tenaga pengajarnya termasuk lima pekerja lain,’’ ujarnya.

    Kesibukan menyanyi menyebabkan Hazami terpaksa membahagi-bahagikan masanya untuk dua bidang yang diceburinya itu iaitu sebagai penyanyi dan guru vokal.

    Lantaran itu, buat masa ini anak kelima daripada tujuh beradik ini hanya mampu mengambil jumlah pelajar yang terhad bagi mendapatkan bimbingannya.

    “Saya bukan sahaja mengambil dua tiga pelajar pada satu masa tetapi saya juga tidak mengenakan bayaran yang tinggi untuk yuran pelajar saya.

    Kesedaran

    “Biasanya saya mengehadkan dua tiga pelajar untuk satu sesi kelas vokal selama dua jam. Saya rasa bayaran yang saya kenakan berpatutan dengan jumlah waktu pembelajaran yang saya sediakan.

    “Saya takut kalau letak yuran yang tinggi pelajar saya tidak mampu hendak bayar. Lagipun kesedaran orang ramai untuk mengikuti kelas vokal belum tinggi.

    “Ramai orang terutama penyanyi yang menganggap mengikuti kelas vokal tidak penting dan mereka berpuas hati dengan mutu vokal yang ada,” kata Hazami.

    Selama menjadi guru vokal sepenuh masa sejak lima tahun kebelakangan ini Hazami telah memberi bimbingan vokal kepada ramai pelajar termasuklah beberapa penyanyi yang sudah menempa nama.

    Antara penyanyi yang pernah mendapat bimbingan kelas vokal Hazami ialah Ning Baizura, Fazley, Bienda, Farahdhiya, Elly Mazlein, Fazli Malaysian Idol, Nikki dan Yani.

    “Walaupun saya mudah ketawa dan ramai pelajar itu adalah kawan saya tetapi saya amat serius semasa mengajar. Sebab itulah ramai pelajar kata saya seorang cikgu yang garang,” ujarnya lagi sambil ketawa.

    Penyanyi yang telah menghasilkan dua album berjudul Tekad, Redha, Tabah (2003) dan Kata (2005) ini mempelawa individu yang berminat untuk menyertai kelas vokalnya supaya melayari laman web www.hazami.com.my.

    Pelbagai maklumat untuk menyertai kelas vokal itu disertakan menerusi laman web itu termasuklah bayaran dan jadual kelas vokal penyanyi tersebut.

    Juliza contohi Michael Jackson

    SEBAGAI penyanyi dan guru vokal profesional, Juliza Adlizan banyak mengambil contoh kejayaan penyanyi bertaraf antarabangsa untuk memantapkan kariernya.

    Menurut ibu kepada Amzar Mustazly, 18, Nur Addin Arif, 10, dan Julia Afrina Batrisyia, 6, dia amat menekankan betapa pentingnya penyanyi mempelajari teknik menyanyi dengan betul.

    Menurut Juliza, setiap penyanyi perlu mempunyai guru vokalnya sendiri bagi memastikan mutu vokal mereka sentiasa disenangi oleh para peminat.

    “Bagi saya, setiap penyanyi kena ada guru vokal sepanjang karier mereka menjadi penyanyi. Saya dapat tahu penyanyi berpengalaman seperti Michael Jackson juga ada guru vokalnya sendiri.

    “Sampai sekarang Michael Jackson belajar vokal. Guru vokal penting kerana mereka ini boleh dianggap sebagai reminder yang akan menegur dan memperbetulkan kesilapan nyanyian kita,” ujarnya.

    Menurut Juliza, dia amat menekankan soal fokus terutama sewaktu mengendalikan kelas vokal.

    Justeru, pemegang ijazah sarjana muda Muzik dan Persembahan Vocal dari Utah State University, Amerika Syarikat ini tidak mengambil ramai pelajar dalam sesebuah kelas vokal yang dikendalikannya.

    “Biasanya ada dua pelajar sahaja dalam kelas vokal untuk dua jam dalam satu-satu sesi yang saya kendalikan.

    “Saya tidak mengambil ramai pelajar dalam sesuatu sesi kerana mahu memberikan tumpuan kepada pelajar tersebut.

    “Ini kerana proses pembelajaran teknik vokal secara tidak langsung memerlukan saya mengenali perangai dan kecenderungan serta bakat pelajar saya.

    “Jadi, dengan adanya pelajar yang terhad saya dapat memberi lebih banyak tumpuan. Saya rasa cara ini lebih berkesan.

    “Apatah lagi pelajar saya terdiri daripada kanak-kanak hinggalah kepada orang dewasa yang mempunyai perangai berbeza,” katanya.

    Penyanyi yang pernah popular dengan lagu Kuda Hitam ini menetapkan harga bayaran yang berbeza mengikut kategori usia para pelajarnya.

    Juliza mengenakan bayaran RM200 untuk pelajar berusia 15 tahun bagi sesi kelas dua jam dan RM240 selama dua jam untuk pelajar berusia 15 tahun ke atas.

    Pelajar Juliza bukan sahaja terdiri daripada kanak-kanak, orang dewasa tetapi meliputi juga golongan artis.

    Selain itu, Juliza tidak menggunakan khidmat pembantu sebaliknya dia mengajar sendiri semua pelajar yang mengikuti kelas vokal sejak tahun 1995.

    Antara artis yang pernah mendapatkan khidmat kelas vokal Juliza ialah Datin Seri Tiara Jacquelina, Camelia, Deana Yusof, Anis Suraya, Amir (Ruffedge), Adam (BY’U), Jeslina Hashim, Azura Zainal dan ramai lagi.

    Juliza yang mengendalikan kelas vokal menerusi syarikatnya, Tasmeen Entertainment Network, mengadakan dua sesi kelasnya dua kali sehari iaitu dari pukul 11 pagi hingga 1 petang dan dari pukul 4 petang hingga 6 petang.

    Katanya, kelas vokal amat penting untuk diikuti oleh penyanyi bagi membolehkan mereka tampil dengan gaya suara yang tersendiri.

    “Dengan mengikuti kelas vokal, seseorang penyanyi itu dapat mengetahui kelemahan dan kelebihan mutu vokal mereka.

    “Sebagai tenaga pengajar pula saya dapat mengetahui potensi mutu suara mereka. Apabila semua faktor itu dapat dikenal pasti ia akan memudahkan kita melahirkan penyanyi yang mempunyai keunikan suara masing-masing.

    “Saya kata begitu berdasarkan pengalaman saya sebagai penyanyi selama 22 tahun,” ujarnya dengan penuh yakin.

    Syafinaz belajar vokal dengan Siti Chairani

    WALAUPUN mempunyai mutu suara yang baik dan bergelar guru vokal, tetapi Syafinaz masih belum puas dengan kebolehan yang dimilikinya itu.

    Sebaliknya, penyanyi berusia 33 tahun ini tidak jemu untuk terus mempelajari teknik-teknik vokal daripada guru vokal yang lebih berpengalaman daripadanya.

    Pensyarah Fakulti Seni Persembahan Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini berkata, sehingga kini dia masih mempelajari teknik vokal dengan guru vokal terkenal dari Indonesia, Siti Chairani Proehoeman.

    “Biasanya setiap kali Siti Chairani berkunjung ke Kuala Lumpur saya akan berjumpanya untuk mempelajari teknik-teknik vokal dengannya.

    “Masih banyak lagi yang perlu saya pelajari. Bagi saya, perlu ada orang (guru vokal) yang sentiasa mendengar dan membantu mempertingkatkan lagi mutu vokal saya.

    “Dengan adanya guru vokal dia akan menegur apabila saya menyanyi dan memperbetulkan cara nyanyian saya supaya menjadi lebih baik,” katanya.

    Antarabangsa

    Selain Siti Chairani, penyanyi yang pernah popular dengan lagu Ingin Bersamamu ini juga tidak pernah melepaskan peluang mengikuti kelas vokal yang diadakan oleh penyanyi ataupun guru vokal antarabangsa setiap kali ia diadakan di Malaysia.

    “Saya biasa mengikuti program Master Class yang diadakan oleh guru vokal dari luar negara. Selain itu, saya juga pernah mengikuti kelas vokal yang diadakan di Istana Budaya,” ujarnya.

    Berbekalkan ijazah Sarjana Muda Muzik dari UiTM, Syafinaz mendapat kepercayaan untuk mengendalikan kelas vokal di beberapa institusi pengajian tinggi di negara ini.

    Selain mengajar kelas vokal di UiTM, penyanyi bergelar pensyarah vokal ini juga mencurahkan ilmunya di Jabatan Muzik, Akademi Seni Kebangsaan (ASK) dan kumpulan Koir Kebangsaan Malaysia.

    “Saya mula menjadi guru vokal sejak 10 tahun lalu iaitu selepas menerima ijazah dalam bidang muzik dari UiTM, Shah Alam.

    “Setakat ini saya mempunyai ratusan pelajar yang berusia dari tujuh tahun hinggalah orang dewasa. Malah beberapa penyanyi juga pernah belajar teknik vokal dengan saya, antaranya Ezlynn, Tiara Jacquelina, Noreen, Rozita Ezlynn dan ramai lagi,” katanya yang setiap hari berkejar ke sana ke mari untuk memenuhi kelas vokal yang dikendalikannya itu.

    Setiap Isnin Syafinaz akan mengajar di UiTM manakala pada Khamis dan Jumaat di ASK. Sementara pada hari Selasa, Jumaat serta Ahad masanya diperuntukkan untuk kumpulan Koir Kebangsaan Malaysia.

    Kesibukan itu tidak membebankan Syafinaz. Sebaliknya dia gembira kerana dapat menyumbang bakti demi kemajuan bidang seni suara tempatan.

    “Kalau hendak diikutkan memanglah penat terkejar ke sana ke mari tetapi saya rasa puas dengan kerjaya saya ini.

    “Banyak cabaran mendidik orang untuk menjadi penyanyi kerana kebanyakan pelajar saya tidak faham dengan konsep pembelajaran teknik vokal.

    “Ini kerana subjek ini kita tidak nampak instrumennya dan ia hanya berbekalkan kepada suara, sistem pernafasan dan anatomi badan,” jelasnya.

    Kesibukannya sebagai penyanyi dan pensyarah vokal menyebabkan Syafinaz tidak mempunyai banyak masa untuk memikirkan soal jodoh.

    “Kalau hendak diikutkan, jangankan hendak fikir fasal orang lain (teman hidup), hendak fikir fasal diri sendiri pun tidak ada masa,” katanya sambil ketawa.

    Dalam kesibukan mengajar, Syafinaz tidak pernah melupakan bidang nyanyian yang amat diminatinya.

    Justeru, setiap kali menerima undangan mengadakan persembahan Syafinaz jarang menghampakan permintaan pihak penganjur.

    “Saya sudah mula menyanyi sejak umur sembilan tahun dan diberi peluang merakamkan album pertama ketika berusia 16 tahun menerusi album berjudul Syafinaz dan album kedua berjudul Ingin Bersamamu.

    “Selepas 24 tahun menyanyi, bukan mudah untuk saya melupakan bidang yang amat saya minati. Saya merancang untuk merakamkan album terbaru selepas lima tahun tidak buat album baru,” katanya yang muncul menerusi album ketiga Syyy!… pada tahun 2000.

    Powered by Utusan Malaysia