Suki Klon Miley Cyrus?
Oleh FERIDE HIKMET ATAK

SAYA tak tiru Hannah Tan tau.
SEKALI pandang wajahnya persis Hannah Tan. Dengan rambut panjang mengurai berwarna perang, imejnya jauh berbeza berbanding di awal kemunculan menjadi juara One In A Million (OIAM).
Low Sook Yee atau Suki kini tampak lebih matang dan yakin. Seolah-olah dia menunjukkan dirinya tahu dengan apa yang diinginkan dalam karier seninya.
Bimbang disalah tafsir mengenai imej barunya itu, seperti tahu dengan apa yang ingin ditanya, pantas sahaja Suki berkata: “Saya tak tiru Hannah Tan tau. Ini semua secara kebetulan.
“Monkey Bone (syarikat rakaman) menyediakan seorang perunding imej yang bertauliah untuk memberikan tunjuk ajar dan latihan penjagaan serta gaya bagi imej terbaru saya.
“Lagipun saya mahu tonjolkan diri saya yang sebenar. Inilah saya, gadis berambut perang yang ‘sporty’. Saya rasa saya telah mencapai satu peringkat lain sebagai seorang artis. “
Personalitinya ternyata berbeza. Bukan ke arah keburukan, tetapi lihatlah, penyanyi ini petah berbicara ketika ditemubual selepas pelancaran album, pertamanya, Finally/Akhirnya dan langsung tidak menunjukkan seperti ‘budak lepas sekolah’.

BERDUET dengan orang kuat Monkey Bone, Ahmad Izham.
Namun selepas mendengar beberapa lagu-lagu barunya seperti Don’t, Ku Teruskan, Rock With Me dan Tak Pernah Berubah, sekali lagi Suki disamakan pula dengan penyanyi popular Miley Cyrus.
Rentak melodinya persis penyanyi remaja popular itu. Mungkin kerana genre yang dibawakan Suki, lagu mereka kelihatan lebih kurang sama.
Ditanya mengenai lagu-lagunya yang banyak persamaan antaranya dan Miley, gadis kelahiran Negeri Sembilan ini tidak melatah. Malah dia bangga disamakan dengan selebriti popular itu.
“Album saya bergenre pop rock dan sama juga dengan Miley. Mungkin sebab kami membawa muzik yang sama dan lebih kepada muzik dance, menyebabkan saya disamakan dengannya.
“Apa pun, saya suka kalau disamakan dengan Miley. Bukan senang untuk disamakan dengan artis-artis hebat Hollywood,” tuturnya berterus terang.
Cipta lagu sendiri
Penantian selama 18 bulan untuk menyiapkan album bukanlah satu jangka masa yang pendek. Dan kerana itu, albumnya diberi nama Finally/Akhirnya.

SUKI mahu berjaya dalam seni dan pelajaran.
Jangka masa itu digunakan sebaik yang mungkin. Bukan sekadar rakaman studio semata-mata, Suki juga diaturkan untuk menghadiri pelbagai kelas seperti vokal, komunikasi dan tarian.
“Memang jangka masa untuk menyiapkan album ini sangat panjang. Bukannya apa, cuma saya mahu ‘produk’ ini yang terbaik dan berkualiti tinggi. Biarlah lambat, asalkan hasilnya puas.
“Selain itu juga, pelbagai kelas intensif yang harus saya ikuti. Lebih-lebih lagi, lagu-lagu saya banyak memerlukan tarian dan sebab itulah saya perlu membuat latihan dan juga latihan kecerdasan di gim agar tidak penat ketika menyanyi,” ujarnya.
Uniknya dalam album ini, Suki menggunakan khidmat penerbit yang masing-masing mempunyai sentuhan tersendiri seperti Anton Morgan, Audi Mok, Greg Henderson, Kieren Kuek, Luke Mason, Nine Ruffedge, Paul Moss dan Zaf VE.
Menarik lagi, Suki tidak melepaskan pembikinan album 100 peratus kepada penerbitnya sahaja. Malah dia diberi peluang untuk mencipta lagunya sendiri iaitu Hidup Ini.
“Pada mulanya saya mahu jadikan ia sebuah lagu Inggeris tetapi Ahmad Izham (Pengarah Urusan Monkey Bone) mencadangkan agar ia dikekalkan sebagai lagu Bahasa Melayu.
“Selain itu saya juga merupakan penulis lirik bersama untuk lagu Tak Sama dan Ku Teruskan.
“Semua ini kerana Ahmad Izham, yang memberi kebenaran kepada saya untuk melibatkan diri dalam pembikinan keseluruhan album pertama saya,” tuturnya.
Tetap akan sambung belajar
Biarpun giat menyusun masa depannya dalam bidang seni, gadis ini tidak pernah pun lupa tentang perancangan membina kehidupan peribadinya dengan sempurna.

TURUT berbakat sebagai penulis lirik.
Setelah tamat sekolah menengah, Suki terpaksa menumpukan perhatian untuk kerjaya seninya yang masih lagi mentah. Namun, perkataan pelajaran, tidak pernah dilupakan langsung.
“Saya memang mempunyai keinginan ini, tetapi sentiasa sibuk dengan karier seni saya.
“Lagipun, takkan saya nak biarkan peluang terlepas dengan begitu sahaja. Ditambah pula pihak Monkey Bone telah mengaturkan segala perjalanan seni saya. Sudah tentu saya tidak akan mengecilkan hati mereka.
“Saya suka belajar dan juga sayangkan kerjaya saya. Jadi buat masa ini biarlah saya fokus pada kerjaya saya dulu dan akan meneruskan pengajian bila berpeluang berbuat demikian.” kata Suki bersungguh-sungguh.
Teringin ke dunia lakonan
Selepas menempa kejayaan dalam sesuatu bidang, biasanya seseorang artis pasti akan terjun ke bidang lain pula untuk mengembangkan sayap bakatnya.
Sama juga dengan Suki. Dia sebenarnya mempunyai impian untuk bergelar pelakon suatu hari ini.
“Saya bukannya tamak. Cuma gemar mencuba benda yang baru. Tetapi buat sementara ini, saya mahu menumpukan sepenuh perhatian dalam nyanyian dahulu.
“Kemudian, saya harap akan mendapat peluang untuk cuba ke bidang lakonan pula. Dan juga diberi peluang oleh Monkey Bone untuk saya menghadiri kelas-kelas lakonan tidak lama lagi,” jelasnya.
Kosmo
Pendengar, Wartawan, DJ Kongsi Gelanggang
Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my
CEMAS apabila penyampai radio Suria FM, Amirah Sakhia Shamsuddin atau Myra hampir pengsan apabila kepalanya terkena rembatan bola lawan menyebabkan dia terbaring di tengah gelanggang futsal beberapa minit.
Kejadian itu menyebabkan perlawanan akhir pertandingan Suria FM Selebriti Futsal 2008 yang berlangsung Ahad lalu di Sport Planet Ampang, terhenti seketika.
Semua rakan artis mahupun wakil media terkejut menyaksikan kejadian itu. Mujur dengan bantuan beberapa teman, keadaan Myra yang separuh pitam berjaya dipulihkan.
Membanggakan walaupun mengalami situasi menakutkan, semangat kental Myra membuatkan dia kembali bermain pada masa kedua.
Lebih manis dia memberi kemenangan apabila sepakan penentuan berjaya dijaringkan ke gawang gol selepas perlawanan akhir terikat satu sama.
Selepas permainan tamat, Myra menjelaskan, sebagai ketua kumpulan Surialicious, dia tidak sampai hati membiarkan pasukannya berjuang sendirian dalam keadaan kekurangan pemain dalam pertandingan peringkat akhir menentang Surianova.
“Hendak diikutkan senarai awal, kumpulan saya turut dianggotai penyanyi utama kumpulan Sofaz, Ameer dan pelakon, Nabila Huda. Bagaimanapun Ameer tidak dapat menyertai kami kerana terbabit dengan Anugerah Planet Muzik 2008 yang berlangsung pada hari sama.
“Nabila pula hanya dapat bersama kami pada perlawanan pertama kerana selepas itu, dia terpaksa meninggalkan gelanggang bagi menjayakan penggambaran drama,” katanya
Selain Myra, pasukan Surialicious turut diwakili anggota kumpulan Fabulouscats, Luqman Nor Hakim (Sumo), Rudy Imran Shamsudin (Wartawan Harian Metro), Mohd Dzul Hidjri (New Straits Times), pendengar bertuah Suria FM, Ben dan Diana juga wakil penaja Samsung Mobile, See.
Pasukan Surianova yang muncul naib juara diketuai penyampai Suria FM, Hairil. Mereka membariskan pemain terdiri daripada selebriti popular Diana Danielle dan Faradhiya diikuti Firdaus Sahat (Wartawan Hiburan Metro Ahad) dan pendengar bertuah, Isma, Salleh dan Aira.
Kejadian membabitkan Myra adalah sebahagian peristiwa menarik berlaku sepanjang Suria FM Selebriti Futsal 2008 berlangsung.
Kepada pendengar setia stesen radio itu yang berpeluang menyertai pertandingan ini menganggap ia satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan terutama apabila dapat bersama artis kesayangan bermain futsal.
Ketua Pegawai Operasi Suria FM, Engku Emran Engku Zainal Abidin sewaktu ditemui menjelaskan, antara objektif pertandingan itu diadakan untuk merapatkan hubungan antara pendengar, penyampai dan selebriti terbabit.
“Begitupun, pertandingan ini sebenarnya bertujuan merapatkan hubungan wakil media bersama penyampai Suria FM, artis dan pendengar setia memandangkan kami sudah selalu sangat menganjurkan acara membabitkan artis dan pendengar.
“Pendengar kami pun teruja apabila menyaksikan beberapa wakil media beraksi di tengah gelanggang.
“Maklumlah, selalunya mereka hanya membaca tulisan wartawan membabitkan artis kesayangan mereka di dada akhbar tetapi hari ini, pendengar Suria FM dapat mengenali mereka dengan lebih rapat. Sehinggakan saya nampak ada pendengar turut tidak melepaskan peluang bergambar dengan wakil media yang hadir,” katanya.
Bercerita lanjut mengenai penganjuran Selebriti Futsal 2008, jelas Engku Emran, pihaknya turut mendapat maklum balas positif daripada pendengar setia Suria FM. Malah, mereka mencadangkan supaya pertandingan futsal dijadikan acara tahunan dan dilakukan dalam skala lebih besar.
Pada hari itu, lapan pasukan beraksi dan diketuai penyampai Suria FM lain termasuk Zizie, Zhana, Zaff, Tuah, Akhtar dan Bob Ringgo. Antara artis yang turut menjayakan acara diadakan seperti Erra Fazira, Rashidi Ishak, Farah, Zahid, Nita, Fazli Zainal, Akhbar, Hazama, Raja Farah, Sharifah Shahora, Syed Azmir dan Farhan.
Acara turut diserikan dengan persembahan daripada kumpulan Matta, juara One In A Million musim kedua, Ayu dan Farah.
Juara dan naib juara pertandingan menerima hadiah berupa telefon bimbit, bluetooth dan baju tajaan Samsung dan Adidas. Pada hari itu, Sumo dipilih pemain terbaik sementara penyanyi, Syed Azmir, diumumkan penjaring terbanyak.
Powered by Harian Metro
Awal Buka Butik Online
Oleh Wan Asrudi Wan Hasan
wanasr@hmetro.com.my
FESYEN dan selebriti saling berkaitan. Gaya dan penampilan selebriti ketika menghadiri majlis atau ketika bertugas, sering mendapat perhatian. Tidak terkecuali bagi model, pelakon dan pengacara Ahmad Awaluddin Ashaari atau Awal.
Selepas menang anugerah pencarian model jenama pakaian French Connection United Kingdom (FCUK) pada 2004 seterusnya Cleo 2005, nama Awal kerap dikaitkan kepada ikon fesyen masa kini. Lantas, gelaran lelaki metroseksual (mementingkan penampilan, kebersihan dan gaya) tidak lekang daripadanya.
Awal mengakui langsung tidak mengambil kisah mengenai gelaran diberikan kepadanya. Malah, dia sentiasa menitikberatkan penampilan ketika mengadakan persembahan selain dalam lakonan. Malah, bidang fesyen antara keutamaannya kini.
Pengacara program realiti One In A Million (OIAM) dan tidak lama dulu dikenali menerusi program Sensasi, kini mengorak langkah setapak lagi apabila membabitkan diri dalam bidang perniagaan fesyen menerusi laman web.
Katanya, menerusi laman web mannequeenclothing@
dotblogspot.com pelbagai pakaian menarik untuk lelaki dan wanita dijual pada harga berpatutan dari RM30 hingga RM125.
“Jenama Mannequeen adalah butik pakaian secara online yang sudah ditubuhkan sejak tiga bulan lalu. Pakaian ini koleksi yang dibeli daripada Bangkok dan China.
“Walaupun tidak mempunyai tarikan seperti jenama terkenal, DKNY, Armani dan sebagainya pakaian ini kemas dan menarik. Saya sendiri memakainya. Malah ke mana saja saya pergi, ramai yang bertanya mengenainya.
“Memandangkan modalnya tidak besar, jadi saya memberanikan diri untuk cuba berniaga menerusi laman web (ebay). Begitupun, untuk memulakan perniagaan ini saya tidak keseorangan tetapi bersama empat lagi rakan kongsi.
“Buat permulaan, kami tidak ada pejabat tetap tetapi sebulan sekali kami akan mengadakan majlis ‘mannequeen party’ untuk memperagakan koleksi pakaian.
“Alhamdullilah, sejak beroperasi sambutan yang diterima cukup menggalakkan. Keuntungan untuk enam bulan pertama akan dijadikan modal pusingan untuk memperkembangkan perniagaan,” katanya.
Bagi Awal, menghabiskan wang membeli pakaian jenama memang memberi kepuasan tetapi jika terlalu mahu mengikutkan trend boleh ‘mati’ dalam erti kata lain boleh menghabiskan duit begitu saja.
Mengakui dirinya pernah menjadi mangsa membeli-belah untuk barangan berjenama sehingga sanggup berbelanja sampai RM3,000 pada satu masa untuk tujuan itu.
“Saya tidak kisah sangat mengenai pakaian. Namun untuk kasut, jam dan beg saya terpaksa memilih barang berjenama kerana mahu memakainya dalam jangka panjang. Kalau ikutkan, cermin mata yang saya pakai sekarang berharga RM30 saja,” katanya.
Teraju utama drama yang semakin diminati, Impak Maksima yang disiarkan setiap Isnin jam 9 malam di TV3 berkata, dia memang mempunyai minat yang mendalam dalam bidang fesyen.
Powered by Harian Metro
Juliana Rindu Nasi Lemak
Oleh IZYAN LIYANA MOHD DARIF

JULIANA Sophie Johari Evans
JULIANA Sophie Johari Evans yang bakal berusia 19 tahun pada tahun ini, merupakan antara pelakon dan pengacara yang sedang meningkat naik.
Tugas sebagai pengacara Remaja yang disiarkan di saluran TV3 pada setiap hari Sabtu, pukul 1 petang, merupakan satu tugas yang begitu menyeronokkannya.
Gandingannya bersama bekas finalis, One In a Million musim pertama, Muhammad Alif Mohd Satar (Alif) tampak serasi. Ini sekali gus membuktikan bahawa pasangan remaja ini selesa mengendalikan rancangan yang bersesuaian dengan jiwa remaja mereka.
Walaupun tahun 2007 sudah melabuhkan tirai, namun anak kacukan Melayu sebelah ibu dan Inggeris di sebelah bapanya, masih terkenangkan pelbagai peristiwa manis yang dikecapi sepanjang tahun tersebut.
Juliana yang gemar membahasakan dirinya Jue, tidak pernah menyangka cubaan pertamanya melibatkan diri dalam lakonan drama Kami, membuahkan hasil dan mendapat sambutan daripada para penonton.
Memegang watak sebagai Sophie, Juliana menyifatkan bahawa karakternya di dalam drama, hampir sama dengan keperibadiannya yang sebenar.
ΐItulah diri saya. Sifat sensitif, kasih sayang dalam persahabatan, ceria dan serius ketika melakukan tugasan cukup dekat dengan diri saya. Berlakon di samping pelakon remaja lain seperti Nas-t, Ani Zayanah, Ezany dan Liyana Jasmay memberikan pengalaman baru dan sungguh menakjubkan.
ΐSaya juga tidak menyangka bahawa drama Kami mampu menambat hati penonton, terutamanya golongan remaja yang meminati muzik underground dan suka menyaksikan gig, jelas bekas pelajar Sekolah Sri Kuala Lumpur, Subang dan Sekolah Menengah Seksyen 9, Shah Alam, ketika ditemui KOSMO! di Studio Utusan Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Jue yang kini sedang menuntut dalam ijazah Program Amerika di Institut Help, Damansara, Kuala Lumpur, berazam sempena tahun 2008 ini, dia ingin mengembangkan bidang pengacaraan dan meningkatkan mutu lakonannya.

Ketika ditanya, sejak bila mula menceburkan diri dalam bidang pengacaraan, Jue yang memiliki berat badan 45 kilogram berkata: ΐSejak umur 12 tahun, saya mula menjadi hos bagi rancangan E-Zone yang disiarkan di Astro Ria dan meningkat umur 16 tahun, saya dilamar pula sebagai pengacara program Remaja.
ΐNamun begitu apabila berusia 17 tahun, saya berhenti menjadi pengacara kerana ingin memberi tumpuan sepenuhnya dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Alhamdullillah khidmat pengacaraan saya bersama Remaja kembali semula pada tahun ini.
Mengulas lebih lanjut mengenai bidang pengacaraan, Jue memasang impian untuk mengacara program yang berbentuk pengembaraan. Ini kerana Jue ingin mempelajari budaya asing, mengetahui sejarah dan mengenali keistimewaan yang terdapat di negeri atau negara yang dikunjungi.
Mengimbas kembali saat mengacarakan hos E-Zone, Jue berasa gembira kerana program tersebut telah membawanya ke seluruh negeri di Malaysia. Antaranya, Negeri Sembilan, Melaka, Sabah dan Sarawak.
ΐSabah dan Sarawak bukan sahaja terkenal dengan pelbagai kebudayaan, tradisi dan keindahan tempatnya malah sifat mesra dan menghormati para tetamu, turut menambat hati saya, ujarnya yang pernah mengunjungi negara luar seperti England, Korea, Indonesia, Thailand dan Jepun.
Di sebalik keghairahannya mengembara ke luar negara, jauh di sudut hatinya, dia masih menyanjungi tanah airnya sendiri. Ini terbukti apabila Jue yang mempunyai ketinggian 162 sentimeter menceritakan kerinduannya terhadap Malaysia ketika menyertai program pertukaran pelajar ke Jepun.
Menetap di negara Jepun selama 10 hari dan setiap hari disajikan hidangan sushi, telah menyebabkan hatinya bergelodak untuk segera pulang ke Malaysia kerana ingin menikmati hidangan nasi lemak.
ΐBegitu juga ketika berada di Indonesia dalam tempoh yang lama. Dek kerana setiap hari menikmati nasi padang, membuatkan saya kurang selera makan. Setibanya di Malaysia, perkara pertama yang saya lakukan adalah membeli nasi lemak, katanya yang begitu mementingkan kesihatan dan suka menggenakan solekan nipis.
Jika remaja wanita sepertinya gemar mengumpul aksesori, kasut mahupun beg tangan, Jue pula sebaliknya. Kerjaya bapanya sebagai jurugambar separuh masa telah menyebabkan Jue, meminati mengumpul gambar yang cantik dan memberikan kenangan.
Gambar-gambarnya sewaktu kecil hinggalah meningkat dewasa akan digunting, dikumpul dan ditampal dalam sebuah buku skrap. ΐHobi ini akan membuatkan saya sentiasa mengingati peristiwa indah yang dilalui bersama keluarga dan rakan-rakan, kata anak bongsu daripada tiga orang adik beradik.
TRIVIA
Buku kegemaran: Mengenai kasih sayang, perhubungan dan kehidupan.
Percutian idaman: Los Angeles, Mesir dan Mexico.
Filem kegemaran sepanjang masa: Genre ngeri.
Program televisyen yang digemari: Drama KAMI
Masa yang dinanti- nantikan: Mengharungi kehidupan di Amerika Syarikat.
Saya tidak suka: Lipas.
Idola yang paling disanjungi: Pengacara Asha Gill.
Powered by Kosmo