P Ramlee Bagaikan ‘Hidup Semula’
BAHAGIA: Babak Ramlee dalam kegembiraan selepas berkahwin dengan Norizan.
Kehadiran Musly dalam muzikal terbitan Enfiniti Productions tidak sia-sia.
P RAMLEE – pelakon, penyanyi, penggubah, pemuzik, penulis, pengarah dan juga ikon filem serba boleh – terkenal dan dikagumi di Malaysia dan Singapura dengan penghasilan lagu dan filem pada tahun 1950-an dan 1960-an yang dekat dengan hati masyarakat.
Kelemahan dan keganjilan perwatakannya di layar perak – seorang yang tertindas, mudah terhibur dek irama, persahabatan, percintaan dan lagu – berjaya menambat hati penonton dari pelbagai lapisan generasi dan masyarakat.
Lagunya mencerminkan warisan perfilemannya sepanjang lebih 25 tahun, kini mengingatkan kita kembali kepada suatu zaman di mana kedua-dua negara mengamalkan kehidupan yang amat ringkas dan bergotong royong dan keperibadian yang halus.
Itu semua dipaparkan menerusi persembahan pentas P Ramlee…The Musical untuk kali kedua. Berbeza dengan pementasan pertama, produsernya, Datin Seri Tiara Jacquelina memilih Musly Ramlee untuk membawa watak Ramlee menggantikan Sean Ghazi.
Ia keputusan yang tidak sia-sia. Dalam pementasan awalnya di Esplanade Theatre, Singapura, Ahad lalu, Musly tidak mensia-siakan harapan itu. Bukanlah hendak menidakkan lakonan Sean Ghazi yang memikul watak P Ramlee dalam muzikal terdahulu, tetapi sememangnya penampilan Musly kali ini meninggalkan kesan tersendiri, bermula daripada nyanyian, tutur kata dan lakonannya. Lagipun, wajah sebenar P Ramlee sudah diketahui umum dan sudah tentu penampilan Sean tidak tepat dengan apa yang dibayangkan oleh kita semua. .
Oleh itu, kemunculan Musly bukan sekadar mengimbau nostalgia lagu P Ramlee, tetapi juga membayangkan mengenai kehidupannya. P Ramlee dengan wajah gembira, sedih, serius atau terpinga-pinga. Segala-galanya dihayati dan dibawakan dengan baik oleh Musly sehingga penampilannya di pentas seolah-olah seperti P Ramlee sebenar.
Itulah P Ramlee sebenarnya. Tidak keterlaluan untuk menyatakan Seniman Agung, Tan Sri P Ramlee seolah-olah ‘dihidupkan semula’ apabila melihat Musly menyanyi, menari dan melakonkan tingkah lakunya dalam teater muzikal ini. Suaranya yang garau ketika menyanyi, pertuturannya dengan berbau loghat Pulau Pinang membuatkan kita terasa mengenali P Ramlee lebih dekat walaupun seniman ini sudah meninggal dunia 30 tahun lalu.
Apatah lagi 14 lagu asal P Ramlee dinyanyikan semula oleh Musly membuatkan muzikal ini bagaikan membawa penonton dalam era kegemilangan dan kejatuhan seniman itu. Kekuatan teater ini memang hasil kerja secara berpasukan tetapi tidak dinafikan kemunculan Musly yang memegang watak P Ramlee diibaratkan tepat pada acuannya.
Cuma kekurangan Musly ialah tubuhnya yang rendah dan agak kurus. P Ramlee yang dapat dilihat menerusi filem lakonannya pada peringkat awal kurus dan tinggi, manakala pada penghujung kerjayanya bertubuh gempal. Begitupun, ia tidaklah dianggap sebagai satu ‘gangguan’ besar kepada penonton teater muzikal ini.
Sesiapa pun yang menyaksikan lakonan Musly dapat membayangkan mungkin begitulah kehidupan P Ramlee di luar atau dalam filem. Bukan saja Musly, penampilan Liza Hanim sebagai Saloma ternyata cukup menyerlah. Pengalamannya dalam muzikal yang lalu memberi kelebihan kepada Liza untuk memastikan watak Saloma benar-benar hidup.
Lakonan Melissa Saila sebagai Norizan memang sudah dapat dijangka. Begitu juga dengan Atilia yang mendukung peranan sebagai Junaidah, manakala penampilan Emelda Rosmila yang memegang watak Azizah tidaklah meninggalkan kesan besar. Dalam pementasan sebelum ini, watak Azizah mendapat tumpuan kerana ia disandang oleh Datuk Siti Nurhaliza.
Memperkuatkan lagi teater ini adalah rekaan dan pergerakan set yang kemas dan mengagumkan hasil ilham Raja Maliq, selain gerak tari daripada koreografer daripada Pat Ibrahim. Biarpun hampir tiga jam ia dipentaskan, persembahan P Ramlee…The Musical kali ini menepatinya tagline atau apa yang hendak diketengahkan iaitu Kehidupan, Percintaan dan Inspirasi.
INFO:
- Daripada lagu cinta dan gembira seperti Selamat Berjumpa Semula, Gelora hinggalah kepada lagu meruntun jiwa Hujan Di Tengah Hari, Getaran Jiwa dan Di Manakah Ku Cari Ganti, benar-benar membuatkan penonton terpaku dengan persembahan teater ini.
- Babak P Ramlee menyanyikan lagu Getaran Jiwa dengan iringan piano petikan Sudarmaji (dilakonkan oleh Mohd Fauzuly Hamdan Tahir) dilihat amat klasik. Babak ini kemudian dilanjutkan dengan pertemuan Ramlee dan Saloma apabila kedua-duanya kemudian menyanyikan lagu Senandung Kasih dan Gelora. Saat bahagia P Ramlee berada di alam percintaan dengan Saloma digambarkan menerusi lagu Saat Yang Bahagia dan Hancur Badan Kandung Tanah.
- Dengan berlatarkan muzik Azizah dan Engkau Laksana Bulan, teater muzikal ini memang meninggalkan kesan kepada penontonnya, terutama kepada peminat atau mereka yang mengikuti perjalanan hidup serta sejarah pencapaian kerjaya seni Seniman Agung negara.
- Melainkan watak Ramlee yang diberikan kepada Musly, Adlin Aman Ramly tidak banyak mengubah jalan cerita P Ramlee…The Musical bagi kali kedua ini. Ceritanya bermula dengan latar di Pulau Pinang pada tahun 1948, seperti Malam Pesta Bukit Mertajam, Taman Bunga dan Stesen Keretapi Tanah Melayu di Butterworth.
Powered by Berita Harian
Siti Akhirnya Menghuni Banglo RM6 Juta
Oleh TENGKU KHALIDAH TENGKU BIDIN ent_editor@kosmo.com.my

INILAH dia rumah Datuk K yang kini dihuni Siti Nurhaliza yang terletak di Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur. Gambar kecil, Datuk K dan Siti Nurhaliza.
KUALA LUMPUR – Setelah beberapa bulan sepi, banglo mewah bernilai lebih RM6 juta di Bukit Antarabangsa yang pernah diduduki Datuk Seri Khalid Muhammad Jiwa dan bekas isterinya, kini menerima kehadiran penyanyi Datuk Siti Nurhaliza sebagai penghuni baru.
Banglo berkenaan yang sebelum itu diduduki bekas isteri Khalid (Datuk K), Tengku Zawyah Tengku Izham bersama anak-anaknya selepas perceraian mereka, dikatakan mula diduduki Siti sejak awal bulan ini.
“Memang benar Siti selalu berada di banglo ini semenjak bekas isteri saya pindah beberapa bulan lalu,” jelas Khalid kepada Kosmo!.
Powered by Kosmo
Isteri Izin Kahwin Lain – Cinta Sang Gitaris Rock

PERNAH dilanda musibah tetapi kekuatan cinta mereka telah mempertahankan ikatan suci sebagai suami isteri.
DENGAN hanya satu petikan, pesona sang gitaris ini mudah sahaja menambat hati ramai. Dia tidak perlu berkata-kata untuk meluahkan ekspresi, cukuplah sekadar gitarnya sahaja yang bersuara mewakili kata hatinya.
Ini sekadar imaginasi sesiapa sahaja yang melihat kehidupan anak seni ini dari kejauhan. Mendekatinya sebagai pengisi ruangan Intuisi Cinta minggu ini, saya semakin kenal siapa figura yang sering membikin pentas jadi gempak dek petikan gitar berhantunya.
“Saya memang macam ini, betullah kalau ada orang cakap saya jenis yang kurang bercakap. Nampak macam ganas tapi sebenarnya ‘slow’. Jiwa lembut, mungkin benar,” ujar lelaki berusia 44 tahun ini tertib sekali.
Melihat keluarganya dipenuhi bunga-bunga keceriaan yang kembang di semua sudut terataknya di Ampang ini, hati siapa yang tidak cemburu. Ketika kerjaya yang masih tidak tercabar dek lawan, ketika dipuja dan jadi idola setiap anak muda yang baru hendak kenal nota muzik, gitaris unggul bernama Man Kidal ini sudah melengkapkan putaran hidupnya.
Walaupun tidak memiliki segunung emas tetapi kasih-sayang yang membiak dalam hidupnya sudah dikongsi bersama tiga generasi yang sebumbung dengannya. Bukannya jeritan atau wang ringgit yang diraih sejak lebih 25 tahun menghambakan diri dengan muzik tetapi inilah harta sebenar milik Man Kidal.
MUZIK adalah mata pencarian bahkan muzik juga pengikat kasih dalam keluarga Man Kidal.
Man Kidal sudah tersangat bahagia dengan kesetiaan isteri tercinta, Norlaila Yusof, 44, anak, menantu serta cucu-cucu yang sedang menyinari harinya.
Pinta Man Kidal, jangan ada lagi anasir yang cuba meragut cinta yang sedang dimiliki, kerana apa yang telah dilalui beberapa tahun lalu, sudah cukup sebagai ujian paling besar yang menduga hidupnya.
Apabila si isteri, Norlaila membuka halaman yang terlipat kemas, barulah jelas segala-galanya. Ternyata bunga-bunga bahagia yang terpancar saat ini adalah percikan dari petir yang menyambar ikatan kasih mereka berdua, tiga tahun lepas.
“Abang (Man Kidal) pernah minta nak kahwin lagi. Bagi seorang wanita yang bergelar isteri, tiada kepahitan lain yang lebih pahit daripada ungkapan itu. Ungkapan yang keluar dari bibir lelaki yang paling kita sayang, lelaki yang peluk kita selama ini. Masa itu, dunia saya gelap.
“Tetapi kerana terlalu sayangkan dia, saya tanya dia. Saya izinkan kalau dia betul-betul sudah kenal dan nak kahwin lagi,’ luah Norlaila yang mesra membahasakan dirinya Kak Nor tanpa berselindung.
CUCU-CUCU yang menceriakan hidup Man Kidal, (dari kiri) Siti Nur Elysha, Danish Haikal dan Danial Aiman.
Sambil matanya berkaca, nafasnya dihela dalam-dalam. Tambah Norlaila lagi: “Tiada apa lagi yang boleh saya harapkan kalau suami sudah ada perempuan lain. Saya fikir masak-masak, saya sendiri yang nak pergi ambil borang kebenaran berkahwin dan ajak suami jumpa keluarga perempuan berkenaan. Dalam hati saya, saya bagi tempoh seminggu untuk dia fikir, kalau benarlah mereka jadi kahwin, saya akan minta cerai.”
Tuhan Maha Kaya, Maha Pengasih dan Maha Mengetahui, kusut yang membelenggu tiba-tiba terlerai dan seperti matanya dicelikkan dari lena, Man Kidal sendiri yang membatalkan rancangan berkahwin lagi.
Dia kembali kepada Norlaila dan berjanji, noda hitam yang tercalit di hati masing-masing akan dibasuh sebersih mungkin.
Sengaja saya tanyakan, apakah itu satu kesilapan paling besar yang pernah Man Kidal lalui dalam hidupnya.
Jawab pemuzik ini ringkas tapi berisi. “Saya tidak anggap itu kesilapan kerana semua orang buat silap. Lebih tepat lagi itu ujian Tuhan. Ya, ujian yang sangat besar. Ujian begitu akan datang kalau kita selalu berjauhan dengan keluarga.”
SETELAH lebih 25 tahun hidup bersama , Man Kidal dan Norlaila sudah masak dengan karenah hidup.
Onar datang daripada diri sendiri. Dia seorang yang pentingkan muzik dan Man Kidal sedar jika rancangan itu terlaksana, hidupnya akan kucar-kacir dan satu-satunya pilihan yang ada dia harus berhenti dan meleraikan masalah itu dengan baik.
“Saya harus bertanggungjawab dengan apa yang telah saya lakukan. Itulah cabarannya,” kata Man Kidal tersenyum.
Itulah yang namanya kehidupan. Nampak tenang, tetapi siapa sangka di sebalik tembok yang memisahkan mereka dengan pandangan ramai, pasangan ini pernah mengharungi arus yang panas.
Tersenyum terkenangkan kerenah suaminya, kata Norlaila: “Jadi isteri Man Kidal kena sabar. Dia bukan artis tapi digilai melebihi artis khususnya peminat perempuan. Ada yang minta nak bergambar, nak peluk dia, nak duduk atas riba. Saya faham, jadi saya sabar. Sebab saya sekarang jadi pengurus dia, kadang-kadang, saya tak nak tunggu sampai dia habis show sebab saya tak nak tengok benda-benda macam itu.”
HARTA sebenar milik Man Kidal. Dari kiri: Siti Nurhaliza (menantu), Siti Nur Elysha (cucu), Norlaila dan Kamaruzzaman (menantu). Duduk di depan: Norshahera, Aiman dan Farah.
“Ada juga yang datang cari sampai ke rumah. Mereka telefon marah-marah, macam-macamlah. Tapi saya jenis yang sabar, sabar dah jadi makanan saya selama ini. Sebab sabarlah dah bertahan lebih 25 tahun macam sekarang. Walaupun macam-macam hal yang berlaku saya tetap sayang dia, sebab saya tahu, dia lelaki yang berhati mulia, murah hati, ‘murah hati kepada semua.”
Di sebelah Norlaila, Man Kidal terbatuk kecil mendengarkan cerita isterinya. Dalam pandangan saya, pasangan ini sudah cukup mengenal asam-garam. Justeru, hari-hari mendatang adalah bonus yang cukup bermakna untuk mereka nikmati manisnya bersama-sama.
Ditanya, apa ertinya antara isteri dan gitar, Man Kidal tersenyum, jawabnya: “Itu dua perkara yang tak boleh dibandingkan. Dua-dua itu nyawa hidup saya.”
Sampuk Norlaila pula “Antara banyak-banyak gitar yang dimiliki, gitar kuning yang dipetiknya ini adalah gitar kesayangan. Pantang diusik atau dipinjamkan kepada sesiapa.”
AYAH dan anak berkongsi cinta dan cita-cita yang sama.
Mengalih topik perbualan pasangan ini terhadap wajah-wajah ceria yang memenuhi kediamannya. Man Kidal tersenyum lagi. Apa lagi yang diinginkan seorang ayah apabila darah-dagingnya sendiri sudah mengikuti jejak langkahnya.
“Saya kidal, dia kanan. Tapi saya tak perlu risau lagi, saya dah ada pewaris. Bukan harta tetapi ilmu yang saya miliki. Kalau dah tiada nanti, sekurang-kurangnya anak saya, Elley (Mohd. Shefflee) boleh meneruskan apa yang saya lalui hari ini.”
Sebagai anak, Elley, gitaris kumpulan The Big Bang ini berbangga kerana berayahkan Man Kidal. Tetapi sebagai pemuzik (gitaris), pintanya jangan dibandingkan seorang Man Kidal dengan Elley.
“Saya macam biasa sahaja, jadi anak Man Kidal tidak pernah memberi tekanan pada saya. Kalau nak dibandingkan saya dengan dia, mana boleh saya jadi Man Kidal. Saya cuma darah-dagingnya, tapi jangan orang mengata bapa saya sudah,” jawab Elley menjelaskan situasinya sebagai pemuzik yang membawa gelaran anak Man Kidal.
Powered by Kosmo
Diana Danielle Ada Pengawal Peribadi
Oleh NIEZAM ABDULLAH Foto SHAHRIL AZMAN ZAIN Solekan & dandanan DEQ SHA (019-3495383)
Baru berusia 17 tahun tapi siapa sangka popularitinya terus meningkat setaraf bintang popular Erra Fazira dan Datuk Siti Nurhaliza.
Kenapa saya berkata begitu? Kerana pada hari ini tidak ramai bakat baru khususnya di kalangan remaja yang mampu mencipta populariti seperti gadis bernama Diana Danielle ini.
Bakatnya mula diasah selepas Datuk Yusof Haslam, penerbit Skop Production bertemu Diana dengan ibunya di kawasan pejalan kaki sebuah kedai di Taman Melawati, Kuala Lumpur kira-kira dua tahun lalu.
Kata Yusof, semasa berselisih itu terus dia membuka peluang untuk Diana berlakon drama terbitan syarikatnya.
“Saya menawarkan dia berlakon kerana saya lihat ada sesuatu yang istimewa pada Diana. Kebetulan ibunya memberikan lampu hijau, terus dia menerima tawaran berlakon drama-drama saya,” katanya.
Rasanya ramai yang sudah mengetahui bakat gadis ini. Dia bukan baru sehari dua terlibat dalam dunia lakonan. Diana pernah berlakon iklan lampin (Pampers) ketika berusia sembilan bulan.
Masih ingat atau tidak iklan itu pada tahun 1992 yang memperlihatkan seorang bayi separuh bogel dipakaikan lampin? Itulah Diana!
Tidak hanya iklan, Diana juga turut ditawarkan berlakon filem Idola ketika berusia sembilan tahun dan seterusnya bakat dia terus digilap selepas bertemu dengan Yusof.
Bukan mudah sebenarnya untuk membuat sesi fotografi dengan Diana. Saya mengambil masa yang agak lama bagi mengaturkan pertemuan ini. Bukan kerana sombong tetapi tanggungjawabnya terhadap pelajaran menuntut beliau untuk menolak beberapa tawaran dan juga sesi fotografi.
Pagi dia ke sekolah dan malam sibuk pula dengan kelas tambahan. Apatah lagi pada tahun ini Diana akan menghadapi peperiksaan penting, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Dek kerana kesibukan, sesi fotografi Pancaindera pada hari itu terpaksa diaturkan selepas waktu pejabat yang berakhir kira-kira pukul 10.30 malam.
“Penat betul ni, mata Diana dah tak boleh nak buka dah,” katanya sesekali terpaksa merungut.
Siapa dua lelaki itu?
Petang itu saya menerima kiriman khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada ibu Diana iaitu Norsiah Ramli. Dalam SMS itu, Norsiah yang gemar membahasakan dirinya Mama memberitahu, dia tak dapat menghantar Diana ke studio tetapi anaknya itu akan ditemani dua orang lelaki.
Semasa di studio, saya berkata wah… hebat sungguh Diana. Ada dua orang lelaki yang datang menemani. Tetapi apakah hubungan mereka dan siapakah mereka itu?
“Ya, dia orang ni bodyguard dan juga pemandu. Mereka yang akan membawa Diana ke mana-mana sahaja tetapi awas, dia orang tiada apa-apa hubungan lebih dari itu okey,” katanya awal-awal lagi menepis perkara yang boleh dijadikan bahan gosip.
Saya bertanya lagi kenapa memilih untuk ‘memasang’ bodyguard? Pada masa ini artis popular yang ada pengawal peribadi hanyalah Datuk Siti Nurhaliza dan juga Fasha Sandha sahaja.
Sebagai anak tunggal ujar Diana, tidak salah ibunya menyediakan dia pemandu dan juga pembantu peribadi bagi menjaganya. Bukan untuk berlagak macam orang kaya tetapi sebagai gadis yang sedang meniti jambatan populariti perkara itu difikirkan penting.
Malah akui Diana ibunya bukan selalu dapat untuk menemaninya kerana sibuk dengan pekerjaan sebagai agen hartanah. Lebih baik ibunya menggajikan seorang pengawal peribadi dan seorang pemandu bagi membolehkan dia berurusan.
“Ibu tidak akan lepaskan Diana seorang diri sebaliknya dia lebih percaya kalau ada orang yang menemani.
“Sebab ibu selalu sibuk. Kadang-kala saya juga kasihan dengan dia yang terpaksa menemankan saya kemana saja.
“Kadang kala saya terpaksa balik jauh malam kalau ada shooting. Ibu nak teman pun bukannya boleh selalu.
“Jadi untuk memudahkan semua urusan, ibu sudah menyediakan Diana seorang pengawal peribadi supaya mudah untuk saya menguruskan kerjaya selain bertindak menjaga keselamatan saya,” katanya
Siapa ‘sponsor’?
Apabila ada seorang pemandu, kereta mewah dan bodyguard tentu saja seseorang itu akan dikaitkan dengan skandal, itu dan ini. Dunia hiburan di Malaysia begitulah biasanya. Di Hollywood, kalau artis ada 20 pengawal peribadi sekalipun tidak menjadi masalah dan bukan perkara yang luar biasa.
Malangnya industri hiburan di Malaysia ini kecil, artis yang dilihat berkeadaan agak mewah tentu sahaja dituduh kononnya menjalinkan hubungan dengan orang kenamaan dan Datuk-Datuk.
Bagi Diana, kehidupan dan kemewahan yang dikecapinya pada hari ini tidak ditaja oleh sesiapa pun. Sebaliknya kesenangan yang dimilikinya itu merupakan hasil usaha dan kerja kerasnya sejak kecil.
“Sponsor? Kalau ada orang yang nak menaja, tentu saya akan lebih mewah daripada ini. Tapi apa yang saya peroleh sekarang ini adalah hasil kerja dan susah senang saya selama bergelar artis.
“Ini duit yang saya kumpulkan selain kerja keras mama dalam bisnesnya untuk melihat kejayaan saya dan juga kebahagiaan kami berdua,” katanya.
Benarkah ibu mengongkong?
Forum dan sembang Internet menyebarkan berita yang kurang baik kononnya kehidupan Diana pada hari ini dikongkong ibunya yang berusia 45 tahun itu. Malah sembang internet itu juga turut mendakwa Norsiah turut campur tangan dalam urusan fotografi serta sesi soal jawab antara wartawan.
Saya bertanya sendiri perkara itu dan mahukan Norsiah yang sememangnya ramah apabila bercakap menjelaskan berita buruk yang disebarkan itu.
Tanpa mahu berselindung akui beliau, ada waktunya dia perlu tegas dalam sesuatu perkara. Ia termasuklah soal mengawal anaknya agar tidak terus hanyut dengan populariti yang diraih pada hari ini.
Tetapi ketegasannya ada tempat dan bukan sengaja dilakukan untuk mendapatkan publisiti murahan.
“Memang saya tegas dengan anak saya kerana dia masih muda. Dia perlu dibimbing. Saya tidak boleh membiarkannya seperti melepaskan seekor burung merpati.
“Budak-budak sekarang perlu dijaga dengan rapi kerana saya bimbang jika tidak dikawal seseorang itu mudah untuk terlibat dengan anasir yang boleh merosokkan dirinya.
“Tapi saya bersyukur kerana ketegasan itu membuatkan Diana lebih berjaya dan menjadi seorang anak yang menghormati orang lain,” katanya.
Mengenai campur tangannya sehingga menyebabkan dia kurang disenangi oleh pihak tertentu kata Norsiah ada sebab dia berbuat demikian.
Malah wanita yang sudah lama menjadi ibu tunggal ini juga berkecil hati apabila ada pihak yang bertanya status anaknya itu.
“Ada yang tanya Diana anak angkat saya kah? Sembilan bulan saya mengandungkan dia, persoalan itu pula yang dibangkitkan. Jujurnya saya kurang senang dengan cara itu.
“Malah ada orang yang tak dapat mengutuk Diana cuba menjadikan saya sebagai sasarannya. Tentulah saya cepat melenting dan ia bukanlah sengaja dibuat-buat,” ujarnya.
Tapi Norsiah tidak mahu memikirkan perkara itu sebaliknya menganggap segala gosip dan tohmahan yang keterlaluan itu sengaja diada-adakan kerana ada pihak yang mula dengki dengan kejayaan Diana.
Masih muda untuk bercinta
Rasanya ramai sudah mengetahui status Diana apabila dia dikaitkan dengan pengarah Evolusi KL Driff, Syamsul Yusof. Mengakui berkawan rapat tetapi menolak mereka macam pasangan bercinta lain.
Kata Diana, dia selesa berkawan dengan Syamsul tetapi hubungan mereka tidak boleh untuk ditakrifkan sama seperti pasangan lain. Disebabkan masih muda, masa dan tumpuan sekarang hendak diberikan dalam dunia lakonan dan pelajaran.
“Diana tak mahu terlalu memikirkan soal cinta kerana perjalanan Diana masih jauh. Sekarang Diana baru berusia 17 tahun.
“Selepas belajar nanti Diana bercadang untuk melanjutkan pelajaran ke tempat yang lebih jauh. Kalau boleh sehingga ke luar negara.
“Sebab itu apabila orang tanya sejauhmanakah percintaan Diana dengan Syamsul, jawapannya Diana senang dan selesa berkawan dengan dia,” terangnya yang sesekali tersenyum apabila dikaitkan dengan nama anak jutawan filem itu.
Powered by Utusan Malaysia
Bual Fesyen: Peranan Jurusolek Dipandang Sepi
Kerja di belakang tabir tidak diberi tumpuan meskipun fesyen dan solekan saling berkait rapat
PERANANNYA tidak dirasai sungguhpun sentuhan tangannya kunci kehebatan dunia kecantikan dan peragaan. Dior, Shu Uemura dan Chanel antara nama besar peringkat antarabangsa yang mampu menggandingkan gaya dan solekan dalam satu, hingga menjadi ikutan seantero dunia.
Gaya smoky eyes yang mula diperkenalkan Dior menerusi sentuhan jurusolek sehingga ke hari ini berjaya menjadi ikutan di pentas peragaan, hinggalah ke jalanan. Daripada model terkenal hingga gadis biasa, di situlah peranan jurusolek dalam menentukan arah tuju serta gaya terkini dunia persolekan yang realitinya sentiasa ligat berputar.
Di Malaysia, nama model terkenal dan selebriti ternama, hampir semua pernah mendapat sentuhan jurusolek dan penggaya rambut, Razlan Bahari. Cuma berbeza namanya tidaklah sebesar mana. Siapa ambil peduli kerana yang paling mustahak, insan yang menerima sentuhannya mesti cantik dan molek dipanah lensa kamera. Begitulah hukumnya kerja belakang tabir.
Memulakan kerjaya pada usia 19 tahun, Razlan sedar di Malaysia peranan jurusolek tidak begitu dirasai sungguhpun pada peringkat antarabangsa, kelompok itu menjadi cukup penting dalam menentukan arah serta hala tuju, bentuk dan gaya solekan yang pasti bertukar setiap musim.
Jurusolek peringkat antarabangsa pula mampu menzahirkan karya dan kreativiti apabila bentuk solekan diadaptasikan ke gaya pakaian dalam menjayakan pertunjukan fesyen yang rancak diadakan di Paris, Milan atau New York. Karya mereka selalunya ditunggu-tunggu dan menjadi rebutan majalah fesyen untuk dimuatkan dalam terbitan masing-masing.
Citra berpeluang menemubual jurusolek artis dan penggaya rambut yang kini semakin dikenali namanya, malah tidak keterlaluan dikatakan sentuhannya menjadi rebutan. Solekan selebriti penghias kulit depan majalah dan pentas peragaan, sering memberi impak besar.
Citra : Bagaimana Razlan mula meminati bidang solekan?
Jawapan: Ketika di bangku sekolah dulu, sayalah budak kelas sains tetapi amat meminati fesyen. Ketika bersekolah dulu saya gemar menatap majalah antarabangsa seperti Vogue dan Glamour. Gambar kulit depan yang popular ketika itu Brooke Shileds, Iman dan saya selalu terfikir, bagaimanakah kerja mereka belakang tabir hingga boleh menghasilkan gambar kulit muka depan yang cukup mengagumkan. Kadangkala wanita berkenaan kelihatan cukup cantik. Minat saya itu menjadikan saya sudah dapat mengagak dunia glamor itu bakal menjadi milik saya. Lepas sekolah saya bekerja di salon selebriti Noor Kumalasari (kini sudah tutup) di Petaling Jaya. Bermula sebagai pembancuh air, saya akhirnya dibenarkan ‘memotong’ rambut dan menyolek. Saya belajar daripada pengalaman, sambil mengambil inspirasi gaya solekan Barat ketika itu. Kini sebagai jurusolek bebas, saya bebas menyolek di mana-mana, tetapi lebih gemarkan peragaan dan majalah.
Citra : Sejauh manakah peranan jurusolek dalam dunia fesyen dan kecantikan?
Jawapan : Peranan yang dimainkan jurusolek, sangat besar. Bayangkan kalau semua model tidak memakai sebarang solekan, tidakkah ia cukup membosankan? Hakikatnya solekan tidak sekadar menampal rona menarik pada wajah model, tetapi ia tampil bersama tema tertentu yang mempengaruhi dunia fesyen dan gaya solekan untuk sesuatu musim serentak. Kalau di Barat pereka seperti Alexender McQueen akan berbincang dengan penata gaya untuk menentukan gaya yang bakal dihasil.
Jenama tersohor seperti Christian Dior umpamanya melancarkan fesyen dan solekan sekali gus yang baru-baru ini mengambil ilham tahun 30-an dan 40-an, tetapi diperkaya dengan labuci dan kilatan. Malah ilham berkenaan diangkat menerusi koleksi alat soleknya.
Di sini pula, saya pernah terbabit dalam penggambaran kulit majalah Ziana Zain untuk memperkenalkan gaya solekan Chanel yang mengambil ilham gaya Shanghai pada 1950-an lalu. Kami berbincang terlebih dulu mengenai gaya solekan dan pakaian yang hendak digayakan, maka lahirkan kulit majalah yang cantik sebegitu, dan sampai maksud untuk mempromosi pakaian diserikan solekan yang bertepatan.
Citra : Bagaimanakah bentuk kolaborasi solekan dalam menjayakan sesebuah pertunjukan fesyen?
Jawapan : Gaya solekan menyampaikan maksud ilham rekaan seseorang pereka. Masih menggunakan contoh Dior, kolaborasi ini jelas sekali di dalam koleksi Ultra Shine, teknologi makmal bekerjasama dengan kumpulan pakar Dior menghasilkan solekan berkenaan dan diaplikasikan dalam pertunjukan fesyennya. Pada peringkat antarabangsa pertunjukan fesyen oleh jenama besar selalunya amat ditunggu-tunggu malah berebut-rebut pembeli fesyen, orang dalam industri fesyen dan sebagainya ingin mengetahui mengenai apa buah tangan terbaru daripada jenama berpengaruh ini. Selalunya solekan dipertunjukkan pentas itu digayakan lebih keterlaluan dan mempunyai konsep tertentu, yang disesuaikan dengan gaya fesyen. Kalau ia memilih gaya anggun, gaya solekan sedikit lembut, manakala kalau fesyen berkenaan funky, maka solekan umpamanya menjerit. Sebagai contoh sekiranya nama besar seperti Chanel itu menggunakan rona berkilat untuk solekan, dan fesyen, maka seantero dunia menggunakan rona yang sama.
Citra : Benarkah jurusolek yang menggunakan jenama solekan seperti Shu Uemura boleh terkenal lebih cepat berbanding jurusolek bebas?
Jawapan : Saya memulakan kerjaya sebagai jurusolek bebas sejak berbelas tahun yang lalu, dan pada saya jawapan kepada soalan itu betul dan ada tidaknya. Betul kerana jurusolek berkenaan menggunakan jenama ‘jurusolek Shu Uemura’ atau ‘jurusolek L’Oreal’ dan sebagainya menjadikan mereka cepat terkenal. Tetapi tidak juga kerana sekiranya kita terikat, maka kreativiti jurusolek berkenaan mungkin terhad, dengan menggunakan alat solek daripada jenama tertentu. Saya tidak gemar terikat kerana ia hanya akan mengehadkan kreativiti saya. Saya senang begini, membawa segala jenis jenama kerana saya bereksperimen dengan ronanya. Saya tidak suka terikat kerana kadangkala segelintir jenama punyai kelebihan dan kekurangan tersendiri.
Jurusolek Laura Mercier antara yang bertuah kerana hasilkan produk sendiri, dan gaya solekan selalu menjadi rujukan. Bagi saya menjadi sepertinya? Mungkin tidak akan berlaku, malah jurusolek lain pun di Malaysia mungkin tidak akan jadi seperti Laura kerana industri kita terlalu kecil.
Citra : Bagaimanakah daripada segi pendapatan? Adakah nasibnya sama dengan model tempatan, yang tidak boleh dibanggakan?
Jawapan : Kalau dibandingkan dengan peringkat antarabangsa, perkembangan solekan negara ini jauh 20 hingga 30 tahun ke belakang. Daripada segi pendapatan, ia bergantung kepada kesungguhan jurusolek. Kalau rajin maka pendapatan anda juga hebat. Saya juga buat pelbagai kerja, daripada solekan pengantin, selebriti hingga kulit majalah, semuanya saya boleh lakukan, tetapi kalau solekan pengantin memang saya sengaja tidak buat banyak kerana saya tidak mahu dikaitkan sebagai pak andam. Kecenderungan saya lebih cenderung kepada dunia peragaan dan glamor. Hari ini saya merasakan peranan jurusolek semakin dihargai, dengan kewujudan majalah fesyen seperti Glam, saya dapat merasakan kepuasan. Ini kerana kalau sebelum ini dan mungkin dalam majalah wanita yang lain, jurusolek hanya akan dipanggil selepas gaya yang dipaparkan untuk muka depan diputuskan oleh jawatankuasa majalah, tetapi di majalah ini, jurusolek, penata gaya, penulis malah jurugambar akan duduk semeja, berbincang bagaimana dan apa yang perlu dipaparkan untuk majalah keluaran terbaru. Kepuasan dalam bekerja ada di situ.
Sungguhpun begitu masa depan insan seni seperti saya masih samar. Saya juga agak kecewa kerana tidak ada badan yang memberi sokongan menjadikan ramai yang tidak nampak kepentingannya. Ini berlainan sekali dengan Indonesia yang mana mereka ada produk sendiri seperti Mustika Ratu dan Sari Ayu, tetapi dalam majlis yang gah, mereka selalu dipanggil menjadi entiti rasmi.
Citra : Siapakah antara model atau selebriti yang paling anda gemari untuk dirias?
Jawapan : Nasha Aziz, Tengku Azura dan Datuk Siti Nurhaliza kerana mereka mempunyai gaya tersendiri. Nasha Aziz mampu ‘membawakan’ setiap solekan yang mana ia satu kemahiran yang bukan mudah untuk dilakukannya. Kadangkala ada orang yang kita solek garang dan mahukan ‘rupa’ garang juga, tetapi ada yang tidak mampu menggayakannya, tetapi berilah apa pun kepada Nasha kerana beliau mampu membawakan apa saja. Saya juga senang bekerjasama dengan Tengku Azura kerana bentuk wajah yang tajam selain gelaran supermodel menjadikan bonus untuk dirinya bergaya hebat. Sementara Datuk Siti pula, daripada rupa gadis biasa sederhana, solekan boleh membuatkan dirinya kelihatan cukup jelita. Ini adalah satu kelebihan kerana ada wanita yang sungguhpun cantik, tetapi bila disolek kelihatan biasa, nasib tidak baik jadi tidak cantik pula.
Citra : Siapakah pula individu yang anda teringin benar untuk merias wajahnya?
Jawapan : Kalau tempatan, saya impi sangat untuk menyolekkan Raja Permaisuri Agong dan kalau pada peringkat antarabangsa, saya teringin menyolekkan Madonna. Mungkin kerana minat dan memuja maka kedua-dua ini menjadi cita-cita saya untuk menyolekkan mereka.
Citra : Apakah istilah solekan yang baik?
Jawapan : Orang selalu berkata, kerja menyolek itu tampak mudah dan siapa saja boleh melakukannya. Memang betul, tetapi seorang jurusolek, berfikir bagaimana menjadikan solekan itu memikat, tampak cantik dan diterima ramai. Bagi orang biasa, rutin seharian adalah biasa seperti mata, pipi dan bibir. Untuk jurusolek mungkin musim ini mengetengahkan gaya bulu mata palsu yang keterlaluan, tetapi bibir hanya dibias pengilat bibir. Pada pandangan saya seorang jurusolek perlu menghasilkan solekan yang cantik. Saya pernah membawakan solekan muka depan majalah fesyen tempatan Glam oleh pelakon Ida Nerina. Kalau tengok dari jauh memang menakutkan, tetapi ia sesuatu yang cantik dan tidak jemu di pandang.
Saya sebenarnya sukakan gaya solekan 1980-an dulu yang mana lebih kepada pop art. Ketika itu artis seperti Noor Kumalasari, Sudirman gemar tampil dengan gaya dan solekan yang dramatik dan ‘over’. Pada saya ia sangat menarik kerana mereka berani dengan gaya begitu. Begitupun dikalangan selebriti Indonesia, mereka gemarkan solekan tebal yang tahan berhari-hari, malah segelintir artis membuang semua bulu mata dan kening supaya mudah mengenakan yang palsu. Mereka lebih ekstrim. Tetapi saya tidak suka begitu, saya gemar kekalkan yang asli dan saya lihat orang sekarang pun gemarkan kesederhanaan, dan kita cuba ikut cara begini.
Powered by Berita Harian
Papa Gosip
HARI Ahad lalu, Papa berkesempatan ke Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) untuk menyaksikan Anugerah Planet Muzik 2008 (APM 2008) yang Papa sifatkan biasa-biasa sahaja.
Tak teruk dan tak adalah hebat sangat pun. Papa cukup terhibur dan terkesima dengan persembahan Faizal Tahir. Walaupun lagu Mahakarya Cinta sudah lama popular, tapi Faizal menyanyi dengan penuh penghayatan dan bertenaga sekali.
Begitu juga dengan Datuk Siti Nurhaliza yang begitu mempesonakan saat mendendangkan lagu Fantasia Bulan Madu meskipun terdapat gangguan teknikal yang cukup membingitkan telinga.
Sejuk hati Papa tengok ramai artis Malaysia yang mendominasi APM kali ni tapi Papa terfikir juga, berapa lama lagi artis kita perlu menunggu untuk membawa pulang anugerah Album Terbaik dan Lagu Terbaik.
Semoga artis kita akan bekerja lebih gigih pada masa hadapan dalam melahirkan karya-karya yang berkualiti.
Dalam pada itu, sempat juga Papa mendapatkan cerita-cerita hangat dan kalau ada yang nak berkongsi cerita dengan Papa, bolehlah hantar e-mel kat Papa di papagosip@utusan.com.my
Powered by Utusan Malaysia
Aksi Murai Diteruskan
Oleh Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my
BELUM setahun beroperasi portal hiburan Melayu, www.murai.com.my, dikunjungi secara purata hampir 7,000 pengunjung setiap bulan. Portal itu juga menerima 20,000 pengunjung menonton program realiti laman web pertama, Aksi Murai, yang berakhir Februari lalu.
Program 13 episod itu juga boleh disaksikan menerusi saluran Astro Ria yang berjaya mengumpul hampir 200,000 penonton dan 300,000 pada penghujung episod.
Rancangan itu menampilkan selebriti terkenal tanah air seperti Dafi, Farhan, Mila, Datin Sri Siti Nurhaliza, Fasha Sandha, Shawal dan Farawahida. Mereka beraksi menerusi cabaran dan pertandingan dengan peminat yang memenangi pertandingan M-Klon, iaitu berdasarkan peminat yang memiliki wajah seiras artis pujaan.
Episod terakhir Aksi Murai, peserta dibahagikan kepada tiga kumpulan yang dinamakan Aura, Vaniti dan Glamorama, untuk melakarkan kerja tangan mereka di kanvas.
Menurut Ketua Editornya, Roslen Fadzil, sebagai penghargaan kepada pengunjung portal itu, mereka memberi peluang kepada pemenang Kuiz Online Episod Akhir Aksi Murai untuk memiliki lukisan hasil kerja artis itu.
Pertandingan Kuiz Online Final Aksi Murai diadakan melalui portal www.murai.com.my selama dua minggu.
Oleh itu, Rabu lalu diadakan majlis penyampaian hadiah kepada pemenang pertama, kedua dan ketiga, Mereka adalah Noor Fairul Zura Kamaruzaman, 22, Siti Sabariah Zakaria, 26 dan Farah Adibah Nor Azmi, 17.
Hadir sama Farawahida, Dafi dan Nana.
“Musim pertama Aksi Murai mendapat sambutan menggalakkan. Episod yang menampilkan Siti Nurhaliza dan Fasha Sandha bersama klon masing-masing antara yang mendapat rating tinggi. Sehubungan itu, menerusi perbincangan bersama Astro mereka berminat menyambung Aksi Murai untuk musim kedua.
“Ada di kalangan artis seperti Anuar Zain, Ning Baizura, Misha Omar dan Linda Onn menawarkan diri untuk muncul dalam program ini. Untuk musim baru, ia mengekalkan konsep sama cuma tambah elemen drama supaya kelihatan lebih dramatik.
“Berdasarkan sambutan ramai, masa siaran mungkin ditambah daripada setengah jam menjadi sejam. Bagaimanapun, untuk penyertaan peminat mereka perlu menjadi ahli Geng Murai dengan menyertakan gambar kerana keutamaan diberikan kepada mereka yang banyak memberikan sokongan sejak portal ini diwujudkan.
“Istimewanya Geng Murai boleh membina rangkaian untuk menjalin persahabatan, mengaktifkan blog serta berkongsi maklumat dengan,” katanya.
Khusus untuk pelajar Akademi Fantasia Musim keenam (AF6), mereka sudah ada blog sendiri di portal itu dan pelajar yang tersingkir boleh terus mengaktifkan blog mereka.
Kata Roslen, jika segalaya berjalan lancar, Aksi Murai musim kedua akan kembali ke kaca televisyen selepas berakhirnya AF6.
Dari segi pemilihan artis dan cabaran kerja untuk program itu, jelas Roslan mereka juga mengambil kira pandangan dan cadangan pengunjung portal itu kerana program itu disiarkan di halaman portal barulah ke televisyen.
Sempena Hari Ibu pada 9 Mei ini, portal itu juga menganjurkan Pertandingan Wajah Seiras Ibu.
“Untuk memberikan kelainan, wajah ibu mesti seiras dengan anak lelaki dan bukannya anak perempuan. Pemenang akan ditentukan pengunjung portal.
“Ibu paling bertuah akan menerima hadiah menarik,” katanya.
Powered by Harian Metro
Belum Bertudung
RAMAI yang teruja apabila si cantik berusia 23 tahun ini bergaya dengan tudung, menutup aurat seorang perempuan muslim. Mereka menyangka Farah Diana Anuar yang lebih dikenali sebagai Farah sudah berganjak daripada fasa lama kehidupannya menjadi seorang muslimah sejati mengikut langkah Datin Seri Siti Nurhaliza juga Noraniza Idris.
Realitinya, beritahu pemenang tempat kedua Akademi Fantasia 2 (AF2) ini, tindakan bertudung diambil kerana menghormati program yang dikendalikannya iaitu Rasa Halal Orien untuk saluran Astro Oasis yang bakal disiarkan bermula 18 April depan.
Menjadi perantara kepada program masakan 13 episod yang mengambil lokasi di Xia, China ini dengan penampilan bertudung, jelas Farah: “Sebenarnya saya masih belum bertudung. Saya hanya bertudung untuk menghormati program itu.
“Namun siapa tahu, mungkin ini langkah awal saya yang bakal bertudung juga. Saya berharap peminat tidak salah faham, kerana hakikatnya saya memang belum bertudung. Sama-sama kita berdoa agar hati saya terbuka dan mahu segera bertudung.”
Tidak melihat ia sebagai satu beban, Farah kini bersedia kembali memanaskan gelanggang nyanyian apabila album keduanya, 9 Langkah yang diterbitkan bersama oleh Ajai, Aidit, Alim Razman, akan dipasarkan sekitar bulan ini.

Makanan
Hari-hari saya makan. Saya gemar makanan terutama dari utara seperti mihun sup dan laksa. Satu ketika dahulu, saya pernah berdiet untuk mendapatkan bentuk badan yang sesuai usia. Walaupun berdiet saya tetap wajib makan nasi kerana tanpa nasi, saya tidak mempunyai tenaga untuk menyanyi.
Tapi saya ambil dalam kuantiti yang sikit. Namun sekarang saya tidak lagi berdiet. Saya makan apa yang saya suka, hanya saya kontrol supaya tidak makan secara berlebihan.
Jenama
Saya bukan orang yang gilakan jenama dan tidak mengajar diri untuk membeli barang-barang berjenama. Pun, saya akui, sebagai selebirti tak salah jika punya barang berjenama, sekurang-kurangnya sebuah beg tangan, sebagai hadiah penat bekerja.
Cuma jangan sampai ketagih kerana pada saya, masih ada benda yang lebih penting daripada jenama yang harus difikirkan. Jenama pertama yang saya beli Guess. Sekarang mula meminati Coach.
Politik
Suka tengok orang politik berucap, gaya mereka bercakap dan perkataan-perkataan baru yang mereka ucapkan. Saya mula ambil tahu hal politik bermula era Tun Dr. Mahathir Mohamad lagi. Tetapi saya akui, saya tidak mengikut hal politik terlalu dalam.
Namun apa yang pasti politik amat penting kepada sesebuah negara. Saya bersyukur menjadi rakyat Malaysia yang mempunyai politik yang stabil sehingga membolehkan semua rakyat hidup aman. Itu penting.
Malam
Kalau sebut pasal malam, saya teringat kepada lagu Shades. Saya bukan gadis yang mengagumi malam dengan mengira bintang di langit. Tapi saya akan pastikan menjadi orang yang tidak terlepas melihat gerhana bulan. Dulu, saya tunggu hari Jumaat sebab nak pergi pasar malam dengan kawan-kawan.
Peluang
Semenjak masuk AF, saya dapat banyak peluang dan kesempatan dan saya tak terlintas di fikiran. Saya dapat peluang jadi duta produk, ada album sendiri dan dilayan dengan baik. Jadi saya harus menghargai peluang yang ada dalam kehidupan.
Powered by Kosmo
Catatan Hidup Siti Nurhaliza
Oleh NOR FADZILAH BAHARUDIN fadzilah.bahar@utusan.com.my
MEMANJAT DOA KEPADA ALLAH MEMOHON KEKUATAN DARIPADANYA.
KEINGINAN memiliki autobiografi sendiri sudah lama terpendam. Malah Datuk Siti Nurhaliza pernah terfikir mahu merealisasikan impian tersebut ketika majlis perkahwinannya dilangsungkan pada Ogos 2006.Bagaimanapun, hajat di hati terpaksa dilupakan lantaran kesibukan masa dan waktu yang terhad.
Menurut penyanyi kelahiran Kuala Lipis, Pahang ini, seboleh-bolehnya dia tetap mahu cita-citanya untuk menerbitkan autobiografinya sendiri terlaksana.
“Insya-Allah saya memang ada keinginan untuk menerbitkan autobiografi sendiri. Sebelum ini saya sangka dapat terbitkannya semasa majlis perkahwinan saya tapi kerana tak cukup masa.
“Bila difikirkan semula rasa lebih elok saya hasilkan dan keluarkan sempena ulang tahun pembabitan saya dalam bidang seni ke-15,” katanya ketika ditemui di ibu kota, baru-baru ini.
Menyambung perbualan penyanyi yang kini popular dengan lagu Ku Mahu berkata, buat masa sekarang, usaha ke arah perancangan itu sedang dilakukannya.
“Kakak ipar saya banyak membantu memandangkan dia juga penulis sebelum ini. Kami dalam proses mengumpulkan data dan saya amat berharap semuanya akan menjadi kenyataan,” jelas Siti yang banyak mendapat sokongan kakak iparnya, Rozi Abd. Razak yang juga bekas wartawan Utusan Malaysia.
Album baruSelain memberi tumpuan pada penerbitan autobiografinya, seniwati muda ini juga bakal muncul dengan album baru berkonsepkan Melayu kontemporari.
Penghibur berusia 29 tahun ini dijangka kembali ke studio rakaman sekitar bulan Jun atau Julai.
“Saya masih lagi dalam proses memilih lagu-lagu yang bersesuaian untuk dimuatkan dalam album baru itu.
“Ada ramai komposer yang mencipta lagu untuk album ini, jadi saya mahu pilih mana yang bersesuaian.
“Saya mahu berterima kasih kerana semua yang terlibat adalah daripada komposer yang mencipta lagu untuk saya sewaktu Bengkel Cipta Ekspres yang dianjurkan Badan Perlindungan Hakcipta Malaysia (MACP) tempoh hari.
“Mungkin album tersebut akan memuatkan lebih 10 buah lagu,” jelas isteri kepada usahawan ternama, Datuk Khalid Mohammed Jiwa ini lagi.
Tidak tertekanSatu persoalan yang akan diajukan ketika berjumpa dengan penyanyi ini tentunya tentang cahaya mata.
Yang menariknya bicara Siti jika dulu persoalan tersebut umpama satu tekanan buatnya, namun kini tidak lagi.
Sambil tersenyum manis luah Siti, dia kini sudah semakin lali dan boleh menerima pertanyaan banyak pihak terhadap isu keluarga.
“Saya sudah lali dan boleh menerima semua itu. Lagipun ahli keluarga awal-awal dulu saja excited bertanya tentang anak tapi sekarang dah semakin kurang.
“Saya pun tidak begitu tertekan dengan pertanyaan-pertanyaan itu. Kalau saya berisi kelak, sudah tentu saya akan beritahu semua khabar gembira itu,” janji Siti lagi.
Puji SaidaSementara itu, Siti secara peribadi menyatakan rasa bangganya dengan pencapaian kakaknya Siti Norsaida (Saida) yang dilihatnya semakin mempamerkan persembahan yang menarik dalam konsert mingguan Akademi Fantasia musim keenam (AF6).
“Saya terkejut kerana dia selama ini cukup pemalu. Tapi sekarang saya makin bangga dengan apa yang dah dia pamerkan. Dia bukan penyanyi profesional tapi apa yang ditunjukkan satu peningkatan yang sangat-sangat ketara.
“Lagipun dia tak pernah masuk pertandingan nyanyian pun. Gugup dan takut itu saya rasa perkara biasa. Tapi dari pemerhatian saya dia semakin memperbaiki dirinya,” jelas Siti penuh optimis terhadap kakaknya itu.
Namun Siti amat-amat berharap agar nasib kakaknya tidak akan di prejudis oleh pengundi.
“Memang dia kakak saya tapi dia masuk AF6 bersebab. Janganlah sebab dia kakak saya, dia dipandang dari sudut lain. Kadang-kadang saya kesian tengok dia kena macam-macam dalam akademi,” kata Siti.
Powered by Utusan Malaysia
Mawi Is Most Popular Artiste Again
Mawi with the Peugeot 407SR and trophies he won at the Arena of Stars, Genting Highlands, last night.
GENTING HIGHLANDS: Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2007 saw Asmawi “Mawi” Ani repeating his feat the previous year when he was voted Most Popular Artiste.
Garnering 190,268 votes from Berita Harian readers, he fought off the challenge from several strong contenders like singer Datuk Siti Nurhaliza and actor and comedian Saiful Apek in the annual awards held at the Arena of Stars here last night.
The Akademi Fantasia 3 champion took home a RM185,000 Peugeot 407, jewellery worth RM150,000, including an 18-carat white gold and diamond necklace from Habib Jewels, and electrical goods from JVC.
Mawi was also named Popular Male Singer while Siti was Popular Female Singer.
The Popular Group/Duo award went to Sofaz.
Aznil Nawawi and Fara Fauzana defended their Popular Male and Female TV Host titles respectively.
Faizal Ismail won the Popular Male Radio Presenter while Fara Fauzana, the Popular Female Radio Presenter.
The Popular Male and Female Comedian awards went to Saiful Apek and Sheila Rusly while the Popular New Male and Female Artistes were Dafi Ismail and Mila Jirin respectively. Nasyid group Rabbani held on to their Popular Nasyid Singer title.
Popular Film Actor was Rusdi Ramli while the Popular Film Actress was Fasha Sandha. Rosyam Nor bagged the Popular TV Actor award while Dynas Mokhtar won Popular TV Actress.
A special award for lifetime achievement in show business was presented to singer, composer and songwriter M. Nasir.
The awards ceremony, broadcast live over TV3, was hosted by television personality, singer and actress Fauziah “Ogy” Ahmad Daud and presenter-cum-comedienne Raja Azura.
The winner in each category received a trophy and RM20,000 worth of jewellery.
Singers Amy of Search, Anuar Zain, Atilia, Awie, Ella and Ramli Sarip, among others, performed their hit songs.
Present were New Straits Times Press (M) Bhd group editor-in-chief Datuk Hisha-muddin Aun, Berita Harian group editor Datuk Manja Ismail and NSTP chief executive officer Datuk Syed Faisal Albar.
Powered by New Straits Times