Tugasan Mengejut 20 Lelaki Kacak
Oleh Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my
Rap
TIRAI pembukaan majlis sambutan Minggu Setiausaha Hotel Istana yang berlangsung Rabu lalu, gah dan hangat dengan kehadiran 20 artis lelaki kacak serta bergaya mengenakan sut Lord’s Tailor. Kemunculan mereka hasil gabungan artis dua negara, Malaysia dan Indonesia.
Seperti dijanjikan penyelaras publisiti majlis, Bill Bora, dengan kerjasama syarikat rakaman dan pihak pengurusan, masing-masing berjaya menerbangkan Rio Febrian, Delon, Ello, Irwan Syah, Samuel Rizal, Didi Riyadi dan Ariffin Putra dari Indonesia.
Dari Malaysia pula, Faizal Tahir, Fahrin Ahmad, Farid Kamil, Awalludin Ashaari, Ashraf Muslim, Iqram Dinzly, Aqasha, Kamal Adli dan Fizo. Sementara AC Mizal dan Afdlin Shauki selaku pengacara.
Penampilan istimewa Jaclyn Victor, Azharina, Shila ND Lala dan Siti Sarah yang turut membuat persembahan pada hari itu. Walaupun pada mulanya Bill berasa bimbang sambutan awal kurang memberangsangkan, tetapi akhirnya dia menarik nafas lega kerana pada hari itu semua meja penuh.
Masakan tidak, kerana bukan senang untuk bertemu dan beramah mesra dengan semua artis popular itu kerana terikat dengan komitmen masing-masing. Daripada luar sehingga ke dalam dewan mereka tidak melepaskan peluang bergambar dengan artis pujaan apa lagi dengan artis Indonesia yang biasanya hanya dilihat menerusi sinetron yang disiarkan di sini.
Pada majlis itu, Faizal Tahir berduet dengan Juara Bintang Idola Berita Harian, Nazatul Farahin Mohd Hussin, menyanyikan lagu Cuba. Irwan Syah tampil menyanyi bersama Shila menerusi lagu My Heart. Menyemarakkan lagi majlis, Rio Febrian muncul bersama Jaclyn Victor dengan lagu yang pernah dirakamkan bersama, Ceritera Cinta.
Delon, bintang yang dilahirkan menerusi program Indonesia Idol (2004) menghiburkan hadirin dengan lagunya, Adinda dan Rio Febrian juga menyanyi lagu solo terbarunya, Aku Bertahan. Ello dengan gayanya yang tersendiri turut membuat persembahan bersama Siti Sarah dengan lagu mereka, 1′ll Feel Good. Azharina yang bergaya dengan gaun petang rona merah menyampaikan dua lagu, Rawan dan Rasa.
Manakala barisan pelakonnya pula tampil di pentas untuk acara cabutan bertuah dan diminta menghiburkan bos serta setiausaha menerusi permainan ala program Sehati Berdansa dan membuat drama sebabak klip video. Oleh itu mereka diminta memilih pasangan masing-masing ke pentas.
Namun, di sebalik segala keindahan yang ditampilkan kepada sekalian yang hadir pada majlis itu, rupanya ada agenda tersembunyi. Ada artis tidak tahu mereka perlu bekerjasama menggayakan sut tajaan Lord’s Tailor untuk menjayakan Minggu Setiausaha di hotel itu apabila butik pakaian lelaki terkenal itu selaku penaja utama.
Mereka tidak kisah untuk bekerjasama dengan butik itu kerana menghargai sokongan dan kerjasama yang diberikan kepada mereka. Cuma mereka agak terkilan kerana tiada siapa beritahu yang mereka perlu menjayakan Minggu Setiausaha itu kerana pada mulanya mereka diberitahu perlu hadir dengan pakaian yang direka khas untuk muncul pada majlis anjuran butik itu sendiri.
Pada saat akhir baru tahu mereka dikehendaki menggayakan pakaian itu pada Minggu Setiausaha selepas membacanya di akhbar dan gambar mereka terpampang pada kain rentang hotel itu. Sudahlah begitu, mereka juga tidak diberitahu mengenai atur cara dan ‘tugasan’ mereka dalam majlis itu.
Segala yang berlaku secara tiba-tiba dan atas nama profesionalisme serta menjaga adab sebagai orang Melayu, dalam senyum kelat mereka terpaksa akur kehendak penganjur.
Seperkara lagi ia bukan majlis amal. Pihak hotel mengenakan bayaran RM290++ dan RM350++ untuk seorang. Semua meja penuh namun atas alasan menghargai sokongan Lord’s Tailor, memberi publisiti dan promosi kepada semua artis terbabit, mereka muncul secara percuma.
Permulaan atur cara yang sangat hebat apabila semua artis bergambar solo dan beramai-ramai di pentas luar dewan berlatarkan tirai merah dan jambangan bunga memercikkan kemewahan majlis. Sebaik atur cara bermula, semua artis melangkah dengan begitu segak dan bergaya masuk ke tengah dewan.
Kemunculan mereka menerima tepukan gemuruh hadirin apatah lagi bukan mudah bertemu artis pujaan terutama yang datang dari seberang.
Namun langkah yang dianggap gah, hebat dan bergaya itu hanya setakat itu saja apabila tiada ruang khusus disediakan untuk mereka duduk menyaksikan perjalanan majlis itu. Selepas bergambar seketika dengan hadirin, semua artis dilihat terpaksa berlegar di luar dewan. Artis Indonesia yang menginap di hotel itu khabarnya terpaksa menunggu di bilik masing-masing sementara menunggu giliran mereka membuat persembahan.
Manakala artis lain pandai-pandailah membawa diri sehingga majlis berakhir sekitar jam empat petang. Bayangkan sepanjang hampir empat jam sepanjang acara berlangsung, mereka mundar-mandir tanpa tujuan. Ada yang terpaksa membuang perasaan malu mengambil inisiatif sendiri mencari tempat duduk dengan menumpang di meja hadirin.
Alasan tidak disediakan meja dan kerusi untuk artis kerana kononnya konsep acara hari itu mereka dikehendaki bermesra dengan hadirin. Bukankah suatu alasan yang tidak logik dan janggal sepanjang majlis itu berlangsung artis terpaksa berjalan dari meja ke meja, menayang muka mereka.
Secara profesionalnya, adakan satu sesi khas untuk hadirin bermesra dan bergambar dengan artis. Atau paling tidak, hadirin boleh mendekati artis yang mereka minati. Bukannya dengan cara artis itu terpaksa mundar-mandir dalam dewan itu. Penganjur juga tidak menyediakan makan untuk artis. Apa jua alasan diberikan penganjur, mereka melayan artis seperti tiada harga diri.
Sesungguhnya dalam limpahan populariti yang diterima, semua artis itu masih tahu menghargai jasa pelbagai pihak yang banyak membantu membentuk penampilan diri mereka tetapi ada pula yang seolah-olah mempergunakan mereka demi kepentingan sendiri.
Ketika ditemui selepas majlis berakhir, Bill menjelaskan dia terpaksa berulang-alik hampir empat bulan untuk bertemu syarikat rakaman dan pengurusan artis di Indonesia sebelum mereka memberikan persetujuan muncul pada majlis ini.
“Untuk menjalinkan persahabatan artis dua negara, saya gabungkan artis Indonesia dan Malaysia membuat persembahan. Mereka bersetuju kerana sebelum ini pun Jaclyn Victor pernah merakamkan lagu duet dengan Rio Febrian. Saya sediakan sut Lord’s Taylor untuk mereka. Manakala tiket penerbangan dan penginapan oleh Hotel Istana.
“Sempena kedatangan mereka ke sini juga, artis yang ada album seperti Ello, Delon dan Rio Febrian mengambil peluang itu mempromosikan album baru mereka. Mereka yang berlakon pula saya uruskan janji temu mereka dengan produser filem dan drama tempatan. Mungkin boleh buat filem atau drama usaha sama dua negara.
“Kemunculan artis tempatan pula sebagai sokongan kepada Lord’s Tailor yang selalu menaja sut untuk mereka. Untuk hari ini, setiap sut yang ditaja berharga RM3,500 hingga RM5,000 dan diberi terus kepada artis. Mereka juga tahu tiada bayaran. Penyanyi pun membuat persembahan percuma kerana mereka sudah lama teringin hendak berduet dengan penyanyi Indonesia. Inilah yang dikatakan ‘sama-sama menang’.
“Penganjur juga tidak menyediakan meja dan makanan untuk artis kerana mereka sudah makan awal. Konsep majlis ini artis perlu menghiburkan setiausaha. Jika artis duduk, nanti dikatakan tidak mesra,” katanya.
innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5″;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194″;
innity_width = “260″;
innity_height = “230″;
Harian Metro
Azharina Dan 20 Lelaki Kacak
Rap
MINGGU Setiausaha yang berlangsung sepanjang April ini bukan saja menghargai setiausaha yang menjadi tulang belakang kejayaan bos mereka, malah memberi ruang kepada peminat berhibur dan bertemu lebih dekat dengan penyanyi pujaan mereka.
Bukan calang-calang penyanyi menjadi pilihan penganjur kerana harga tiket yang mahal dan menjaga nilai eksklusif acara itu. Antaranya Anuar Zain dan Anita Sarawak bersama Faizal Tahir mengadakan persembahan di Sime Darby Convention Centre, Bukit Kiara pada 7 dan 8 April lalu.
Sementara itu, Datuk Siti Nurhaliza dan Kris Dayanti menjadi pilihan Hotel Quality untuk menjayakan persembahan di Matrade Exhibition & Convention Centre, Jalan Duta pada 21 dan 22 April.
Hotel Istana pula memberi kelainan dengan menampilkan Azharina bersama 20 artis lelaki popular Malaysia dan Indonesia di Ballroom Grand Mahkota, Hotel Istana, esok, jam 11 pagi hingga 4 petang.
Dua penyanyi lelaki, Faizal Tahir dan Imran Ajmain juga diundang menghiburkan tetamu dan bakal digamatkan lagi dengan kehadiran tiga pengacara, AC Mizal, Afdlin Shauki dan Ally Iskandar.
Ternyata Azharina juga tidak keseorangan dikelilingi kumbang kerana bakal diserikan Jaclyn Victor. Apa yang menarik, Azharina bakal berduet dengan penyanyi Indonesia, Rio Febrian. Turut membuat persembahan, Delon (Indonesian Idol) dan Irwansyah.
Persembahan itu akan disiarkan secara langsung dalam program Wanita Hari Ini di TV3. Harga untuk seorang, RM350++ dan RM290++. Sajian hari itu, makanan Padang dari Sumatera Barat. Untuk tempahan hubungi 03-21419988 sambungan 3667.
Bill Bora selaku wakil publisiti untuk persembahan itu menerbangkan Rio Febrian, Delon, Irwansyah, Ariffin Putra, Samuel Rizal dan Didi Riyadi dari Seberang.
Aktor popular tanah air pula diwakili Fahrin Ahmad, Farid Kamil, Awal Ashaari, Aaaron Aziz, Ashraf Muslim, Iqram Dinzly, Aqasha, Kamal Adli dan Fizo. Mereka semua akan menggayakan kostum rekaan Lord’s Tailor.
Bill Bora berkata, artis Indonesia itu akan menyanyikan lagu ciptaan komposer tanah air kerana dalam pemilihan lagu, pihaknya berkeras untuk menyanyikan lagu gubahan komposer tempatan.
“Mereka datang membuat persembahan di sini, jadi mereka kenalah ikut cara kita. Negara kita juga mempunyai ramai komposer ternama,” katanya.
innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5″;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194″;
innity_width = “260″;
innity_height = “230″;
Harian Metro
Permohonan Bekas Isteri Penjarakan AC Mizal Ditolak
Oleh NORHAYATI YAHAYA
norhayati.yahaya@kosmo.com.my

SHAFNIE

NORISH
SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi Syariah di sini menolak permohonan bekas isteri AC Mizal, Shafnie Zainuddin, 34, untuk menghantar bekas suaminya itu atau nama sebenarnya, Mizal Zaini, 38, ke penjara.
Shafnie memfailkan permohonan itu pada 10 September lalu bagaimanapun tidak hadir ke mahkamah semalam ketika keputusan itu dibacakan oleh Hakim Abu Zaky Mohamad.
Dalam keputusannya, Abu Zaky membenarkan bantahan awal pengacara terkenal itu untuk mengetepikan permohonan Shafnie yang memohon supaya satu perintah menghina mahkamah dikeluarkan bagi menghantar AC Mizal ke penjara.
Permohonan itu dibuat kerana wanita itu mendakwa bekas suaminya gagal menjelaskan tunggakan nafkah dua anak lelaki mereka berjumlah RM50,000.
Bagaimanapun, hakim meminta Shafnie memfailkan permohonan itu di mahkamah yang ada bidang kuasa dengan kes tersebut, dengan kos ditanggung oleh kedua-dua pihak.
Terdahulu, di mahkamah yang sama, AC Mizal yang diwakili peguam Siti Aishah Din turut memohon tarikh baru untuk mengubah kes hak jagaan anak yang difailkan pada September 2008.
Kosmo
Hakim Tegur Pakaian Shafnie
Oleh WAZIHA WAHID
waziha@kosmo.com.my

SHAH ALAM – Hakim Syarie, Saarani Ismail menegur pakaian bekas isteri AC Mizal, model dan pengacara, Shafnie Zainudin seumpama hendak pergi berperang ketika menghadiri (gambar kiri) kesnya di Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam.
Menurut Saarani, pakaian Shafnie, 33, tidak memenuhi etika berpakaian bagi menghadiri kes di mahkamah syariah dan meminta peguam syarie menasihatkan anak guam menukar pakaian yang sesuai.
“Ini bukan hendak pergi shooting (penggambaran). Pakaian begini, pakai baju di dalam ada di luar pun ada, macam pakaian hendak pergi berperang,” tegur Saarani dengan berhemah.
Shafnie berbaju kemeja lengan panjang putih berjalur hitam, memakai vest kelabu agak sendat tidak menutupi bahagian punggung serta berseluar hitam hadir bersama peguam syarie, Azmi Mohd. Rais.
Hakim kemudiannya menetapkan 13 Januari 2009 bagi keputusan bantahan awal yang ditimbulkan AC Mizal atau nama sebenarnya Mizal Zaini, 37, terhadap permohonan bekas isterinya itu.
Shafnie pada 10 September lalu memfailkan permohonan agar satu perintah komital (menghina mahkamah) dikeluarkan bagi menghantar defendan (AC Mizal) ke penjara kerana mendakwa pengacara Akademi Fantasia itu gagal menjelaskan tunggakan nafkah dua anak lelaki mereka berjumlah RM50,000.
Kosmo
Tidur Baring Di Studio – Gara-Gara Cicakman
Oleh TENGKU SUZANA RAJA HAMAT
suzana.rajahamat@kosmo.com.my

SELURUHAN karyawan Cicakman 2 mengharapkan agar filem ini meraih lebih banyak kejayaan berbanding sebelumnya.
SEKUEL kedua filem superhero milik Malaysia, Cicakman 2 – Planet Hitam mungkin akan tercatat sebagai filem termahal yang pernah dibikin. Itupun jika kos keseluruhan termasuk kos untuk imej janaan komputer (CGI) yang dikerjakan sendiri oleh pengarahnya Yusry Abdul Halim diambil kira secara berasingan.
Dengan lebih 800 syot CGI yang boleh menelan kos ratusan ribu ringgit serta tiga pasang kostum baru untuk watak Cicakman dan Rrama yang mencecah puluhan ribu untuk setiap sepasang, kos pembikinan filem kedua Yusry ini cukup membuktikan keberanian KRU Studios dalam menaik-taraf idea superhero mereka menjadi legasi, sebagaimana hero-hero komik barat yang digilai sedunia.
“Kalau nak dikira semua kerja-kerja CGI dan komputer grafik yang digunakan untuk filem ini, kosnya akan menjadi satu angka yang tidak masuk akal.
“Tapi semuanya dibayar dengan titik peluh saya sendiri kerana kerja-kerja itu dibuat secara dalaman,” beritahu Yusry. Tidak hairan pengarah muda ini sanggup tidur baring di studio selama berbulan-bulan selama menyiap Cicakman 2 – Planet Hitam yang dijadualkan tayangan pada musim cuti sekolah, Disember ini.

YUSRY dan dua ‘wira’ ciptaannya di alam khayalan.
Menurut pengarah muda ini juga, jangka masa yang diambil untuk menyiapkan CGI sahaja mengambil tempoh yang panjang iaitu selama tujuh bulan.
“Saya berkurung dalam studio dan tak pedulikan dunia luar, sebenarnya filem ini baru siap, baru sebulan lepas ia siap sepenuhnya. Sekitar setahun lepas, fokus saya hanyalah untuk filem ini. Itu pengalaman yang benar-benar menguji ketekunan saya,” ujar Yusry yang kelihatan cengkung dan matanya sedikit lebam mungkin kerana kurang tidur demi menyiapkan bayi keduanya ini.
Walaupun sekuel pertama Cicakman berjaya mencapai kutipan RM6.7 juta dan meraih kutipan tertinggi bagi filem tempatan pada tahun 2006, itu bukan jaminan bagi KRU Studios untuk mengulangi sejarah yang sama hujung tahun 2008 nanti.
Mahu bercuti panjang dan membebaskan diri daripada tekanan kerja sepanjang Ramadan ini, kata Yusry, pihaknya hanya mampu mensasarkan jadual tayangan yang sesuai dan promosi yang menyeluruh tetapi kuasa beli terletak sepenuhnya di tangan peminat dan pencinta filem.
Alasan Yusry, keadaan ekonomi semasa yang tidak menentu khususnya akibat kenaikan harga minyak adalah faktor utama.
Ekoran kenaikan harga minyak juga, bukan filem tempatan sahaja yang harus berdepan risiko bahkan kutipan filem antarabangsa juga terjejas.
“Sudah tentu saya menaruh harapan untuk filem ini mencapai kutipan pecah panggung tetapi saya perlu berpijak di bumi nyata dan mengakui keadaan pasaran sekarang.
“Biarlah sasaran yang diletakkan logik dan tidak terlalu tinggi,” katanya ketika ditemui pada majlis pengumuman kerjasama antara KRU Studios dan Celcom (M) Bhd, baru-baru ini.
Kata pengarah muda itu lagi, filem yang menjalani penggambaran di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Perak selama 35 hari akhir tahun lalu menjalani proses pasca produksi hampir setahun termasuk proses CGI.

PERTEMBUNGAN kuasa baik dan jahat akan melahirkan banyak konflik dalam Cicakman 2.
Keperluan dan kewajaran menggunakan CGI bukanlah semata kerana filem berkenaan sebuah filem superhero tetapi faktor geografi serta lokasi penggambaran yang digunakan tidak banyak membantu kehendak skrip.
Menurut Yusry lagi, filem pertama Cicakman lebih bersifat eksperimental dan banyak kekurangan. Hasil maklum balas yang diterima Cicakman 2 – Planet Hitam diharapkan dapat mengisi segala kekosongan yang ditinggalkan oleh Cicakman yang pertama.
Fokus dan perincian Cicakman 2 – Planet Hitam boleh dilihat menerusi kostum baru Cicakman dan watak-watak jahat seperti Rrama, banyak adegan aksi serta pertarungan dan pembaikan jalan cerita yang tidak terlalu bersifat komedi.
“Jangan anggap filem ini bukan lagi filem komedi cuma jalan ceritanya agak berat sedikit berbanding yang pertama kerana Cicakman kali ini mempunyai banyak konflik, tanggungjawab dan banyak musuh. Komedi tetap ada, inikan filem lakonan Saiful Apek,” kata Yusry sedikit bertegas.
Dari segi aksi lagak ngeri pula, ada yang dilakukan pelakon asal sendiri serta menggunakan khidmat pelagak ngeri dan membabitkan teknik CGI. Ada pelakon seperti Saiful Apek yang sanggup melakukan sendiri aksi ngeri, tetapi terpaksa ditolak kerana bimbang terjadi perkara yang tidak diingini.
Menyuntik elemen komersial dan menjadikan promosi filem ini lebih agresif, sepuluh lagu baru dicipta sebagai lagu tema dan dimuatkan dalam album runut bunyi Cicakman 2 – Planet Hitam antaranya Planet Hitam (Tyco), Dibius Cinta (Melly Goeslow dan Yusry KRU) serta Mau Yang Besar (Pianka).
Lagu Dibius Cinta menjadi lagu duet pertama Melly Goeslow bersama artis Malaysia. Kata Yusry, tidak sukar berkerjasama dengan Melly kerana penyanyi dari seberang itu begitu mudah menyatakan kesediaan memberikan komitmen.
“Itulah walaupun filem Cicakman sekadar menjengah ke pasaran Indonesia, namun impaknya dapat dirasai. Kebetulan anak-anak Melly minat filem Cicakman, apabila kami memberikan tawaran ini, Melly terus bersetuju dan turut memberi idea untuk pembikinan video klip lagu berkenaan,” jelas Yusry mengenai usahasama dan video klip bersama Melly yang dilakukan di Indonesia itu.
Cicakman 2 – Planet Hitam masih mengekalkan pelakon asal seperti Saiful Apek sebagai Cicakman/Hairi, Aznil Nawawi (Profesor Klon), AC Mizal dan Adlin Aman Ramli (Ginger Ghost). Filem ini turut dibintangi muka baru seperti Sharifah Amani (Iman), Tamara Blaszenky (Rrama) dan Louisa Chong (Miss Cheef) selain penampilan khas daripada Linda Onn dan Julia Zieglar.
Lebih menggembirakan Yusry, apabila awal-awal lagi Cicakman 2 – Planet Hitam menempah nama di luar negara apabila menerima penghormatan rasmi untuk ditayangkan sempena World Premier di Festival Filem Antarabangsa Pusan ke-13 pada 2 hingga 10 Oktober.
“Itu yang membanggakan saya kerana biasanya filem-filem bercorak drama yang akan ditayangkan pada festival sedemikian. Mungkin pemilihan dibuat memikirkan Cicakman 2 – Planet Hitam sebuah filem superhero dari sebuah negara kecil seperti Malaysia,” kata Yusry bangga.

Filem yang akan mula menemui penonton di 60 pawagam tanah air pada 11 Disember ini akan ditayangkan di empat negara apabila Grand Brilliance Sdn Bhd (GBSB) akan mengedar untuk pasaran Malaysia dan Brunei, Cathay-Keris Films Pte. Ltd. (Singapura) dan PT Tripar Multi Vision Plus (Indonesia).
Filem terbitan KRU Studios dengan kerjasama GBSB ini juga baru sahaja selesai proses pembikinan ‘A Print’ di Bangkok, Thailand dan mendapat kelulusan penuh daripada Lembaga Penapisan Filem Malaysia dengan klasifikasi untuk tontonan umum (U).
Mengenai kerjasama antara KRU Studios dan Celcom yang dimeterai baru-baru ini, sebagai rakan pakatan perniagaan tau lebih tepat lagi penaja rasmi, Celcom menawarkan banyak tawaran menarik khususnya buat bagi pelanggan Celcom.
Naib Pengerusi Kanan Pemasaran Celcom, Zalman Aefendy berkata, sebagai penaja utama, Celcom menawarkan kandungan mudah alih yang menarik kepada peminat antaranya nada dering monofonik, polifonik, logo operator, trailer dan banyak lagi berkaitan filem ini.
Bagi mevariasikan koleksi peribadi para peminat, terdapat juga produk Cicakman yang boleh diperoleh antaranya siri komik, barangan sekolah, buku warna dan novel. Paling terbaru, kini turut dipasarkan novel Rrama, watak baru yang diperkenalkan dalam Cicakman 2 – Planet Hitam.
Kosmo