Drama AF7 ‘Bunuh’ Aril
Oleh MOHD. YUSMAN AWANG
yusman.awang@yahoo.com

ARIL (kanan) dikatakan tersingkir kerana pengundi teruja untuk membantu Aishah (dua dari kanan) daripada tersingkir.
BAYANGKAN American Idol disuntik elemen drama membabitkan isu remeh-temeh dan gosip tentang para pesertanya. Bayangkan pula Akademi Fantasia tanpa elemen tersebut.
Memang tidak adil untuk membuat perbandingan antara American Idol dan Akademi Fantasia tetapi apa yang jelas, kedua-dua program realiti TV popular itu memiliki matlamat yang sama iaitu untuk melahirkan penyanyi berbakat dan popular hasil pilihan ramai.
Namun apabila disuntik elemen drama dan gosip cinta, matlamat itu sudah menjadi kacau. Membandingkan produk kelahiran American Idol dan Akademi Fantasia, jenis penyanyi yang bagaimanakah kita harapkan untuk menjana industri muzik?
Lihat bagaimana produk American Idol seperti Kelly Clarkson dan Carrie Underwood yang lebih membanggakan dari segi pencapaian karier muzik mereka berbanding heboh dengan gosip murahan.

ARIL mempunyai jawapan tersendiri kenapa dia memeluk kesemua tenaga pengajar AF7, termasuk Tiara.
Bandingkan mereka dengan produk-produk kelahiran AF. Bukan untuk menuduh produk kelahiran AF tiada yang membuat pencapaian gemilang dalam karier muzik, tetapi majoritinya lebih condong ke arah isu remeh-temeh membabitkan isu peribadi terutama sekali gosip cinta, melebihi pencapaian mereka dalam bidang seni.
Justeru, apabila menyaksikan persembahan memberangsangkan daripada Khairil Azam Pilus atau Aril, pada konsert ketujuh Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) menerusi lagu popular Gigi, Nakal, peserta berusia 24 tahun itu dilihat sebagai produk penting AF.

TANPA ARIL. Pelajar AF7 yang berpeluang ke final, dari kiri, Hafiz, Claudia, Isma, Aishah, Akim dan Yazid.
Namun gara-gara mahu menyemarakkan AF7 dengan elemen drama, peserta yang berpotensi untuk menjadi suatu produk AF yang berlainan berbanding produk-produk AF sebelum ini ternyata telah ‘dibunuh’ peluangnya!
Itu nasib malang yang menimpa Aril, apabila diumumkan sebagai peserta kelapan yang tersingkir pada konsert yang berlangsung di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil, malam Sabtu lepas.
Cuba menyelami reaksi Adlin Aman Ramlie terhadap penyingkiran Aril, juri tetap AF7 itu mengakui dia berasa cukup terganggu. Sebelum ini, dalam kritikannya terhadap persembahan Aril, dia melabelkan Aril sebagai produk yang belum pernah ada dalam AF.
Adlin ternyata tidak senang apabila bekas pelajar AF3, Marsha Milan Londoh ‘dimasukkan’ ke kampus AF7 yang kemudian digambarkan dan boleh dilihat oleh penonton menerusi Diari AF7 pada minggu lepas, seolah-olah dia sedang cuba menjalinkan cinta dengan Aril. Malah lebih hebat, ditonjolkan klip Marsha mengurut tengkuk Aril!

PRODUK berbeza. Aril memberikan persembahan hebat yang lain daripada pelajar AF sebelum ini.

HAFIZ menduduki tempat tertinggi di AF7 saat ini.


SEPERTI ada sesuatu yang membelenggu Isma pada persembahannya kali ini.
“Penyingkiran Aril itu menunjukkan faktor populariti dipengaruhi elemen personaliti,” ujarnya kepada Kosmo!.
“Apabila Marsha dimasukkan ke dalam kampus AF7 pada minggu lepas dan ditonjolkan seolah-olah sedang bercinta dengan Aril, saya fikir ia telah mempengaruhi pengundi-pengundi AF7 di luar sana.
“Kemasukan Marsha itu menyebabkan ada faktor luaran yang kurang menyenangkan. Apakah tujuan Marsha dimasukkan ke situ. Akhirnya, gimik yang dilakukan telah memakan diri,” tegasnya lagi.
Tambah Adlin: “Elemen drama yang disuntik membabitkan Marsha itu bukan suatu penjenamaan yang bagus untuk AF. Kesimpulan hasil perbincangan saya dengan beberapa pihak mendapati elemen drama yang cuba diterapkan itu lebih banyak mendatangkan negatif kepada personaliti peserta.
“Pengundi mengundi peserta bukan sekadar berdasarkan persembahan pada malam konsert tetapi juga dari sudut personaliti peserta yang boleh diperhatikan setiap hari menerusi Diari AF. Juri hanya mampu memberikan pengaruh dari segi pandangan terhadap skil dan mutu persembahan peserta.”
Dalam pada itu, Adlin tidak menyalahkan penonton. “Saya tidak salahkan pengundi dalam hal ini kerana mereka ada dua pilihan sama ada menyukai peserta kerana personaliti atau kerana persembahan. Tapi apabila diganggu dengan elemen drama seperti yang dicetuskan dengan penglibatan Marsha itu, bagi saya itu suatu gangguan terhadap personaliti peserta.
“Kalau saya jadi abang, bapa atau pengurus Aril saya saya tidak mainkan elemen itu untuk mengangkat personaliti Aril kerana ia lebih condong ke arah negatif.
“Senario berbeza dilihat terhadap seorang lagi peserta AF7, Hafiz yang dilihat memiliki personaliti yang bersih dan naif, tidak diganggu dengan elemen drama yang boleh meletakkan dirinya dalam suasana seperti yang dialami Aril dan ditambah dengan persembahannya yang bagus, justeru sebab itu dia muncul menjadi pilihan nombor satu pengundi,” tegasnya.
Namun, lain pula pandangan seorang lagi juri AF7, Adibah Noor yang tidak melihat Marsha sebagai punca Aril tersingkir kali ini. Sememangnya Adibah antara yang sangat kecewa sehingga dia meluahkan kepada Kosmo!: “Dengan tersingkirnya Aril, harapan untuk melahirkan bintang yang berkaliber telah hancur musnah!”
Menurut Adibah, Aril sudah sedia maklum apabila Marsha dimasukkan ke kampus AF7 dengan matlamat untuk mengenakannya. “Jadi, Aril hanya menjadi dirinya tetapi dia tahu ketika mana yang perlu dikawal keadaan. Lagipun, Marsha bukan sahaja mengusik Aril, tetapi juga pelajar lain seperti Aishah,” ujarnya.
Dia mengakui tidak memahami apa kehendak pengundi AF7 terhadap peserta. “Aril hanya menjadi dirinya, setidak-tidaknya dia tidak hipokrit. Kalau sikap itu tidak disukai pengundi, saya fikir adakah peserta kena menjadi hipokrit untuk meraih undian penonton?” soal Adibah.
Menyentuh mengenai adakah penyingkiran Aril itu sebagai gimik supaya Aril boleh diundi masuk semula seperti prosedur AF sebelum ini, beritahu Adibah: “Saya rasa itu sesuatu yang perlu dilakukan bagi memberikan peluang semula kepada Aril tidak kiralah penyingkirannya itu suatu gimik ataupun secara kebetulan. Kalau tidakpun ada cadangan supaya pemilihan kemasukan semula dibuat oleh juri.”
Sementara menyentuh mengenai konsert mingguan yang sebelum ini sering meraih kritikan negatif, Adibah menyifatkan berlaku banyak peningkatan di kalangan pelajar pada konsert minggu ketujuh itu.
“Kesemua pelajar lelaki menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan terutama Akim dan Yazid yang akhirnya berjaya keluar dari kepompong mereka. Tapi saya tidak berpuas hati dengan ketiga-tiga pelajar perempuan – Isma, Claudia dan Aishah kerana mereka kelihatan seperti kembali ketika seperti mula-mula menyertai AF7. Saya tidak faham kenapa persembahan mereka seperti ada sesuatu yang membelenggu mereka,” katanya.
Dengan penyingkiran Aril, kini tinggal enam peserta yang masih berpeluang ke final AF7 iaitu tiga pelajar perempuan Ismaliza Ismail atau Isma, 30, Aishah atau nama sebenarnya Siti Aishah Bujang, 18, Claudia Fay Geres arau Claudia, 24, serta tiga pelajar lelaki iaitu Yazid atau nama penuhnya, Mohd. Yazid Ibrahim, 22, Mohd. Hafiz Mohd. Mohd. Suip, 19, dan Afiq Hakim Ahmad atau Akim, 18.
Kosmo
Fazura Selesa Bersama Rusdi
Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my
PERCUBAAN yang membawa hawa baru kepada perjalanan karier seni Fazura dan Rusdi.
Kedua-duanya digandingkan untuk program realiti terbaru, Anak Wayang
SETIAP apa juga perkara baru yang ingin dicuba pasti mengundang risiko namun andai dilandaskan kejujuran, ia akan membuahkan sesuatu yang bermakna lantas menyuntik sebuah kemanisan untuk dikenang selamanya.
Itu yang cuba dicari Nur Fazura Sharifuddin yang digandingkan dengan Rusdi Ramli untuk mempelopori program realiti terbaru, Anak Wayang.
Keberanian menggalas peranan itu hadir bersama tanggungjawab untuk melihat bakat baru dunia lakonan. Awal tawaran, pemenang Bintang Harapan Wanita, Festival Filem Malaysia Ke-17 ini mengaku, minatnya kembali mengacara sudah pudar.
Mengenang saat pedih untuk menelan segala kritikan dan komen diterima ketika mengacara sedikit masa lalu, gadis berusia 25 tahun ini serik mahu mengulanginya.
“Saya senang menerima jika diberi ruang yang mencukupi untuk melakukan persediaan. Saya tahu di mana kelemahan, jadi saya selesa membuat persediaan supaya tidak kelam kabut dan kekok pada saat akhir,” katanya.
Anggun dengan rekaan Nurita Harith, Fazura yang ditemui pada sidang media pelancaran Anak Wayang siaran Astro Ria, manakala drama pula disiarkan Astro Prima berkata, antara sebab lain dia menerima tawaran itu kerana Rusdi.
Biarpun mereka hanya akan bertemu pada kemuncak pertandingan nanti, namun gadis yang mula mencipta nama menerusi filem Bicara Hati percaya keserasian antara mereka pasti hadir.
“Saya pernah berlakon sebuah telefilem dengan Rusdi. Jadi saya dapat merasakan keserasian antara kami berdua. Lagipun kami sama-sama gila, jadi mengapa tidak saya mencuba,” jelasnya lagi.
Program Anak Wayang juga mengheret komitmen Fazura selama dua bulan sebagai pengacara namun sekiranya datang tawaran lakonan yang bersesuaian dia tidak akan menolak.
Katanya, semua perkara itu sudah dibincangkan dengan pihak produksi supaya tidak timbul kekalutan nanti.
Percubaan pertama Rusdi
LAKONAN di layar lebar pernah menghadiahkan Rusdi trofi Pelakon Lelaki Terbaik, Festival Filem Malaysia Ke-20, dua tahun lalu selain trofi Pelakon Filem Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2007.
Nama pelakon berusia 39 tahun ini tidak perlu diperkenalkan lagi, malah kehebatan bakat serta lakonan kerap memberinya ruang untuk menggalas peranan utama.
Bagaimanapun, buat kali pertama anak kepada pelakon senior, Norlia Ghani ini mencabar dirinya untuk mencuba sesuatu yang berbeza.
“Saya tidak berani kerana setiap kali naik pentas saya akan ‘goyang’. Namun, saya mencabar diri untuk menerima kerana mahu melihat sejauh mana saya mampu menggalas tanggungjawab ini,” katanya.
Akui suami kepada komposer, Sharon Paul ini, dia bukan seorang yang mahir bermain dengan lensa kamera kerana ketika berlakon mereka tidak dibenarkan melihat kamera.
Semua itu katanya, memberikan pengalaman baru dan percaya dengan latihan mencukupi tanggungjawab itu dapat dibawa dengan berkesan.
Dia yang kembali dicalonkan untuk kategori Pelakon Filem Lelaki Popular, ABPBH 2008, bersedia untuk berdepan segala kemungkinan.
“Saya percaya dengan membuat latihan akan membantu saya memberi yang terbaik apabila program itu mula bersiaran nanti,” katanya.
Melihat usaha melahirkan Anak Wayang akan memperkayakan barisan pelakon pelapis, Rusdi berkata, dia positif jika nanti terpaksa bersaing dengan mereka yang mencipta nama menerusi program realiti seperti ini.
Rusdi berkata, melihat keberkesanan program Akademi Fantasia yang melahirkan ramai bakat baru dalam bidang nyanyian, Anak Wayang juga mampu memainkan peranan yang sama.
“Ketika berlakon, saya bertemu dengan ramai pelakon tambahan yang baik namun tidak ada ruang untuk diketengahkan bakat mereka.
“Jadi dengan adanya Anak Wayang, ia membantu mereka untuk hadir lebih bersedia apabila tiba masanya kelak,” katanya.
Program realiti ini akan menemui peminat menerusi Astro Ria bermula 22 Mei ini, dijana dua saluran iaitu Ria dan Prima yang menayangkan pencarian bakat lakonan dan drama bersiri serentak.
INFO: Fazura
Nama Penuh: Nur Fazura Sharifuddin
Tarikh Lahir: 27 September 1983Tempat Lahir: Pekan, PahangStatus: BujangKerjaya: Pelakon dan pengacaraIklan: Omex dan BreezeFilem: Bicara Hati, Senario XX, Qaisy dan Laila, Gol & Gincu, Kayangan, Selamat Pagi CInta, Pisau Cukur dan Kantoi.
Pencapaian: Bintang Harapan Wanita, Festival Filem Malaysia Ke-17.
INFO: Rusdi
Nama Penuh: Rusdi RamliTarikh Lahir: 16 Jun 1970Tempat Lahir: Selangor
Status: Berkahwin
Kerjaya: Pelakon
Filem: Leftenan Adnan, Pontianak Harum Sundal Malam 2, Bilut, Qabil Khusry Qabil Igam, Waris Jari Hantu, 1957: Hati Malaya, Cuci dan Anak.Pencapaian: Pelakon Lelaki Terbaik, Festival Filem Malaysia Ke-20.
Berita Harian
Calon Bintang Popular?
Oleh Nurulhisham Abdul Latiff & Serimah Mohd Sallehuddin
bhnews@bharian.com.my
SITI dan Saerah akan menggayakan busana Rizman dan Ruzaini pada malam kemuncak ABPBH 2008.
Lebih sedekad di persada seni, masih ramai peminat sayangkan Siti
UNTUK mengekalkan kedudukan sebagai penyanyi wanita disukai ramai bukanlah mudah. Paling tidak, setiap kali album dikeluarkan, perlu ada lagu yang benar-benar memikat hati peminat atau pendengar.
Tidak cukup dengan itu, imej dan pekerti yang baik harus juga dipertahankan. Selebihnya, mungkin faktor nasib memainkan peranan. Sekurang-kurangnya itulah kata kebanyakan artis yang sudah lama memakan garam.
Bagaimanapun wanita jelita dari Kuala Lipis ini sudah membuktikan, dia mampu melakukannya selama lebih sedekad iaitu sejak 1996. Malah sejak tahun itu sehingga hari ini, belum ada penyanyi wanita yang mampu menggugat kedudukan istimewanya dalam dunia seni. Ramai juga penyanyi wanita lain yang dikatakan bakal menjadi pengganti, tetapi wanita bernama Datuk Siti Nurhaliza Tarudin ini kekal berkuasa di persada seni.
Bukan di kalangan penyanyi wanita saja namanya dijulang, bahkan penyanyi ini pernah menguasai kedua-dua dunia lelaki dan wanita buat beberapa lama sehingga kehadiran bintang Akademi Fantasia, Mawi. Sejak Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 1996 sehingga ABPBH 2001, Siti menjulang trofi Bintang Popular sebanyak lima kali. Dia sekali lagi merampas kedudukan itu daripada Rosyam Nor (ABPBH 2002) dan Saiful Apek (ABPBH 2003) pada ABPBH 2004.
Tentunya pencapaian yang bukan kecil untuk seseorang artis mengungguli takhta Bintang Paling Popular sebanyak enam kali. Sehingga kini, dalam sejarah 21 kali penganjuran ABPBH, hanya wanita bersuara lunak ini yang berupaya melakukannya.
SITI akan membuat persembahan, manakala Saerah akan menyampaikan trofi.
Bukan sekadar itu saja, kerana beliau turut mencipta sejarah tersendiri apabila menjulang trofi Penyanyi Wanita Paling Popular selama 11 tahun berturut-turut. Sejak ABPBH 1996, dia belum pernah melepaskan trofi itu ke tangan penyanyi wanita lain. Bukan kehendaknya, namun peminat bagai sukar sekali hendak menidakkan kemampuan Siti menguasai undian yang diberi.
Tahun ini, mampukah penyanyi yang baru saja muncul dengan album Lentera Timur itu mengekalkan anugerah yang sama apabila pencabar baru seperti Stacy, Mila dan Elyana turut bersaing?
Usah dilupa pada Jaclyn Victor yang pernah menewaskan Siti pada Anugerah Industri Muzik (AIM) Ke-14 dalam kategori Persembahan Vokal Terbaik. Tentunya persaingan yang dikira sengit, menyaksikan peminat penyanyi baru dan lama ini cuba menentukan siapakah antara mereka lebih masyhur di persada muzik negara.
Siti sendiri, seperti tahun-tahun sebelumnya, tidak pernah meletakkan harapan yang menggunung setiap kali namanya dicalonkan ke peringkat akhir anugerah itu, yang menyerahkan kuasa ke tangan peminat sepenuhnya.
“Setiap kali Siti dicalonkan sehingga ke peringkat Top 5, setiap kali itulah Siti melihatnya sebagai tanda kepercayaan diberikan peminat kepada Siti. Siti sendiri tidak boleh hanya duduk berdiam diri apabila peminat meletakkan harapan di bahu Siti. Maknanya, Siti perlu bekerja keras untuk memastikan karier Siti sentiasa mahu ke hadapan dan peminat sendiri mendapat kepuasan daripada hasil kerja Siti lakukan.
“Menerusi ABPBH, peminat diberi peluang sepenuhnya untuk memilih artis popular kesukaan mereka. Begitupun, peminat hari ini amat bijak kerana mereka tidak memilih begitu saja.
“Apa saja pilihan dilakukan, ia berteraskan hasil kerja kita sepanjang tahun berkenaan. Lalu, sebagai penyanyi bertanggungjawab, kita harus sentiasa ada keinginan untuk terus memantapkan kerjaya, bukan hanya untuk peminat malah untuk kebaikan industri seni itu,” ujar Siti ketika ditemui sewaktu menjayakan persembahan Sirah Junjungan – Tahajud Cinta di Istana Budaya, baru-baru ini.
Siti tidak lupa untuk berterima kasih kepada peminat yang nyata tidak henti-henti menghulurkan sokongan padu kepada dirinya, dalam apa juga situasi yang dihadapi.
“Peminat tidak perlu risau seandainya rezeki tidak menyebelahi Siti pada kali ini. Begitu juga sekiranya Siti sekali lagi menaiki pentas menerima trofi, kerana perkara paling penting ialah Siti akan terus memberikan sumbangan dalam dunia seni,” kata penyanyi Di Taman Teman ini.
Pada acara kemuncak ABPBH 2008 yang akan berlangsung di Arena of Stars Genting Highlands, 12 April ini, isteri kepada ahli perniagaan, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa ini tentunya akan menaiki pentas utama di hadapan ribuan peminat yang dijangka memenuhi arena. Untuk mengatakan dia menaiki pentas menerima trofi, pasti masih terlalu awal. Yang pasti, Siti akan berada di atas pentas untuk menghiburkan penonton dengan persembahannya.
Selain Siti, bakal menggegarkan Arena of Stars dengan persembahan mereka ialah Anita Sarawak, Jamal Abdillah, Faizal Tahir, kumpulan Kristal, Hujan, Aizat, Siti Sarah, Stacy, Farah Asyikin, Diddy, Ayu Damit, L Ramlee, Jeffrydin dan Datuk A Rahman Hassan.
“Maaflah, Siti belum boleh bercerita mengenai konsep persembahan dan lagu yang akan didendangkan nanti kerana semua itu masih pada peringkat perbincangan lagi,” katanya yang turut menerima ‘kejutan’ tersendiri apabila suami tercinta muncul tiba-tiba sewaktu berlangsungnya sesi fotografi.
Peluang Saerah untuk menyerlah
SEBAGAIMANA kakaknya, Saerah juga akan menaiki pentas ABPBH 2008. Bukan sebagai penyanyi buat persembahan, sebaliknya dia dan seorang lagi kakaknya, Saida, diberikan amanat sebagai penyampai anugerah pada malam penuh gemilang itu.
“Tentu sekali peluang yang diberikan penganjur ini satu pengalaman yang bererti buat saya kerana inilah kali pertama saya ke pentas untuk menyampaikan anugerah sebagai artis.
“Ia peluang yang begitu dihargai kerana ramai lagi artis berharap dapat mengambil bahagian dalam acara sebesar ini. Jadi, saya amat berbangga apabila artis baru seperti saya dan Saida terpilih,” kata Saerah.
Pada malam kemuncak ABPBH 2008 itu nanti, bukan hanya Saida dan Saerah yang akan menyerikan majlis sebagai penyampai trofi. Mereka akan disertai barisan selebriti lain seperti AG Hot FM, Amy Mastura, Ayu Raudhah, Eizlan Yusoff, Farid Kamil, Fizo Omar, Kieran, Lisa Surihani, Lis Dawati, Fauzi Nawawi, Mawi, Ekin, Maya Karin, Nora Danish, Norish Karman, Que Haidar, Linda Jasmine, Rozita Che Wan, Umie Aida dan Zizie Ezette.
Menyentuh perkembangan kerjaya muziknya, wanita peramah ini berkata, dia kini dalam proses menyiapkan album duo bersama Saida, yang diterbitkan oleh syarikat rakaman SNP Sdn Bhd.
“Mengikut perancangan, album kami akan berada di pasaran sekitar Jun ini. Ia bakal memuatkan lapan lagu, dengan masing-masing mempunyai dua lagu secara solo. Tiga lagi lagu dirakam secara duet, manakala sebuah lagu akan menyaksikan kami tiga beradik,” katanya.
Berita Harian
Kritikan Ikhlas Ayah Untuk Akim AF7
Teks oleh Razif Rosdi
Foto Mazlan Yunos
Tahun ini, gelaran pelajar lelaki paling muda Akademi Fantasia 7 (AF7) dipegang oleh jejaka kacak dari Selatan iaitu Afiq Akim Ahmad atau Akim, 18. Anak muda yang baru saja ditransformasikan gaya rambutnya pada konsert minggu lalu dengan gaya lebih kemas dan diumumkan sebagai pelajar terbaik minggu yang sama.
Untuk mengenali dengan lebih dekat siapa Akim sebenarnya, murai.com.my berjaya menghubungi ayahnya, Ahmad Sulaiman yang tidak lokek berkongsi cerita anak ketiganya itu.
“Akim seorang yang periang dan peramah. Walaupun orang nampak dia agak agresif dalam akademi tapi hatinya lembut. Malah, Akim bukannya orang yang suka cakap belakang. Kalau dia tak puas hati dia akan terus luahkan isi hatinya itu. Tapi dia memang mudah mesra,” ujar ayah Akim.
Selain itu, Pak Ahmad juga ada kritikan tersendiri untuk anaknya memandangkan dia sebelum ini pernah bergelar penyanyi di usia mudanya.
Pak Ahmad berkata, dia tertarik dengan prestasi anaknya menyanyi di pentas. Namun, dia akuinya anaknya itu masih belum pandai mengawal mikrofon ketika mendendangkan lagu rancak yang memaksanya untuk menari.
Sementara itu, Pak Ahmad mengakui bahawa Akim adalah anak saudara kepada penyanyi 1980-an dan 1990-an iaitu Sofie S serta pemain bass kumpulan Mega iaitu Mat Mega atau nama sebenarnya, Mohamad Sulaiman.
“Akim tak pernah ada sesiapa saudara mara yang pernah masuk AF sebelum ini. Dia bukanlah sepupu Fitri AF2 seperti yang digembar-gemburkan. Namun, dia memang ada pertalian dengan Mat Mega dan Sofie S. Mereka berdua ini adalah adik saya,” katanya.
Ditanya mengenai harapan si ayah untuk anak terunanya itu, beliau menjawab:
“Saya harap Akim boleh sampai ke final. Saya tak kisah orang nak cakap apa tentang anak saya. Saya dah ada pengalaman macam ini oleh sebab adik saya 2 orang dulu juga artis.
“Terus-terang saya suka AF sebab perkataan akademi. Segala macam tentu ilmu nyanyian boleh dapat dalam akademi. Tapi kalah menang saya tak kisah. Kalau ada rezeki Insya-Allah dia boleh berjaya. Apapun, terima kasih kepada semua peminat Akim yang banyak menyokongnya,” kata Pak Ahmad.
Menarik tentang Akim sekeluarga…
1. Anak muda yang aktif sukan dan suka bermain bola sepak. Dia pernah mewakili sekolah untuk peringkat MSSN.
2. Selain bola sepak, Akim juga pernah mewakili sekolah ke Sabah untuk sukan sofball.
3. Walaupun tarian sering dapat kritikan, Akim pernah menjadi penari zapin sewaktu di sekolah rendah.
4. Memandangkan Akim baru tamat SPM, famili sudah merancang untuknya sambung belajar. Ayah Akim tak halang anak
menyanyi asalkan pelajaran tidak diabaikan.
5. Tidak dinafikan Akim mendapat bakat nyanyian dari ayahnya yang pernah menjadi penyanyi untuk Kumpulan
Pancaragam Adik Beradik pada tahun 1978..
6. Ayahnya juga pernah menjadi artis residen untuk Radio Malaysia Johor.
7. Kalau Akim menyertai AF ayahnya pernah menyertai Bintang RTM.
8. Akim juga sangat rapat dengan Mat Mega dan Sofie S yang pernah merakamkan banyak album.
9. Ayah Akim kini bertugas sebagai penyelia di Pusat Pos Laju, Larkin, Johor Bahru.
10. Akim merupakan anak ketiga dari 4 orang adik-beradik. Dia mempunyai seorang abang, kakak dan adik lelaki.
11. Sebelum ini Akim pernah bersekolah di Sekolah Johor Jaya.
12. Akim tidak merokok dan inilah petua ayah Akim jika mahu jadi penyanyi jangan merokok.
13. Akim juga pandai berlawak dan mempunyai kawan yang ramai.
14. Akim adalah penyeri di rumahnya. Ketiadaannya membuatkan rumahnya sunyi sepi.
15. Akim seorang penyayang dan sangat rapat serta rajin berborak dengan ibunya.
Murai
Astro Mula Mencari Anak Wayang
Teks oleh Thani Hasbullah
Foto oleh Mazlan Yunoz
KUALA LUMPUR, 25 MAC 2009: Program realiti TV yang bertujuan mencari bakat baru dalam dunia lakonan, Anak Wayang bakal mewarnai dunia hiburan dan melahirkan bintang-bintang baru dalam bidang seni tanah air.
Projek terbaru Astro yang disifatkan antara yang termahal ini akan mula bersiaran sejurus selepas Akademi Fantasia ke-7 (AF7) tamat iaitu pada 22 Mei 2009. Konsep pertandingan yang didukung oleh 2 saluran Melayu popular iaitu Astro Ria dan Astro Prima. Program ini akan dihoskan oleh pelakon popular Rusdi Ramli dan Nur Fazura.
Ia bakal memperlihatkan para peserta bersaing di Astro Ria untuk memegang salah satu watak yang terdiri daripada jururawat, mekanik, pengelola majlis, gangster dan setiausaha. Mereka yang layak untuk watak masing-masing akan berlakon dalam drama bersiri 50 episod berjudul Kecuali Cintamu yang akan ditayangkan di Astro Prima.
“Seramai 25 peserta akan dibahagikan kepada 5 kumpulan dan setiap peserta akan bersaing sesama mereka secara berkumpulan untuk merebut watak-watak berkenaan. Panel juri yang ditetapkan akan menilai prestasi mereka dan memilih hanya 2 peserta untuk mara ke hadapan.
“Nasib 2 peserta ini akan ditentukan oleh undian Khidmat Pesanan Ringkas (SMS). Bagi mengetahui keputusan undian SMS, penonton perlu menyaksikan drama di Astro Prima pada setiap minggu.
“Anak Wayang juga berkonsepkan sebuah program realiti TV dan sebuah drama bersiri yang berlangsung serentak. Program Realiti ditayangkan di Astro Ria manakala drama bersiri disiarkan di Astro Prima. Ia akan berlangsung selama 10 minggu,” kata Pengarah Eksekutif Astro Entertainment Sdn Bhd, Encik Zainir Aminullah, ketika bercakap pada sidang media di Pusat Seni Persembahan Kuala Lumpur (KLPac), Sentul, kelmarin.
Bagi mencari 25 bakat untuk bertanding, ujibakat bakal diadakan di Grand Paragon Hotel, Johor Bahru pada 4 & 5 April 2009, Bayview Hotel, Pinang (11 & 12 April 2009) dan Shah Alam City Centre, Shah Alam (18 & 19 April 2009).
Pertandingan ini terbuka kepada warganegara Malaysia berumur di antara 18 – 35 tahun dan tidak terikat dengan mana-mana kontrak syarikat produksi drama mahupun pengurusan artis. Mereka yang berminat hanya perlu datang uji bakat dengan membawa salinan kad pengenalan serta 2 keping gambar berukuran 4R (gambar profil dan paras pinggang).
Kesemua sesi uji bakat pada tarikh berkenaan akan bermula jam 9 pagi hingga 1 petang. Jangan lepaskan peluang.
Murai