Skip to content

Posts from the ‘Akademi Fantasia’ Category

20
Mar

Izwan Pilus Dedah Siapa Aril Sebenarnya



Teks oleh Razif Rosdi
Foto Mazlan Yunos

Semua sudah tahu, pelajar Akademi Fantasia 7 (AF7), Khairil Azam Pilus atau Aril, 23, adalah adik kepada penyanyi lagu Kembali Senyum, Izwan Pilus. Malah, bagi sesiapa yang mengikuti perkembangan dunia hiburan tempatan, Aril dulu bekas peserta Gangstarz dan pernah menjadi pengacara untuk program remaja di RTM.

Jom ikuti temubual ekskslusif bersama Izwan Pilus tentang adiknya yang semakin popular itu.

MURAI: Apa komen Izwan Aril  dapat masuk AF7?

IZWAN: Pertama sekali, saya nak ucapkan tahniah kepada Aril. Dia  memang suka menyanyi sejak kecil lagi. Malah dalam keluarga, saya sebenarnya ingatkan dia yang jadi penyanyi dan bukannya saya.

MURAI: Kenapa Izwan cakap begitu?

IZWAN: Mula-mula saya rasa menyanyi untuk saya hanya sebagai satu hobi saja dan Aril yang lebih sesuai jadikan nyanyian sebagai satu karier. Tapi saya anggap ini semua ada hikmah. Penglibatan saya jadi penyanyi lebih awal memberikan banyak pengajaran kepada Aril untuk jadi penyanyi dan merancang masa depannya.

MURAI: Apa yang membuatkan Izwan yakin dengan Aril bergelar artis?

IZWAN: Kalau nak tahu, jiwa Aril lebih seni daripada saya. Dia memang mempunyai bakat seni yang dahsyat. Boleh dikatakan segala macam bidang seni dia dah cuba. Dia juga pandai buat seni grafik, pandai main alat muzik dan handal gila dalam bab tarian shuffle.

MURAI: Pendapat Izwan mengenai vokalnya?

IZWAN: Bagi saya suaranya memang unik – tidak sama dengan suara saya.

MURAI: Betul ke Aril sudah masak dengan dunia artis?

IZWAN: Aril memang banyak kenalan dengan orang industri. Komposer terkenal Arab pernah tawarkannya untuk jadi artis rakaman. Tapi atas sebab tertentu, semua tak jadi. Aril juga baik dan rapat dengan komposer Ross Ariffin. Yang penting, ramai orang tertarik tengok bakat Aril. Dia pun baik dengan Faizal Tahir.

MURAI: Macam mana Aril boleh rapat dengan Faizal Tahir?

IZWAN: Sebelum ini, Faizal Tahir pernah telefon saya dan menyuruh saya pujuk Aril untuk masuk salah satu program realiti. Menurut Faizal, kebanyakan peserta yang datang hancur dan cakap Aril memang berbakat besar.

MURAI: Sebagai abang, apa kelemahan Aril?

IZWAN: Saya rasa Aril kena lebih versatile. Genre lagu nyanyiannya masih terhad. Kalau nak tahu, lagu Saleem (Iklim) memang makanannya. Cuma dia suka ambil remeh dengan banyak perkara. Saya selalu menegur dan menasihatinya. Tapi Aril ni sebenarnya garang dan tegas orangnya walaupun penyayang dengan kawan-kawannya.

MURAI: Selain bakat yang orang tahu, apa lagi bakat Aril?

IZWAN: Dia ni memang minat gila nak jadi pelakon. Tapi saya selalu cakap dengan dia, kalau nak sesuatu usaha sendiri. Saya tak mahu dia buat jalan mudah atau tumpang nama saya. Saya tahu dia boleh pergi jauh sendiri. Cuma dia kena rajin-rajin berusaha.

MURAI: Ada rancangan nak buat kelab peminat Aril?

IZWAN: Saya ada dengar kawannya mahu buat kelab peminatnya. Saya tak risau pasal penyokong Aril. Malah, saya rasa dia lagi popular dari saya. Kadang-kadang, bila saya keluar, orang lebih mahu tahu cerita Aril dari saya.

MURAI: Bagaimana reaksi mak dan ayah?

IZWAN: Mereka semua OK. Mereka memang selalu sokong dari belakang dan tak suka tonjolkan diri depan kamera. Setakat ini, ibu risau dan selalu tanya, perlukah datang konsert setiap minggu memandangkan mereka sibuk dengan hal pindah rumah.

MURAI: Benarkah Aril pernah dipukul teruk oleh ayah anda?

IZWAN: Itu saya kurang pasti. Tapi apa yang boleh saya cakap, Aril sangat rapat dengan ayah berbanding saya. Bagaimanapun, pasal pukul anak ini memang tanggungjawab ayah untuk bimbing anak. Saya tak nafikan ayah garang dan tegas orangnya. Kalau pun benar ini berlaku, semuanya bersebab.

MURAI: Apa harapan Izwan untuk Aril?

IZWAN: Kalah atau menang perkara kedua. Tapi saya mahu dia tunjuk sehabis mungkin bakatnya pada orang. Apa jua terjadi, famili kami semua tetap menyokong Aril.

MURAI:  Secara jujur, apa yang paling anda risau untuknya?

IZWAN: Saya memang risau kalau dia dibandingkan dengan saya. Saya tak kisah nak ‘bersaing’ dengannya. Terus terang saya kurang selesa orang beza-bezakan bakat kami kerana ia boleh jejaskan hubungan kami. Tapi saya tahu, dia memang matang dan tak kisah pasal isu perbandingan ini. Namun, sebagai abang saya tetap risau untuk Aril.

MURAI: Apa yang Izwan tak boleh lupa tentang Aril?

IZWAN: Pernah dulu, orang caci saya dalam satu forum. Aril dengan berani mengaku dia adik saya dan pertahan segala tohmahan terhadap saya.

Murai

9
Mar

Nabil, Irma Mengaku Bercinta

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my


Nabil

Juara Raja Lawak 2 dan calon final Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 sedia akhiri zaman bujang

SIAPA tahu dalam sisi humor finalis Pelakon Komedi Lelaki Popular dan Artis Baru Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 ini terpancar kesungguhannya untuk serius memikirkan hal perkahwinan. Lumrah golongan Adam yang diciptakan untuk Hawa, Nabil sebagai manusia biasa juga ingin bergelar suami dan mempunyai cahaya mata.

Lelaki yang paling laris dan murah rezeki tahun lalu hingga sekarang ini benar-benar berfikir untuk menamatkan zaman bujang, apatah lagi usianya kini 26 tahun sudah molek benar kiranya untuk memikirkan perkara ini. Tanpa didesak, temu bual Hip dengannya baru-baru ini di lobi Cinta Sayang Resort, Sungai Petani berakhir dengan satu pengakuan jujur mengenai isi hatinya yang sedang berbunga cinta.

Siapa gerangan kekasih hatinya, mungkin tidak perlu diberi pengenalan lagi. Si cantik manis, Irma Hasmie, 27, yang kini khabarnya dalam usaha melunaskan proses pengambilan anak angkat yang comel berjaya memikat hati juara Raja Lawak musim kedua ini. Malah kehadiran bayi comel itu antara punca yang terus mengikat hati mereka.

Perkenalan tak terduga tahun lalu ketika sama-sama menghadiri majlis Anugerah Stail EH! di Gardens, Mid Valley, pada 6 Ogos tahun lalu memberi pembayang yang cukup bermakna. Ketika itu, Hip menggandingkan mereka bersama dua lagi artis iaitu Dafi dan Farahdhiya dalam sebuah fotografi ‘segera’. Malahan, Nabil mula menegur Irma cuma dia masih segan untuk memberanikan diri meminta nombor telefon bimbit milik Irma.

“Memang betul kami bercinta sejak hujung tahun lalu. Kali kedua kami berjumpa sebelum tiba bulan Ramadan 2008 ketika sama-sama menjalani penggambaran program Gegar Gitu Raya di Astro. Kami memang serius dan soal ke depan memikirkan hal perkahwinan, kita sebagai manusia hanya merancang.


irma mengharapkan sinar bahagia dalam hubungannya dengan
Nabil.

“Sebelum ini, bukan niat kami tidak mahu mengakui cinta yang terjalin. Lagi pun ia masih terlalu awal untuk dibicarakan. Entah kenapa, saat ini saya lebih terbuka dan mengikut kata hati menceritakan perkara sebenar. Hubungan saya dengan Myra juga berakhir begitu saja dan mungkin tiada jodoh antara kami untuk terus ke peringkat yang lebih serius,” kata Nabil tulus.

Ketika hatinya dirundung kecewa, Irma yang pada mulanya hanyalah seorang kawan biasa menjadi pendengar setia yang semakin rapat dalam hidup pemegang tagline Lu Fikirlah Sendiri ini. Kebetulan mereka tinggal di kawasan perumahan yang berdekatan di Damansara dan andai ada masa terluang pasti mereka keluar bersama ditemani si comel (anak angkat Irma).

Rentetan kerap dilihat bersama ada mulut jahat yang mengandaikan mereka tinggal serumah. Menafikan sekeras-kerasnya gosip itu, Nabil masih waras untuk memikirkan perkara baik dan buruk. Sebaliknya, Nabil tahu kenapa gosip itu boleh tersebar dengan pantas.

“Memang saya kerap ke rumahnya dan kalau pergi pun sebab dia (Irma) ada meminta tolong untuk menjaga anak angkatnya. Kalau dia ada kerja termasuklah mengacarakan program Chopp! di TV9 dan kebetulan saya lapang, saya akan menolongnya menjaga bayi itu. Kami juga merancang untuk menggunakan khidmat pengasuh atau pembantu peribadi untuk urusan menjaganya.

“Kadang-kadang, saya sendiri datang mengambil anak angkatnya ataupun Irma sendiri yang menghantarnya ke rumah saya. Kalau saya pergi ke rumahnya sekalipun, pengurus saya, Latiff akan ikut sama menemani,” katanya serius demi meleraikan perkara yang tidak benar.

Mengenai peribadi Irma, kata Nabil, dia melihat Irma sebagai anak sulung yang sangat bertanggungjawab.

“Dia (Irma) sangat mengambil berat dan saya yakin tahap umurnya kini juga sudah sesuai untuk memikirkan soal perkahwinan. Kami boleh bertolak ansur,” kata Nabil yang turut memeriahkan siri jelajah pertama ABPBH 2008 di Sungai Petani minggu lalu.

Dalam perkembangan lain, Nabil dijadualkan ke luar negara untuk merakamkan sebuah program terbitan TV9 bagi musim kedua. Wajahnya kini boleh ditonton dalam program Pondok Pondok, Studio Nabil dan Ewah-Ewah. Enam lagi filemnya iaitu Lu Pikirlah Sendiri The Movie, Kecoh Betul, Momok The Movie, Eee… Hantu, Pisau Cukur dan Jin Notti akan menemui peminat tidak lama lagi.

‘Dia buat saya rasa dihargai’

SEMENTARA itu, Irma dihubungi Hip bagi mendapatkan kenyataan mengenai hubungannya dengan Nabil. Bagaimanapun, selepas tidak berjaya menghubunginya kerana sibuk dengan penggambaran drama, Irma kembali menghubungi penulis.

Seperti Nabil, Irma juga menjelaskan gosip mereka tinggal serumah hanyalah omongan kosong. Irma memberitahu sejak sebulan lalu, dia mendapat teman serumah baru iaitu Ika dari Akademi Fantasia musim keenam yang dikenalinya sewaktu berlakon drama Awan Dania.

Kata Irma lagi, jika tiada komitmen kerja, dia akan pulang ke rumah ibu bapanya di Sungai Buluh. Ditanya mengenai hubungannya dengan Nabil, kata Irma, dia sangat menyenangi peribadi kekasihnya itu.

“Dia (Nabil) suka memberi perhatian kepada saya. Dia sangat mengambil berat dan membuatkan Irma rasa dihargai. Paling penting, dia rajin melayan anak angkat Irma. Kepala otak kami kira mudah serasi dan dalam sisi lawaknya, dia masih serius sewaktu berkata-kata,” kata Irma yang pernah menjalinkan hubungan dengan aktor Farid Kamil sebelum ini.

Mengharapkan sinar bahagia dalam hubungannya dengan Nabil, Irma juga seperti wanita lain yang mengharapkan hubungan cinta yang mekar akan berakhir ke jinjang pelamin. Katanya, berkahwin bukan perkara mainan dan janji untuk sehidup semati bukan hanya sekadar lafaz di bibir saja.

“Baik Irma mahupun dia, kalau boleh memang kami tak nak lama-lama membiarkan cinta itu berpanjangan. Soal kahwin perkara yang baik dan kalau sudah bersedia apa salahnya memilih jalan itu. Bimbang pula ditangguh-tangguh jadi hal lain pula nanti.

“Ada rezeki dan kuat jodoh kami pastinya tak ke mana. Tapi nak kahwin bukan perkara mudah dan kena kumpul banyak duit. Doakan saja yang baik dan andai ada khabar gembira, kami bersedia berkongsi dengan semua pihak,” kata Irma.

INFO: Irma Hasmie

Irma Hasmie Ibrahim dilahirkan pada 8 Januari 1982 di Kuala Lumpur. Ayahnya berasal dari Kota Bharu, Kelantan, manakala ibunya dari Hulu Selangor. Irma yang pernah dinobatkan sebagai Gadis Jelita 2004, pernah muncul di kaca TV menerusi beberapa iklan komersial seperti Tourism Malaysia (Cuti-Cuti Malaysia), Fair & Lovely, Yamaha dan Pringle’s. Kali pertama mengenali dunia lakonan apabila membintangi filem Cinta Fotokopi, diikuti Main-Main Cinta

Berita Harian

4
Mar

Penyanyi, Kakak Tomok Dalam AF7

KUALA LUMPUR: Jika Tomok atau nama sebenarnya, Shah Indrawan Ismail, 24, berjuang merebut RM1 juta yang ditawarkan dalam pertandingan One In A Million (OIAM), kakaknya, Ismaliza Ismail (Isma), 30, pula berjaya melayakkan diri dalam kelompok 20 terbaik peserta Akademi Fantasia musim ke-7 (AF7).

Pengumuman peserta AF7 itu diadakan di Orchid Grand Ballroom, Hotel Parkroyal, Jalan Sultan Ismail, petang semalam.

Bagaimanapun, kedudukan Isma sebagai pelajar AF7 masih samar kerana terdapat satu lagi peringkat saringan memilih sama ada 10, 12 atau 14 peserta terbaik yang akan diumumkan melalui Tirai Akademi Fantasia 7 pada Sabtu dan Ahad (7 dan 8 Mac 2009).

Selain Isma, seorang lagi peserta yang mempunyai pertalian saudara dengan artis tempatan adalah Khairil Azam Pilus, 23, juga adik kepada penyanyi dengan lagu Indah Lelapku, Izwan Pilus.

Mesra dengan panggilan Azam, namun ingin dikenali sebagai Aril menerusi AF7 ini bertugas sebagai pereka grafik dan pernah menyertai program pencarian kumpulan terhebat, Gang Starz terbitan TV3 bersama kumpulannya 1st Edition.

Berbeza dengan Isma dan Azam, Lizda Nuryanti Abidin, 27, pula isteri kepada pelakon dan usahawan, Ezany Nizariff, yang popular menerusi drama Anak Betung.

Pada sidang media itu, pihak Astro turut membuat kejutan apabila menyenaraikan artis rakaman sebagai seorang peserta AF7 iaitu Nas Adila Mohd Dan, 23.

Selain itu bekas peserta OIAM musim kedua, Abraham Edwin Dungot, 26, dan Rubisa Tiasin, 23, dari My Starz LG musim pertama turut disenaraikan.

Jika penganjuran tahun lalu, AF menampilkan peserta ‘veteran’ iaitu Mama Rina, AF7 pula menampilkan Kelana Ayu (Kelana), 40, berasal dari Bintulu Sarawak dijangka menjadi tarikan.

Menurut Pengurus Saluran Astro Ria, Khairul Mizan Shagul, pada tahun ini AF7 menyuntik elemen perubahan apabila menjemput artis dan warga Singapura untuk menyertai pertandingan realiti nyanyian di samping mengekalkan had umur 18 hingga 45 tahun.

Beliau berkata, Astro juga berbangga sepanjang sesi uji bakat yang berlangsung di empat negeri, Kuala Lumpur, Johor Bahru, Sabah dan Sarawak berjaya meraih lebih dari 9,000 penyertaan dan ia rekod tertinggi yang pernah dicatatkan berbanding pada musim yang lepas.

“20 orang calon pelajar ini dikehendaki menyertai Minggu Orientasi dan Kem Muzikal yang meliputi kelas bimbingan dan ujian kelayakan antaranya vokal teknikal, vokal persembahan, tarian dan lakonan selama enam hari (1 hingga 6 Mac).

“Hanya pelajar yang memberikan persembahan keseluruhan terbaik akan diserapkan ke dalam akademi dan keputusannya akan diumumkan pada program Tirai Akademi Fantasia 7,” katanya.

15 peserta lain turut tersenarai dalam 20 terbaik adalah Abdul Hamim Suleiman (Amim), 21, Afiq hakim Ahmad (Akim), 18, Ahmad Sobri Hasmuni (Obri), 24, Mohd Hafiz Mohd Suip (Hafiz), 19, Mohd Qhauhd Abdul Rashid (Qhaud), 25, Mohd Rashidi Mohamaad Isa (Sidi), 27 dan Mohd Yazid Ibrahim (Yazid), 22.

Sementara peserta wanita, Alpaezah Manaf (Faezah), 20, Cabrine Blaire Bernard Solibun (Cabby), 20, Claudia Fay Geres (Claudia), 24, Nur Fazelah @ Zizie Mohd Tahil, 24, Siti Aishah Bujang (Aishah), 18, dan Zuzafrini Zulkifli (Rini), 26.

Harian Metro

18
Feb

Bakal Pengkritik Tetap AF7?

Oleh FAIZAL SAHARUNI
mfaizal@kosmo.com.my

“Saya tidak meletakkan sepenuh keyakinan tentang gosip ini, sebaliknya saya sedar ada lagi karyawan seni lain yang boleh menjadi pengkritik, selain saya sendiri” – NURUL

GOSIP penyanyi berkulit hitam manis, Nurul Huda Ab. Wahab atau lebih dikenali sebagai Nurul, bakal dilantik menjadi pengkritik tetap rancangan realiti, Akademi Fantasia 7 (AF7), kini semakin hangat diperkatakan.

Begitupun, tuan empunya badan hanya mampu tertawa kecil saat mendengar khabar angin, bakal duduk di kerusi ‘panas’ pengkritik tetap rancangan AF7.

Tidak dinafikan, ada riak terkejut pada mulanya apabila kisah itu dibentangkan. Namun Nurul pantas bertukar riak selamba semula, sambil bersikap profesional dengan gosip yang terus dijaja oleh peminat dan individu tertentu dalam lapangan seni.

Bagi Nurul sendiri, kalau ada kebenarannya tentang gosip dia bakal menjadi pengkritik tetap AF7, maka sudah pastilah dia menjadi orang pertama paling teruja.

“Kalau dapat, saya bersyukur sangat,” sahut Nurul tergelak kecil semasa ditemui pada sesi merakam lagu terbarunya di Execellent Studio milik Sharon Paul di Taman Tun Dr. Ismail, Damansara, Petaling Jaya minggu lalu.

Beritahu Nurul, dia bagaimanapun tidak menganggap gosip bakal dilantik sebagai pengkritik tetap AF7, menjadi satu masalah besar untuk dirinya.

“Saya suka sangat apatah lagi dapat bekerjasama dengan pihak produksi AF7 di empat buah lokasi yang berbeza di seluruh negara baru-baru ini.

“Saya dipilih untuk menjadi juri dan membuat tapisan para peserta di beberapa buah tempat antaranya adalah Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Sabah.

“Penerbit dan seluruh warga kerja AF7 kelihatan komited dalam melaksanakan tugas masing-masing demi mahu mencari bakat baru untuk diketengahkan dalam industri.

“Secara jujurnya, boleh dikatakan hampir keseluruhan warga kerja AF7 merupakan orang-orang yang berbeza, kalau ingin dibandingkan dengan enam musim sebelum ini.

“Rasa seronok dapat kerja dengan mereka yang bersifat gila-gila, namun mereka tetap bersungguh-sungguh menjalankan tugas yang diamanahkan oleh pihak Astro.

“Mereka mengetahui apa yang dimahukan termasuk mencari bakat-bakat baru di seluruh negara, malah mereka sentiasa berahsia dalam segala hal yang berkaitan AF7, supaya tidak diketahui umum.

“Itulah yang membuatkan saya jatuh cinta dengan sikap warga kerja AF7,” luah Nurul tanpa berselindung.

Penyanyi berusia 32 tahun itu berkata lagi, setelah gosip yang bertiup kencang mula menerima perhatian masyarakat, namun seluruh warga kerja AF7 tidak sesekali mendedahkan apa jua maklumat.

“Mereka buat tidak tahu, malah berdiam diri sahaja tentang gosip saya bakal dilantik menjadi pengkritik tetap AF7.

“Saya tidak meletakkan sepenuh keyakinan tentang gosip ini, sebaliknya saya sedar ada lagi karyawan seni lain yang boleh menjadi pengkritik, selain saya sendiri,” tambah Nurul dalam lontaran suara cukup merendah diri.

Barangkali, ada sesetengah pihak yang bersikap skeptikal tentang kredibiliti dan bakat Nurul untuk menjadi seorang pengkritik.

Mungkin ada yang berpendapat Nurul ibarat penyanyi hingusan, yang belum selayaknya untuk berada di tempat pengkritik tetap AF7.

Satu persoalan lain, mampukah Nurul bertukar karakter menjadi lebih celupar berbanding sebelumnya? Kita maklum sahaja, kebanyakan juri tetap AF sebelum ini agak ‘keras’ dan boleh dikatakan agak celupar bila membuat kritikan memandangkan mereka telah diamanahkan untuk berlaku ‘sejujur’ mungkin dengan peserta.


NURUL mungkin kelihatan naif, namun itu bukan bermakna dirinya boleh diperkotak-katikkan.

Dalam nada tenang Nurul menyampuk, dia mahu masyarakat menilai pengalaman yang dimilikinya dalam bidang seni suara selama 15 tahun, sebagai medium utama untuk dia berkongsi dengan bakat-bakat baru.

“Secara tidak langsung, ia menjadi motivasi dan perangsang untuk saya. Tambahan pula dengan proses yang pernah saya lalui sepanjang tempoh melebihi satu dekad berstatus anak seni.

“Banyak kenangan yang pernah saya jalani dalam hidup. Saya menerima banyak nasihat daripada peminat yang sebelum ini terserempak dengan saya, semasa berada di tempat awam.

“Bukan itu sahaja, hidup bersama bekas suami, Ajai selama 10 tahun sebenarnya sudah banyak mematangkan saya mendalami selok-belok dalam kehidupan dan bidang seni.

“Saya merupakan seorang wanita yang tidak gentar apabila dicabar. Kalau dicabar, lantas saya akan pastikan untuk melawan semula demi membuktikan kebolehan diri.

“Kerana itu saya lihat proses pengalaman yang pernah dilalui sebelum ini indah, lantas dapat dikongsi bersama orang lain,” ungkap Nurul yang kelihatannya naif, namun ia tidak bererti dirinya boleh diperkotak-katikkan oleh orang lain.

Jika selepas ini, masih lagi ada pihak menidakkan kemampuan dirinya, yang bergelar seorang penyanyi, maka ringkas sahaja ucap Nurul: “Saya anggap kata-kata ini sebagai cabaran.”

Muncul dengan album baru

Tutup kisah yang mengaitkan Nurul diuar-uarkan bergelar pengkritik tetap AF7 yang bakal bersiaran tidak lama lagi.

Nurul sebaliknya lebih teruja bercerita tentang proses pembikinan album studio, yang bakal menemui peminat pada Mac nanti.

Sebelum episod manis tentang albumnya dibicarakan, Nurul mengakui, berdepan dengan pelbagai masalah yang tidak dinafikan mengguris sedikit jiwanya, yang selama ini bersifat kental.

Tambah Nurul, pengalaman yang pernah dilaluinya memberi semangat untuk meneruskan kerjaya seni.

Meskipun pembikinan album solonya sebelum ini tertangguh hampir tiga tahun lamanya, namun kini segala yang diinginkan oleh Nurul, semakin hampir menjadi kenyataan.

“Pembikinan album terbaru ini sebenarnya sudah pun lama dirancangkan. Cuma kerana sebab-sebab yang tertentu, ia akhirnya tertangguh, hingga saya menemui Metadome Sdn. Bhd.

“Saya merupakan individu yang komited semasa bekerja, apatah lagi mahu melahirkan album baru. Malah saya juga mahukan orang yang bekerja dengan saya, harus komited sama.

“Tidak dinafikan, sebelum ini saya kurang yakin dengan syarikat lain daripada segi kemampuan bekerja.

“Apabila Metadome memberi peluang untuk saya bergelar artis rakaman mereka, saya terus setuju tanpa mahu fikir panjang.

“Pekerjanya juga terdiri daripada orang-orang kuat industri seni yang bersungguh-sungguh melaksanakan kerja sendiri.

“Disebabkan percaya dengan kredibiliti yang telah mereka perlihatkan, maka saya menerima tawaran Metadome pada bulan Disember tahun lalu.

“Saya harap album baru ini dapat memenuhi syarat yang ditetapkan dan hasilnya juga berkualiti,” ujar Nurul.

Kerjasama dengan Sharon

Tidak ketinggalan, Nurul juga menjalinkan kerjasama dengan komposer terkenal yang juga merupakan isteri kepada aktor, Rusdi Ramli iaitu Sharon Paul.

“Sudah lama saya berkeinginan untuk bekerja dengan Sharon, cuma baru kali ini ia tercapai.

“Sharon seorang yang serius apabila bekerja, tetapi dia tetap terbuka menerima pendapat orang lain.

“Boleh dikatakan, Sharon merupakan orang baru dalam dunia seni, jadi ideanya lebih segar serta mengikut peredaran masa.

“Saya juga tidak mampu untuk menidakkan kebolehan komposer lain, cuma kali ini saya mahu cuba sesuatu yang baru, untuk penjenamaan semula diri saya.

“Paling mengujakan, saya dan Sharon mempunyai keserasian semasa bekerja, hingga ia menjadi faktor terpenting untuk menghasilkan sesuatu karya yang baik,” kata anak kelahiran Pulau Pinang itu teruja.

Bercerita mengenai albumnya, sebanyak tujuh lagu dimuatkan. Terdapat lima buah lagu baru manakala dua lagu lama, menjadi bonus buat peminat.

“Sewaktu sesi pemilihan lagu, saya diberikan sebanyak 15 lagu untuk dipilih dan semuanya sedap didengar serta berkualiti.

“Saya mendengar keseluruhan lagu ini semasa memandu. Kerana tidak tahu lagu yang mana satu mahu dipilih, saya menyerahkan kepada Metadome untuk buat keputusan.

“Akhirnya sebanyak lima lagu terpilih. Antaranya adalah Sepenuh Jiwa, Kala Hati dan Jadikan Aku Bintang.

“Manakala dua lagu yang menjadi bonus dalam album ini adalah lagu saya yang dirakam tahun lalu.

“Buat masa ini, dua lagu lain masih belum mempunyai judul yang bersesuaian.

“Insya-Allah, album yang berbeza daripada apa yang peminat dengar sebelum ini, bakal dipasarkan pada pertengahan bulan depan.

“Dengan kelahiran album genre pop ini, saya percaya peminat dapat melihat kelainan di antara Nurul dahulu dan sekarang,” akhiri duta Power Root itu sambil ketawa mengekeh.

Kosmo

16
Feb

Tuah Aslinda

Oleh Shaidah Shafie
shasha@bharian.com.my


PESERTA bergambar bersama Hishamuddin (tengah), Mustapa (sembilan dari kiri), Fadzlena (tujuh dari kiri) selepas majlis penyampaian hadiah.

SIFAT prihatin terhadap insan malang mencetus naluri belas yang tidak terhingga dalam diri dan mendorong beliau melakukan kerja kebajikan walaupun hanya sekadar mendengar luahan perasaan, berkongsi maklumat dan memberikan sokongan moral kepada pesakit talasemia di Pertubuhan Talasemia Pulau Pinang.

Bagi pemenang Personaliti Pilihan Berita Harian 2008, Aslinda Nurziaty Amir, jika tidak dapat menghulur pertolongan besar sekali pun, senyuman ikhlas dan kata-kata nasihat bernada positif sudah cukup memadai untuk memberi kelegaan kepada mereka yang tidak berpeluang menikmati hidup sihat.

Prihatin kebajikan: Pemenang peserta PPBH 2008 azam perbanyak kegiatan amal

MINAT mendalam terhadap kerja kebajikan terutama membabitkan pesakit talasemia di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang membawa pengertian yang cukup istimewa kepada Aslinda Nurziaty Amir apabila beliau diumumkan pemenang Personaliti Pilihan Berita Harian 2008 (PPBH), yang berlangsung di Ballroom, Hotel Legend, Sabtu lalu.

Malah, rutin mengambil ibunya, Natrah Ismail, yang bertugas di hospital berkenaan membuka peluang kepadanya untuk bertemu mata dengan pesakit talasemia, sekali gus membuatkan Aslinda lebih prihatin mengenai nasib pesakit itu dan berazam memberikan apa saja bantuan yang termampu diberikan bagi meringankan beban mereka.

Berasal dari Pulau Pinang dan kini meneruskan pengajian peringkat Sarjana di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang, dalam bidang Pentadbiran Perniagaan, Aslinda terharu kerana niatnya untuk berkongsi kemenangan dengan pesakit di Pertubuhan Talasemia Pulau Pinang (PTPP) tercapai dengan kemenangan yang diperoleh itu.

“Saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Unit Wanita, Berita Harian kerana mengadakan pertandingan seumpama ini. Sekurang-kurangnya masyarakat tahu wanita muda seperti saya dan rakan lain juga mempunyai wawasan melakukan kerja kebajikan walaupun sumbangan itu mungkin tidak seberapa, tetapi begitu bererti kepada pesakit yang memerlukan,” katanya sejurus selepas diumumkan pemenang PPBH 2008.

Beliau membawa pulang wang tunai RM5,000, hamper barangan penaja utama Avon, baucar barangan Alfio Raldo dan Fossil serta sumbangan RM10,000 kepada badan amal pilihannya, Pertubuhan Talassemia, Pulau Pinang.

Aslinda yang memberikan jawapan mantap mengenai ketuanan Melayu dan institusi beraja perlu dikembalikan maruahnya ketika ditanyakan soalan mengenai isu terkini di Perak berkata, pesakit talasemia agak susah untuk mendapat pekerjaan kerana fizikal mereka yang mungkin tidak menyokong keinginan untuk bergerak aktif seperti orang lain kerana penyakit yang dihidapi.

“Kini saya sudah menjadi ahli berdaftar dan sukarelawan dengan PTPP, jadi saya boleh mengikuti sebarang kegiatan membabitkan pertubuhan berkenaan dan inilah masanya saya akan membantu mereka setakat yang termampu walaupun sekadar menjenguk dan mendengar luahan mereka,” katanya.

Ketika ditanya mengenai wang kemenangan, Aslinda berkata beliau akan memperuntukkan wang berkenaan untuk membiayai yuran pengajian dan selebihnya akan disimpan untuk digunakan pada masa depan.

Acara yang pertama kali dianjurkan Unit Wanita, Berita Harian itu bertujuan mencari wanita berwawasan dengan personaliti menarik berumur antara 18 hingga 35 tahun bagi menjadi wajah Berita Harian selain berpeluang mengikat kontrak selama setahun, memperagakan busana dan aksesori berjenama bagi akhbar tersohor ini.

Pemilihan dibuat dengan mengambil kira wanita berwawasan dan berkerjaya, mempunyai sifat empati terhadap kerja kebajikan yang sesuai serta berpeluang menghiasi muka depan halaman Ratu, ruangan khusus untuk wanita di Berita Harian.

Tempat kedua dan ketiga masing-masing dimenangi Fauziah Abu Bakar, 25 dan Nor Hafizah Badarudin, 27. Mereka membawa pulang wang tunai RM2,000 dan RM1,000, hamper barangan penaja utama Avon, baucar barangan Alfio Raldo dan Fossil.

Sementara itu, Fauziah berkata, sokongan rakan sekerja yang banyak memberi keyakinan kepada dirinya membuatkan beliau berasa teruja untuk menyertai PPBH dan memilih Rumah Amal Kasih Bestari untuk berkongsi kemenangan.

“Saya pernah membuat kunjungan amal ke rumah berkenaan dan kebetulan PPBH memperuntukkan sebahagian kemenangan untuk rumah kebajikan. Jadi saya tidak berfikir panjang untuk menyertai PPBH dengan harapan dapat membantu penghuni rumah amal itu. Doa saya dimakbulkan Tuhan dan tidak sia-sia kunjungan yang saya lakukan itu apabila terpilih sebagai pemenang kedua” katanya.

Pemenang ketiga, Nor Hafizah Badarudin, menyifatkan kemenangan yang diperoleh adalah kemenangan untuk keluarga dan juga penghuni Rumah Jagaan Anak Yatim dan Miskin Nurul Iman, Perak yang dipilih beliau.

Katanya, beliau terpanggil untuk memilih rumah anak yatim itu kerana berasa belas terhadap kanak-kanak yang sudah kehilangan ibu atau bapa ketika kecil sedangkan mereka memerlukan kasih sayang dan belaian insan bergelar ibu serta bapa untuk menjamin kesejahteraan hidup.

“Ada insan yang bernasib baik dan sebaliknya dalam hidup ini. Apabila melihat kanak-kanak di rumah berkenaan, saya teringat kepada anak saya sendiri apa nasib mereka sekiranya ibu atau bapa di sisi. Justeru, saya berasa perlu untuk menunjukkan keprihatinan saya kepada kanak-kanak yang memerlukan walaupun sekadar satu senyuman. Kalau saya berupaya menyumbang lebih, itu adalah satu kebaikan untuk mereka,” kata ibu kepada tiga cahaya kata itu.

Pada acara berkenaan juga, bintang kelahiran Akademi Fantasia keenam (AF6), Nubhan, yang muncul menyampaikan tiga lagu turut mendapat tepukan hangat daripada tetamu selain celoteh pengacara majlis Along dan Angah yang digilap bakatnya daripada program Raja Lawak Astro membuatkan pengunjung terhibur.

Pengarang Wanita, Berita Harian, Fadzlena Jafar, berkata pemilihan mengambil kira wanita yang mempunyai wawasan dan berkerjaya, selain mempunyai sifat empati terhadap kerja kebajikan yang sesuai menghiasi muka depan halaman Ratu, ruangan khusus untuk wanita di Berita Harian.

“Malaysia kini melangkah ke era 50 tahun selepas merdeka dan untuk itu, kami mencari wanita yang bijak dan berpersonaliti menarik sesuai menggambarkan wanita zaman moden hari ini. Walaupun bekerjaya dan berfikiran matang, mereka tetap menerapkan jati diri wanita Malaysia yang mencerminkan nilai ketimuran.

“Pada masa yang sama, pemenang kelak mestilah mempunyai minat terhadap kerja kebajikan kerana tiga pemenang pertama berpeluang memilih badan amal bagi menerima sumbangan berbentuk wang tunai berjumlah RM20,000 daripada penaja. Apa yang penting pemilihan tidak bersandarkan kepada rupa semata-mata, sebaliknya mempunyai kebijaksanaan sesuai dengan imej Berita harian yang mementingkan berita berilmu dan bermaklumat,” katanya.

Selain Fadzlena, juri bagi pertandingan itu ialah Penerbit Kanan TV9, Wan Sabariah Shikh Ali; Pengurus Perhubungan Awam Avon, Elaine Aisyah Abdullah dan Pengarang XY Berita Harian, Shamshul Azree Samshir.

Berita Harian