Skip to content

Posts from the ‘Akademi Fantasia’ Category

2
Jun

Hanya Diam Bila Demam



Oleh IZYAN LIYANA MOHD DARIF

Mereka bergelar selebriti pada usia yang muda. Apakah keistimewaan mereka sehingga menjadi ikon cilik di kaca TV?

“ALYCIA mahu ada gigi macam Stacy. Nanti suara Alycia pun sedap macam Stacy,” ujar kanak-kanak comel, Noor Alycia Norman Sabri. Ketika diduga, adakah itu bermakna dia juga mahu menjadi pelajar Akademi Fantasia (AF), Alycia terus berceloteh, “Alycia tak mahu masuk AF sebab Alycia hendak masuk American Idol. Nanti besar Alycia nak jadi selebriti yang baik sebab tak mahu diterjah dalam Melodi.”

Melihat keletah dan mendengar mulut becoknya yang seperti bertih jagung itu pasti ramai yang tidak percaya Alycia baru berusia enam tahun.

Kepada yang masih tercari-cari, siapa pemilik kepada nama Alycia ini, jika disebut dialog, ‘tahukah anda otak burung unta lebih kecil daripada matanya?’, pasti sudah boleh membayangkan wajah comelnya,

Melihat keletah Alycia menerusi iklan stesen penyiaran Astro, pasti ramai yang ketawa besar melihat aksi dan kenakalannya yang tidak henti-henti menyakat bapanya.

DIALOG ‘Tahukah anda otak burung unta lebih besar daripada matanya’ mempopularkan Alycia.

Malah, pasti ada yang terlintas di fikiran, “Pasti letih kalau budak ini benar-benar sebecok itu.” Tetapi hakikatnya, itulah karakter sebenar selebriti cilik itu.

Bahkan menariknya berbual dengan Alycia kerana dia tidak bercakap kosong, malah adakalanya butir bicaranya turut diselitkan dengan lawak jenaka dan teka-teki lucu yang sebenarnya menyerlahkan kepintaran kanak-kanak itu.

Hakikatnya, mulut becoknya itulah yang mendatangkan rezeki besar untuk Alycia apabila disunting Astro menjadi pelakon dalam iklan mereka.

“Perwatakannya dalam iklan itu adalah dirinya yang sebenar. Sebab itu, dia mudah menjiwai dan melakonkan watak tersebut. Pihak produksi cukup berpuas hati kerana sesi rakaman iklan dapat disiapkan dalam masa satu hari sahaja.

“Tak sangka pula Alycia menepati ciri-ciri yang diingini oleh pihak Astro. Ini kerana ketika proses uji bakat, Alycia perlu bersaing dengan para peserta yang lain,” jelas Mazlinnawati Mohamad, ibu kepada ikon terbaru Astro itu.

MAISARRA

Melihat perilaku Alycia yang ke sana ke mari dan suka bercakap, Mazlin menyatakan anak kesayangan itu hanya berhenti bercakap dan pasif, sekiranya mengalami demam panas atau sakit.

Ketika ditanya sejak bila anaknya mula melibatkan diri dalam bidang komersial, Alycia yang duduk di sisi ibunya dengan pantas menjawab: “Tengok, kan adik dah cakap setiap orang pasti bertanyakan soalan yang sama.”

Sekali lagi kami ketawa dengan mendengar jawapannya. Tidak menyangka anak kecil ini begitu peka dengan soalan yang diajukan. Jelas ibunya yang juga seorang pramugari, anak bongsunya itu mula berlakon iklan ketika berusia setahun.

Semuanya bermula apabila bapanya yang terlibat dalam industri iklan sentiasa membawa Alycia ke proses uji bakat. Kebetulan pada ketika itu, sebuah produksi iklan yang sedang mencari bakat kanak-kanak telah terpikat dengan keletah Alycia.

“Apa tidaknya, meskipun baru berusia setahun Alycia tidak pelat bertutur, mudah mesra dengan orang lain dan memahami arahan pengarah. Lantas dia terpilih sebagai model iklan, Baby Kiko dan perlu menggayakan 23 pasang baju dalam sehari.

“Alhamdulillah, Alycia tidak menangis dan meragam sepanjang proses rakaman. Krew produksi juga seronok melayan kerenahnya,” kata Mazlin sambil mengikat rambut Alycia yang ikal mayang.

Menyambung bicara, peminat setia kartun Sponge Bob dan Danny Phantom ini menjelaskan bayaran iklan lakonannya disimpan di dalam bank untuk tujuan pendidikan pada dewasa kelak.

“Mama tidak pernah menghalang saya untuk aktif berlakon, asalkan tidak mengabaikan pelajaran. Sebab itu, pulang sahaja dari sekolah saya cepat-cepat siapkan kerja sekolah dan mengulangkaji pelajaran.

“Ini kerana sekiranya kerja sekolah tidak siap, mama tidak benarkan saya menonton televisyen atau bermain,” ujarnya yang mendapat markah terbaik bagi matapelajaran Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu dan Matematik.

AIDA OTHMAN memberi tunjuk ajar kepada cucunya sebelum proses penggambaran.

Alycia juga memberitahu untuk menambah ilmu pengetahuan, dia akan menonton program Discovery dan National Georaphy di saluran Astro.

Malah, model iklan Johnson & Johnson, KFC, Drypers dan Digi juga memberitahu, sudah menjadi rutin hariannya untuk menyaksikan program kanak-kanak, Barney& Friends.

Katanya: “Program Barney selalu ada cerita yang menarik. Pada masa yang sama Alycia dapat tingkatkan penguasaan Bahasa Inggeris dan menyanyi.

Bercakap mengenai cita-citanya, bintang cilik yang pernah membintangi filem Dukun, menyimpan hasrat untuk menjadi doktor, peguam, saintis atau profesor. Jelasnya, kerjaya ini menarik kerana memerlukan seseorang itu berilmu tinggi.

Jika Alycia bercita-cita menjadi doktor atau profesor, tetapi tidak bagi seorang lagi selebriti cilik, Maisarra Syahfiedzrien Nor Nairul Nizam. Ini kerana rasa cintanya terhadap dunia lakonan ingin diteruskan sehingga meningkat dewasa.

Jelas Maisarra yang mula dikenali menerusi drama Diari Ramadan Rafique, TV3, walaupun proses rakaman drama sentiasa mengambil masa yang lama, tetapi dia tidak pernah mengeluh apatah lagi untuk berundur diri.

“Saya suka berlakon dan ingin terus berlakon. Pulang dari penggambaran sekitar pukul 2 atau 3 pagi tidak menjadi masalah, asalkan ditemani wan (nenek) dan abang.

“Lagipun berlakon pada usia muda dapat kumpul wang untuk kegunaan masa depan. Walau sesibuk mana pun penggambaran drama dan iklan, saya tidak pernah mengabaikan pelajaran. Ini kerana wan pesan, sekiranya pelajaran merosot, saya tidak boleh berlakon lagi,” jelasnya yang membahasakan dirinya kakak dan memegang watak sebagai Icah dalam drama Bong, TV9.

Menurut neneknya Aida Othman, 55, yang juga seorang pelakon, kemunculan Maisarra dalam industri seni mula disedari sejak lakonannya dalam drama Diari Ramadan Rafique. Membawa watak sebagai anak bongsu yang petah berkata-kata membuatkan namanya melekat dalam hati penonton.

“Sebelum itu, Maisarra hanya berlakon sebagai watak tambahan untuk drama Naskah dari Ratna. Maka, daripada situ dia mula menerima tawaran drama seperti Aku Cinta Padamu dan Marikas.

“Saya dapati Maisarra turut mempunyai minat dan bakat lakonan seperti saya. Di rumah dia selalu bermain berlakon bersama adik-beradiknya. Kadangkala berdiri di hadapan cermin dan membuat pelbagai mimik muka,” jelas Aida yang selalu membantu membacakan skrip drama atau iklan kepada Maisarra.

Tambahnya lagi, ketika Maisarra tidak tahu membaca, dia akan membantu cucunya itu membacakan skrip dan menceritakan plot cerita tersebut.

“Biasanya Maisarra tidak terlalu terikat dengan skrip kerana apabila memahami jalan cerita, dia lebih selesa mengeluarkan skrip dengan cara tersendiri,” ujarnya mengenai Maisarra yang pernah muncul dalam iklan, Amanah Raya Berhad dan iklan kemerdekaan (membawa watak Adibah Nor sewaktu kecil).

Paling menggelikan hati seawal usia tujuh tahun, Maisarra sudah bijak bertanyakan kepada neneknya: “Wan, tak ada job ke untuk kakak? Dah dua bulan kakak tak berlakon ni.”

Ketika ditemui di set penggambaran drama, Senyumlah Papa, Maisarra mengakui dia lebih suka berlakon watak gembira dan nakal kerana ia mudah dijiwai berbanding watak sedih. “Setiap kali berlakon watak sedih, air mata saya susah untuk mengalir. Ia hanya bergenang dalam mata sahaja,” ceritanya.

Powered by Kosmo

31
May

Diet Aizat Makin Menjadi

Oleh Zaidi Mohamad



WAJAH Aizat sekarang.

Mampu kurangkan berat badan dalam tempoh empat bulan, sentuh nasi seminggu sekali

PERJUANGAN seni jejaka comel bernama Muhammad Aizat Amdan, 19, atau Aizat tidak pernah terhenti, apatah lagi persekitaran keluarganya cukup dekat di hati dalam bidang muzik. Tersingkir pada konsert mingguan minggu ketujuh menerusi Akademi Fantasia musim kelima, tidak pernah mematahkan legasi seninya yang baru saja bermula.

Berkemungkinan besar, penghujung Mei ini, Aizat bakal menerjah persada seni dengan album sulungnya di bawah pembikinan syarikat milik keluarganya sendiri iaitu Kasi Gegar Entertainment dengan kerjasama Universal Music dan Maestro Records.

Selepas lagu Sahabat, lagu Hanya Kau Yang Mampu dipertaruhkan sebagai single kedua sehingga meledakkan nama jejaka yang pernah dikenali dengan tagline Kasi Gegar itu.

Hip berkesempatan ke kediamannya di Ampang pada hujung minggu lalu untuk meninjau aktiviti masa senggang jejaka comel ini. Memerhati susuk tubuh barunya, pasti akan membuatkan peminat di luar sana seakan terpana dengan imej barunya yang kelihatan kurus sehingga menampakkan potongan dagunya yang runcing.

Jelas Aizat, berat badannya sudah turun daripada 112 kilogram (kg) ke 88 kg. Berkat usahanya yang konsisten, alhamdulillah hasilnya cukup mengujakan. Tambahnya lagi, Jumaat umpama hari ‘pembalasan’ untuk dirinya membedal apa saja makanan yang diingini.

“Sudah empat bulan berlalu, saya nekad menguruskan badan dengan tiga langkah. Pertama, kurangkan makan. Kedua, bersenam dan cara ketiga ialah menggabungkan langkah pertama dan kedua secara konsisten. Saya akan ke gimnasium dua kali dalam seminggu ataupun berenang di rumah mengikut kesesuaian waktu. Saya juga akan berjoging selama 35 minit di mana-mana kawasan yang dirasakan sesuai.

“Saya hanya menyentuh nasi seminggu sekali. Hari Jumaat saya jadikan sebagai hari untuk saya menghayati nikmat erti sebuah makanan. Selalunya, hari itu saya akan ke rumah nenek, Norly Abdul Karim. Hari itu saya akan belasah dan bedal saja makanan yang saya rasa mahu.

“Selain itu, saya juga mengutamakan makanan berorganik, berserat dan berorientasikan sayur-sayuran seperti salad. Makanan berorganik ini berkhasiat tinggi kerana ia tidak diproses dan tidak mempunyai campuran kandungan bahan kimia,” katanya dengan penuh teruja.

Sewaktu fotografi berlangsung hanya ibunya (Fina Norhizah Baharuzaman), bapa tiri (Syed Abdul Rahim Syed Jaafar), adik (Muhammad Alif Amdan), kakak (Nur Ili Zuhair Amdan), nenek (Norly) dan nenek saudaranya (Aminah Firdaus) yang berada di rumah. Dua abangnya iaitu Muhammad Amar Amdan dan Muhammad Anas Amdan masing-masing bekerja dan belajar di Australia. Abang sulungnya, Muhammad Amir Amdan juga terikat dengan jadual kerja.

Kata Aizat, muzik dan keluarganya bagaikan irama dan lagu, yang tidak dapat dipisahkan. Keluarganya berkebolehan bermain instrumen muzik seperti gitar dan dram dan ada di antaranya yang boleh menyanyi seperti Aizat.

“Yang menjadi pencetus segala-galanya semestinya umi dan ayah kandung saya, Amdan Mat Din. Ayah pun pernah ada kugirannya sendiri sebelum ini. Umi saya yang memperturunkan khazanah bakat dan ilmunya bermain gitar kepada abang sulung saya. Seterusnya ia berentetan dan menjadi tradisi turun-temurun keluarga kami.

“Muzik bukan alasan untuk kami adik-beradik leka melupakan tanggungjawab. Ia diseimbangkan dengan penuh tertib, sehingga ia menjadi penanda aras buat diri saya sendiri yang menjadikannya sebagai laluan pacuan kerjaya seni,” ungkap Aizat yang masih berhubung baik dengan bapa kandungnya yang tinggal bersama abangnya Amir di kediaman berasingan.

FAKTA:

  • Lagu Sahabat dan Hanya Kau Yang Mampu dicipta sepenuhnya oleh komposer Indonesia yang dikenali dengan nama Taufik.

  • Kakak dan sepupunya, Shukri turut menjadi penyanyi back-up untuk lagu nyanyian Aizat yang dimuatkan dalam album sulungnya.
  • Kontraknya bersama Maestro Record berbaki tiga tahun lagi.
  • Aizat mengaku potensi dirinya untuk menyanyi secara kugiran (band) bersama keluarganya lebih cenderung. Akuinya, jiwanya lebih terarah ke situ.
  • Laman web: www.kasigegar.com, myspace (aixavi@yahoo.com), facebook (run10_absolution@hotmail.com) dan yahoo (aizatamdan@yahoo.com).

Powered by Berita Harian

30
May

Majlis Kahwin Intan?

Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my

Rap

DESAS-desus mengenai pelakon cantik ini bakal me ngakhiri zaman bujang bukan saja hangat diperkatakan kini malah menjadi berita mengejutkan di kalangan kenalan rapatnya.

Bagaimanapun, apabila perkara itu ditanya kepada empunya diri, Intan Ladyana Mohd Yahya (Intan), 26, kelihatan terpinga-pinga.

“Dari mana datangnya cerita ini? Hari itupun saya ada terima panggilan daripada kenalan rapat yang berkecil hati kononnya tidak menjemputnya ke majlis perkahwinan.

“Pelik sungguh apabila orang luar dulu yang tahu cerita ini sedangkan saya yang dihebohkan hendak berkahwin, tidak tahu bila akan berkahwin.

“Tidak dinafikan saya sudah berpunya tetapi setakat ini kami belum merancang apa-apa termasuk untuk berkahwin kerana masing-masing terikat dengan komitmen kerja.

“Harapan saya, supaya orang tidak mudah percaya cerita mengarut seperti itu. Jika sampai seru mendirikan rumah tangga, jangan bimbang perkara baik seperti ini tidak mung kin saya rahsiakan,” katanya.

Bintang Jangan Pandang Belakang itu mengakui hatinya sudah dimiliki. Malah hubungannya dengan Kevin Azhari iaitu bekas tenaga pengajar Akademi Fantasia musim keempat bukan lagi rahsia.

Malah tidak lama dulu pasangan merpati dua sejoli itu pernah mencetuskan kontroversi apabila gambar aksi ‘kurang sopan’ membabitkan seorang gadis Jepun yang menyerupai wajah Intan disebarkan di Internet.

Walaupun masih baru dalam bidang seni, Intan dianggap pendatang baru yang cukup bertuah kerana diam tak diam sudah membintangi tiga filem, Tipah Tertipu The Movie, Jangan Pandang Belakang (JPB) dan I’m Not Single. Dalam JPB menampilkannya sebagai pelakon utama.

Tidak sekadar filem, wajahnya juga sering menjadi pilihan produser dan pengarah drama. Antara drama yang me lonjakkan namanya ialah Puteri dan Jelatang.

Bagaimanapun, hakikatnya masih ramai tidak mengenali gadis kacukan Melayu-Thai ini sehinggakan ada masanya bakat Intan seperti tenggelam dek kebangkitan pelakon baru.

Kata Intan, setakat ini semuanya bagus saja. Malah katanya, tawaran berlakon tidak pernah putus hingga dia perlu sampai menganggur dua atau tiga bulan di rumah meskipun per saingan kerjaya itu cukup sengit.

“Tidak sekadar kemunculan pelakon baru, persaingan da tang daripada pelakon berpengalaman yang bakat mereka sudah terbukti hebat.

“Keadaan ini sebenarnya mewujudkan persaingan sihat kerana ia akan membuatkan semua pelakon tidak kira muda atau lebih ‘senior’ mengutamakan kualiti kerja untuk terus bertahan lama. Saya sendiri selesa bersaing dari segi watak.

“Dalam erti kata lain, saya berusaha mempamerkan ke bolehan dengan memberikan lakonan terbaik untuk men dapatkan watak yang lebih mencabar pada masa akan datang,” katanya.

Katanya, lakonan terbarunya dalam I’m Not Single akan dapat ditonton di pawagam Jun. Selain itu Intan terikat dengan dua penggambaran drama Gaia musim kedua dan Dari KL Ke Queenstown yang kini dalam persediaan blok kedua.

Selesai menjayakan dua drama itu, Intan kembali sibuk dengan penggambaran filem dan sitkom Puteri musim ke-10.

Untuk drama Dari KL Ke Queenstown, Intan membawakan dua watak, sebagai pelajar dan watak tua.

“Dalam cerita ini saya memegang watak Sofia. Dia anak manja kerana dilimpahi kemewahan. Namun, di sebalik sikapnya itu, Sofia seorang yang tegas.

“Kisahnya bermula apabila Sofia jatuh cinta dengan Saiful, lakonan Eizlan Yusof. Namun percintaan mereka mendapat tentangan keluarga kerana Saiful anak orang susah dan tidak setaraf keluarga Sofia.

“Meskipun pada awalnya dia menentang keputusan ibu bapa, akhirnya Sofia akur lalu mengahwini lelaki kaya yang tidak dicintainya.

“Konflik berlaku apabila Saiful muncul dalam hidupnya. Kali ini anak gadis Sofia pula mencintai lelaki itu,” katanya.

>PROFIL

Nama sebenar: Intan Ladyana Mohd Yahya

Tarikh Lahir: 2 Jun 1982

Tempat Lahir: Kuala Lumpur

Zodiak: Gemini

Kerjaya: Pelakon, pengacara dan model iklan

Adik beradik: Anak kedua daripada tiga beradik

Iklan: Nivea Skincare, Follow Me, Jacobents, Celcom, Sunsilk, Acuvue,

Toyota Hilux, Dentyne, Oil Of Olay, Deify Skincare dan Hotlink

Rancangan TV: Hello Minda dan Adventure Race 2006

Drama: Trio, Bujal, Bapak Bola Anak Futsal, Puteri dan Jelatang

Filem: Tipah Tertipu, Jangan Pandang Belakang & I’m Not Single

Powered by Harian Metro

25
May

Nadia Jawab Isu Gedik, Riz Bersyukur

Teks oleh Haswari Ali

KUALA LUMPUR, 25 MEI 2008: Bermacam pertanyaan diajukan pihak media kepada semua finalis Akademi Fantasia 6 (AF6) pada sidang media larut malam yang diadakan di Bilik VIP, Stadium Putra, Bukit Jalil, malam tadi.

Kelima-lima finalis itu kelihatan ceria, tersenyum dan ada masanya terpaku mendengar sesi soal jawab itu walaupun hakikatnya tubuh mereka sudah lesu sesudah bertarung selama 3 jam di pentas. Antara yang banyak disoal adalah Stacy dan Nadia.

Apa yang pasti kesemua graduan AF6 itu akan mengenang saat manis beraksi di stadium itu buat selama-lamanya.

Stacy – Juara

Media: Sejauh manakah pengalaman Stacy ketika menyertai program GangStarz banyak membantu anda sehingga berjaya dalam AF6?


Stacy: Pengalaman di sana banyak membantu saya untuk bekerjasama dalam sebuah kumpulan. Juga cara berhadapan dengan penonton dan kawal gementar.

Media: Adakah Stacy sudah menjangkakan akan menjadi juara?
Stacy: Saya tak pernah bermimpi untuk bergelar juara. Kerana bagi saya, pesanan cikgu-cikgu dalam AF selalu menjadikan saya seorang yang tidak cepat berpuas hati. Saya selalu ingat ada orang yang lebih hebat dari kita di luar sana.

Media: Selepas Mila bergelar juara wanita AF, sekarang giliran Stacy pula. Adakah Stacy merasakan Stacy saingan Mila?

Stacy: Dari segi nyanyian ia merupakan satu saingan yang besar. Tapi itu kan saingan secara sihat dan positif…

Media: Kehebatan seperti mana yang Stacy mahukan?
Stacy: Saya mahu jadi penyanyi yang versatile. Saya bukan saja suka menyanyi tapi juga minat menari. Itulah kepuasan saya apabila di pentas.

Riz – Naib Juara

Media: Tidakkah Riz merasa kesal meninggalkan kumpulan EqualStars dulu?

Riz: Sebenarnya kumpulan itu sudahpun dibubarkan. Kalau Riz mahu kekal bersama mereka, takkanlah Riz datang ujibakat menyertai AF6.

Media: Adakah dengan menduduki tempat kedua Riz kecewa dan merasakan kalah di tangan Stacy?
Riz: Riz tak rasa begitu. Ini semua adalah rezeki yang Tuhan berikan. Malah Riz tetap bersyukur dapat tempat kedua. Mulai sekarang Riz akan terus berusaha untuk memajukan diri dalam bidang seni.

Nubhan – Pemenang Ketiga

Media: Adakah Nubhan merasakan yang Nubhan layak menyandang tempat ke-3?
Nubhan: Saya sudah cuba melakukan yang terbaik dan memberikan sepenuh tenaga dalam diri saya. Lagipun semua keputusan di adalah di tangan pengundi AF.

Toi – Pemenang Keempat

Media: Sebagai peserta yang dah berumah tangga, bagaimana Toi rasa?
Toi: Ada masanya saya rasa berat untuk meneruskan perjuangan dalam AF tapi memikirkan ini peluang keemasan, saya tidak mahu mensia-siakannya.

Media: Adakah anda rasa anda layak dinobatkan tempat keempat?
Toi: Saya tahu saingan semuanya hebat-hebat belaka, jadi masuk final pun dah kira OK.

Nadia – Pemenang Kelima

Media: Adakah Nadia berpuas hati dengan keputusan ini kerana dilihat setiap minggu Nadia berhempas pulas?
Nadia: Nadia tak meletakkan sebarang harapan. Nadia redha kerana Nadia sudah buat yang terbaik. Sudah masuk ke final pun Nadia bersyukur kerana Nadia tahu susah payah untuk capai tahap ini.

Media: Pernahkah Nadia merasakan kurangnya orang mengundi Nadia kerana faktor kenegerian?
Nadia: Tidak, semua itu adalah soal rezeki. Tak semestinya penonton Kuala Lumpur tidak boleh mengundi Stacy dari Sabah dan begitulah sebaliknya. Ini semua sudah ditentukan Tuhan.

Media: Adakah Nadia merasakan 2 lagu rancak yang diberikan kepada Nadia menjadi faktor kekalahan Nadia?
Nadia: Nadia menerima tugasan yang diberikan dengan sepenuh hati dan Nadia dah cuba yang terbaik. Nadia tak rasa 2 lagu rancak itu membuatkan Nadia menduduki tempat ke-5.

Media: Isu gedik dan kemesraan dengan Riz mungkin membuatkan orang meluat untuk mengundi Nadia?

Nadia: Semua itu berlaku semasa Nadia dalam akademi. Nadia tak pernah terfikir nak hipokrit dan Nadia sendiri tak pernah tengok Diari AF atau apa-apa program yang ditayangkan. Nadia akui ada kalanya Nadia playful (main-main) sewaktu berada dalam AF tetapi Nadia tetap serius memikul tanggung jawab yang diberikan.


Murai

25
May

Stacy Dinobat Juara AF6

Oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed



Stacy

KUALA LUMPUR: Seperti yang diramal, Stracie Angie Anam atau Stacy, 18, yang sentiasa menduduki tempat teratas dalam setiap persembahan mingguannya dinobatkan sebagai juara program TV realiti popular, Akademi Fantasia musim keenam (AF6) pada konsert akhir yang berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil, di sini, malam tadi.

Stacy tidak dapat menahan sebak sebaik diumumkan sebagai juara oleh pengacara AF6, AC Mizal. Dia yang menyampaikan lagu Atas Nama Cinta nyanyian asal Rossa dan lagu baru, Aku Stacy ciptaan Intan Norul Azlina dan lirik oleh Intan Norul Azlina dan Layla Ismail berjaya memukau penonton.

Malah, pengkritik tetap, iaitu Fauziah Datuk Ahmad Daud dan Ning Baizura serta pengkritik jemputan, Adlin Aman Ramlie turut kagum dan memuji persembahannya pada konsert akhir itu.

Pelajar kecil molek yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah itu menerima hadiah lumayan keseluruhan bernilai RM733,734, termasuk sebuah banglo empat bilik di A Famosa, Melaka (RM550,000), kereta Peugeot 307 XS tajaan Naza Motors Sdn Bhd (RM139,535), wang tunai RM25,000 sumbangan Hotlink, pakej percutian ke Itali tajaan Mayfirst, pakej pelancongan ke New York tajaan Maybelline, Sony Playstation tajaan Astro (RM1,199) bersama trofi AF6.

Naib juara, Mohammed Idris Mohd Zaizizi atau Riz, 22, dari Grik, Perak menyanyikan lagu 11 Januari (Gigi) dan Hanya Sandiwara ciptaan Norliza Abu Bakar serta lirik oleh Dean. Dia membawa pulang hadiah bernilai RM96,076 iaitu kereta Naza Bestari tajaan Naza Motors Sdn Bhd (RM68,877), wang tunai (RM15,000), pakej percutian ke Itali, baucar pelancongan (RM3,000), Sony Playstation serta trofi AF6.

Tempat ketiga, Ahmad Nubhan Ahmad atau Nubhan, 22, dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan menyampaikan lagu Bukan Di Sini (Sofaz) dan Ada Untukmu ciptaan Zeti Akmar, manakala lirik oleh Abie Abdullah. Kejayaan itu membolehkannya

membawa pulang hadiah bernilai RM21,199, iaitu wang tunai (RM10,000), pakej percutian ke Afrika Selatan, baucar pelancongan (RM2,000), Sony Playstation serta trofi AF6.

Khairul Nizam Baharom atau Toi, 31, dari Johor Bahru sekadar menduduki tempat keempat. Dia yang mendendangkan lagu Cinta Zulaikha (Mawi) dan Panahan Asmara ciptaan Muhd Nur Hadi dan Muhamad Hafiz manakala lirik oleh Ad Samad. Dia membawa pulang hadiah bernilai RM9,199 iaitu wang tunai (RM5,000), pakej percutian ke Chiang Mai, Sony Playstation serta trofi AF6.

Tempat kelima, Nadia Haswani Hasnan atau Nadia, 18, dari Kuala Lumpur yang menyampaikan Aku Lebih Tahu (Mila AF5) dan Kalut Lagi Mengarut ciptaan Clifford Joseph Hughes dan Amiruddin Syawal, manakala lirik oleh Syeikh Qalam. Dia menerima hadiah bernilai RM7,199 iaitu wang tunai (RM3,000), pakej percutian ke Chiang Mai, Sony Playstation serta trofi AF6.

Jumlah keseluruhan tajaan dan hadiah bagi AF6 bernilai hampir RM900,000. Hadiah disampaikan Pengetua AF6, Ramli MS.

Powered by Berita Harian

25
May

Stacy Juara Akademi Fantasia Ke-6

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL

KUALA LUMPUR 24 Mei – Setelah enam kali Akademi Fantasia (AF) diadakan sejak tahun 2003, buat pertama kalinya peserta dari Sabah, Stacy (gambar) dinobatkan sebagai juara AF6 yang diadakan di Stadium Putra Bukit Jalil, di sini malam ini.

Dengan kemenangan Stacy atau Stracie Angie Anam, 18, dia mengekalkan penguasaan pelajar perempuan untuk kali kedua menjuarai AF selepas Noorsyarmilla Jirin atau Mila pada tahun lalu.

Kemenangan Stacy sudah dijangka kerana bermula dari konsert pertama pada 22 Mac lalu hingga kesembilan, dia sentiasa memberi persembahan bertenaga dan menduduki di tempat yang selesa berdasarkan undian khidmat pesanan ringkas (SMS) para penyokongnya.

Stacie yang menyanyikan lagu Atas Nama Cinta (dendangan asal Rossa) dan sebuah lagu baru, Aku Stacy dengan penuh bangga membawa pulang hadiah yang bernilai lebih RM700,000.

Hadiah itu berupa sebuah rumah banglo di A’Famosa Villa D’Lagos, Melaka bernilai RM550,000 dan juga pakej percutian ke Afrika Selatan, kereta Peugeot 307 XS bernilai RM139,535, wang tunai berjumlah RM25,000 serta sebuah trofi bersalut emas.

Tempat kedua dimenangi oleh Mohammed Idris Mohd. Zaizizi, 22, atau Riz yang menyampaikan lagu 11 Januari dan Hanya Sandiwara.

Dia memenangi sebuah kereta Naza Bestari bernilai RM68,877, pakej percutian ke Afrika Selatan, wang tunai berjumlah RM15,000 serta sebuah trofi.

Sementara itu, Nubhan atau nama sebenarnya, Ahmad Nubhan Ahmad, 22, yang mempersembahkan lagu Bukan Di Sini (dendangan asal kumpulan Sofaz) dan Ada Untukmu (lagu baru) mendapat tempat ketiga.

Tempat keempat menjadi milik Khairul Nizam Baharom atau Toi dan kelima dimenangi oleh Nadia Haswani Hasnan atau Nadia.

Powered by Utusan Malaysia

25
May

Apa Kes Hujan


HUJAN

DIVA sudah tak tahu nak kata apa lagi dengan kumpulan Hujan. Diva rasa media dah banyak kali bagi peluang. Maklumlah mereka telah mencetuskan revolusi muzik tempatan yang bermutu. Malangnya, sikap mereka tak pernah berubah.

Baru-baru ini Hujan telah membangkitkan kemarahan RTM apabila menolak untuk membawakan lagu kumpulan Sofaz dalam satu persembahan kerana mendakwa mereka ‘tak main lagu orang’.

Kerana insiden ‘menegakkan pendirian’ itu, RTM tidak jadi mengundang mereka, sebaliknya mengambil kumpulan 6ixth Sense sebagai pengganti.

Belum reda lagi isu tersebut, Hujan sekali lagi membikin hati orang industri menggelegak apabila meminta bayaran dan hak cipta daripada pihak Astro selepas pengetua Akademi Fantasia 6 (AF6), Ramli MS mahu menggunakan lagu mereka, Bila Aku Sudah Tiada untuk konsert final yang berlangsung semalam.

“Nak minta copyright daripada kami bermaksud mereka tak mendaftar di MACP. Habis radio main lagu mereka ada copyright? Kalau nak bercakap atau punya pendirian pun biarlah bertempat. Guna minda bila bercakap, bukan guna hati,” komen Ramli tentang sikap Hujan.

Tambah Ramli lagi, macam mana band-band seperti mereka nak maju kalau terus attitude dan tak menghargai bila orang lain menghargai mereka.

Diva: Orang tamak selalu rugi, macam anjing dengan bayang-bayang.

Powered by Kosmo

21
May

Jangan Lupa Lirik! Tawar RM1j

Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED metra.mohamed@utusan.com.my

ZAINIR Aminullah (tiga dari kiri) bersama Khairul Mizan (dua dari kiri) dan Khairul Anwar Salleh (tiga dari kanan) serta tiga pengacara iaitu Aznil, Zizan serta Nabil pada pelancaran tiga program baru Astro di Kuala Lumpur, baru-baru ini – Gambar ZAKARIA IDRIS

STESEN televisyen berbayar terkemuka negara, Astro tidak pernah ketandusan idea dalam menampilkan program-program yang mendapat tempat di hati masyarakat.

Walaupun ada program tersebut diadaptasikan dari luar, sentuhan mereka yang berada di belakang tabir termasuk pengacaranya, banyak yang berjaya membawakan program itu menepati elemen tempatan.

Terbaru, Astro menerusi saluran Astro Ria dan Astro Prima memperkenalkan tiga program baru iaitu Jangan Lupa Lirik!, Bolos serta Fikirlah Sendiri Nabil.

Jangan Lupa Lirik! yang dihoskan oleh pengacara nombor satu negara, Aznil Nawawi bakal bersiaran mulai 25 Mei ini di saluran Ria (saluran 104, Astro) pada setiap hari Sabtu dan Ahad, pukul 9 malam. Ia akan menonjolkan bakat-bakat peserta dalam bidang nyanyian serta muzik.

Menariknya, meskipun diadaptasikan daripada program Don’t Forget The Lyrics dari Amerika Syarikat, mereka yang berjaya menyanyikan lagu dengan betul sehingga ke peringkat akhir berpeluang untuk memenangi hadiah utama bernilai RM1 juta.

Pengarah Eksekutif Astro Entertainment Sdn. Bhd., Zainir Aminullah berkata, menerusi program tersebut, peserta akan memilih lagu daripada genre berlainan dan menyanyikannya di pentas sambil diiringi kumpulan muzik.

“Muzik dan lirik yang dipaparkan di skrin akan dihentikan pada bila-bila masa dan di sinilah peserta dikehendaki menyambung nyanyian mereka dengan lirik yang betul.

“Sehingga ke satu tahap, mereka diberikan pilihan untuk meneruskan permainan dan andai ada berjaya ke akhir, wang RM1 juta ditawarkan bagi yang berjaya,” katanya pada majlis pelancaran program-program baru Astro di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Hadir sama Pengurus Saluran Astro Prima, Khairul Anwar Salleh dan Pengurus Saluran Astro Ria, Khairul Mizan Shagul.

Menurut Zainir lagi, selain Jangan Lupa Lirik!, di saluran yang sama, naib juara Raja Lawak Astro musim pertama, Mohd. Razizan Abdul Razak atau Zizan bakal tampil menerusi rancangan berjudul Bolos mulai 2 Jun ini.

Fikirlah Sendiri Nabil pula yang menampilkan juara Raja Lawak musim kedua, Nabil dijangka mampu menghangatkan saluran Prima (saluran 105, Astro) dengan program komedi spontannya yang menggabungkan elemen stand-up serta sketsa.

Ia akan bersiaran mulai 6 Jun iaitu setiap Jumaat pada pukul 9 malam.

“Selain tiga program baru berkenaan, Astro melalui saluran Ria juga akan menyiarkan program bual bicara popular iaitu AC Di Sini bagi musim keempat dan akan bersiaran sebaik tamatnya Akademi Fantasia,” jelasnya.

Pinggirkan pengacara wanita?

Sementara itu, Khairul Mizan yang ditemui turut ditanyakan mengenai Astro Ria yang dilihat lebih mengutamakan pengacara lelaki dalam mengendalikan sesebuah program berbanding wanita.

Sebagai contoh, dalam beberapa program utamanya seperti Akademi Fantasia, Kring Kring, Trek Selebriti dan Ronda 360 Darjah termasuk terbaru iaitu Jangan Lupa Lirik! serta Bolos adalah dikuasai pengacara lelaki.

Menjawab persoalan itu, Khairul Mizan berkata, pihaknya tidak pernah meminggirkan kaum wanita dalam mengendalikan sesebuah program di Astro.

“Sebenarnya, tugas menjadi pengacara akan diberikan mengikut kesesuaian format program. Sesiapa sahaja yang dilihat bersesuaian dengan format tersebut, akan diberikan peluang,” katanya.

Seperti baru belajar

Dalam pada itu, penglibatan Aznil dalam beberapa program di Astro diakui berjaya membawakan sesebuah program itu mencapai satu tangga populariti yang tinggi.

Lihat sahaja bagaimana dia mengendalikan Akademi Fantasia, Macam-Macam Aznil, Tom Tom Bak dan Kring Kring.

Mengendalikan program yang mempunyai elemen berbeza, Aznil sememangnya mahir dalam mensesuaikan diri untuk menarik minat penonton.

Ketika ditanya mengenai kepercayaan Astro terhadapnya dalam mengacarakan program Jangan Lupa Lirik!, Aznil mengakui, dia seperti pelajar baru dunia pengacaraan.

“Jangan Lupa Lirik! adalah medan yang berbeza. Saya merasa seperti baru belajar. Namun, ini sebagai satu penghormatan bagi diri saya untuk mengendalikan program baru di Astro.

“Walaupun program itu disadur dari program luar, saya akan cuba membawakan satu kelainan yang bersesuaian dengan budaya setempat,” jelasnya.

Nabil – peluang kembangkan bakat

Menjuarai rancangan realiti TV berkonsepkan komedi, Raja Lawak musim kedua, Nabil menganggap peluang yang diberikan dalam mengacara Fikirlah Sendiri Nabil sebagai penghargaan kepada dirinya.

“Saya ingin pergi lebih jauh. Memanglah saya tidak dapat menyaingi pengacara-pengacara popular lain tetapi ini adalah peluang keemasan bagi saya untuk kembangkan bakat,” tambahnya.

Powered by Utusan Malaysia

18
May

‘Kejayaan’ Kilang AF

Oleh SOFIATUL SHIMA WAN CHIK

KONSERT akhir Akademi Fantasia musim keenam hanya tinggal beberapa hari sahaja. Ini bermakna tapak mula untuk kesemua pelajar bergelar bintang semakin hampir.


DIAM ATAU MEMBAWA DIR?TATKALA suara Nana berkumandang setiap hari di radio dan Mawi membawa langkah demi langkah ke pentas anugerah dan negara luar untuk ‘menjual’ bakat, beberapa nama yang dulunya pernah ditepuk sorai diam terus. Ke mana agaknya Lotter yang dahulunya merupakan naib juara AF4? Khabarnya dia sekarang lebih senang bersama anak-anak band untuk bergerak sendiri. Amirul, Fuad dan Kaer lebih selesa bergelar pelajar di negara asing. Ebi pula selesa bergelar pelakon walau pernah juga bergelar naib juara yang diadili melalui nyanyiannya. Lima bintang AF yang sempat ditemuramah ini menceritakan ‘kesepian’ mereka selepas bergelar bintang.

Mengenang kembali perkembangan semua 76 bintang yang lahir menggunakan platform yang sama, ada yang berjaya bergerak dengan bakat yang berbeza.

Ada yang mekar bergelar bintang dan masih megah di kaca televisyen dan dada majalah. Dan tidak kurang pula yang sepi membawa diri masing-masing.

Persoalannya, adakah populariti yang dicipta di pentas AF mampu membawa mereka terus kekal di hati dan pemikiran peminat yang dahulunya menyanjung tinggi mereka dengan SMS?

AHMAD AZIZI MOHAMED Tempat Ketiga Musim Pertama

AZIZI menegaskan ada golongan yang lebih pentingkan paras rupa.

Sewaktu Azizi dihubungi, jejaka kelahiran Pahang ini sedang bersiap-siap ke negeri kelahirannya untuk menghadiri undangan nyanyian. Dan sambungnya, Julai nanti dia bakal muncul dalam undangan untuk Kosmetik Avon bersama Mawi.

Terdengar sedikit keluhan akan nasibnya yang dibezakan, Azizi terlalu merendah diri sewaktu menegaskan bahawa masih ada golongan yang mementingkan paras rupa berbanding bakat.

Namun, itu bukanlah halangan untuk dirinya bergerak sendiri dalam mempersiapkan album kedua yang sangat diimpikannya.

Masih mempunyai ruang untuk bergerak menyanyi dan menjadi hos bagi undangan yang dicarinya sendiri, Azizi menyimpan impian yang kuat untuk mempunyai album dan tidak bersikap kalkulatif untuk tampil di mana undangan sekali pun.

“Saya tahu AF adalah program tahunan yang mempunyai permintaan daripada penonton. Segalanya terserah kepada mereka untuk menilai bakat. Rezeki terletak pada tangan masing-masing,” ujarnya yang akan muncul dalam rancangan Kwek Mambo dan bertemu empat mata kembali dengan idolanya, Anita Sarawak yang pernah memberinya buah epal buat peniup semangat.

FELIX AGUS Naib Juara Musim Ketiga

ALBUM bahasa Dusun akan dipersembahkan Felix.

Masih lucu dan berjenaka, Felix menganggap kesepian dirinya daripada mata dan telinga masyarakat luar adalah ‘diam-diam ubi berisi’. Dia kini selesa berada di Sabah mempersiapkan album dengan bantuan rakan-rakannya.

“Saya kini sibuk merakamkan album yang mempunyai campuran bahasa Dusun dan Melayu yang dirakamkan di negeri kelahiran saya,” terangnya.

Menurut Felix, projek ini dilakukan sendiri dengan kos yang ditanggung sendiri. Menyuntik sedikit pengaruh band pujaannya iaitu Search dan Dewa 19, album ini lebih cenderung ke arah genre rock.

Kontraknya bersama Maestro hampir habis tiga bulan lagi dan kerana bakat yang dipertaruhkannya, dia sudah menerima beberapa tawaran syarikat rakaman.

Namun segalanya masih dipertimbangkan. Jejaka yang pernah digosipkan dengan Akma AF3 ini menganggap senyap adalah suatu keselesaan buat dirinya, selain memberi peluang buat artis baru di bawah bumbung yang sama untuk mencari lebih ruang.

Felix masih rapat dengan rakan-rakan yang ditemuinya lewat program realiti popular itu. Katanya dia baru selesai mendaki Gunung Kinabalu bersama Yazer dan Ebi. Agak mengeluh dengan proses penggambaran Aduh Saliha, Felix menolak watak-watak sedih dan perlu membuatnya mengeluarkan air mata. Katanya dirinya tidak seperti itu.

NURLIZAWATY MOHD ISMAIL Finalis Musim Pertama

GADIS Roda Impian menunggu hari bergelar isteri.

Gadis yang dikatakan mempunyai suara gemeresik ini pernah hangat digosipkan dengan juara AF1. Namun selepas keluar dari istana AF dan selesai tugasnya membuka kotak Roda Impian, namanya seakan sepi. Menjadi finalis musim pembuka tidak mampu membuatkan nama Liza segemeresik suaranya.

Menurut Liza yang sudah pun menjadi tunangan orang pada bulan Januari lalu, dirinya kini hanya sibuk dengan mengikuti cara Gempak Selebriti The Musical yang dibawakan oleh Astro. Selain itu, kecintaan terhadap nyanyian masih ditumpahkan pada acara makan malam atau undangan nyanyian biasa.

“Album sepatutnya ada mengikut perancangan tapi nampaknya sudah terlambat sangat. Kontrak juga sudah nak habis. Liza sendiri tak tahu untuk menyambung lagi kontrak atau tidak,” ujarnya yang masih menaruh harapan untuk mempunyai album.

Liza tidak menganggap dirinya senyap terus dalam industri namun dia lebih banyak membawa haluan sendiri yang membuatkan masyarakat tidak perasan akan kesibukannya.

Lebih banyak terlibat dengan undangan sendiri dan tidak muncul kerap di kaca televisyen membuatkan dirinya tampak sepi.

Lucu mengikut gelak tawanya namun realiti apabila ditanya apakah yang menjadi keutamaan bagi dirinya, jawabnya jujur adalah perkahwinannya yang bakal dilangsungkan awal tahun hadapan bersama jejaka Kedah berkulit hitam manis.

NURULLAH ABD HAMID Bintang Musim Kedua

NURUL lebih selesa dikelilingi kanak-kanak.

Hatinya gadis kecil molek ini lembut, teringat ketikanya dia dimarah oleh Fauziah Nawi kerana gagal menyebut tugasan yang diberikan dengan lancar. Namun semangatnya tidak selembut jiwanya yang halus.

Dia mempunyai jalan sendiri untuk terus mekar dalam industri yang dipilihnya. Nurul baru selesai dengan pengajiannya dan kini sudah mempunyai syarikat sendiri yang diusahakan bersama teman.

Beta Sutra Entertainment memberi ruang untuk Nurul membuat acara hiburan dan multimedia. Mirip dirinya yang kecil dan manja seperti kanak-kanak, Nurul turut terlibat dengan rancagan Boom Ciki Ciki Boom Boom yang disiarkan di saluran RTM1 pada setiap Sabtu.

“Saya buat lirik dan lagu kanak-kanak.

“Dan sekarang sibuk mencungkil bakat untuk menulis lirik dan lagu untuk sesiapa yang berminat,” ujarnya.

Dia akur dengan ketentuan yang dia tidak mempunyai album untuk diketengahkan namun masih menyimpan hasrat.

“Mahu buat album sendiri tapi nampaknya bajet tidak mengizinkan.”

VELVET LAWRENCE ADUK Finalis Musim Keempat

SERING dilihat bersama Rich, Velvet sibuk menyiapkan album sulung.

Sudah diketahui ramai akan hubungannya dengan vokalis Estranged dan wajahnya tidak lekang dilihat ketika band popular itu beraksi di mana-mana.

Pemenang tempat kelima musim keempat ini menganggap dirinya sepi kerana bersebab. Sibuk menyiapkan album yang membawa buah tangan Ajai dan Adnan Abu Hassan, proses album debutnya sudah mempunyai lima buah lagu dan tinggal tiga buah lagu lagi untuk melengkapkannya menjadi sebuah album.

Velvet yang manis ini masih ligat dengan undangan nyanyian makan malam namun fokusnya dihadapkan 100 peratus ke atas album. Ujar Velvet, dia masih bergelar artis.

Powered by Kosmo

18
May

Semua Sedap

Oleh SHAMRAN SARAHAN
shamss@hmetro.com.my

“PENING kepala memilih lauk yang disediakan di sini. Semuanya sedap dan menyelerakan. Ikutkan selera, semuanya saya nak makan.

“Lagipun, saya gemar masakan kampung, terutama ayam padang, ikan asam pedas, siput sedut masak lemak dan daging salai lemak cili api. Semua lauk ini kegemaran saya.”

Itu reaksi Zahid AF2 ketika menikmati juadah masakan kampung di Restoran Puteri di Sungai Penchala, Tun Dr Ismail Kuala Lumpur, bersama penulis, baru-baru ini.

Juara Akademi Fantasia musim kedua itu kelihatan berselera menjamah lauk kegemarannya sambil mesra bersembang dengan pemilik restoran yang juga pelakon popular sekitar 1980-an, Rubiah Suparman.

“Ini bukan kali pertama saya datang ke sini (Restoran Puteri). Seingat saya, tahun ini saja lebih tiga kali.

“Hidangan di sini ‘istimewa’, lagi pula sajian ala kampung menepati selera saya,” katanya yang bakal melancarkan album terbaru, Baru, pada pertengahan tahun ini.

Menurut Zahid, selain pelbagai hidangan menarik disediakan, keistimewaan restoran berkenaan ialah ruangnya yang luas dengan dekorasi menarik juga menjadi tarikan pengunjung.

“Saya seronok apabila makan di sini. Persekitaran menarik dan selesa. Restoran ini sesuai untuk kunjungan keluarga dan rakan,” katanya.

Sementara itu, Rubiah berkata, restoran miliknya menyediakan hidangan secara bufet untuk makan tengah hari dengan lebih 30 menu masakan kampung.

Katanya, setakat ini masakan yang menjadi pilihan pelanggan ialah sajian siput sedut masak lemak, ikan asam pedas dan daging salai lemak cili api.

“Banyak lagi makanan istimewa boleh dijadikan pilihan seperti ikan masak singgang, ikan goreng berlada, daging dendeng, sotong masak hitam, kerabu pucuk paku dan ketam goreng cili.

“Sebagai pilihan lain, ada juga disediakan rojak, gado-gado, soto dan hidangan desert (pencuci mulut) istimewa seperti lompat tikam, pengat pisang, bubur cha-cha dan sagu gula Melaka,” katanya yang mengusahakan restoran itu bersama rakan baiknya, produser dan penulis lirik, Habsah Hassan.

Katanya, restoran itu juga menyediakan pakej minum petang. Hidangan disediakan seperti sajian kuih muih, roti jala dengan kari ayam, laksa Johor dan soto ayam.

Bagaimanapun, menurutnya, keadaan berbeza pada waktu malam apabila menyediakan masakan ala carte seperti nasi goreng pattaya, nasi goreng paprik, ayam masak kicap, daging masak merah, ikan kukus dan ikan masak masam manis.

“Setiap malam Sabtu, kami mengadakan barbeku untuk pelanggan. Tarikan ini untuk ‘mengundang’ lebih ramai pengunjung ke sini pada sebelah malam,” katanya.

Setiap pengunjung dikenakan bayaran RM28 seorang untuk hidangan bufet makan tengah hari, RM18 hingga RM30 seorang untuk minum petang, manakala makan malam secara ala carte pula bergantung dengan harga hidangan yang dipesan.

Antara lain, restoran ini menyediakan pakej untuk tempahan perkahwinan, sambutan hari jadi atau untuk majlis kenduri dan majlis tertentu.

Daripada segi dekorasi, hiasan dalaman diolah ringkas dan menarik. Restoran itu yang dibuka pada Mac tahun lalu adalah cawangan ketiga restoran Puteri sejak beroperasi sekitar 1980-an. Restoran itu juga mampu menampung sehingga 100 pelanggan.

WAKTU OPERASI: Bermula jam 12 tengah hari hingga 10 malam setiap hari.

ALAMAT: 514, Restoran Puteri (Sg Penchala), Lot 3074, Jalan Datuk Sulaiman, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur.

Powered by Harian Metro