Skip to content

Posts from the ‘One In A Million’ Category

30
Oct

Lanun Banjiri Sunway Lagoon



Oleh Syah Rul Aswari Abdullah
srul@hmetro.com.my

SUNWAY Lagoon menganjurkan ‘Caribbean Nite with Pirates of the Lagoon’ selepas kemenangan berturut-turut Tarikan Terbaik Asia di Anugerah International Association of Amusement Park and Attraction (IAAPA) pada 2007 dan 2008, baru-baru ini.

Berlangsung di pantai buatan manusia terbesar dunia, ia menghimpunkan tetamu korporat, selebriti dan media. Lebih 200 ‘lanun’ yang berselerakan di celah tetamu mewujudkan zaman abad ke-18.

Ketua Pegawai Operasi Sunway Lagoon, Aaron Soo, berkata acara julung kali itu bagi mempromosikan taman tema itu sebagai destinasi acara tempatan dan antarabangsa.

“Dengan keluasan menjangkau 88 hektar, kami memberi jaminan dapat merealisasikan apa jua yang anda impikan,” katanya yang mengenakan kostum kapten kapal lanun.

Taman tema itu sudah menjadi tuan rumah kepada beberapa acara sukan bertaraf antarabangsa seperti ESPN Asian X-Games 2006, jelajah Quicksilver Revolution pada 2007 dan 2008, di samping konsert Pussy Cat Dolls (2006) dan Backstreet Boys, awal tahun ini.

“Tidak hanya terhad kepada acara antarabangsa, Sunway Lagoon juga menjadi lokasi sesuai untuk majlis makan malam bertema dengan mengguna pakai haiwan dari Sunway Wildlife Interactive Zoo, atau lebih unik, bertemakan hantu dan jembalang dari ‘Scream Park’,” katanya

Menurutnya, taman tema dilengkapi dengan pelbagai kemudahan dan tarikan terkini itu juga sesuai tempat mengadakan pelbagai majlis keraian.

Usaha menjadikan tema itu sebagai destinasi pelancongan unggul itu katanya tidak akan berjaya tanpa kerjasama Entertainment Solution Provoder (ESP), Blastmaster, Digital Review Sdn Bhd dan NIVO Entertainment.

“The Carribean Nite with Pirates of the Lagoon” turut menampilkan persembahan bertenaga oleh Suki dari One in A Million: duo Cina tempatan, Man Jiang Hong; pemenang Anugerah Era, Point Blanc dan pemenang Anugerah Industri Muzik (AIM), Reshmonu.

Tetamu juga dihiburkan dengan pertunjukan silap mata jalanan, bunga api, skrin air berteknologi tinggi dan persembahan karbaret. Pada masa sama, hantu dari ‘Scream Park’ dan jelitawan kabaret turut meluangkan masa bergambar dengan tetamu.

Harian Metro

30
Sep

Paparan Eksklusif Aidilfitri

Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my

Nona terbitan TV3 mengimbau nostalgia Ziela Jalil terhadap arwah suaminya, Tan Sri Megat Junid Megat Ayob

BINGKISAN istimewa daripada Nona sempena sambutan Aidilfitri akan menyorot pelbagai episod suka, duka, gembira dan iltizam menjadi sajian yang tidak harus dilupakan penonton setia program terkenal siaran TV3 itu.

Mendekati nama terkenal dalam industri hiburan, Nona merakamkan pelbagai paparan eksklusif untuk dikongsi bersama penonton sempena Syawal nanti di samping mengimbau nostalgia yang mengusik perasaan pada hari mulia itu.

Bakal bersiaran pada 5 Syawal, jam 2 petang, Nona istimewa Aidilfitri antara lain mengungkap kehidupan terkini Ziela Jalil bersama dua cahaya matanya selepas suami tercinta, Tan Sri Megat Junid Megat Ayob menyahut panggilan Ilahi.

Penerbit Nona, Syarida Sharif mengakui, penerbitan sempena hari raya memberikan sedikit cabaran apatah lagi terpaksa bersaing dengan program istimewa Syawal yang lain.

Bagaimanapun, katanya, membezakan Nona dan program hiburan paparan yang dipersembahkan dalam bentuk majalah digarap bersama skrip melodramatik untuk memberikan kesan kepada penonton.

“Menemui penonton selepas lima hari raya, kami berdepan dengan cabaran untuk mendapatkan rating yang baik. Harus diakui ketika itu, jumlah tonton agak mendatar kerana penonton masih sibuk dengan aktiviti menziarah dan riadah lain.

“Jadi dengan menerapkan kisah menarik selebriti, secara tidak langsung membantu memberi elemen tarikan kepada Nona,” katanya ketika ditemui pada sesi rakaman Rumah Terbuka Nona dan Wanita Hari Ini di Restoran Seri Melayu, Jalan Conlay, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tidak mahu penonton diheret dengan kesyahduan pada hari kemenangan umat Islam selepas sebulan berpuasa, Nona turut menjejak perjalanan hidup Norayu Damit atau Ayu selepas menjuarai program realiti, One In A Million musim kedua.

Selepas memenangi wang RM1 juta yang ditawarkan pertandingan itu, Ayu merasai kelainan menyambut 1 Syawal dengan limpahan rezeki yang dinikmati sebagai anak seni.

“Nona mengupas perubahan yang dialami Ayu malah turut membawa penonton untuk berkongsi bagaimana gadis itu memanfaatkan wang yang dimenanginya.

“Kejayaan yang dilakar Ayu mampu menjadi contoh betapa dengan usaha serta kesungguhan segala halangan mampu diruntuhkan dan hari ini, Ayu semakin dikenali kerana bakat besar yang dimilikinya,” kata Syarida.

Akui Syarida, selepas 25 tahun bersiaran Nona juga melalui evolusi dan pendekatan terbaru program utama TV3 itu kini lebih realistik di samping mengupas pelbagai isu berkaitan wanita.

Topik yang pernah dibincangkan diberi nafas baru dengan kupasan yang kontemporari dan bersesuaian cita rasa penonton semasa, malah krew Nona juga sentiasa kreatif memberikan idea untuk menambahkan warna berbeza kepada program popular itu.

“Tidak dinafikan suatu ketika dulu populariti Nona bergantung kepada pengacaranya terutama ketika dikendalikan Puan Sri Normala Samsudin.

“Bagaimanapun, perlahan-lahan kecenderungan penonton sudah berubah dan apa yang dapat saya katakan, mereka kini lebih menilai kepada pengisian topik serta isu yang digarap.

“Menampilkan Fizza sebagai perantara turut memberikan ruang kepada Nona untuk berkembang dan terus diminati. Ini terbukti dengan peningkatan rating Nona malah kami yakin Fiza mampu menjadi pelapis yang bakal menyerikan dunia pengacaraan,” katanya.

Mempunyai jumlah penonton sekitar 1.3 juta setiap kali bersiaran, Syarida berkata, dia kagum dengan keupayaan Fizza yang berbakat besar dan sentiasa memberikan kerjasama yang terbaik ketika penggambaran.

“Mudah bekerjasama dengan Fizza kerana dia cepat belajar dan pantas memahami apa yang dikehendaki,” katanya.

Juga dipaparkan pada episod istimewa itu kesibukan legenda rock negara, Amy Search yang menyambut Aidilfitri di restoran yang diusahakannya di samping menyempurnakan persiapan pernikahan anak gadisnya, Nabila Huda.

Istimewa Nona apabila membawa penonton mengimbas nostalgia silam bersama bintang veteran ketika menyambut Aidilfitri di Jalan Ampas, Singapura.

Segmen yang dijayakan seniwati 50-an seperti Zaiton, Mariani, Neng Yatimah dan Hashimah Yon disatukan di Pulau Pinang untuk berkongsi imbauan sambutan raya ketika era kegemilangan dunia perfileman Melayu.

Rakaman Rumah Terbuka Nona dan Wanita Hari Ini turut menyaksikan persembahan daripada Aizat, Suki, Erry Putra, Shahila dan Dafi diserikan dengan kehadiran Mila, Adam, Fizz Fairuz, Adi Putra serta artis veteran antaranya Datin Aspalela Abdullah dan Datin Orkid Abdullah.

Rumah Terbuka Nona dan Wanita Hari Ini dikendalikan Ruhil Syafinaz, Azzura, Azizah Ariffin, Ifa Raziah, Nadia Shahrul dan Fizza turut menyerahkan duit raya daripada Tabung Bersamamu serta hamper kepada Rumah Amal Limpahan Kasih, Kampung Aman, Puchong, Selangor.

Turut diraikan keluarga pelakon drama, Allahyarham Yazid Sobrani serta pelakon lagak aksi Jangan Pandang Belakang, Allahyarham Nazari Omar.

Berita Harian

19
Sep

Usahawan Muda

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

Awal Ashaari, Dynas ambil berkat bulan Ramadan memulakan jualan pakaian di Damansara

MEREKA bukan bual kosong apabila bercakap mengenai mahu berniaga dan menyimpan hasrat untuk menjadi usahawan berjaya. Buktinya mulai awal Ramadan lalu, dua selebriti terkenal tanah air, Awal Ashaari dan Dynas memulakan bisnes menjual pakaian.

Begitu pun, bukan bermakna rezeki mereka dalam dunia seni semakin berkurangan, sebaliknya mereka lebih yakin berniaga dapat menjamin masa depan.

Sebelum butik sepenuhnya siap dijangka pada hujung Oktober atau awal November ini di Sri Hartamas, bekas pengacara Beat TV ini mengambil keberkatan bulan mulia ini untuk berniaga di bazar Ramadan, Cineleisure, Damansara dan bukannya di The Curve seperti yang dilaporkan dalam media sebelum ini.

Ketika Hip mengunjungi butik mereka, rakan artis Jehan Miskin dan Jaclyn Victor sudah pun berada di sana. Pandai Dynas dan Awal mempraktikkan teknik PR (perhubungan pelanggan), hinggakan kedua-duanya terpikat membeli pakaian yang dijual gara-gara celoteh mereka.

Kehadiran Hip pada petang itu turut menarik perhatian peminat mereka yang sambil mencuci mata, sempat juga mereka bergambar sebagai kenangan. Sebelum ini, ramai selebriti yang sempat menjejakkan kaki sambil membeli di gerai mereka seperti Julia Ziegler, Aleeza Kassim, Abby Abadi, Sherry Ibrahim, Jimmy Shanley dan Fadzlun.


AWAL dan Dynas bergaya dengan koleksi pakaian di butiknya.

Kalau yang berminat mengunjungi gerai milik Awal dan Dynas yang diberi nama D&A Celebrity Style, jemputlah singgah ke sana. Berbekalkan modal sebanyak RM25,000 dan sewa bulanan RM5,000, gerai D’Range yang diusahakan Dynas dan ibunya turut terletak bersebelahan dengan gerai mereka.

Jelas Awal, mereka berkongsi modal dan keuntungan sama rata. Bekalan baju kebanyakan diperoleh dari Bandung, Bangkok, Filipina, Terengganu dan Kuala Lumpur.

Kata Dynas, minatnya mula bercambah untuk bergelar usahawan sewaktu dia mendapat tajaan baju untuk sesi fotografi daripada Awal yang lebih dulu menceburi jualan pakaian secara online, Mannequeen. Lagipun Dynas memang suka berniaga mengikut resam keluarganya.

“Memang keluarga Dynas berorientasikan bisnes. Bayangkan sejak kecil, saya memang suka menjual. Sebagai contoh, kalau pergi ke pusat beli belah, saya sanggup meminta mama membelikan pensil di dalam kuantiti yang banyak supaya boleh dijual kepada kawan di sekolah.

“Ramadan kali ini memang saya banyak tolak tawaran berlakon sebab hendak memberi fokus kepada bazar Ramadan ini. Saya tolak empat undangan berlakon telefilem dan dua buah drama. Yang saya selesaikan cuma baki penggambaran drama Gerak Khas saja kerana ingin menamatkan watak Inspektor Julia.

“Dalam sibuk berniaga, saya tetap mengutamakan rumah tangga. Kalau sempat balik ke rumah, saya balik berbuka puasa dengan suami ataupun suami akan datang berbuka di sini (Cineleisure),” ungkap duta Safi dan Easy Pha-max ini.

Berkat liputan pihak media, gerai mereka kini semakin menjadi tumpuan ramai. Menurut Awal, sambutan hari demi hari semakin menggalakkan hingga mampu menampung separuh modal yang dikeluarkan. Memaksimumkan daya tarikan mereka sebagai selebriti, Awal dan Dynas juga bertindak sebagai penata dan pereka gaya. Kombinasi Dynas dan Awal dilihat menarik kerana mereka dilihat sebagai ikon yang hebat bergaya.

“Peminat meletakkan kepercayaan yang tinggi kepada selebriti kerana ada yang menganggap golongan seperti kami sebagai ikutan. Tak dinafikan golongan artis mempunyai kuasa mempengaruhi entiti gaya yang ingin diikuti ramai. Saya juga meminati gaya Dynas dan begitulah sebaliknya.

“Apabila kami berpeluang ke negara luar sama ada bercuti atau atas urusan kerja, kami tak lupa membeli koleksi yang menarik perhatian dan menjadi tren,” kata Awal yang bakal muncul dengan persembahan teater Impak Maksima The Musical yang turut dibintangi Dynas. Insya-Allah teater itu bakal dipentaskan di Istana Budaya mulai 11 November ini.

Bersederhana di Aidilfitri

BERSEMBANG mengenai Aidilfitri yang bakal menjelma, kata Dynas dia hanya akan memilih baju raya yang berkenan di hati di bazar untuk digayakan pada Hari Raya.

Keterujaan pastinya melingkari jiwanya, apatah lagi akan menyambut raya buat pertama kalinya dengan status isteri. Insya-Allah, selepas raya nanti, Dynas akan berlakon menjadi makhluk asing menerusi penerbitan Tayangan Unggul.

Mengenai anak, Dynas tidak pernah berhenti berusaha untuk mendapatkannya cuma belum ada rezeki. Kata Dynas, kalau dia mengandung pasti kecoh dan orang akan tahu juga di kemudian hari.

“Ikut perancangan, pada malam raya saya akan ke Shah Alam beraya dengan keluarga sendiri. Esoknya saya dan suami akan balik semula ke rumah sendiri di Hartamas dan apabila selesai beraya dengan pihak keluarga saya, kami akan konvoi beramai-ramai ke Bentong Pahang dan kemudian kembali ke Hulu Langat untuk beraya dengan keluarga mentua saya. Bab kuih raya, saya tunjuk saja yang berkenan dan bayar,” usik Dynas yang akan muncul dengan telefilem Di Bawah Ketiak Isteri pada hari raya ini dan selepas raya akan kembali menyambung penggambaran drama Di Bawah Ketiak Isteri musim kedua.

Ketika fotografi ini berlangsung, Awal masih sibuk menyudahkan baki penggambaran telefilem Impak Maksima Vs Rempit yang diarahkan Ahmad Idham dan Bob Ismail. Bulan puasa ini juga, Awal dan Dynas akan sibuk memulakan latihan untuk teater muzikal Impak Maksima.

Hasrat Awal untuk beraya di rumah semi D, tiga tingkat di Subang Jaya yang dibeli khas untuk ibu bapanya juga tidak kesampaian apabila ibu bapanya mahu terus tinggal di Kampung Baru. Kerana hal itu juga, Awal nekad menjual rumah barunya dan kepada sesiapa yang berminat boleh berurusan menerusi e-mel di awal.ashaari@gmail.com.

“Untuk mengubati hati, saya kena akur dan memperbaiki apa yang patut rumah di Kampung Baru. Selepas raya nanti, saya akan mula menyambung penggambaran drama kerjasama Filipina dan Malaysia berjudul A Time For Us.

”Saya akan kembali mengacarakan program Sehati Berdansa bagi empat pecahan program iaitu Di Sebalik Sehati Berdansa, Kenali Sehati Berdansa, Tirai Sehati Berdansa dan Imbasan Sehati Berdansa mulai Oktober ini. Hos utama program ini masih menggunakan khidmat pengacara tahun lalu iaitu Linda Onn dan Fahrin Ahmad.

“Selain itu, saya juga akan kembali mengacarakan program One In A Million musim ketiga bersama Marion Counters tidak lama lagi,” ungkap Awal yang kontraknya sebagai duta Dot Red Com (bagi pusat karaoke Red Box) di sambung lagi setahun.

Profil Awal

NAMA: Ahmad Awaluddin Ashaari

PANGGILAN: Awal

TARIKH LAHIR: 6 Ogos 1981

USIA: 26 tahun

KERJAYA: Pelakon, pengacara & model

PENDIDIKAN: Sarjana Muda Filem dan Televisyen, Universiti Lim KokWing dan Curtin University serta Diploma Media dan Komunikasi dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).

PENGALAMAN: Hos Beat TV, Teh Tarik & Cabaran Tariking F&N 2006, Sensasi, One In A Million, Sehati Berdansa dan W

FILEM: Diva, Diva Popular, Impak Maksima, Malaikat Maut, Apa Kata Hati, I’m Not Single dan Syurga Cinta.

DRAMA: Cinta Medik, Impak Maksima The Series & A Time For Us (usaha sama Malaysia – Filipina)

Profil Dynas

NAMA PENUH: Wan Intan Edrinas Wan Mokhtar

TARIKH LAHIR: 8 Mac 1983

ASAL: Petaling Jaya, Selangor

PENDIDIKAN: Diploma Komunikasi Massa dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor

PENCAPAIAN: Pelakon TV Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2007

SUAMI: Mohd Hafizy Hafiz, 37 (Kahwin pada pada 15 Mac 2008)

Drama: Di Bawah Ketiak Isteri, Ezora, Ai Di Beijing

Filem: Impak Maksima, Haru Biru, Kayangan, Apa Kata Hati

Berita Harian

1
Sep

Sengau Tak Halang Azmir Menyanyi

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my


Azmir Arif

NIATNYA murni, polos dan tiada prejudis. Begitulah besar harapan penyanyi baru, Azmir Arif, 25, atau nama sebenarnya Mohd Azmira Mohamad Arif yang ingin menyemarakkan dunia nyanyian. Bukan berniat memohon simpati di atas kekurangan yang ada dalam dirinya tapi hanya sekadar mengharapkan ruang untuk terus berjuang.

Sekali pandang tiada cacat celanya apabila melihat jejaka kelahiran Balik Pulau, Pulau Pinang ini. Itu tidak dinafikan kerana Azmir masih mempunyai tarikan dengan wajah kacak dan berbadan tegap. Bagaimanapun Azmir bersuara sengau dan gara-gara bersuara begitu dia pernah diperlekeh, dihina dan diketawakan.

Namun siapa sangka di sebalik sengau, dia mampu melantunkan lagu dengan begitu baik dan lancar. Sebagai hamba yang kerdil, dia pasrah menerima ketentuan-Nya dan tidak pernah sesekali merungut menjadikan masalah itu sebagai penamat perjuangannya.

Mujur, masih ada insan yang menghargainya, yang terus membakar semangatnya untuk bergelar penyanyi. Azmir muncul dengan sebuah album memuatkan dua buah lagu single berjudul Misteri Cinta Sakti dan Maafkan Aku. Dia merancang untuk menghasilkan sebuah album penuh.

“Jika dulu saya bergerak dengan sebuah syarikat tapi kini saya lebih selesa bergerak secara bebas tanpa ada ikatan atau peraturan tertentu sejak tiga bulan lalu. Dengan bantuan kawan baik saya bernama Nazir, dia mempercayai bakat saya dan bersedia menguruskan perjalanan kerjaya saya yang baru saja bermula. Untuk album single ini kami masih mencari pihak pengedar.

“Saya sedar dengan kekurangan itu (bersuara sengau), tapi saya tidak boleh terus-terusan melihatnya sebagai kelemahan sebaliknya menjadikannya seperti anugerah Tuhan. Pada mulanya saya sendiri begitu was-was dengan bakat yang saya ada. Namun, berkat kepercayaan dan sokongan yang ditunjukkan keluarga dan kawan-kawan, saya nekad meneruskan langkah demi langkah merealisasikannya.

“Bapa saya pada mulanya memang menentang hasrat saya bulat-bulat untuk menjadi penyanyi tapi segala usaha dan pengorbanan saya menyertai pertandingan nyanyian membuahkan hasil dan kejayaan, akhirnya bapa merestui cita-cita saya,” ungkap Azmir bersungguh-sungguh.

Sekadar mengimbas perjalanannya sebelum ini, Azmir pernah menyertai uji bakat Akademi Fantasia musim kelima dan melepasi semua peringkat, tapi rezeki belum berpihak kepadanya. Begitu juga dengan pertandingan One In A Million, dia hanya berada di kelompok 20 terbaik.

Pernah sewaktu dia memasuki sebuah pertandingan karaoke beberapa tahun dulu, hanya mendengar suara sengau, orang di sekitar pertandingan itu sudah mula memandang sinis pembabitannya. Terbit juga rasa malu, sedih dan sentap apabila berdepan dengan pandangan skeptikal dan sinikal sebegitu, tapi rezeki menyebelahinya.

“Dipendekkan cerita, saya menjadi juara pertandingan karaoke itu dan ketika itu orang yang memandang rendah saya kembali membuka mata terhadap saya. Saya sudah biasa melalui situasi sebegitu dan sering dikatakan berangan dan tidak sedar diri. Hinggalah saya sudah mempunyai lagu sendiri, saya melayari sebuah laman siber dan melihat sebuah forum yang memperdebatkan suara saya.

“Mereka tidak percaya yang suara nyanyian itu adalah suara saya. Mereka mempertikaikannya dan mengatakan itu suara mesin yang boleh dibuat-buat rentetan kemajuan teknologi. Bayangkan apabila orang bertanya apa kerja saya, saya jawab saya menyanyi dan disambut dengan hilai tawa mereka yang sering bersangka buruk,” kata Azmir yang sudah dua tahun menyanyi di Restoran Seri Melayu, Jalan Conlay.

Pintanya hanya satu supaya masyarakat menerima kehadirannya dan memberi peluang saksama untuk dirinya berkongsi suara dan bakat. Menghela nafas syukur, lagu nyanyian Azmir dimainkan di stesen radio kerajaan dan beberapa stesen swasta termasuk di negara Singapura.

Azmir juga menanam impian untuk menghasilkan album tradisional kerana menerusi lagu bergenre itulah dia mula memasang angan bergelar penyanyi. Kata Azmir, saya banyak belajar sendiri mendendangkan lagu tradisional dan menjadikan Ahmad Jais sebagai idola.

“Saya memang teringin menghasilkan album tradisional dengan harapan irama itu akan terus bergema, berkembang dan tidak terus luput. Kalau dapat peluang membikin album itu saya akan pastikan supaya album itu tidak dicampur aduk dengan genre lagu lain.

“Saya sudah mendapat sokongan beberapa stesen radio kerajaan dan swasta, cuma saya harap akan ada lebih lagi stesen radio swasta untuk terus memutarkan lagu dendangan saya. Stesen Ria di Singapura,” katanya mengakhiri perbualan.

INFO: Azmir Arif

Bertugas menyanyikan lagu tradisional di Restoran Seri Melayu setiap Isnin hingga Jumaat dari jam 8.30 hingga 9.30 malam.

Berpesan kepada mereka yang sering berasa rendah diri supaya tidak menjadikan kekurangan sebagai alasan untuk tidak meneruskan perjuangan. Katanya lagi, jika ada bakat, serlahkan bakat itu. Baginya, semua manusia tiada beza, sama saja di sisi Tuhan.

Tidak pernah merasakan dirinya cacat sebaliknya dia diuji dengan bersuara sengau.

Pernah membuat persembahan di Istana Budaya dan Planet Hollywood.

Kerap menjuarai beberapa pertandingan seperti Pertandingan Menyanyi Putera-Puteri UMNO Kuala Lumpur Bahagian Segambut, Bintang Pesta Pulau Pinang 2007, Bintang Irama Malaysia Pulau Pinang 2007 dan Anggerik Idol 2007.

PROFIL: Azmir Arif

Nama sebenar: Mohd Azmira Mohamad Arif

Nama komersial: Azmir Arif

Tempat lahir: Balik Pulau, Pulau Pinang

Zodiak: Virgo

Tarikh lahir: 15 September 1983.

Berita Harian

22
Aug

Shila Rasa Bersalah

Oleh HARYATI KARIM
haryati.karim@kosmo.com.my

JIKA bukan Ayu yang bergelar juara One In A Million musim kedua (OIAM 2), gelaran tersebut sudah pasti menjadi miliknya. Naib juara OIAM 2, pemilik nama Shila atau nama sebenarnya Nur Shahila Amir Hamzah ini dilihat begitu gagah mengharungi perjalanan seni dengan tenang.

Kalah kepada Ayu atau nama penuhnya, Norayu Damit dalam program berkenaan bukannya satu penghalang untuknya terus mara. Namun anehnya, sebaik sahaja program tersebut tamat, kelibatnya semakin dirasai khalayak peminat berbanding Ayu.

Justeru, apabila ada banyak pihak yang mengatakan populariti Shila telah mengatasi sang juara yang juga merupakan sahabat baiknya itu, ia telah menimbulkan sedikit kegusaran di hati anak dara N.D Lala ini.

“Secara jujur, kedang-kala terbit juga rasa serba salah dalam diri sebab saya bukannya juara tetapi orang masih mahu mengambil saya untuk menjadi penyanyi.

“Macam mana pun, saya anggap itu rezeki masing-masing, Ayu dapat rezeki awal dengan jadi juara OIAM dan rezeki saya selepas keluar OIAM. Kalau saya asyik menyalahkan diri, sampai bila saya hendak maju dalam industri seni ini.” jelasnya.

Sungguhpun Shila bukan bergelar seorang pelakon, dia sering muncul sebagai penyanyi lagu tema dalam drama-drama terbitan 8TV, malah dia kini dilihat umpama duta stesen berkenaan pula bukannya Ayu.

“Saya memang berkawan baik dengan Ayu sejak dalam OIAM lagi, sebab masa OIAM bila ada cuti dan dia tidak dapat balik ke Sabah, dia akan tinggal bersama keluarga saya sebab itu keluarga saya pun rapat dengannya.

“Dan tentang saya umpama duta 8TV itu, saya rasa mereka memilih saya untuk menyanyi lagu tema drama-drama kerana saya menepati kriteria yang mereka cari,” ujarnya.

Tambah Shila lagi, menurut Ketua Operasi 8TV, Ahmad Izham Omar, mereka menilai saya daripada segi kesesuaian bukannya kerana pilih kasih atau pun apa.

“Jika ada lagu yang berentak perlahan pasti akan diberi kepada Ayu bukannya saya, oleh itu tidak timbul siapa lebih bagus atau popular. Pilihan dibuat kerana kesesuaian,” ujarnya.

Apabila timbul isu siapa lebih popular dan menyerlah, pastinya hal ini sedikit sebanyak turut menganggu hubungan persahabatan dua gadis ini.


SAHABAT baik. Ayu turut memeriahkan hari jadi Shila.

Namun, Shila menegaskan, hal itu hanya isu remeh-temeh yang tidak akan menganggu hubungan baik antara mereka berdua.

“Kami langsung tidak pernah ada apa-apa masalah dan kami sebenarnya menyanyikan lagu dari genre yang berbeza sebab itu saya kata perjalanan kami berbeza dan tidak mungkin kami akan bermusuhan.

“Kami berdua sedang cari tapak untuk berdiri, cuma mungkin cara kami sedikit berbeza. Memang kami bersahabat tetapi dalam masa yang sama Ayu juga merupakan saingan terdekat saya. Saya cuma ingin tampilkan yang terbaik, begitu juga dengan Ayu,” tuturnya jujur.

Katanya lagi, mungkin kelebihannya berbanding Ayu adalah dia sudah mula menyanyi sejak berumur 8 tahun lagi dan dengan pengalaman yang dimilikinya itu memudahkan lagi gerak langkahnya sebagai penyanyi.

Meskipun begitu, ia langsung bukan alasan untuknya meninggi diri kerana dia merasakan terlalu banyak perkara yang dia masih perlu pelajari.

“Saya menghormati Ayu sebagai sahabat, dan juga melihat dia sebagai seorang penyanyi yang bagus. Malah, kini kami berdua sedang dalam proses merakam album masing-masing secara serentak.

“Apa pun, album Ayu tetap akan muncul di pasaran terlebih dulu daripada saya kerana dia juara dan saya hanya berada di tempat kedua. Mana boleh saya melangkaui Ayu dalam hal ini,” katanya lagi.


MERAIKAN hari jadi ke-18 bersama keluarga tersayang.

Rancang label pakaian

Sementara itu, dia yang ditemui ketika majlis sambutan hari lahirnya yang ke-18 baru-baru ini dilihat sungguh fokus dengan apa yang dijalani kini.

Selain membina kerjaya dalam bidang nyanyian, dia juga bergelar seorang pelajar di sebuah kolej swasta dalam jurusan pengurusan perniagaan.

“Saya daftar masuk ke kolej pada 7 Julai lalu, dan syukur kerana yuran saya ditaja oleh kolej serta 8TV. Jadi ia telah memudahkan saya daripada segi kewangan.

“Oleh kerana itu saya berazam untuk memberi yang terbaik sepanjang belajar di kolej ini. Dan berharap agar saya dapat membahagikan masa sebaik mungkin,” terangnya.

Cerita Shila lagi, pengalamannya bergelar seorang pelajar kolej sungguh mengujakan kerana suasananya sungguh berbeza daripada alam persekolahannya.

“Perbezaan sejak saya masuk kolej, suasananya memang berbeza dan saya seronok sebab ia dunia yang baru buat saya. jurusan yang saya ambil sungguh bertepatan dengan kehendak saya sebab saya bercita-cita mahu membuka syarikat sendiri.

“Mana tahu rezeki, sebab saya merancang untuk buka satu label yang menjual pakaian mengikut fesyen saya sendiri dengan harga yang berpatutan kepada peminat,” tuturnya penuh yakin.

Luahnya lagi, walaupun sudah belajar di kolej tetapi dia tetap tinggal dengan keluarga, malah ibunya yang sering menghantarnya ke kolej jika ada kuliah.

“Saya bukannya manja tetapi saya lebih selesa tinggal dengan mereka, lagipun ia lebih memudahkan saya yang membuat dua pekerjaan sekali gus ini,” jelasnya.


SHILA tidak menafikan Ayu merupakan saingan terdekatnya dalam dunia seni.

Enggan cinta sesama artis

Beralih kepada soal cinta, gadis yang lahir pada tanggal 13 Ogos 1990 ini mulanya tersipu malu, tetapi menegaskan kini bukanlah masa yang sesuai untuk dirinya bercinta.

Sementelah, dia juga terlalu sibuk dengan pelajaran dan kerjaya, b agi Shila biarlah perhatian di fokuskan pada perkara yang lebih penting dahulu.

“Buat masa sekarang ini saya masih terlalu muda dan mentah untuk memikirkan soal cinta. Kalau saya mahu bercinta sekarang, ibu bapa saya akan perli, sudah mahu kahwin ke? (ketawa).

“Mungkin hati saya akan terbuka dan benar-benar serius dalam percintaan apabila umur saya sudah mencapai angka 21 dan ke atas,” ujarnya.

Bicara Shila lagi, jika dia sudah bersedia untuk bercinta, seeloknya dia tidak mahu bercinta sesama artis. Tidak tahu apa alasannya. Malah, dia juga mengatakan mahu seorang lelaki yang lebih tinggi daripadanya dan mempunyai kulit yang cerah. “Itu hanya idaman saja, andai jodoh, terima saja (ketawa),” ucapnya.

Hadiah hari lahir

Bercakap mengenai hari jadi, pastinya tidak lengkap jika tidak menyentuh tentang hadiah yang diterima.

Bagaimanapun menurut Shila, dia bukanlah jenis yang suka memaksa ibu bapanya untuk memberi hadiah setiap kali tiba hari lahirnya.

“Saya terima saja apa yang mereka mahu beri, pada saya perhatian dan kasih sayang yang mereka berikan sebenarnya hadiah yang tidak ternilai pernah saya dapat.

“Apa pun saya berterima kasih kerana mereka sudah bersusah payah untuk saya selama ini. Saya mahu membalas jasa mereka satu hari nanti kerana menjadi ibu bapa yang paling baik untuk saya,” kata Shila mengakhiri bicara.

Kosmo